Menikmati Indahnya Pemandangan Lautan Bersama BMW R 1200 RT
Sesetengah orang merasakan perjalanan di tepian pantai kadang kalanya agak membosankan, bagi saya ia tidak pernah begitu kerana salah satu cara terbaik untuk kita mengenal sesebuah tempat atau negara itu ialah dengan melakukan pengembaraan. Baru kita dapat menghargai bagaimana suatu tempat itu dibangunkan sejak sekian lama untuk menjadi sehebat yang kita lihat sekarang ini.
Okay... saya sekarang sedang menunggang uji sebuah BMW R 1200 RT dan oleh kerana ibu pejabatnya terletak di New Jersey maka terpaksalah saya 'terbang' ke sana terlebih dahulu sebelum pulang dengan menunggang ke California di jalan-jalan tepian pantai Lautan Atlantik. Oleh kerana ingin berjumpa dengan kenalan di New England, saya membuat keputusan untuk ke New Jersey beberapa hari lebih awal. “Tidak ada masalah! Kami hanya perlu menyusun semula jadual break-in service (servis bantuan kecemasan) ketika kamu dalam perjalanan,” kata Roy dari BMW selepas saya mengatakan hasrat untuk mengambil motosikal itu lebih awal. Selesai!
Harga asas R 1200 RT untuk pasaran di sini ialah sekitar $17,700 dan untuk penambahan alatan elektronik seperti Dynamic Electronic Suspension (DES), Garmin GP dan Gear Shift Assist (GSA) yang memudahkan kita menukar gear tanpa penggunaan klac dengan penambahan kos sebanyak $6,000. Turut ditawarkan sebagai alatan pilihan ialah sistem nyalaan tanpa kunci (keyless ignition), dengan menggunakan alat 'fob'. “Jangan hilangkan fob ini,” kata salah seorang daripada wakil BMW. Model RT ini bukanlah jentera biasa, ia mula diperkenalkan pada tahun 1979 iaitu model R100RT. Untuk model 2014, perubahan besar yang dilakukan ialah pada bahagian enjin dan casis. Walaupun terdapat sedikit masalah timbul (pada bahagian saspensi) ketika mula-mula model ini memasuki pasaran tetapi ia segera telah diatasi oleh pihak BMW dengan cemerlang sekali.
Terdapat banyak suis dan butang kawalan yang terletak pada bahagian bar hendalnya termasuklah untuk menguatkan dan memperlahankan sistem audio. Ingin saya katakan bahawa untuk menguasai kesemua butang dan suis ini memerlukan banyak masa tunggangan. Paling menarik ialah pada Multi-Controlled Ring yang terletak pada bar hendal sebelah kiri yang mengawal berbagai jenis pilihan elektronik yang dapat kita lihat dengan jelas menerusi panel meter digitalnya. Segala info yang dipaparkan cukup teliti, dari kadar tekanan tayar hinggalah jarak perjalanan. Kalau tekan lagi entah-entah boleh terpapar barangan keperluan yang perlu dibeli... gurau sahaja!
Saya menghala ke timur, Massachusetts untuk berjumpa dengan rakan-rakan di sana kemudian ke Provincetown di Cape Cod untuk menikmati masakan udang galah terkenal. Memang lazat! Saya ternampak papan tanda yang mengatakan ia adalah permulaan jalan US6 menuju ke Los Angeles yang lebih kurang sejauh 5,877 kilometer dari sini. Saya membelok ke New York untuk bertemu lagi beberapa orang sahabat lama. Sejak saya berpindah dari Boston ke California pada tahun 1980an dulu, saya akan sering pulang kembali ke bandar asal itu agar masyarakat dan kenalan di sana tidak melupakan saya.
Sepanjang jalan merentasi Pergunungan Berkshire di Whitecomb Summit di MA2, hujan turun dengan lebatnya tetapi mujurlah ada fairing yang besar dan cermin pelindung hadapan boleh laras. Saya pernah mengembara jauh dengan menunggang sebuah motosikal tanpa dilengkapi dengan cermin pelindung, saya tidak lagi mengulangi perbuatan ini sejak 35 tahun yang lalu. Saya kini amat mengutamakan keselesaan jika melakukan pengembaraan yang jauh.
