TM Bikers Jelajah Turkiye 2024!

Pada 6hb September 2024, 10.00pm, seramai 47 Peserta TM Bikers Turkiye Ride telah berkumpul bersama keluarga yang datang mengiringi di KLIA 1.
Sesi taklimat ringkas oleh Presiden Haji Rehan mengalukan kedatangan peserta. Setelah itu, Haji Zul selaku AJK Keagamaan memberikan gambaran serba sedikit tentang program ride ini juga tatacara check in flight. Penerbangan kali ini terbahagi kepada dua kumpulan. Kumpulan pertama pesawat Saudi Airline akan diketuai oleh CDM Apeq, manakala kumpulan kedua pesawat Emirates Airline diketuai oleh Presiden Haji Rehan.
Setelah sesi taklimat selesai, peserta diberikan Booklet Program Ride yang ditaja oleh Tuan SUK Zaimi dan sambal Cheqor serta Bendera Malaysia yang di taja oleh Puan Monnie dan Encik Badrul. Taklimat seterusnya dengan bacaan doa oleh Haji Haris. Sebelum bersurai, diadakan sesi bergambar sebagai tanda bermulanya perjalanan TM Biker Turkiye Ride 2024!!
Penerbang dari KL - Jeddah mengambil masa 7 jam 50 minit, diikuti dengan penerbangan kedua di Jeddah - Istanbul selama 3 jam 45 minit dan penerbangan yang terakhir (ketiga) dari Istanbul - Cappadocia selama 1 Jam 20 Minit. Walaupun perjalanan yang sangat memenatkan, tetapi memberikan seribu pengertian dan kenangan bakal dikenang.
Kami tiba di Airport Cappadocia, Turkiye pada jam 8.20pm dan seterusnya kami dijemput oleh agensi yang dilantik bersama 5 orang kru dan dibawa ke hotel. Jarak perjalanan dari hotel ke airpot mengambil masa selama 45 minit. Sebaik sahaja tiba di hotel, urusan Check-In berjalanan dnegan lancar dan para peseeta masuk berehat untuk aktiviti keesokannya iaitu Hot Air Ballon.
8 September 2024 (Ahad)
Seawal jam 3.30am kami dikejutkan oleh ‘wake-up’ call dari pihak hotel untuk memulakan program sebelah pagi ini iaitu ‘Hot Air Balloon Ride’. Anatra kesemua hanya dua peserta sahaja yang tidak ikut serta. Walaupun tidur cuma 2-3 jam, tapi keceriaan pada wajah peserta terpancar indah kerana perasaan teruja, jam 4.10am pihak ejen Hot Air Balloon hadir dan membawa semua peserta ke lokasi yang telah ditetapkan.
Jam 7.30am ‘journey’ kami di udara berakhir dan setiap peserta hot air balloon turut mendapat sijil penyertaan. Jam 8.00 am kami pulang ke hotel untuk bersarapan dan seterusnya perjalanan untuk ‘City Tour Cappadocia’ dengan menggunakan bas diteruskan bermula jam 9.30 am.
Tempat lawatan pertama kami adalah di Urgup Loye yang mana terdapat batu-batu yang berbentuk seperti unta, love, lembing dan pelbagai lagi dari akibat kejadian alam. Setelah itu kami singgah di Aldag Elite Cave Ceramik yang mana ia adalah kilang membuat tembikar, kami juga diberi taklimat untuk menghasilkan pasu dari tanah liat. Lawatan diteruskan lagi ke Kop Ile dimana kami di bawa menyusuri lembah ladang anggur untuk melihat batu batuan yang terbentuk secara semulajadi berkurun tahun lalu.
Tempat yang keempat adalah Ozler Art Center, di sini kami boleh membeli batu permata yang mana ianya hanya terdapat di Cappadocia sahaja, ianya telah di ikhtiraf sebagai batu perhiasan terbaik di dunia. Setelah itu, kami singgah di Yemeni Restaurant untuk menikmati makan tengahari (termasuk dalam pakej lawatan Cappadocia). Setelah selesai menikmati juadah, kami ke Kaymakli Underground City yang terletak di sebuah kampung dan disini kami sempat merasakan hidupan normal dan keadaan penduduk tempatan seperti solat berjemaah dengan mereka. Selesai di sini kami kembali ke bandar Cappadocia untuk bersiar-siar dan makan malam.
