Kembara Erat Persaudaraan
Saya memulakan perjalanan dengan anak saya sehari lebih awal dengan menaiki motosikal. Kami bertemu seorang sahabat baru di sempadan Malaysia-Thailand sekitar jam 2.00 petang. Kami berhubung menerusi media sosial yang dibuka kepada peserta ATM Southern De Satun Gathering berlangsung pada 2-3hb Disember 2017 di Thailand. Ini merupakan perjalanan jauh sulung buat anak saya dan tiada nampak tanda-tanda keletihan yang berkemungkinan kerana keghairahannya untuk turut serta.
Di sempadan, saya bertemu dengan Shamsul Azren. Dia berumur 30 tahun, dari Setia Alam dan menunggang Yamaha 135LC. Dengan motosikal yang dibelinya kira-kira tujuh tahun yang lalu, baru ini kali pertama dia bermotosikal ke Thailand. Sebelum ini Shamsul selalu ulang alik ke kampungnya yang terletak di Taiping.
Jam 3.30 petang kami sambung perjalanan. Kami mengambil kesempatan untuk tiba awal sehari agar dapat eksplorasi pantai Pak Bara. Lokasinya hanya 70km dari Wang Kelian dan 80km ke Abang Rafting Satun, di mana kami akan berkumpul untuk macam-macam aktiviti anjuran ATM.
Dengan kemudahan hotel dan resort di pantai Pak Bara, dari yang biasa hinggalah bertaraf tiga bintang pada harga sekitar RM90-RM100 serta kedai makan halal yang banyak di sepanjang jalan, ia sememangnya merupakan destinasi senang dilawati dan beristirehat.
2hb Disember 2017
Cuaca persekitaran mendung dan hujan lebat di beberapa kawasan Selatan Thailand menemani kami dalam perjalanan ke Satun. Ada peserta melaporkan bahawa mereka terperangkap dalam banjir di Hatdyai. Apa pun, perjalanan tetap diteruskan. Terdapat tiga jalan utama menuju Abang Rafting dan kami secara tidak sengaja memilih jalan yang tidak sempurna. Kami terpaksa mengharungi kawasan berlumpur dan permukaan berbatu kelikir sejauh dua kilometer sebelum sampai ke destinasi.
Terasa tidak yakin pula, adakah jalan yang kami lalui tadi merupakan salah satu jalan yang betul. Apa pun kami selamat sampai ke lokasi pada jam 10.30 pagi. Tidak lama kemudian, ramai lagi peserta telah tiba. Ada yang motosikal mereka bersih dan tidak kurang juga yang berlumpur seperti kami malah ada juga yang jatuh. Setelah diusul periksa tak salah lagi itulah laluan “offroad” yang diceritakan.
Pendaftaran telah dibuka pada jam 8.00 pagi lagi dan kami di kalangan yang terawal. Jumlah keseluruhan peserta seramai 120 orang termasuk tujuh orang dari Thailand dan 10 orang daripada Singapura. Dengan bayaran penyertaan RM170, peserta diberikan tempat penginapan asrama, makan dan minum serta beberapa cenderahati. Menjelang tengahari, lebih ramai para peserta telah tiba.
Abdul Rashid dari Taman Medan kerap ke Thailand untuk menyertai acara Bike Week tetapi ini adalah kali pertama beliau menyertai aktiviti seumpama ini. Di antara pengembara tegar turut hadir adalah saudara Raja Hassan dan saudara Naim Hashim dari Klang, Selangor berbasikal dari Perlis ke sini.
Suasana tenteram ketika urusetia memberikan taklimat aktiviti walaupun masih ada di kalangan rakan-rakan yang sibuk berbual dan bertegur sapa. Beberapa aktiviti seperti berkayak yang dijadualkan pada jam 2.00 petang terpaksa dibatalkan atas sebab keselamatan. Memandang aras air sungai yang tinggi dan deras. Berbahaya untuk acara ini dilakukan.
Dari berkayak bertukar ke mendaki dan Gua Phu Pha Phet yang terletak sekitar 10 kilometer dari tempat kami menjadi pilihan. Selepas jamuan tengahari, kami bergerak menuju destinasi aktiviti pertama dalam hujan yang masih renyai. Ianya sama sekali tidak mematahkan semangat eksplorasi apatah lagi kami berada di negara asing.
Setibanya di kawasan Gua Phu Pha Phet, hujan bertambah lebat. Bergegas kami mencari tempat berteduh sebaik sahaja meletakkan kenderaan. Di sini parkir yang disediakan amat luas dan boleh memuatkan kami semua termasuklah kenderaan pelawat lain.
Pendakian amat merbahaya memandangkan permukaan anak tangga licin dan basah. Penelitian dan imbangan badan penting kerana ada dahan-dahan pokok patah hampir di sepanjang perjalanan. Di luar kawasan gua, ada yang mengatakan bahawa jumlah keseluruhan anak tangga di situ sebanyak 383 anak tangga. Tiada kepastian tetapi benar… ia memang memenatkan. Belum hilang lelah, perjalanan memasuki gua diteruskan.