Setibanya saya di Albany, odometer menunjukkan jarak perjalanan sudah sejauh 1,120 kilometer dan tibalah masanya untuk diservis. Nasib baik BMW telah menyediakan break-in service. Selesai.... jom teruskan perjalanan. Saya memilih untuk menunggang di Jalan I-88 kerana pemandangan di kaki pergunungan Appalachian memang sangat-sangat cantik. Dari tepi jalan, kita dapat melihat bangsal-bangsal berwarna merah dan silo (bangunan menyimpan barang) berdiri dengan megah di kawasan tanah yang cukup lapang. Jarang saya dapat melihat keindahan seperti ini apabila menunggang di atas lebuhraya. Saya setkan sistem cruise control kepada 120km/j... cukup selesa.
Saya tiba di Hammondsport untuk melawat Muzium Glen Curtis. Curtis merupakan seorang pencipta dan pelopor dunia penerbangan dan motosikal yang cukup terkenal di Amerika ratusan tahun yang lalu. Pada tahun 1907, beliau telah meletakkan enjin V8 sebuah kapal terbang ke dalam kerangka motosikal yang kemudiannya mampu meluncur selaju 218km/j di atas pantai Florida. Cukup hebat! Dari situ saya meneruskan perjalanan untuk bermalam di bandar Bath. Untuk suatu pengembaraan, saya lebih suka bermalam di motel berbanding hotel kerana ia mudah dan murah.
Perjalanan kemudiannya menyusuri lebuhraya merentasi Chicago sebelum tiba di Port Clinton, Ohio. Selepas berehat seketika, saya kemudiannya bermotosikal di Cleveland di jalan tepian pantai seterusnya melintasi Sandusky Bay untuk tiba di The Peninsula. Tempat ini seringkali agak suram tetapi apabila tiba je musim panas, ia adalah destinasi pilihan yang cukup popular untuk menikmati keindahan pulau-pulau di Tasik Erie yang luas hingga memasuki negara Kanada.
Saya melihat sebuah bot sedang menghampiri pelabuhan dengan tulisan NO WAKE terpampang di hadapan. Beberapa orang penduduk tempatan menasihati saya untuk berkunjung ke restoran Jolly Roger dan rasai sendiri sandwich ikan perch yang sememangnya hasil tasik Erie yang cukup popular dan sangat sedap. Memang sedap betul ikan ini!
Restoran itu saya tinggalkan untuk ke Ohio Turnpike dengan menyeberangi Portage River dan cuba untuk tiba di Chicago yang sejauh lebih kurang 400 kilometer sebelum jam 3.00 petang. Untuk ke sana, ia memerlukan lebih daripada lima ke enam jam jika berkongsi jalanraya dengan mereka yang rajin bermesej menggunakan telefon, berbual-bual dan mungkin ada juga yang sempat memberus gigi. Pihak berwajib perlu lakukan sesuatu untuk mengurang kadar kesesakan di Lebuhraya Reagan Memorial di Illinois ini. Saya singgah di Morris untuk bermalam di Park Motel yang mengekalkan konsep tahun 50an yang diusahakan oleh seorang lelaki tua bernama Ben Ho.
Tidak jauh dari situ saya tiba di sebuah bandar kecil yang mempunyai rumah-rumah cantik dari setingkat hingga ke tiga tingkat. Seronok juga berada di sini kerana setiap bandar kecil mempunyai perasaan dan pengalamannya yang unik. Di Princeton, saya dapati beberapa orang sedang sibuk menyediakan makanan di tengah-tengah taman. Mereka mengatakan ia adalah aktiviti komuniti di kawasan itu. Selain dapat menikmati pelbagai jenis juadah yang lazat, ini juga masa yang paling sesuai untuk masyarakat tempatan saling mengenali satu sama lain. Bagus sekali!
Saya kemudiannya memilih jalan IL 78 Utara untuk meneruskan perjalanan ke Fulton dan jalan ini pernah digunakan oleh seorang pencinta motosikal terkenal, George Wyman merentasi Mississippi pada tahun 1903 dengan menunggang California Motor-Bicycle. Beliau merupakan orang pertama yang berjaya memacu kenderaan bermotor ke seluruh benua ini dan hari ini tibalah masa untuk saya pula merasainya.
BMW ini dipacu semula untuk ke Cedar Rapids, Iowa di mana Wyman pernah singgah di kedai basikal Hall untuk memperbaiki basikalnya. Percaya tak ...kedai ini masih wujud cuma keluarga Hall sahaja sudah lama meninggalkan tempat ini. Bangunannya sudah berbeza tetapi di bahagian luarnya terdapat tugu peringatan pengembaraan Wyman.
