Isu Terkini

Jun 2024

Kembara / 5 April 2024

Ride Sri Lanka - Berbelit Jalan Serta Lidah Nak Menyebutnya...

Memang benar berbelit lidah nak menyebut nama-nama tempat yang saya lalui untuk ride kali ini. Nak kata sebutan Tamil, tidak. Nak kata Hindi, jauh sekali. Bahasa Sinhala (Bahasa rasmi Sri Lanka) memang amat sukar bagi lidah orang kita nak menyebutnya. Dah bersedia nak berbelit lidah? Cuba baca dan sebut laluan saya Ella - Kumbalwela - Bandarawela - Haputale - Beragala - Walhaputenna - Oambahinna - Samanala Weva Dam-Weligepola-Udawalawa-Taman Negara Udawalawe -Thanamalwila - Kuda Oya - Telulla - Wellawaya - Ella. Berbelit lidahkan?

Apa yang anda bayangkan bila disebut negara Sri Lanka? Krisis ekonomi? Petrol tak cukup? Kena beratur nak beli minyak kenderaan? Mantan presiden yang korup? Ceylon tea? Realitinya, Sri Lanka adalah destinasi kurang disebut bila riders Malaysia nak ride di luar negara. Kebiasaannya dalam wishlist riders kita ialah Thorung La Pass, Kashmir - Ladakh, Karakorum highway. Sri Lanka langsung tak masuk dalam senarai.

Tetapi percutian saya ke Sri Lanka pada hujung Disember lepas telah mengubah persepsi saya terhadap Sri Lanka yang dikenali sebagai Ceylon sebelum ini. Negara ini amat cantik.... menarik, dan yang paling utama, ia amat selamat. Warga Sri Lanka lebih berhemah apabila di atas jalan raya. Lokasi yang saya lawati ialah Colombo, Nagombo, Kandy, Ella hingga ke selatan Sri Lanka. Namun, perkongsian saya ialah tunggangan di kawasan tanah tinggi tengah dan selatan Sri Lanka.

Selepas di Colombo, Negombo dan Kandy, saya ke Ella, sebuah pekan kecil di kawasan tanah tinggi tengah Sri Lanka. Ella adalah Mecca untuk pelancong khusus komuniti Backpackers. Dengan cuaca yang nyaman, suhu tidak tinggi, landskap pergunungan yang indah serta aktiviti-aktiviti luar (outdoor) yang pelbagai, kebanyakan pelancong akan tinggal agak lama di Ella.

Saya menaiki keretapi dari bandar Kandy untuk ke Ella. MasyaAllah, perjalanan ini disajikan dengan pemandangan-pemandangan indah kawasan pergunungan – hutan tanah tinggi, ladang teh yang melaut luasnya serta penempatan-penempatan kecil yang cantik dan menarik sepanjang perjalanan. Tidak hairan jika perjalanan keretapi antara Kandy dan Ella adalah “one of the most train journey in the world”…

Kami tiba di Ella lewat petang menghampiri malam. Keadaan keretapi yang amat sesak dengan penumpang malah tidak dapat pula tempat duduk tidak mematahkan semangat kami apabila mengenang kembali laluan indah sepanjang perjalanan. Tujuh jam dalam keretapi wei……. Situasi pekan Ella sesak dengan pelancong yang ramai terutama pelancong-pelancong Eropah. Rasa macam di Eropah atau Australia atau Amerika pula……
Hari Pertama: 25 Disember, 2023

Selamat Hari Natal! Komuniti Kristian khususnya Katholik agak ramai di Sri Lanka. Perayaan Krismas agak meriah. Saya mengambil motosikal yang disewa dari syarikat Ceylon AdventureTours. Syarikat ini juga mempunyai cawangan di Colombo dan Kandy. Sebuah syarikat yang reliable dan boleh dipercayai. Saya amat mengesyorkan kepada yang ingin menyewa motosikal untuk kembara ride di Sri Lanka agar menggunakan khidmat syarikat ini.

Saya ambil motosikal pada waktu malam kerana akan mula menunggang awal pagi esok. Ceylon Adventure Tours dibuka pada jam 9.00 pagi. Selepas mengambil motosikal pada jam 10.00 malam dan meletakkannya di dalam kawasan bangunan guesthouse, saya tidur awal.

Pekan kecil Ella terletak di kawasan tanah tinggi. Tidur dalam cuaca sejuk walau tanpa alat hawa dingin amat nyaman. Saya menginap di Udayanga Guesthouse, terletak betul-betul di tengah pekan Ella. Saya lebih gemar menginap di guesthouse berbanding hotel jika melancong ke luar negara kerana suasana lebih santai, host yang peramah dan peluang bersosial dengan pengembara-pengembara lain.

