Berbulan Madu Ke Koh Samui, Thailand
Pasangan Edward Woo & Pearly Tung dari Puchong, Selangor mengambil keputusan untuk berbulan madu dengan menaiki motosikal ke Koh Samui, Thailand bersama jentera Keeway TX200G pada 6-10 Disember lalu. Ini merupakan kali kedua mereka mengembara bersama, sebelum ini pernah ke Krabi dan paling seronok, ride kali ini agak santai sekali.
Hari Pertama : Puchong – Hatyai
Bertolak dari rumah pada pukul 6.00 pagi menuju ke pit stop pertama iaitu Bidor, Perak. Kami singgah di Restoran Pun Chun untuk bersarapan pagi. Cuaca agak baik, ini membolehkan perjalanan ke utara lancar dan menyenangkan. Di Butterworth, kami berhenti agak lama kerana mengambil kesempatan untuk berjumpa dengan Mr. Tew (ketua mekanik pusat servis Benelli Jalan Ipoh sebelum ini).
Perjalanan seterusnya ke Gurun untuk urusan insurans ke Thailand yang hanya mengambil masa 15 minit, kemudian memecut Keeway terus menuju ke Bukit Kayu Hitam. Plaza Kastam & Imigresen check point baru memang cantik dan moden tetapi masih dalam proses pembinaan lagi. Apa pun, dengan proses yang cepat, kami telah menyeberang sempadan dan tiba di Plaza Kastam & Imigresen check point Dannok, Thailand dalam masa yang cukup singkat.
Perkara pertama di pekan Dannok adalah membeli sim kad Thailand, ia amat penting agar segala komunikasi dan perhubungan terus lancar. Kami memilih Happy Tourist Sim berharga THB299. Pakej ini paling sesuai, lapan hari Internet tidak terhad (unlimited) dengan kelajuan sehingga 2.5GB. Percuma THB100 kredit panggilan.
Kami bermalam di Red Planet Hotel, Hat Yai. Hotel ini memang bagus untuk mereka yang menunggang motosikal kerana ia mempunyai ruang parkir basement terang dengan 24 jam sekuriti, wifi percuma dalam bilik, banyak saluran TV dan mesin air di lobi. Terdapat banyak kedai dan gerai makanan berhampiran dan selepas menikmati makan malam, kami bersiar-siar di kawasan Lee Gardens Plaza Shopping Mall.
Hari Kedua : Hat Yai – Donsak - Koh Samui
Selepas sarapan di kedai berhampiran, tayar bergolek semula untuk menuju ke Phattalung mengikut Jalan Route 4, AH2 dan Route 41. Pit Stop pertama adalah di Route 41 Phattalung, tempat rehat untuk para bikers ala Cowboy. Di sini memang sesuai untuk berehat sebab tandasnya bersih sekali…. penting untuk menjaga kesihatan terutamanya dalam suatu pengembaraan seperti ini. Di sini, ada banyak kemudahan dan ada juga cenderahati yang dijual pada harga yang berpatutan.
Kami menuju ke Nakhon Si Thammarat sejauh kira-kira 110km. Posisi penunggang dan pembonceng yang selesa menyebabkan kami lebih ceria. Selepas berehat seketika, perjalanan disambung menuju ke Raja Ferry Port, Donsak dengan melalui Jalan 4103, 401, 4014 & 4142, berjarak kira-kira 100km. Dalam perjalanan inilah kami diuji dengan jalan terputus kerana telah dinaiki air dan tanah runtuh.
Ketika dalam keadaan ini, datang seorang budak dan terus saya bertanya bagaimana cara untuk ke pelabuhan. Budak ini faham dengan kehendak kami dan meminta agar mengekorinya dari belakang. Dari jalan besar, masuk ke dalam ladang kelapa sawit... makin lama, makin dalam. Kami berdua sudah tidak sedap hati dan dapat membayangkan kami dirompak di kawasan terpencil itu. Tiba-tiba ternampak jalan makin besar dan dia pun berhenti. Dia memberi isyarat bahawa pelabuhan itu sudah sangat dekat dan hanya perlu terus ke hadapan. Kami ingin memberinya sedikit upah tetapi benar-benar dia menolak sambil memberi senyuman. Aduhai... lega benar hati kami tetapi malu juga dibuatnya. Memang murni dan baik sungguh adik itu.
