Isu Terkini

Julai 2024

Kembara / 10 Januari 2018

Perjalanan Penuh Cabaran Dengan Ducati Multistrada 950

Model pengembaraan Ducati Multistrada sememangnya satu nama yang sudah tidak perlu diperkenalkan lagi khususnya buat para pencinta pengembaraan motosikal. Sejak diperkenalkan pada tahun 2003, model ini telah menerima maklum balas yang cukup positif dek kerana spesifikasi enjin dan ketahanannya.

Hampir semua model-model Multistrada yang ditawa menggunakan enjin bersesaran 1000cc kecuali pada tahun 2005 di mana ketika itu turut diperkenalkan ialah model 620 selain 1000DS. Model kecil ini juga mempunyai spesifikasi yang menarik seperti enjinnya berkuasa 46.40hp dan tork 57.0Nm dengan sistem suntikan bahan api Marelli, saspensi depan Marzocchi dan jenis Sachs di belakang. Memang menarik dan berkuasa model tersebut! Pengeluaran model 620cc ini ditamatkan dua tahun kemudian.

Sejak dari tahun 2007 hingga 2016, kesemua model-model Multistrada yang berada di pasaran menggunakan enjin besar (1,000cc) sehinggalah pada awal tahun ini, Ducati dengan bangganya memperkenalkan model terbaru Multistrada 950 – pengenalan semula model di bawah 1,000cc selepas hampir 10 tahun.

Ternyata sekali lagi, ia adalah satu langkah bijak untuk menarik minat para pelanggan yang mahukan sesuatu yang lebih kecil, lebih ringan, lebih mudah dikawal dan pastinya lebih murah. Multistrada 950 didatangkan dengan enjin Testastretta 937cc yang berkuasa 113hp pada 9,000rpm dan 96.2Nm pada 7,750rpm yang cukup mantap untuk membuatkan si penunggang jentera ini bergembira dan menikmati pelbagai jenis perjalanan dengan selesa. Untuk maklumat penuh mengenai model ini, sila rujuk ruangan Pandu Uji: Ducati Multistrada 950 yang dipaparkan dalam majalah RR Mac 2017 #Bil: 365.

Terima kasih buat Next Bike Sdn Bhd (Ducati Malaysia) yang telah menjemput RR untuk bersama-sama dengan beberapa jemputan media lain untuk bermotosikal ke beberapa destinasi menarik dengan menunggang jentera pengembaraan, Ducati Multistrada 950 menerusi My Ducati Adventure Series (Campout with the Multistrada 950). Untuk menjadikan perjalanan lebih selamat dan lancar, para peserta telah dibantu oleh krew dari BigBoys Adventure (BB) yang diketuai oleh Mohd Rusydi Razali dan Ahmad Rosman Noordin.

Perjalanan My Ducati Adventure Series (MDAS) bermula di perkarangan Ducati Malaysia di Petaling Jaya pada jam 8.00 pagi. Walaupun terpaksa meredah kekalutan dan kesesakan trafik di waktu pagi, kelincahan jentera Ducati yang seberat 220kg (berat basah) ini memudahkan segala pergerakan. Para peserta dengan pantas meninggalkan kesibukan kota untuk memasuki Lebuhraya DUKE menuju ke Genting Highlands.

Antara keseronokan menunggang jentera ini adalah disebabkan ia dilengkapi dengan sistem elektronik terkini seperti sistem Ride by Wire yang memberikan empat mod tunggangan iaitu Sport, Touring, Urban dan Enduro. Untuk model Sport dan Touring, kuasanya berada di tahap tertinggi iaitu 113hp pada 9,000rpm tetapi apabila kita mengubah kepada Urban dan Enduro kuasanya dikurangkan kepada 75hp sahaja. Turut menyempurnakan perjalanan ialah sistem TC dan semestinya Ducati Safety Pack yang sangat-sangat dialu-alukan.

Kami bermula dengan mod Touring yang memberikan hamburan kuasa tanpa batas dalam setiap posisi gear. Multistrada 950 ini disempurnakan dengan kerangka keluli jenis trellis yang cukup tegar dan mantap untuk kita layarkan ke kiri dan ke kanan sewaktu mendaki dari tol Gombak. Tidak kiralah anda penunggang kecil atau besar, sistem saspensi yang dilengkapkan pada model ini membuatkan setiap miringan kekal stabil untuk kita meratah setiap selekoh ke puncak Genting Highlands dengan penuh keyakinan dan seronok sekali.

Dengan kekuatan tork dan brek enjin yang sempurna, Multistrada dengan mudah memanjat dengan hanya menggunakan gear-gear kedua dan ketiga. Cuaca yang amat menyebelahi kami membolehkan konvoi tiba di pitstop pertama dengan cepat dan selamat. Pengembaraan MDAS kali ini lebih bermakna apabila turut disertai oleh Pengurus Penjualan Kawasan, Gianluca Maggiori yang datangnya dari Ducati Motor Thailand.