Hari Kedua: 26 Disember 2023

Jam 6.00 pagi, saya dan isteri dah siap bersedia untuk memulakan perjalanan. Keadaan masih gelap. Suhu agak dingin lingkungan 16 darjah celsius tapi amat menyegarkan. Kami bawa sedikit pakaian dan peralatan peribadi kerana akan kembali semula ke guesthouse yang sama keesokan harinya.Teringat saya waktu kami menunggang di Nepal pada tahun 2003 dulu. Musim dingin tidak menghalang kami menunggang di Baglung Highway. Kami menyewa motosikal di bandar Pokhara dan menunggang menyusuri laluan indah Baglung Highway ke bandar Baglung berhampiran Annapurna Sanctuary, satu kawasan konservasi yang terkenal di Nepal.

Dari Ella, kami menunggang ke arah selatan. Kami sasarkan Udawalawa, pekan kecil bersebelahan dengan Taman Negara Udawalawe. Melepasi pekan-pekan kecil serta kampung-kampung. Jalan yang dilalui memang mencabar. Dengan selekoh-selekoh tajam, jalan sempit dan kadang-kala berpasir disebabkan mendapan aliran air hujan yang membawa sekali sedimen.

Namun demikian, pemandangan indah kawasan pergunungan dengan hamparan ladang-ladang teh yang amat luas dan mengasyikkan. Anda bayangkan menunggang dari Ringlet ke Brinchang di Cameron Highlands, begitulah Pemandangan beserta jalan-jalan berliku dan gunung ganang yang indah.

persamaannya. Cuma, ladang-ladang teh di sini adalah dalam skala yang amat besar serta perjalanannya jauh lagi panjang. Pemandangan paling cantik dan menarik ialah antara bandar Haputale ke Beragala. Kita dapat lihat di kejauhan kawasan tanah pamah (plains). Laluan menyusuri lerang-lereng gunung dengan ketinggian yang drastik. Tiupan angin kencang membuktikan kawasan yang dilalui adalah kawasan laluan angin. Suhu makin dingin walaupun cuaca terang dengan pancaran matahari. Kami berhenti di banyak tempat untuk merakamkan gambar disamping berhenti minum di kedai-kedai makan.

Penduduk tempatan dari etnik Tamil amat peramah. Mereka gembira apabila mengetahui kami dari Malaysia. Mungkin tidak selalu berjumpa dengan pengembara Malaysia. Etnik Tamil yang ramai mendiami kawasan tanah tinggi di Sri Lanka berasal dari Tamil Nadu, India. British telah mengambil mereka pada zaman kolonial untuk dikerah berkerja menjadi buruh di estet-estet ladang teh. Produk teh terkenal jenama Lipton juga berasal dari Sri Lanka. Pengasasnya, Sir Thomas Lipton mempunyai ladang teh yang luas berhampiran bandar Haputale.

Sebelum tiba ke Samanala Weva Dam, sewaktu kami sedang melalui kawasan hutan sekunder, saya terlihat kelibat seekor burung yang amat besar sedang berjalan di kawasan semak di tepi jalan. Ya, rupanya seekor burung merak jantan sedang mencari makan betul-betul di tepi jalan raya. Saya berhenti tergesa dan cuba mengambil gambar dan video spesis burung yang cantik ini. Walla…. Saya amat teruja dan merasa hebat kerana dapat merakamkan gambar burung merak liar di tepi jalan. Saya jangkakan burung merak liar ni adalah eksklusif, rare dan payah untuk ditemui tidak seperti di negara kita.

Di Malaysia, untuk melihat burung kuang hampir mustahil. Untuk melihat burung seangkatan dengannya seperti Ayam Pegar (Crested Fireback Pheasant). Rupa-rupanya burung merak liar amat mudah dijumpai serata Sri Lanka. Ia umpama ayam hutan yang mudah kita temui di tepi-tepi jalan di kawasan kampung dan belukar. Sewaktu di taman negara dan di kampung-kampung pedalaman, amat mudah kita dapat temui. Kami berdua tergelak besar selepas itu.

Beberapa kali kami tersesat walaupun menggunakan google map di telefon pintar, namun keramahan penduduk tempatan membantu menunjuk arah amat memudahkan kami. Sebagai pengembara Old Skool yang biasanya berpandukan peta dan buku rujukan kembara (travel guide book), saya tidak khuatir untuk mencari arah jalan walau di kawasan pedalaman apatah lagi dengan bantuan teknologi seperti waze atau google map. Naluri kembara saya sering membantu saya mencari arah jika tiba di kawasan yang tidak mempunyai kemudahan internet. Guna common sense…..

