Isu Terkini

Jun 2024

Kembara / 9 Jun 2024

Kembara Sampai ke Boten

Nama saya ialah Mohd Shahamirul Adam bin Shaari tapi lebih dikenali dengan panggilan Matt. Saya berumur 30 tahun, dari Kuantan Pahang dan bekerja sebagai seorang jurukimpal.

Dalam kisah kembara ini, saya menunggang sebuah Honda C70, kepunyaan datuk saya. Beliau gunakan untuk pergi menoreh getah dan ia juga merupakan motosikal kegunaan kami sekeluarga. Motor itu tersadai lama dan saya mengambil dan memperbaiki untuk kegunaan pergi/balik kerja. Motor ini juga saya gunakan untuk pergi 'ride'.

Kenangan yang agak pahit buat saya ialah terlibat dengan kemalangan ketika dalam perjalanan balik dari Lumut ke Kuantan menaiki Honda EX5 selepas tamat latihan perindustrian pada tahun 2014. Kemalangan itu berlaku kerana 'micro sleep' dan telah menyebabkan tangan kiri saya lumpuh. Namun begitu, ia tidak pernah menjadi batu penghalang buat saya dalam kerjaya dan cinta dengan dunia dua roda.

Perancangan asal untuk pengembaraan ini sebenarnya untuk ke Burappa Bike Week sahaja. “Agak rugi pula kalau hanya nak layan Bike Week je,” kata kawan. Baik 'ride' naik ke atas lagi, sampai Boten. Boleh tengok pemandangan cantik! Jawabnya, saya termakan racun kawan-kawan.

Kami berkumpul di Kedah. Saya dari Seremban sebab bekerja di sini. Amer Bie dari Terengganu manakala Kecik, Alippp, Farish memang menetap di Kedah.

Secara ringkasnya, inilah jadual perjalanan kami.

Hari Pertama (30 Januari 2024)
Dannok - Route 41 (jarak: 155 km, masa perjalanan: 2 jam)
Rehat Makan - (1 1/2 jam)
Route 41 - PTT (Jing Jo) (304 km, 5 jam)
Rehat dan ambil gambar - (1/2 jam)
Ptt (jingjo) - Khun Sarai Restaurant (79 km, 1 jam)
Rehat Makan - (1 1/2 jam)
Khun Sarai Restaurant - Wat Huai Luek (126 km, 2 jam)
Wat Huai Luek – Hotel Mont Taley Pracuap (48km, 1 jam)

Jarak perjalanan hari pertama: 712 kilometer

Anggaran masa perjalanan: 14 1/2 jam

Hari Kedua
Hotel Mont Taley Pracuap – Rajabakti (Hua Hin) (88 km, 1 1/2 jam)
Rajabakti - Maelong Railway (130km, 2 1/2 jam)
Maelong railway – Muzium LHM (84 km, 1 1/2 jam)
Muzium LHM - Kanchanaburi (144km, 3 jam)

Jarak perjalanan hari kedua: 476 kilometer

Anggaran masa perjalanan: 8 1/2 jam

Hari Ketiga
Kanchanaburi - Tak - Mae Sot (455 km, anggaran masa perjalanan 9 hingga 10.00 jam)

Hari Keempat
Mae Sot - Curve 33 (27 km, 1 jam)
Curve 33 - Umphang (156 km, 4 jam)
Umphang - Mae Sot (164 km, 4 jam)

Macam-macam kisah dalam pengambaraan kami berlima. Cuaca waktu siang di sana betul-betul panas tetapi apabila malam, suhu turun menjadi cukup sejuk.

Pada hari keempat, ketika dari Mae Sot ke Curve 33, segalanya menguji mental dan fizikal kami semua. Laluan bukan sahaja penuh dengan selekoh yang sempit tetapi juga licin. Nasib baik ada pengalaman, perjalanan selamat walaupun agak kepenatan.

Jarak perjalanan hari keempat: 347 kilometer

Anggaran masa perjalanan: 9 jam

Hari Kelima
Mae Sot -Mae Hong Soon (319km, 7 jam)
Mae Hong Son - Pai (152 km, 5 jam)

Kami mulakan perjalanan menuju ke 1000 Corner, meneruskan perjalanan ke Mae Hong Son dengan menyusuri Sungai Moei yang terletak di sempadan Myanmar. Ketika itu, seorang peserta dah mula demam disebabkan perubahan cuaca yang drastik.

