Kuching Sarawak Malaysia - Pontianak Indonesia: 1000km Loop (Bahagian 1)
Yeah! Kita buat Loop lagi! Kali ini kita akan buat loop yang agak luarbiasa kerana melibatkan dua buah negara iaitu Malaysia dan Indonesia di Borneo. Pulau Borneo ini agak unik kerana ia merupakan pulau yang besar dan mempunyai dua “Tuan Tanah” iaitu Malaysia dan Indonesia. Ianya juga satu-satunya sempadan daratan yang ujud di antara Malaysia dan Indonesia.
Ride Loop kali ini akan lebih fokus kepada Sarawak dan Kalimantan Barat terutamanya. Jarak yang bakal dihadapi lebih kurang 1000 km dan dijangkakan perjalanan akan menempuh cuaca panas dan hujan. Maklumlah bulan November dan Disember kan. Memang musim hujan.
Konvoi kami kali ini terdiri daripada tujuh buah motosikal yang berbagai kuasa (cc) dan jenama. Masing-masing memiliki pengalaman “ride” yang berbeza-beza. Cuma penulis sahaja yang datang dari KL maka perlu menyewa motosikal di Kuching, Sarawak, selebihnya memang memiliki motor sendiri di Kuching Sawarak.
Perniagaan sewa motor di Sarawak dan Sabah sebenarnya belum ada kecuali motosikal berkuasa rendah sahaja dan untuk sewa motor yang berkuasa besar penulis sarankan hubungi BK Borneo adventure 012 2347866 yang boleh menyediakan pelbagai motor yang sesuai untuk redah Borneo ini. Perkhidmatan mereka sangatlah baik.
Hari Pertama
Kami semua berkumpul di bandar Sibira (30km dari bandar Kuching) untuk sarapan pagi. Perjalanan hari ini adalah menuju ke Tebedu lebih kurang 60km yang merupakan titik pintu masuk ke Kalimantan Barat, Indonesia. Cuaca pagi cerah dan trafik yang agak lengang memudahkan perjalanan kami dengan santai dan bersahaja.
Tepat jam 9.25 pagi kami semua mendarat di stesen minyak Petronas di Tebedu untuk mengisi tangki minyak kali terakhir di bumi Malaysia. Perlu difahamkan harga minyak di Indonesia adalah jauh lebih mahal dengan harga lebih kurang RM4.00 per liter. Maka kami pastikan semua tangki penuh sendat buat kali terakhir dengan minyak Malaysia.
Untuk membawa motor kami melintasi sempadan, sebenarnya bukanlah mudah. Prosesnya perlu diselesaikan dahulu beberapa minggu sebelum hari perjalanan. Tidak semudah memasuki Thailand ya, memasuki Indonesia dengan kenderaan Malaysia prosesnya adalah lebih ketat dan perlu melalui agensi yang betul. Penulis tidak akan menceritakan lebih lanjut hanyalah sekadar merasakannya pada hari kejadian mengambil masa yang agak lama juga. Kami sempat membeli jajan dan bergambar di Pusat Imigresen Tebedu Malaysia dan Imigresen Entikong, Kalimantan Indonesia.
Lebih kurang 40 minit iaitu pada pukul 9.25 pagi waktu Indonesia selesailah urusan di imigresen dan kami terus sambung ride. Perjalanan di celah-celah kampung ini sangat menarik. Kami menunggang dengan hati-hati walaupun agak laju dan cuaca pun cantik namun begitu fokus kena 300% kerana kita berada di tempat orang. Setiap waktu dan keadaan kita kena berjaga-jaga dengan keadaan sekitar.
Tepat jam 11.30 pagi kami berhenti sebentar di RnR di Indomaret yang lebih kurang seperti kedai Speed99 di Malaysia. Di serata Indonesia Indomaret ini banyak cawangannya. PT Indomarco Prismatama atau Indomaret (singkatan dari Indonesia Market Retail) merupakan rangkaian kedai serbaneka runcit dengan lebih 18,000 buah kedai di seluruh Indonesia. Ia merupakan rangkaian pertama dan terbesar kedai jenis ini di Indonesia.