9 September 2024 (Isnin)
Pagi ini kami semua berkumpul di lobi hotel untuk bergerak dengan bas menuju ke bandar Antalya yang berada sejauh 500km. Dalam perjalanan ini kami berhenti di beberapa tempat menarik iaitu Caravansaray Aksaray (yang bermaksud hentian RnR) yang telah berada disitu sejak 1229 yang dibina oleh Sultan Alaedin Keybudad untuk laluan penting Silk Route. Kami juga melawat Mevlana Museum dan makam Maulana Syeikh Jelaluddin Ar-Rumi yang terkenal dengan kebijaksaan ilmu sainsnya.
Lebih kurang pukul 6.00pm kami tiba di Expo Park Hotel di bandar Antalya. Bandar ini memiliki kombinasi yang menarik antara keindahan alam, sejarah yang kaya dan pantai-pantainya yang menarik. Sayangnya kami tidak berkesempatan untuk singgah ke lokasi-lokasi tersebut kerana tujuaan utama adalah untuk mendapatkan motor sewa. Selepas selesai check in, kami semua keluar untuk makan malam dan seterusnya ke kedai sewa motor iaitu Zero To Hundred Motorcycle Rental. Syarikat ini ditubuhkan pada 2001 dengan meawarkan pelbagai jenis motosikal dari skuter hingga jentera besar. Kali ini kami memilih Yamaha xMax 250cc sebanyak 17 buah dan selebihnya dari syarikat sewa motor yang berlainan iaitu Turuncu Bike Rental. Jumlah keseluruhan motor yang kami sewa adalah 29 buah!
Ismael Bey, pemilik Zero To Hundred akan menjadi ketua marshall sepanjang jelajah Turkiye 2024 kami ini. Setelah memastikan semua keperluan seperti top box, phone holder dan keadaan motor itu sendiri telah selesai dan kami telah berpuashati, kami semua bergerak dengan motor masing-masing pulang ke hotel.
Hari Pertama Ride – 10 September 2024.
Para peserta mula turun ke lobi seawal 6.30am untuk membuat pesediaan. Jam 7.30am seramai 12 orang penunggang telah dibawa ke kedai motor sewa Turuncu untuk mengambil motor masing-masing yang terletak tidak jauh dari hotel. Selesai membuat semakan terhadap motor masing-masing peserta pulang semula ke hotel untuk berkumpul semula dan membuat taklimat ringkas mengenai program ini dari segi keselamatan oleh sdr. Ismael.
Jam 9.45am kami mulakan perjalanan dengan berhati-hati kerana ini kali pertama menunggang disebelah kanan jalan, berbeza jalan di Malaysia. Wajah-wajah para peserta sangat gembira apabila dapat beraksi denga jentera masing-masing.
Selepas setengah jam, kami tiba di lokasi sarapan iaitu Doga Park Simit Evi. Makanan di sini sangat menarik dan menyelerakan.
Setelah sejam, kami meneruskan perjalanan ke Antalya Limani (port) di daerah Konyaalti yang merupakan sebuah pelabuhan yang menempatkan ratusan kapal-kapal persendirian dan syarikat. Di sini kami berkumpul untuk bergambar kenangan dan kemudian bergerak terus ke Olympus Antik Kent Kazisi (check point) di Ulupinar, Kemer, Antalya untuk berehat selama 45 minit. Setelah ini perjalanan diteruskan lagi dengan permandangan lautan Mediterranean yang sangat indah dan kebiruan serta disaji juga bersama pemandangan gunung ganang yang indah di kiri kanan jalan.
Setelah menunggang hampir 1 jam kami tiba di bandar Finike sebuah perbandaran dan daerah di Wilayah Antalya, Ia terletak di pantai Mediterranean Wilayah Antalya di Turki di sebelah barat bandar Antalya sepanjang Riviera Turki. Ia terletak di pantai selatan semenanjung Teke, dan pantai di sini adalah destinasi pelancongan yang popular dan terkenal dengan buah orennya. Di bandar ini kami mencari makanan dan bersiar-siar serta solat zohor di masjid Merkez Camii yang kecil tatapi indah.
Antara pengalaman manis apabila seorang anggota polis traffic Finike datang kepada kami dan memberikan bantuan escort untuk keluar dari bandar ini. Rasa seperti VIP!
Pada awalnya kami gementar juga ingat nak saman rupanya mereka ingin menyantuni kami sebagai rakyat Malaysia yang memang sangat dikenali dan disayangi oleh rakyat Turkiye kerana sikap lemah lembut dan toleransi terhadap sesiapa pun terutama isu Palestin dan isu-isu agama Islam serantau.