Di Mae Hong Son, kami singgah je sebelum bermalam di Pai. Bagi saya tempat ini memang kena datang sebab memang syok tengok budaya mereka, makanan pun banyak yang halal dan semuanya baik-baik belaka. Malam di Pai tu suhu turun cecah 11 darjah. Bercakap pun berasap. Ada satu tempat yang saya nak cadangkan iaitu Ba Rak Thai. Dia punya 'view' memang cantik.

Jarak perjalanan hari kelima: 471 km, 12 jam

Hari Keenam
Pai - The Northern Most of Thailand (331km)
TNMOT - Golden Triangle (29 Km)
Golden Triangle – Sempadan Chiang Kong (72 km)

Pada hari keenam, perjalanan lebih lancar. Kami meneruskan kembara lima sahabat ke The Northern Most Of Thailand, kemudian ke Golden Triangle dan bermalam di Chiang Kong.

Jarak perjalanan hari keenam: 432 kilometer

Hari Ketujuh
Chiang Kong - Boten (225 km)
Boten - Luang Namtha (56km)

Hari ketujuh adalah penentunya untuk melangkah masuk Laos menuju ke Boten. Keadaan jalan memang hancur. Jarak ke Boten dalam 160 km saja tapi dengan keadaan jalan yang cukup teruk, mental kami semua diuji. Kawan-kawan ramai muntah dan hilang selera makan.

Namun begitu, kami dapat kenangan yang indah. Ada beberapa tempat (di Laos) yang kami lalui khususnya dalam kawasan kampung. Pelajar sekolah yang berjalan kaki melambai-lambai seperti mengalu-alukan kehadiran kami. Sebak dibuatnya sebab tengok anak-anak ini berjalan hampir 5 km untuk ke sekolah – jalannya pula berdebu. Anak kita di Malaysia patut bersyukur kerana ada banyak kemudahan walaupun kos sara hidup yang tinggi.

Kami berjumpa dengan kenalan (suami isteri) yang terjatuh akibat jalan licin. Mujurlah, tak ada apa-apa yang serius. Selepas berjaya ke Boten, kami cukup berpuas hati dan terus berpatah balik dan bermalam di Luang Namtha.

Perasaan sampai di setiap satu destinasi tu memang sukar nak digambarkan. Seronok bercampur penat. Maklumlah hari-hari 'hidup' macam ini. Lepas subuh tu dah keluar dari hotel dan start perjalanan, bila dah malam…dah gelap baru jumpa hotel. Tapi semua ini memang satu pengalaman yang tak boleh nak dilupakan. Susah senang, suka duka dengan sahabat-sahabat.

Jarak perjalanan hari ketujuh: 281 kilometer

Hari Kelapan
Luang Namtha - Chiang Mai (456 km)

Pada hari kelapan, kami lebih bersemangat untuk menyambung perjalanan ke Chiang Mai. Kali ini jalan memang cantik dan lurus tapi motor Bie pulak ada masalah, 'head' bocor.

Kami terpaksa menunda motor Bie hampir 20km. Nasib baik ada seorang pakcik pelawa diri nak tolong. Motosikal kami naikkan ke atas pick-up dan hantar ke Chiang Mai, sejauh 80 km.

Paling mengejutkan, pakcik itu tak mahu terima bayaran pun. Ikhlas nak bantu kami. Malam tu juga kami baiki motor, cari bengkel terdekat. Sekali lagi saya dan kawan-kawan cukup terharu dengan layanan orang-orang Thai ini, macam famili dibuatnya. Siap jamu air dan makan lagi. Mereka tahu kami datang dari jauh.

Hari Kesembilan
Chiang Mai - Route 12 - Nakho Sawan (500 km)

Tak banyak yang berlaku pada hari kesembilan. Kami meneruskan perjalanan dari Chiang Mai ke Nakho Sawan.

Hari ke-10 hingga Kedua Belas
Nakho Sawan - Lopburi - Bangkok – Bandar Patayya (378 km)

Hari ini agak mencabar sikit sebab kami melalui bandaraya Bangkok. Peh... jalannya betul-betul sesak. Kami membuat keputusan untuk naik feri melintas sungai – sebab tak nak sangkut jem. Akhirnya kami sampai di destinasi sebenar yang ingin dituju iaitu Pattaya.

Kami rehat di sini selama tiga hari dan sempat berkunjung ke Burappa Bike Week. Di sini juga saya dapat berjumpa dan berkenalan dengan youtuber, Abang Eirwan Ahmad. Ya... memang ramai orang Malaysia kat sini dan semua jenis motosikal ada. Memang seronok.

Hari Ketiga Belas
Patayya - Bangkok - Hatyai (1092km)

Hari Keempat Belas
Hatyai – Bukit Kayu Hitam – Seremban (Syukur, segalanya selamat)

Hari Kelima Belas: Kami bergerak balik ke Malaysia!