Memang seronok membeli minuman dan berhenti di sini menikmati hawa dinginnya dan kembalikan tenaga. Kasi segar balik dan ringankan kepala dari helmet… haha.
Kami singgah di kedai makan Dwi Mandiri di Sosol yang terletak sejauh 150km lagi ke Pontianak. Jauh lagi perjalanan kami ini. Kami memilih lauk nasi padang yang pastinya original. Enak juga lauk-lauknya terutama setelah lapar dari menunggang. Tidak ketinggalan juga kami sempat menunaikan solat di Masjid Al-Khair, Dusun Tahan, Desa Sosok yang berada di sebelah kedai makan ini.
Setelah kedua-dua kewajipan ini kami selesaikan, kami kembali ke jalanan dan teruskan konvoi. Keadaan jalan yang agak ber“corner-corner” dan kenderaan dari arah bertentangan agak banyak dan jalan kampung berterusan bukan highway. Kami kena terus meningkatan fokus penunggangan terutama untuk ”take over” kenderaan di hadapan. Hati-hati semua.
Setelah lebih kurang satu jam perjalanan kami ambil sedikit “detour” untuk berada di Jambatan Tayan. Jambatan Tayan adalah sebuah jambatan yang melintang di atas Sungai Kapuas, Kabupaten Sanggau, Kalimantan Barat. Menarik juga untuk berada di atas jambatan ini bergambar dan menjadikan ianya satu “landmark” yang penting untuk singgah.
Perjalanan diteruskan kerana ada lebih kurang 114 km lagi untuk kami sampai ke Pontianak. Awan yang cerah tadi telah bertukar gelap dan kami menjangkakan hujan lebat akan turun. Ya tepat sekali, 30 minit berlalu dan kami semua terpaksa berhenti di jalanan untuk memakai pakaian lengkap baju hujan.
Buat pertama kali ada juga gunanya “raincoat” ini dan sebagai pengguna motor professional, pakaian hujan ini mestilah berstandard tinggi dan mencapai tujuan untuk memudahkan ride dan tidak basah. Di pasaran terdapat banyak jenis yang berkualiti dan sesungguhnya keselesaan menunggang ketika hujan sangatlah penting kerana semuanya berisiko ketika hujan.
Lebih kurang 40 minit hujan semakin reda dan trafik mulai sesak apabila kami semakin hampir ke bandar Pontianak. Jem dan kesesakan semakin agak luar biasa penuh dengan motor, kereta dan lori. Kota Pontianak merupakan sebuah kota yang terdapat di Kalimantan Barat, Indonesia yang juga dikenali sebagai Kota Khatulistiwa kerana terletak di atas garisan 0º0' N, 109º20' E. Kota ini berkeluasan 107.82 km persegi. dengan penduduknya berjumlah lebih kurang 700 ribu.
Antara etnik yang terdapat di sini ialah Melayu, Cina, Dayak, dan etnik minoriti yang lain. Islam merangkumi 65% daripada agamanya di sini diikuti Buddha (23.2%), Kristian (6.8%), Hindu (0.4%) dan agama lain (4.6%). Bahasa yang digunakan ialah Bahasa Indonesia yang digunakan secara meluas manakala bahasa tempatan juga digunakan seperti Bahasa Melayu, Teochew, Hakka dan Dayak.
Setibanya di pinggiran Pontianak kami singgah lagi di Indomaret untuk rehat sebentar dan bertemu dengan contact kami iaitu Pak Damir untuk memudahkan perjalanan ke hotel Mercure City Center. Dengan mengekori Pak Damir kami semua mencilok-cilok bersama kesesakan bandar Pontianak dan akhirnya tepat jam 3.50 petang tiba di destinasi kami.