Selepas bermalam di Denison, keesokan paginya perjalanan diteruskan ke Loess Hills yang jalannya berliku-liku. Memang menyeronokkan tetapi perasaan itu sedikit terganggu apabila melihat awan hitam dari Sungai Missouri menuju ke Nebraska. Ya... saya terpaksa menunggang dalam hujan lebat sejauh 80 kilometer. Ini juga masa yang sangat sesuai untuk saya merasai keberkesanan sistem elektronik BMW ini. Saya terus menukar kepada mod Rain dan dengan pantas dapat merasakan sistem ABS dan sistem ASC (Automatic Stability Control) mengawal segala pergerakan dengan efisien sekali.
Di bandar Grand Island, Nebraska, saya meninggalkan jalan US 30, menuju ke selatan menggunakan jalan I-80 dan lebih kurang 32 kilometer kemudian barulah saya dapat menunggang di jalan US 6 – ingat! Nombor jalan-jalan ini kesemuanya menuju ke Barat dan perjalanan di sepanjang jalan-jalan ini memang cukup indah dan menakjubkan. Dari Missouri hingga ke Pergunungan Rocky, kita dapat melihat jutaan kerbau dan perkampungan puak-puak Indian.
Tibanya orang berkulit putih, pengembara dan pemburu di kawasan ini menyebabkan ianya mula dibangunkan. Antara proses awal untuk mencapai kemajuan ketika itu ialah menerusi pembukaan jalan keretapi dengan harapan proses pengangkutan hasil tanaman dan perjalanan para petani dapat dilakukan dengan lebih cepat. Sememangnya ia memerlukan ratusan tahun untuk segala proses pengangkutan ini menjadi mudah dan inilah pengorbanan yang terpaksa ditanggung demi kemajuan.
Jalan US 6 membawa saya menyusuri pelbagai jenis destinasi menarik dan mengagumkan seperti di Pergunungan Rocky dan Loveland Pass. Pemandangan di Glenwood Canyon yang sepanjang 19 kilometer memang tidak dapat digambar dengan kata-kata.
Dahulunya, tempat ini hanya dapat dimasuki dengan berjalan kaki tetapi pada tahun 1887, pihak Union Pacific telah membina jalan keretapi di tepian sungai di sini. Tahun 1906 pula, jalan satu hala telah dibuka untuk kenderaan wagon. Kemunculan kenderaan baru iaitu kereta dan motosikal membawa kepada perubahan besar kepada jalan ini agar ia lebih sesuai dan selamat digunakan.
Seronoknya apabila melihat jalan yang dipilih ini boleh membawa saya ke Utah. Saya memilih untuk keluar dari Cisco dengan menggunakan jalan di tepi Sungai Colorado menuju ke bandar Moab. Saya tidak sempat singgah bandar kecil ini kerana perlu bermalam di Blanding, lebih tepat dengan tempat yang nak dituju iaitu Moki Dugway.
Moki? Dugway? Moki merupakan gelaran kepada puak Pueblo Indians yang diberikan oleh pengembara Sepanyol manakala Dugway pula merupakan ungkapan lama untuk menggambarkan suatu jalan yang terpotong oleh tebing yang curam. Tebing Dugway yang dimaksudkan ini memang curam, ia sejauh 1200 kaki ke bawah. Tebing-tebing di bahagian selatan lebih hebat... ia lebih besar, curam dan tinggi.
Untuk tiba ke rumah, saya terlebih dahulu perlu menggunakan jalan I-15 di St. George dan menghalakan bar hendal BMW ini ke arah barat daya. Puas sungguh memerah tenaga jentera ini dan dalam jam 7.00 malam, saya sudah berada di Baker. Terdapat jangkasuhu gergasi di sini (The Bun Boy thermometer) dan suhu ketika ini sekitar 102oF. Masa untuk berhenti! Hanya terdapat satu motel sahaja yang masih beroperasi di Baker dan di situlah saya akan melelapkan mata. Harga semalam $60 yang turut dilengkapi dengan kolam renang.
Selepas mengharungi perjalanan sejauh 6,739 kilometer, boleh saya katakan pengembaraan kali ini memang menyeronokkan. Jentera BMW R1200RT terus mantap, enjin terus segar dan alat fob pun tak hilang. Tamatnya cerita. RR
Oleh: Clement Salvadori
Popular