Kami tiba di Udawalawa pada petang hari. Terus mencari guesthouse. Pekan ini ialah kawasan pelancongan. Amat mudah untuk mencari penginapan mengikut bajet masing-masing. Saya gemarkan pekan-pekan kecil di pedalaman berbanding bandar-bandar besar. Rasa teruja dapat berinteraksi dengan penduduk tempatan dan melihat budaya hidup setempat. Setiap kali saya mengembara ke negara asing, bukan sekadar melawat ke destinasi popular pelancong, melawat pekan-pekan kecil atau kampung-kampung amat bermakna. Pasar adalah destinasi wajib saya kunjungi untuk melihat kehidupan harian masyarakat tempatan.

Hari Ketiga: 27 Disember 2023

Kami bangun agak lewat kerana benar-benar berehat. Lepas subuh, sambung balik tidur hingga hampir tengahari. Betul-betul kepenatan kerana perjalanan semalam yang agak mencabar. Sejak kami tiba di Sri Lanka, kami memilih untuk bergerak pantas dari satu tempat ke satu tempat tanpa dapat rehat yang mencukupi.

Program hari ini ialah Jeep Safari di Taman Negara Udawalawe. Sri Lanka terkenal dengan projek-projek konservasi. Terdapat beberapa taman negara seluruh Sri Lanka dari beberapa habitat berbeza seperti hutan hujan (rainforest), dataran padang (plains), hutan pergunungan (montane), padang rumput savanna (grasslands). Berbanding dengan Malaysia yang amat sukar untuk melihat hidupan liar jika melawat taman-taman negara kita, peluang amat tinggi untuk melihat hidupan liar di Sri Lanka khususnya mamalia besar seperti gajah, rusa (spesis rusa berbintik dan Sambar), harimau bintang (Leopard), beruang (Asiatic Sloth Bear) dan yang paling menarik, burung merak liar yang banyak “bersepah” dan amat mudah untuk dilihat.

Kami menyewa sebuah kenderaan pacuan 4 Roda dengan sewaan 10 ribu rupee dan membayar bayaran konservasi taman sebanyak USD25. Agak mahal tetapi saya tidak kisah asalkan duit kutipan dibelanjakan dengan betul untuk menjaga dan menyelenggara taman negara serta hidupan liarnya. Antara hidupan liar yang berjaya kami lihat ialah gajah, 2 spesis rusa, kerbau liar, cempelai (mongoose), buaya. Kami hanya menemui sisa-sisa tulang rusa yang telah dibaham oleh harimau. Selama lebih kurang 3.5 jam dalam jeep, kami amat berpuas hati walaupun tiada rezeki melihat harimau bintang liar.

Selepas berehat dan melawat sekeliling pekan kecil Udawalawe, kami meneruskan perjalanan. Destinasi seterusnya ialah Thanamalwila. Beberapa kali kami terserempak dengan gajah liar kerana jalan yang kami lalui bersempadanan dengan taman negara Udawalawe. Pengalaman ini amat menggembirakan kami berdua. Terasa seolah sedang berada di Afrika. Ya, kami berangan berada di Serengeti (amat mahal untuk bercuti di sini!). Yang memisahkan kami dengan gajah liar hanyalah pagar elektrik yang dipasang agar gajah-gajah liar tidak memasuki kawasan pertanian yang akan menimbulkan konflik antara manusia dan gajah liar. Isteri saya amat girang kerana beliau memang suka melihat hidupan liar.

“Lepas ni tengok panda liar di Chengdu, China yer?....” pintanya girang. Hmmmm…. Suhu mulai panas kerana sekarang kami menunggang di kawasan tanah pamah, tidak sedingin semalam, di kawasan tanah tinggi. Jalan raya juga lurus dan baik.

Menunggang Royal Enfield Classic 350 carb ni amat menyeronokkan. Saya berimaginasi seolah hero filem tamil yang sedang mengejar penjahat dengan motosikal ikonik India ini. Bunyi ekzosnya yang agak kuat juga menjadi perhatian penduduk tempatan sewaktu kami melalui pekan-pekan kecil atau perkampungan. Cuma satu kebimbangan saya, jika berlaku kejadian tayar pancit.

Motor klasik ini menggunakan rim lidi dan tayar bertiub, bukan tubeless seperti Royal Enfield Meteor milik saya di rumah. Jika tayar pancit, memang masalah ditambah lagi kami banyak melalui jalan pedalaman yang kurang penempatan apatah lagi bengkel motosikal. Tawakal sajalah… Alhamdulillah tiada kejadian tayar pancit. Kawasan yang kami lalui adalah kawasan sawah padi. Amat melegakan pemandangan hijau yang meredupkan.