Selamat Datang ke Pontianak! Dengan keadaan yang basah… haha. Layanan pihak kakitangan hotel di ruangan ketibaan sangatlah mesra. Mungkin agak jarang motor-motor Malaysia sampai di sana. Sepanjang perjalanan kami di Kalimantan barat ini sangat seronok kerana suasana penduduk tempatan gembira dan teruja dengan ketibaan kami. Ada yang minta bergambar dan anak-anak melambai mesra terhadap kami. Itulah di antara perasaan yang sangat ternilai apabila kita berkonvoi di negara orang.
Setelah check-in di bilik dan memastikan motor-motor sudah dipark dengan baiknya di lobi hotel maka berakhirnya episod hari pertama dengan jarak perjalanan yang telah mencecah lebih kurang 350km. Pada malamnya kami menjamu selera di Pondok Seafood Abang Kepiting yang kami cadangkan untuk sesiapa ke Pontianak untuk mencubanya kerana harganya agak berpatutan dan enak untuk dirasa. Warko (Warung Kopi) juga banyak terdapat di Pontianak ini dan bolehlah mencuba mengikut selera dan lokasi masing masing.
Hari Kedua
Mengikut perancangan dan jadual pada hari kedua ini kami akan bersantai-santai menikmati bandar Pontianak, namun begitu kerana sudah dimandikan dengan hujan Kalimantan, pagi ini kami terus menjejak kedai laundry sebaik sahaja selesai bersarapan di hotel. Kebetulan terdapat kedai laundry coins yang berhampiran, cuma 10 minit sahaja dengan menunggang motosikal.
Unik juga laundry di sini boleh terus digosok oleh pekerja yang berada di situ dan kos satu cucian sebanyak 7kg (termasuk keringkan) berjumlah Rupiah 70k = RM21. Selesai mencuci pakaian, kami lantas mencari kedai untuk mencuci jentera kami yang kebetulan terletak berhampiran. Maka berkilat dan sucilah motor-motor kami pada hari tersebut dan pekerja yang mencucinya juga teruja dengan jentera kami yang berasal dari Malaysia.
Kami menuju ke kedai motor 1Stop yang menyediakan pelbagai barang-barang aksesori motor serta boleh servis segala macam keperluan untuk motor anda. Salah seorang dari kami sempat menukar kedua-dua tayar serta juga side mirror dan signal. Layanan yang diterima juga baik serta meriah.
Kami berpuashati denga apa yang kami terima dan rekomen kepada rider-rider semua jika berada di Pontianak bolehlah mencuba kedai motor ini. Puashati!
Tiba waktu lunch kami menuju ke restoren Sederhana Nasi Padang dengan menaiki Grab kereta kerana mudah bersama-sama dan boleh menikmati bandar Pontianak. Lebih kurang 30 minit kami sampai di restoren tersebut yang terkenal dengan lauk pauk Minang. Kami juga rekomen untuk pembaca semua mencuba.
Kami menghabisan hari ini dengan menaiki bot sewa di Sungai Pontianak. Asalnya sebuah bot nelayan laut untuk bersiar-siar di Sungai Kapuas/Bandar Pontianak. Kami menaiki bot ini yang dilengkapi dengan tempat makan minum, tandas, deck atas, ruang solat serta ruang karoke.
Petang yang indah dengan dihiasi matahari terbenam menjadikan kenangan menaiki bot besar ini di bandar Pontianak akan dikenangi untuk tempoh yang agak lama. Di tebing-tebing sungai dipenuhi rumah-rumah penduduk di bandar, kedai-kedai, bot bot nelayan dan sebagainya serta melalui di bawah jambatan. Waktu maghrib dialuni oleh azan-azan yang merdu dari surau-surau di tepi sungai ini. Memang akan kekal di minda.
Selesai menuruni bot, kami menuju ke hotel untuk rehat dan bersedia lagi 650km menuju ke arah bandar Singkawang pula pada hari esoknya. RR
Bersambung...
Oleh: Zack Ahmad
Popular