Kami bersyukur kerana 'pasukan' kecil ini semuanya mantap dan berjiwa besar. Kecik sentiasa berdoa sebelum memulakan perjalanan. Alippp seorang pembaca Maps yang cekap, maklum la Alippp bekerja sebagai pemandu pelancong.

Moral of the story “Merantau lah ke negara orang supaya kita bersyukur dilahirkan di Malaysia.”

Nasihat saya untuk kawan-kawan yang ingin mengembara, sentiasa pastikan mental dan fizikal 'fit' untuk memulakan perjalanan. Buat ulang kaji sikit tentang laluan yang bakal nak lalui sebab banyak halangan yang tak terduga.

Bagi yang beragama Islam, jangan tinggal solat walau nak cepat macam mana sekali pun kita nak sampai ke destinasi yang dituju itu. Kita berjalan di bumi Allah, bersujudlah pada yang Esa dan basah kan lah bibir kita dengan berzikir & Istighfar. Tidak lupa juga, restu Ibu Ayah dalam setiap perjalanan kita.

Boss saya (Dato Adnan) dan rakan sekerja cakap saya 'gila' menunggang ke sana. Dato Adnan pernah 'ride' dengan motor Harley Davidson dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang pun nak tercabut pinggang katanya. Inikan pula Honda C70 sampai ke Boten sempadan China. Terima kasih untuk Mak Ayah saya sentiasa mendoakan perjalanan saya….

Terima Kasih tak terhingga buat sahabat saya Alippp, Kecik, Farish, Amer Bie yang tidak pernah 'hilang' sewaktu susah, senang, pahit manis dalam perjalanan. Untuk syarikat saya bertugas (ABA GAS Technology), terima kasih meluluskan cuti selama dua minggu.

“Jangan Jadikan Kekurangan Diri Sebagai Alasan Untuk Kecapi Impian Kita.” RR

#OKULiar
#NeverSurender
Penulis (kiri) bersama Eirwan Ahmad.

Isu Pada

Jun 2024

Popular

  • Dari Litar

    Azlan Shah Umum Persaraan Daripada Sukan Permotoran Dua Roda

  • Warta Roda

    Bukan N-Max.. Bukan NVX tapi A-Max & NVH!

  • Warta Roda

    Penunggang Motosikal Terlibat Dalam Kemalangan Maut!

  • Personaliti

    Cikgu Offroad, Mohd Halim "Yang Kental Pasti Sampai Pos Balar"

  • Dari Litar

    ASS600: Kemenangan Pertama Buat Helmi Musim Ini

Artikel berkaitan

Ride Sri Lanka - Berbelit Jalan Serta Lidah Nak Menyebutnya...

Kuching, Sarawak, Malaysia - Pontianak, Indonesia: 1000km Loop (Bahagian Akhir)

Kuching Sarawak Malaysia - Pontianak Indonesia: 1000km Loop (Bahagian 1)

Sabah 360 Ride 1,800KM Loop (Bahagian II)

Ride Berdua ke Siam

Sabah 360 Ride 1,800km Loop (Bahagian 1)

Ride Ihya Ramadhan TM Bikers Ke Gua Musang, Kelantan

Kembara Epik ke Lebuhraya Karakoram

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Bukan N-Max.. Bukan NVX tapi A-Max & NVH!

Perkenalkan 2 model skuter keluaran ZNEN iaitu A-MAX dan NVH. A-MAX merupakan sebuah skuter elektrik yang dilengkapkan dengan enjin berkuasa 48V 750W dengan kelajuan maksumum 32km/j

Model Baru

Ducati Hypermotard 698 Mono & Mono RVE Dilancarkan Ke Pasaran Negara

Ducati Malaysia memeriahkan lagi pasaran motosikal negara dengan melancarkan model terkini iaitu Hypermotard 698 Mono dan 698 Mono RVE.

Dari Litar

Hakim Danish Raih Podium Di Misano, Menamatkan Saingan Musim Ini di Tempat Ke-6 Keseluruhan

Kejuaraan Red Bull MotoGP Rookies Cup melabuhkan tirainya pada 8 Ogos 2024 di Litar Misano dengan kedudukan podium buat Hakim Danish.

Warta Roda

Motosikal Berkuasa Tinggi Rempuh Kereta Buat Pusingan 'U', Pemandu & Penunggang Maut

Kereta jenis Produa Viva yang membuat pusingan 'U' secara tiba-tiba di rempuh dengan sebuah motosikal berkuasa tinggi.