Jika perjalanan dari Antalya ke Finike ada berpemandangan hutan hijau dan lautan, manakala laluan Finike ke Kas yang hampir dipenuhi lautan Meditettanean.
Setelah hampir sejam menunggang, kami tiba di KAS viewpoint untuk bergambar. Di sini kami melihat pemandangan yang sangat indah bandar Kas dari atas bukit. Kami juga di maklumkan oleh ejen sebahagian pulau yg berdekatan itu bukan milik Turkiye tetapi milik Greece. Selepas itu kami sambung perjalanan untuk mengisi bahan api di bandar Kalkan. Tidak lama kemudian, salah satu motosikal peserta telah kehabisan minyak, tidak jauh dari stesen minyak. Marshall telah membantu kami dengan membawa bekalan minyak kepada peserta dan perjalanan diteruskan ke hotel untuk bermalam.
Kami tiba di Enso-Inn Hotel yang terletak di Fitheye, Kayakoy pada jam 5.00pm. Kayakoy merupaka sebuah perkampungan bersejarah yang memiliki banyak peninggalan lampau dibina pada abad ke-14 oleh komuniti Romawi Greek Yunani Ortodok. Penduduknya hampir semua ialah Yunani Ortodok dan apabila mereka berpindah ke Greek , perkampungan ini ditinggalkan menjadi ghost town.
Makan malam tidak disediakan hari ini. Ada yang membuat keputusan berehat di hotel dan ada yang mengambil kesempatan untuk keluar mencari makanan sambil menunggang motosikal untuk menikmati suasana malam di sekitar bandar Fitheye ini.
Hari pertama menunggang motorsikal disebelah kanan memberi seribu pengalaman baru kepada peserta. Keselamatan sangat penting juga cara pemanduan yang amat berbeza…
Hari Kedua Ride -11 September 2024.
Selepas selesai sarapan di hotel kami semua berkumpul kembali di perkarangan luar hotel untuk pengembaraan yang bakal ditempuh hari ini. Perjalanan dijadualkan sejauh 330km dan menempuh bandar Mugla, Aydin dan destinasi terakhir untuk hari ini di bandar Selcuk. Sebaik sahaja keluar dari Kayakoy, pemandangan terus berubah. Perjalanan sejauh sekitar 15 km membawa kami melewati pemandangan pergunungan yang indah dengan memiliki selekoh tajam berliku. Tempat pertama yang kami singgah adalah pantai Oludeniz antara kawasan terkenal dengan sukan paragliding disamping pantainya yang luas, indah dan dihiasi kapal-kapal seperti dalam filem Pirates of the Carrebean.
Perhetian kedua kami singgah di Butterfly Valley atau Kelebekler Vadisi yang jauh tinggi di puncak di tepi curam pantai, tempat yang cantik, jelas dengan jurang dan laut yang indah.
Perjalanan diteruskan lagi dan kali ini cuaca semakin gelap dan pertama kali kami akan menempuh hujan lebat!. Pada mulanya kami berniat untuk teruskan sahaja kerana untuk menurut jadual namun oleh kerana terlalu lebat kami pun berhenti di stesyen minyak di Kicilagac , riuh rendah stesen minyak ini dipenuhi oleh kami dan local yang berteduh dari hujan lebat ini…dan menunggu agar hujan berhenti. Setelah agak reda, perjalanan di teruskan kembali. Indah pula suasana dengan pergunungan kiri kanan setelah hujan turun. Memang luas mata memandang negara Turkiye ini. Convoy kami terus menuju laju dicelah celah bukit dan gunung menuju next destinasi iaitu perhentian Opet, Bahceyaka Mugla untuk makan tengahari dan solat.
Di sini masakan ala ala nasi dan lauk ada didapati dan jarak yang kami tempuhi ada lagi lebih kurang 100km untuk ke Nobel Boutique Hotel di Selcuk. Sebelum sampai di sini, banyak kawasan luas, ladang, gunung ganang dan satu destinasi pelancung iaitu Ephesus Ancient City yang terdapat bekas bekas bandar purba Greek yang telah wujud beratus tahun lalu. Disini memang ramai pelancong dari serata Turkiye dan luar negara serta memerlukan pembelian tiket untuk memasuki kawasannya. Ada beberapa rakan yang masuk dan selebihnya berehat diluar.