Seorang demi seorang menyusup masuk ke lubang sebesar dua meter dan ini sahaja satu-satunya jalan yang ada untuk masuk ke dalam gua tersebut. Di dalamnya terdapat banyak tangga yang perlu diharungi sebelum sampai ke penghujung. Keseronokan dan kegembiraan terpancar di wajah tatkala kami tiba di penghujung gua tersebut.
Di sini terdapat sebuah batu jed yang sebesar lapan meter (sukar untuk mendapat info sebenar kerana pemandu pelancong tidak dapat bertutur selain bahasa Thai). Bukan batu ini sahaja menjadi tarikan di sini. Suasana persekitaran, stalagtite dan stalagmite yang terhasil ribuan tahun telah mencipta pelbagai rupa dan bentuk. Suhu persekitaran gua boleh dikatakan sama dengan suhu bilik. Tidak panas dan tidak juga sejuk.
Setelah hampir sejam kami berfoto, selfie di dalam gua, kami membuat keputusan untuk pulang. Dalam perjalanan balik, kami mengikut laluan yang berbeza tetapi bertemu semula di lubang masuk tadi. Penat, semput dan mengah juga ketika menuruni bukit tetapi ia sungguh menyeronokkan. Setibanya di kawasan perkarangan parkir kami disajikan dengan minum petang berupa roti bun dan air mineral.
Destinasi kedua disusuli dalam keadaan basah. Kedinginan meresap ke tulang sum-sum. Ada seorang sahabat tidak dapat mengendalikan motornya lalu tergelincir ketika melalui jalan berlumpur. Mujur tidak serius.
Air Terjun Wang Sai Thong, terletak di daerah Satun dan merupakan destinasi pelancongan yang terkenal. Terletak kirakira 23km di Barat Daya Gua Phu Pha Phet yang mengambil masa 30 minit perjalanan. Gambar-gambar yang telah dikongsi dan disebarkan oleh para pengembara di laman sosial sebelum ini belum menjanjikan apa-apa keseronokan sehinggalah ianya terpampang di hadapan mata.
Aliran air sungai di celah-celah pokok dengan deruman air terjun setinggi tujuh kaki memberikan pemandangan yang amat menakjubkan. Ketika kami tiba, airnya keruh dan terlalu deras disebabkan baru lepas hujan. Dengan tempoh masa sejam diberikan kami guna sebaik mungkin untuk bermandi manda. “Wow syoknya!” Walaupun tidak semua turut serta, beberapa orang sudah cukup membingitkan suasana di air terjun ini. Jam 6.00 petang waktu tempatan kami meninggalkan kawasan ini. Terhibur rasa di hati dapat mengecapi keindahan alam walaupun pada masa yang singkat.
Kami tiba di lokasi Abang Rafting dalam keadaan lencun, mengiggil tetapi gembira. Tiba masanya untuk membersihkan diri sebelum menjamah makan malam pada jam 7.30 malam nanti.
Selesai makan malam, tibalah sesi bercerita pengalaman di samping acara cabutan bertuah. Di mulai dengan perkongsian oleh pasangan saudara Zainalb Baharudin dan isterinya, Celeste Theunissen yang telah mengembara bermotosikal ke 61 buah negara sejak tiga tahun lepas.
Adventure Touring Malaysia (ATM) ditubuhkan pada tahun 2012 yang sebelum ini dikenali sebagai Malaysian Bikers. Ianya bukanlah sebuah pertubuhan mahupun persatuan tetapi lebih kepada medium perhubungan pencinta aktiviti lasak beroda dari berkhemah, berbasikal hinggalah jentera 4x4 dan tidak hanya untuk aktiviti dalam negara sahaja malah menjangkaui penjelajahan dunia. Shuid Sidek atau lebih dikenali sebagai Pak Eid merupakan pelopor ATM dari penubuhannya hinggalah kini. Beliau dibantu oleh Mustaazis Said (Aziz PG) sebagai Pengurus dan Pentadbir bagi ATM. Tiada yuran keahlian mahupun pendaftaran, hanya perlu menganggotai laman FB Adventure Touring Malaysia.
Para peserta juga cukup teruja mendengar kisah dan pengalaman yang dikongsi oleh pasangan pengantin baru, Mohd Alfishahrin Zakaria, 31, dan isteri Diana Latief, 30 juga telah berjaya bermotosikal merentasi 24 negara ke London serta perjalanan dua orang ahli Kembara Musafir Umrah iaitu Tuan Haji Badruzzaman dan Tuan Haji Aminudin Marjani mengembara mengerjakan umrah dengan menunggang motosikal.
Kata-kata semangat yang diberi sangat mengujakan. Soalan demi soalan diajukan dan jawapannya tidak menghampakan. Semasa cabutan bertuah dijalankan, kami dijamu dengan ikan bakar bersama coletnya sebagai selingan. Nampaknya malam masih muda. Sesi berbual diteruskan hingga dinihari.
3hb Disember 2017. Peristiwa semalaman bagaikan seminggu. Sambil berborak-borak pagi, ada yang mengambil kesempatan berkemas, mandi untuk pulang awal dan ada juga yang meneruskan perjalanan ke destinasi lain. RR
Popular