Kuching, Sarawak, Malaysia - Pontianak, Indonesia: 1000km Loop (Bahagian Akhir)
Hari Ketiga
Kami meninggalkan hotel dengan diiringi oleh lambaian staf-staf hotel yang telah puas bergambar dengan motor kami. Pagi ini selepas isi minyak, kami sempat ke rumah Radang yang merupakan salah satu rumah adat suku Dayak yang menjadi ciri khas Kalimantan Barat. Dikatakan sebagai rumah adat terbesar, kerana bangunannya sepanjang 138 meter dan tinggi 7 meter. Rumah ini juga biasa disebut sebagai Rumah Panjang kerana bentuknya yang memanjang.
Satu lagi tempat bersejarah yang kami singgah adalah Istana (Kraton dalam Bahasa Indonesia) Kadriyah (Keraton Qadriah) adalah istana Kesultanan Pontianak yang dibangunkan dari tahun 1771 sampai 1778 masehi. Sayyid Syarif Abdurrahman Al-Qadrie adalah sultan pertama yang mendiami istana tersebut. Keraton ini berada dekat pusat bandar. Keraton Qadriah menjadi salah satu objek wisata sejarah. Dalam perkembangannya, keraton ini terus mengalami proses renovasi hingga menjadi bentuk yang sekarang ini.
Di istana bersejarah ini kami sempat berkenalan dengan pelajar-pelajar dari Institut Agama Islam Negeri Pontianak (IAIN Pontianak). Ianya adalah satu-satunya perguruan tinggi Islam negeri di Kalimantan Barat yang kebetulan juga melawat istana tersebut. Dapatlah rasa macam artis apabila mereka teruja melihat konvoi motor kami. Lebih kurang selesai berehat di sini kami pun berangkat ke destinasi seterusnya iaitu Tugu Khatulistiwa yang berada dekat sahaja, lebih kurang 3 km.
Tugu ini menjadi pusat pelancongan kerana di sini garisan Khatulistiwa melaluinya. Di sini juga pengunjung akan dihadiahkan dengan sijil kehadiran yang akan diletakkan nama anda secara percuma untuk dijadikan kenangan bahawa anda telah tiba di sini.
Lebih kurang pukul 11.00 pagi seterusnya kami memecut ke arah pekan Mempawah yang berada lebih kurang 80km dari sini. Jalan agak sesak dengan kenderaan yang banyak. Fokus mencilok dan mode hati-hati perlu diaktifkan. Setelah beberapa waktu, kenderaan semakin kurang tapi masih banyak dan senario berubah kepada suasana di tepi laut kerana jelas nampak pokok-pokok kelapa dan pantai serta kampung nelayan. Secarakeseluruhan, kami sudah meredah sejauh lebih kurang 450km. Ada lagi 550 km ya! Hahaha...
Syukurnya, setelah menikmati ride suasana kampung, kami tiba di pekan Mempawah pada pukul 1.00 tengahari. Kami menjamu selera di sebuah warung yang agak terkenal di sini. Kantin BESTARI dengan sup tulang/dagingnya yang dipanggil Nasi Sup Daging. Penulis mencadangkan sesiapa yang pergi Mempawah untuk mencubanya tidak akan menyesal... sumpah sedap!
Kesemua kami meng'order'nya dan sangat berpuas hati, kenyang tak ingat. Selesai lunch, kami singgah sebentar di Istana Amantubillah, Mempawah yang agak terkenal dengan sejarahnya terhadap kerabat diRaja Pontianak. Kami singgah lagi di sebuah Warkop (Warung Kopi) Goncang Lidah untuk merasa serba sedikit kopi tempatan di sini. Agak ramai juga anak-anak muda melepak di sini.
Selepas 30 minit, kami meneruskan perjalanan ke arah bandar Singkawang lebih kurang 80km dan destinasi bermalam kami. Tepat pukul 4.40 petang dan selepas melalui jalan yang agak mencabar di celah-celah kampung dan sebagainya, kami tiba di bandar Singkawang. Kejayaan!!
Pada waktu malamnya kami makan malam di Kampung Rawit Tepi Sawah dan merehatkan diri selepas seharian menunggang motor. Di sini juga kami cadangkan untuk sesiapa yang singgah di Singkawang untuk mencubanya.
Hari Keempat
Untuk hari ke-4 ini, kami memang memenuhkan aktiviti untuk pusing-pusing di sekitar Singkawang yang terletak di persisiran pantai dan memang agenda kami untuk pergi ke satu taman hiburan di pantai. Namun begitu pagi ini kami pergi ke Taman Batu Belimbing dahulu iaitu sebuah tempat destinasi pelancong untuk berkhemah menikmati suasana alam hutan yang berbatu dan berdanau.
Kami juga singgah di pantai Pasir Panjang yang berada lebih kurang 20km dari bandar Singkawang. Pendakian ke bukit Rindu Alam memberi pandangan indah “coastline” pantai dan sekitar hutan. Indah dan dapat merasakan kecantikan pulau-pulau berdekatan juga. Di bawahnya pula terdapat taman binatang dan haiwan laut serta sedikit “funfare” namun begitu keadaan di sini agak tidak terjaga dan perlu pemuliharaan dengan kadar segera.
Kami menuju ke arah kawasan pantai berdekatan untuk menikmati jamuan tengahari di warung-warung berhampiran. Seronok juga kami habiskan masa di sini sambil berehat, berbincang dan gelak-ketawa mengenangkan pengalaman menunggang yang telah kami lalui hampir sudah 600km.