Lebih kurang pukul 4.30pm waktu tempatan kami semua bergerak ke bandar Selcuk untuk check in hotel dan berehat. Pada waktu petang dan malam kami semua bertenaga semula dan keluar untuk makan malam dan bersiar-siar di bandar dan juga melawat beberapa kawasan menarik dibandar ini termasuk Sirine village sebuah pekan nelayan kecil.
Hari Ketiga Ride -12 September
Seawal 7.30 am setelah check out hotel dan sarapan kami bergerak meninggalkan bandar Selcuk dan seawal dari ini sebahagian dari kami telah lama bersedia setelah menunaikan solat subuh di Masjid Tahsin Aga. Setelah selesai semua, kebiasaanya stop kami yang pertama adalah mengisi minyak dahulu tapi kali ini agak berebeza kerana disini kami meraikan hari lahir salah satu ahli convoy kami iaitu Abang Rahim yang merupakan ahli tertua dalam pasukan kami iaitu berumur 70 tahun pada hari tersebut. Hebat! Masih steady untuk ride dimana sahaja dan apakah rahsianya? Kita biarkan sebagai misteri lah. Untuk ride hari ini kita akan menempuh jarak sejauh 300km menuju ke bandar Edremit melalui bandar Izmer, Aliaga, Bergama dan Ayvalik yang kebanyakkannya merupakan bandar di tepi pantai barat Turkiye. Kali ini perjalanan banyak jalan kampung dan highway.
Perhentian kami yang pertama hari ini adalah di bandar Izmir melalui Izmir-Aydin Otoyolu atau Izmir Aydin Highway sejauh 82km. Izmir adalah kota cosmopolitan ketiga padat penduduknya di turkiye. Tempat yang kami singgah adalah Izmir Clock Tower yang dibina pada 1901 terletak di Konak Square, kawasan yang sibuk dan pusat bandar Izmir.
Kami terus lagi menyusuri bandar kotaraya Izmir yang besar itu dengan bangunan moden dan juga bangunan purba dan jalan memang sibuk padat. Kemudian kami terus memasuki Kuzey Ege Otoyolu Highway yang merupakan highway yang sangat baik dan kiri kanan bukit bukit indah disulami dengan kawasan perindustrian dan ladang-ladang.
Perjalanan diteruskan lagi ke bandar Bergama sejauh 110km dan bandar ini merupakan bandar kuno lama yang dikenali sebagai Pergamon yang kaya dengan sejarah dan keajaiban arkeologi yang didirikan sekitar abad ke 3 sebelum masihi oleh Dinasti Attalid. Kota ini menjadi ibu kota Kerajaan Pergamon dan berkembang pesat selama waktu Alexander The Great.
Di sini kami habiskan waktu dengan pantas untuk lunch dan solat dan meninggalkan bandar ini menuju ke Ayvalik dan kemudian melalui bandar Aliaga sebuah bandar pelabuhan untuk minyak dan cargo cargo besar. Destinasi terakhir kami sebelum tiba di bandar Edremik adalah di Ayvalik yang mempunyai menara jam yang besar dan indah serta interior yang menarik. Sebenarnya bandar ini adalah ala ala Europe dalam cerita James Bond sangat unik dan menarik. Di sini juga penulis dan seorang ahli telah ketinggalan dari kelompok convoy kerana tersalah melihat waktu dan apabila sampai di tempat kami semua park motor, hanya motor kami berdua yang tinggal yang lain semua sudah lesap tiada! Hahaha.
Namun begitu kebiasaannya apabila ini terjadi tidak perlu risau kerana sudah ada technology Waze dan Whatsapp group dimana kami berdua hanya perlu ikut map dan mengejar kembali konvoi di hadapan. Setelah beberapa puluhan minit, kami kembali bersama-sama mereka dan terus sama sama check in hotel Maslina di bandar Edremit. Bandar ini juga dikenali sebagai The City of Olive Oil kerana banyak tanaman buah Zaitun untuk perbagai kegunaan. Oleh kerana waktu masih siang dan awal, peluang ini kami ambil untuk masing-masing bersiar-siar di bandar tepi pantai ini sehingga waktu malam. Memang meriah seolah-olah seperti di Penang banyak kedai kedai makan di tepi pantai. Kami juga berpeluang untuk solat magrib dan isyak berjemaah di bandar ini.