Terdapat dua syarikat pengangkutan feri ke Koh Samui iaitu Raja Ferry dan Seatran Ferry. Kami pilih Raja Ferry untuk ke Koh Samui. Harga tiket untuk dua orang termasuk motosikal adalah sebanyak THB380. Kami sangat bertuah kerana feri bergerak dengan cepat tanpa perlu menunggu lama. Perkongsian: Isi minyak siap-siap sebelum masuk ke pelabuhan. Ini disebabkan harga minyak di Koh Samui lebih mahal – sekitar 30-40 sen/liter dari tanah besar.
Perjalanan melalui jalan laut dari Donsak Port ke Koh Samui mengambil masa kira-kira sejam setengah. Raja Ferry mempunyai tiga dek. Bawah sekali untuk semua kenderaan, dek tengah untuk penumpang dan dibahagikan kepada dua bahagian iaitu yang berhawa dingin atau tiada. Penumpang boleh duduk di kedua-dua bahagian, tidak ada masalah. Dek ketiga (atas sekali) pula amat sesuai untuk mereka yang ingin menikmati pemandangan sepanjang perjalanan – memang cantik pun! Untuk kemudahan para penumpang, terdapat mini mart menjual makanan ringan dan mi segera. Boleh lapik perut!
Kami 'disajikan' dengan pemandangan yang cukup cantik dan menyegarkan mata ketika melalui jalan-jalan kampung menuju ke hotel. Setelah hampir seharian perjalanan di darat dan di lautan, kami tiba di Hotel Ibis Bo Phut kira-kira jam 6 petang. Setelah check-in dan rehat seketika, kami terus ride ke Mae Nam Walking Street, China Town yang terletak empat kilometer dari hotel. Mae Nam Walking Street merupakan lokasi pelbagai jenis gerai yang menarik, vendor makanan ringan, restoran dan bar koktel mudah alih. Panjangnya hanya beberapa ratus meter dan dibuka pada setiap hari Khamis.
Hari Ketiga : Koh Samui
Pagi ini kami bersarapan di tepi kolam renang hotel yang menyajikan pemandangan laut yang begitu nyaman. Destinasi pada hari ini telah pun kami set. Pertama sekali ke Big Buddha (Patung buddha emas yang besar) dan Wat Plai Laem (kompleks kuil dengan patung buddha ikonik dan tasik. Lokasi ketiga, ke Lad Koh View Point, dan Chaweng Town. Pada waktu tengahari, kami merancang untuk lunch di Lamai Market. Tempat ni memang popular kerana terdapat bermacam-macam makanan tempatan yang begitu sedap dan murah. Semuanya dapat kami lakukan... Yessss! Kami kemudiannya menuju ke lokasi kelima iaitu Lamai Beach dan yang keenam, Hin Ta & Hin Yai Rocks (pembentukan batu dalam bentuk yang luar biasa) sebelum kembali ke hotel seketika.
Pada jam 4 petang, kami bertolak ke Bo Phut Fisherman's Village. Banyak gerai mudah alih di sini dan mula dibuka pada jam 5 petang yang jaraknya sejauh dua kilometer. Selepas itu, jalan ini tidak boleh lagi dilalui oleh semua jenis kenderaan – jalan kaki sahaja (Walking Street). Walking Steet Bo Phut Fisherman's Village mempunyai berbagai restoran seperti ala barat, seafood, makanan tempatan dll, pusat spa, bar, gerai jualan antik, pakaian dan macam-macam lagi. Kami telah memilih Cyan Spa untuk massage bagi menghilangkan penat dan lenguh-lenguh badan. “WOW”!! Itulah perasaan kami berdua sebaik sahaja masuk ke ruang urutan kerana bilik ini menghadap ke laut. Betapa selesa dan tenangnya di sini… hehe!!