Lebih kurang jam 2.00 petang kami beredar menuju ke bandar semula.
Kami sempat singgah di Mall Singkawang sekadar untuk merasa suasana shopping mall di sana sambil melihat orang-orang tempatan bersiar-siar. Motosikal kami juga sempat dibasuh di salah sebuah kedai cuci kenderaan.
Hari Kelima
Pagi menjelma, hari ini adalah hari terakhir perjalanan dan target sampai di Kuching, kembali ke Malaysia. Yeah, jauh lagi lebih kurang 300km dan bukan laluan highway tapi jalan-jalan biasa/kampung.
Sebagai kenangan terakhir di Singkawang kami singgah di warung sarapan pagi yang terkenal dengan juadah satay dan bubur pekong (kerana warung ini terletak hampir dengan kuil/pekong). Memang best style streetfood dan meja makannya di celah-celah lorong amat unik.
Selesai menjamu selera dan juga mengisi minyak, kami terus bergerak menuju ke pekan Pemangkat yang berada 30km lagi. Perjalanan agak sibuk juga dengan kenderaan. Setibanya di pekan Pemangkat, salah satu jentera kami mengalami kerosakan bateri. Kami perlu mengambil masa bagi mencari kedai motor yang sesuai untuk mendapatkan gantian. Agak mencabar juga kerana tidak semua kedai yang ada bateri tersebut. Sambil itu sempat juga kami singgah sebentar di Masjid Besar At Taqwa Pemangkat.
Perjalanan diteruskan menuju ke pekan Sambas. Kami menjamu selera di tepi sungai, di sebuah restoran yang bercirikan sebuah kapal/bot iaitu Lanting Bedar. Sempatlah melelapkan mata juga kerana cuaca yang panas ini agak mencabar dan meletihkan.
Kami sampai ke pekan Biawak yang merupakan komplek kastam dan imigresen antara Malaysia dan Indonesia. Jarak perjalanan kami adalah lebih kurang 100km lagi ke sana. Perjalanan kali ini agak unik dan mencabar kerana terdapat satu “stretch” lebih kurang 40km yang seakan-akan route Kelawang yang femes tersebut. Memang mencabar dengan selekoh-selekoh maut tajam dan memang macam track litar lumba! Siapa yang dah handal di Kelawang tu marilah cuba di sini pula, memang paduuuu!
Menghampiri Biawak kami singgah minum dan rehat di Sanjingan Besar dan pada pukul 2.00 petang sampailah kami di Imigresen Biawak. Seribu satu perasaan yang kami bawa setelah selesai segala urusan di komplek sempadan tersebut dan kini kami kembali ke tanah air. Selamat tinggal Indonesia dan Pontianak terutamanya.
Tapi sebenarnya, perjalanan kami masih belum berakhir, masih ada destinasi yang penting perlu kami terjah iaitu Telok Melano merupakan Zero (0) km Lebuhraya Pan Borneo, Sarawak yang akan melengkapkan juga Loop 1000km Kuching Malaysia, Pontianak Indonesia ini.
Ayoh, mari kita ride lagi menuju ke Telok Melano. Jarak yang perlu kita tempohi adalah lebih kurang 60km dan teluk ini adalah 140km dari bandar Kuching. Jauh lagi ya untuk kita akhiri loop ini. Setibanya di kilometer 0 kami semua bergambar di papan tandanya. Kepada yang telah sampai di Tip of Borneo Kudat ini bermakna anda sudah pergi hujung ke hujung pulau Borneo. Tahniah. Jika anda mempunyai lebihan masa dan ingin terus mencapai check point penting eloklah pergi sebentar ke Pos Kawalan Sempadan Telok Melano yang memisahkan Malaysia ini dan Indonesia. Bergambarlah di situ untuk bahan bukti anda berada di hujung Loop ini.
Setibanya kami di sini jam telah menunjukkan 5.00 petang, bermakna matahari akan tenggelam tidak lama lagi dan kami perlu ride waktu malam. Suasana juga masih hujan dan basah. Destinasi berikutnya sebelum sampai Kuching adalah untuk kami berhenti makan di bandar Lendu.
Setelah itu kami terus pecut menuju ke Kuching di dalam kegelapan malam dan pengalaman menarik yang terakhir adalah menaiki feri sebentar menyeberangi sungai Sarawak. Suasana malam dan basah menyambut ketibaan kami di bandar Kuching dan dengan ini lengkaplah Loop 1000km Kuching Malaysia Pontianak Indonesia. Done deal!
Oh ya, kali ini konvoi dan Loop kami juga ditaja oleh Castrol Malaysia yang telah membekalkan minyak enjin untuk jentera kami semua. Terima kasih Castrol Malaysia.
Sebenarnya, seperti yang semua tahu, mukabumi, cuaca, dan senario perjalanan di Kalimantan ini tiada banyak beza jika kita ride di Semenanjung Malaysia. Cuma segalanya adalah pengalaman baru. Setiap tar dan jalan yang kita lalui, selekoh, kampung, bandar, lubang, kenderaan, motor segalanya baru. Setiap saat adalah baru, itulah yang paling seronok…. Pengalaman baru berada di tanah asing di tempat orang.
Bertemu lagi di lain ride dan kembara. RR
- Zack Ahmad.
Popular