Hari Keempat Ride -13 September
Selepas selesai berjemaah Subuh di bandar Edremit, kami menuju ke Canakkale yang sejauh hanya 120km yang merupakan jarak terdekat untuk ride kami di bumi Turkiye ini. Hari ini adalah istimewa sedikit kerana semua peserta berbaju Melayu dan Baju Kurung/Kebaya sempena Hari Malaysia. Bergaya semua memang rare ride motor dengan busana begini. Singgahan pertama kami adalah Yuselogullari Peynir, Ezine – pusat pengeluaran keju yang terkenal di Turkiye. Kemudian kami terus bergerak ke Ancient City of Troy terletak 26km dari sini yang terkenal dengan The Trojan War seperti yang digambarkan oleh filem lakonan Brad Pitt yang menunjukan Kuda Trojan yang dibina sebagai tektik peperangan pada waktu itu yang menyebabkan kejatuhan empayar Troy.
Setelah itu kami menuju ke bandar Canakkale yang sejauh 32km lagi. Sebuah bandar dan pelabuhan seperti Istanbul meliputi kawasan di kedua-dua Eropah dan Asia. Jika menaiki feri, akan menghubungkan Eropah dan Asia. Di sini juga terdapat seekor lagi Trojan Horse yang lebih cantik. Kami tiba elok sahaja untuk solat Jumaat di Yali Cami, sebuah masjid lama di Tengah kota Cannakkale. Selepas solat dan makan tengahari dan bersiar-siar, kami terus check in di Park Suite Hotel yang berada 7km dari pusat bandar.
Selesai check in adalah waktu free and easy untuk semua bersiar-siar di bandar ini sehingga malam. Pada pendapat kami bandar ini adalah salah satu yang perlu di lawati jika hadir ke negara Turkiye ini. Banyak lagi tempat menarik di bandar ini yang pasti kena hadir sendiri baru tau. Selamat malam dari The City of Troy.
Hari Kelima Ride -14 September
Seperti hari-hari berikutnya selepas selesai solat subuh, sarapan dan persiapan motor masing-masing kami terus menderu sambung ride. Perjalanan kami hari ini adalah sejauh 375km menuju ke bandar yang lebih besar iaitu Bursa. Hari ni juga kami sangat teruja kerana bakal menaiki feri merentas Selat Dardanelles. Laluan feri inilah satu-satunya pengangkutan rasmi yang menghubungkan bandar Canakkale di bahagian Asia dengan Gelibolu (Gallipoli) di bahagian Eropah.
Destinasi pertama kami selepas turun dari feri selama 30 minit adalah Canakkale Sehit Abides iaitu monumen perang yang memperingati lebih kurang 253,000 tentera Turkiye yang menyertai pertempuran Gallipoli (April-Dis 1915) semasa Perang Dunia Pertama.
Perjalanan di sini sangat cantik kerana diliputi hutan hutan dan belukar, penuh dengan keindahan alam semulajadi. Destinasi kedua kami adalah Jambatan Canakkale yang perlu melalui tol. Satu persatu motosikal perlu melaluinya. Prosesnya pula adalah manual.
Jambatan gantung ini merintasi selat Dardanelles sepanjang 2km, merupakan jambatan gantung terpanjang didunia dan dibuka rasmi pada Mac 2022 setelah 5 tahun pembinaan. Pemandangan dari atas jambatan ini sangat cantik Selat Dardanelles yang menghubungkan Laut Marmara dengan Laut Aegan.
Secara jujurnya, perjalanan pada hari kelima ini boleh dikatakan yang tercantik dalam pengembaraan ini kerana dibentang luas seluas luas mata memandang di hiasi dengan ladang-ladang, bukit bukau dan segalanya termasuk windmill tenaga angin. Kami kemudian berhenti di Kofteci Yusuf, Bandirma untuk makan dan solat. Perjalanan seterusnya adalah lebih kurang 120km.
Sebaik sahaja waktu menunjukkan 5.30pm kami tiba di hotel Bursa Palas, Bursa. Suasana membawa motor memasuki Bursa sangat berbeza dan sangat sibuk kerana Bursa merupakan ibu kota pertama empayar Uthmaniyah (1335-1413), bandar ke4 paling tinggi populasi penduduk dan salah sebuah pusat metropolitan dan industri di Turkiye. Di sini juga asal usul bagi beberapa makanan Turkiye yang terkenal seperti kebab Iskender yang dimaniskan menggunakan halwa marron dan manisan Turkiye. Di sini keadaan lalu lintas memang mencabar juga masing-masing perlu lebih berhati-hati kerana tidak mahu berpecah dan sesat.