Setibanya di pekan Kuda Oya, kami mulai merasai jalan mendaki dan berselekoh. Ini bermakna kami menuju kembali ke kawasan tanah tinggi. Kami berhenti di banyak tempat untuk mengambil gambar serta menikmati teh panas. Sri Lanka amat terkenal dengan tehnya. Siapa yang tidak tahu Ceylon tea bukan? British telah banyak mengubah landskap semulajadi tanah tinggi di Sri Lanka.

Kawasan hutan tanah tinggi (montane forest) yang luas telah dikorbankan dan ditanam dengan pokok teh seluas mata memandang. Pemandangan ini memberikan impak negatif terhadap isu alam sekitar dan alam semulajadi. Kawasan hutan pergunungan semulajadi yang amat kaya dengan kekayaan biologi samada tumbuhan atau haiwan telah musnah dengan banyak sekali. Ini amat merugikan.

Namun demikian, hasil pemerhatian, saya dapati warga Sri Lanka dan kerajaannya amat cakna dengan isu alam sekitar dan semulajadi. Hingga ada unit Polis Alam Sekitar yang ditugaskan menjaga kualiti alam. Anggota polis terbabit kerap meronda dengan berjalan kaki memeriksa keadaan sekeliling agar tidak memberi impak negatif kepada alam seperti memeriksa longkang-longkang di kawasan komersial sebelum dialirkan ke sungai. Kudos Sri Lanka!!

Kami tiba kembali di pekan Ella pada jam 9 malam. Agak penat kerana aktiviti yang padat pada hari ini khususnya Jeep Safari di Taman Negara Udawalawe. Dengan sedihnya saya pulangkan kembali motosikal yang disewa dengan kadar USD40 sehari. Rasa dah macam jatuh cinta dengan model klasik pulak.

Secara umumnya, menunggang di Sri Lanka memang menyeronokkan khususnya rout yang saya lalui selama 2 hari ini. Kombinasi antara pemandangan indah dengan suhu yang nyaman di pergunungan diikuti dengan hutan savanna di kawasan tanah pamah serta dapat melihat hidupan liar yang banyak merupakan pengalaman amat-amat berharga. Saya bercadang untuk bercuti dan menunggang motosikal lagi pada hujung tahun 2024 ini. Ada yang berminat nak turut serta? RR

- Zulkifli Razak

Isu Pada

April 2024

Popular

  • Dari Litar

    Azlan Shah Umum Persaraan Daripada Sukan Permotoran Dua Roda

  • Warta Roda

    Bukan N-Max.. Bukan NVX tapi A-Max & NVH!

  • Warta Roda

    Penunggang Motosikal Terlibat Dalam Kemalangan Maut!

  • Personaliti

    Cikgu Offroad, Mohd Halim "Yang Kental Pasti Sampai Pos Balar"

  • Dari Litar

    ASS600: Kemenangan Pertama Buat Helmi Musim Ini

Artikel berkaitan

Kembara Sampai ke Boten

Kuching, Sarawak, Malaysia - Pontianak, Indonesia: 1000km Loop (Bahagian Akhir)

Kuching Sarawak Malaysia - Pontianak Indonesia: 1000km Loop (Bahagian 1)

Sabah 360 Ride 1,800KM Loop (Bahagian II)

Ride Berdua ke Siam

Sabah 360 Ride 1,800km Loop (Bahagian 1)

Ride Ihya Ramadhan TM Bikers Ke Gua Musang, Kelantan

Kembara Epik ke Lebuhraya Karakoram

Disyorkan untuk anda
Dari Litar

Pembangunan enjin MotoGP bakal dibeku sehingga 2027?

Seperti yang kita semua tahu, untuk musim 2027 nanti, enjin 850cc serba baru akan diperkenalkan di MotoGP. Maka, dikhabarkan bahawa pembangunan untuk rekaan bahagian enjin dijangka akan dibekukan.

Warta Roda

Udoh Ebaide Joy, wanita Afrika pertama menunggang motosikal dari Timur ke Afrika Barat

Pemuzik dari Nigeria, Udoh Ebaide Joy telah berjaya menunggang motosikal dari bandar Mombasa di Kenya ke Lagos, Nigeria, menjadikannya wanita kulit hitam Afrika pertama yang didokumentasikan untuk menunggang dari Timur ke pantai Barat benua Afrika.

Warta Roda

Bagi Menghormati Insiden Tanah Jerlus, DBKL Batal Sambutan Ambang Merdeka

Bagi menghormati mangsa tanah jerlus dan beberapa insiden yang berlaku di sekitar Kuala Lumpur, DBKL membatalkan Sambutan Ambang Kemerdekaan 2024.

Dari Litar

Wira KBS: "Saya Akan Lebih Fokus Minggu Ini," Raiyan

Raiyan Khardanee yang berlumba untuk pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha - 13 Racing akan meningkatkan lagi prestasinya dalam kategori Wira KBS.