Selesai sahaja sesi tersebut, kami terus ke restoran untuk makan malam. Tiada yang lebih sempurna dan menyelerakan selain menikmati makanan laut di tepi pantai. Macam-macam tawaran dan pakej ada. Akhirnya kami memilih pakej THB1,590 (1 ekor ikan snapper, 1 ekor 500g lobster, 2 ekor ketam, 6 ekor udang harimau, 1 ekor sotong dan 500g mussel, 2 botol air dan 2 nasi). Kepada rakan-rakan yang akan ke sini atau ada rancangan ke sini... memang kena cuba kerana seafood yang disajikan memang segar, thumbs up! Selepas makan, kami terus jalan-jalan ke Walking Street, sungguh meriah!
Hari Keempat: Koh Samui – Hat Yai
Hari ini kami membuat keputusan untuk menaiki Seatran Ferry ke Donsak Port. (Seatran Ferry Pier terletak di jalan besar tidak seperti Raja Ferry Port perlu melalui jalan kampung). Kami membeli tiket dari pejabat Seatran terletak 500m dari Seatran Ferry Pier, passport diperlukan untuk membeli tiket dan di check point masuk pelabuhan. Harga tiket THB360 untuk 2 orang dan 1 motosikal, murah THB20 berbanding Raja Ferry. Seatran Ferry lagi besar dan moden berbanding Raja Ferry. Ia mempunyi 4 dek, satu mini mart, sebuah bilik khas untuk ahli-ahli Seatran Ferry, foot massage dan TV. Perjalanan dari Koh Samui ke Donsak kurang daripada dua jam.
Setelah tiba di Seatran Donsak Port (bersebelahan Raja Ferry Port dengan perbezaan jarak lebih kurang tiga kilometer sahaja), kami terus menyambung perjalanan ke Nakhon Si Thammarat. Selepas 30 minit perjalanan, cuaca telah berubah dari cerah kepada gelap dan kemudian hujan turun dengan lebat.
Ini hujan yang pertama sepanjang ride kali ini. Memang mencabar kerana hujan lebat sekejap... lepas tu berhenti... lebat semula... berhenti... sampailah ke Nakhon Si Thammarat. Dalam keadaan basah, kami berhenti di PTT Nakhon Si Petroleum Limited Partnership untuk mengisi minyak dan perut. Untuk perkongsian, terdapat dua gerai tetap di sini (1 halal dan 1 tidak halal) dan 7 Eleven. Terdapat juga gerai-gerai makan halal yang buka selepas 3 petang di depan dan tepi 7 Eleven.
Kami menuju ke Phattalung dengan cuaca yang tidak begitu baik. Kali ini hujan sepanjang perjalanan berterusan sehingga kami tiba di Hat Yai pada pukul 7 petang dan terus check-in Hop Inn Hotel. Hotel ini mempunyai tempat letak kenderaan yang luas, bilik yang bersih dan terletak hanya dua kilometer dari Central Festival Mall, satu kilometer dari Greenway Night Market, Greenway Food Station dan Asian Trade Market.
Hari Kelima: Hat Yai - Puchong
Bila bercuti ke tempat yang seronok, hari-hari berlalu dengan cepat sekali. Hari ini adalah hari terakhir dan kami bertolak pada pukul 9.30 pagi ke Plaza Kastam & Imigresen check point, Dannok. Ramai yang sedang beratur dari kaunter sehingga ke luar bangunan tetapi dengan sistem yang baru, segala lebih cepat dan teratur. Kami terus menunggang ke kaunter motosikal untuk urusan passport dan kastam, tidak perlu beratur bersama-sama para pelawat menggunakan kereta atau bas. Tidak lama kemudian, kami telah tiba di Bukit Kayu Hitam. Proses di sini juga sangat cepat, hanya 5 minit.
Cuaca dari Bukit Kayu Hitam sehingga ke R&R Gunung Semanggol cukup baik tetapi apabila tiba di persimpangan Taiping Utara, hujan turun dengan lebat sehingga ke Rawang. Apa boleh buat... redah sajalah! Dalam keadaan cuaca yang buruk dan kesesakan di sepanjang jalan, kami selamat tiba di rumah pada pukul 9.30 malam. Syukur! RR
Popular