Selepas selesai mandi dan solat, para peserta keluar menikmati suasana bandar Bursa yang kebanyakkannya menuju ke Masjid Utama Bursa dan di situ juga Bursa Grand Bazaar. Di sini makanannya harga agak murah terutama kedai-kedai tepi jalan. Kebetulan pula waktu ini adalah Maulidul Rasul maka memang meriah suasana di masjid dan kami berehat-rehat bersama-sama rakyat tempatan yang ramai ini. Sehingga lewat malam kami pulang ke hotel untuk beradu. Selamat Malam.
Hari ke Enam Ride 15 September 2024.
Hari ini perjalanan adalah sejauh 180km dari bandar Bursa menuju ke Istanbul dan merupakan kali kedua untuk menaiki feri iaitu di Yalova IDO. Sebelum sampai di Pelabuhan feri tersebut perjalanan kami melalui highway selama 3 jam yang merupakan pengalaman yang bermakna kerana dapat merasakan keluasan negara Turkiye ini sambil mendengar lagu dalam helmet masing-masing memang melayang-layang perasaan. Highway ini juga bertol maka agak lama kami berada di tol ini kerana semuanya adalah secara manual satu per satu. Perjalanan feri ini mengambil masa selama 45 minit dan kami menikmati keindahan laut. Turun sahaja dari feri iaitu di Pendik IDO Eskihisar kami terus menuju ke kota Istanbul tapi singgah dahulu di Camlica Hill yang merupakan kawasan bukit yang terkenal hadirnya pengunjung untuk melihat kota Istanbul bahagian Asia.
Dari puncak bukit ini jelas kelihatan kotaraya Istanbul dari jauh dan di sini juga terletak bendera Turkiye yang sangat besar dan menjadi mercu tanda yang dibanggakan. Terdapat juga Camlica Mosque yang sangat besar dan boleh memuatkan 63,000 jemaah.
Sedang kami berehat-rehat disini dan menikmati makananan dan minuman, tiba-tiba hujan hadir dengan sangat lebat beserta dengan angin yang kuat maka semua bertempiaran mencari tempat teduh termasuk pelancong-pelancong yang lain turut mencari kawasan teduh dari hujan,
Walaupun setelah hampir 30 minit, hujan masih belum reda kami terus bergerak meninggalkan Camlica ini kerana kami ada tempat yang lebih penting untuk dituju. Destinasi kami seterusnya di kota Istanbul ini adalah Madrasah An Nakhba Assuriyah yang menempatkan anak-anak Syria di Istanbul. NGO Pertubuhan Jejak Bantu Malaysia menghulurkan sedikit bantuan kepada institusi ini dengan harapan sumbangan yang tak seberapa ini dapat memberi impak kepada anak-anak Syria yang kurang bernasib baik ini.
Perjalanan dari Camlica ke madrasah ini melalui Jambatan Bosphorus (Jambatan Pertama) yang sangat besar dan tinggi dan merupakan yang tertua dibina pada tahun 1973 yang menghubung sebelah Asia dan Eropah.
Setelah urusan bantuan selesai di Madrasah An Nakhba, kami terus menuju ke destinasi terkakhir kami di Tokkapi, Istanbul. Sedih, gembira, bersyukur, terkilan, sayu, lega dan berbagai-bagai perasaan mengusik jiwa kami dikala ini. Dengan menyerahkan motor-motor kami di Topkapi Inter Istanbul Hotel ini maka berakhirlah sudah kembara Turkiye kami setelah 10 hari di sini. Alhamdulliah, it was awesome!!.
Kami membuat persediaan terakhir sebelum berpisah dengan kuda besi kami. Bersihkan topbox, tanggalkan pemegang gopro & kamera 360, bersihkan apa yang perlu dan pulangkan helmet bagi mereka yang sewa. Dan akhirnya sign dokumen dan pulangkan kunci.
Ismael Bay, marshal kami dan juga pemilik Zero to Hundred Motorcycle Rental sibuk menguruskan kenderaan untuk menghantar pulang motor-motornya ke Antalya. Manakala yang di sewa melalui Turuncu akan dipulangkan ke kedai mereka di Istanbul pula.
Itu sahaja dari kami semua ditanah bumi Turkiye ini. Kami harap perjalanan ini menjadikan kami manusia yang lebih baik, lebih bersyukur dan lebih bermanafaat kepada alam ini dan kita semua hanya peminjam dunia ini yang akan diserahkan kepada generasi akan datang…Insyallah berjumpa lagi di lain kembara. Terima kasih kepada semua pembaca…
Zack Ahmad.
(sumber bersama FB En. Zulkarnain MG serta En Apeq dan En. Zaimi)