“Ini merupakan kali pertama saya mendaki ke Genting Highlands dan ia cukup menyeronokkan. Keadaan jalan yang baik dan selamat serta kedinginan cuaca di Genting Highlands sesuai untuk aktiviti bermotosikal,” komen Gianluca.

Selepas 'pekena' kopi dan sedikit kuih muih, kami meneruskan perjalanan ke bandar Bentong. Sekali lagi laluan berselekoh di Lebuhraya Karak bagaikan menanti setiap jentera Multistrada 950 untuk 'bermain' dengannya. Paparan digitalnya cukup jelas, memudahkan kita memilih posisi gear yang sesuai untuk melekat di setiap selekoh tanpa sebarang gangguan. Dalam kelajuan tinggi, laluan angin yang baik memberikan keselesaan buat para penunggang.

Keterikan sinar matahari membakar setiap tubuh badan para penunggang tetapi sebaik sahaja Leader kami, Zaid mengarahkan jenteranya ke Kow Po Coffee Shop, kami berasa teruja kerana berhenti di sebuah kedai aiskrim handmade yang popular di Bentong. Restoran ini memang terkenal dengan ais kacang, cendol, yong tau foo, aiskrim dan macam-macam manisan lagi. Untuk ke sini, alamatnya ialah No. 2 Bentong Heights, 28700, Bentong, Pahang.

Selepas hilang haus dan dahaga, kami kembali 'melompat' semula ke atas jentera tinggi ini untuk ke destinasi terakhir pada hari pertama iaitu di Caravan Serai, sebuah Villa Persendirian Eksklusif yang dibina di dalam kawasan 'hijau' yang dikelilingi oleh hutan semulajadi, ladang dan sungai. Caravan Serai hanya sejauh kira-kira 15 kilometer dari bandar Bentong tetapi jalannya yang berliku membuatkan kami merasa sedikit jauh.

Di sini, kami telah diberi peluang untuk menjalani latihan-latihan asas menyelamat dan mengendalikan motosikal di laluan lasak. Dalam sesi latihan menyelamat yang dikendalikan oleh Anis Nadzira dan Mohd Rusydi, para peserta diberi pendedahan bagaimana kaedah terpantas dan paling selamat untuk memberi pertolongan cemas di situasi cemas yang menyebabkan mangsa luka parah, trauma, pengsan dan sebagainya.

Info: Caravan Serai menawarkan percutian luar bandar yang menarik dan unik dengan adanya 13 buah khemah (Deluxe Safari Tent) yang boleh menempatkan dari dua hingga lima orang dan dua buah bilik eksklusif (Caravan Suite) yang boleh didiami sehingga enam orang, restoran berhawa dingin (Keratong Riverside Restaurant) yang disempurnakan dengan Dewan Dormitory (Function Hall), ruang makan open air, ruang BBQ dan tempat berkhemah. Caravan Serai turut terpilih sebagai The Best Glamping Spots in Asia & Australia.

Aktiviti di sini lebih menumpukan kepada kecintaan serta penjagaan kita terhadap flora dan fauna seperti kolam air sungai, paintball, berbasikal, bola tampar, ping pong, nature walk, river walk, karaoke, papan chess, permainan mahjong dan team building. Untuk ke sini, alamatnya ialah Lot 3159 & 3160, Batu 12 ¾, Jalan Tras, 28700 Bentong Town, Pahang, Malaysia atau hubungi 03-79723655 atau 0162137387 untuk maklumat lebih lanjut.

Setiap peserta diminta untuk mempraktikkan cara-cara dengan betul untuk membalut luka, membuat anduh untuk tangan yang patah, membalikkan tubuh mangsa (jika meniarap), membuka topi keledar, memeriksa nadi dan banyak lagi.

Program kemudiannya diteruskan lagi dengan latihan Safety & Skills yang telah disediakan oleh pihak BB. Setiap peserta dikehendaki untuk melakukan slalom, brek kecemasan (di atas laluan berbatu), mengelak halangan serta laluan berlopak yang dalam (hampir menenggelamkan motosikal ini) yang dibantu serta dikawal oleh Haizal Omar dan Remon Azrem yang benarbenar mempunyai pengalaman luas dalam bidang permotoran.

Selepas berehat dan membersihkan diri, kami telah disediakan dengan makan malam BBQ yang menyajikan juadah yang enak sekali. Sedang menikmati makanan yang terhidang, kami dihiburkan dengan alunan muzik dan nyanyian merdu daripada Sheila Julis yang merupakan seorang pemain gitar dan pencipta lagu yang cukup berbakat.

Ruang istirehat di dalam khemah-khemah yang disediakan cukup selesa dan nyaman. Mungkin kerana ramai yang kepenatan, keheningan malam di Caravan Serai telah dimeriahkan dengan 'bunyi ekzos' baru dari khemah-khemah para peserta. Ada bunyi ala Termignoni... ala Akrapovic dan Two Brothers.

Pengembaraan hari kedua diteruskan menuju ke Frasers Hill. Kami menggunakan petaan Urban dan serta merta kuasanya dirasa berkurangan dan benar, ia sesuai untuk laluan berbukit dan berselekoh tajam menuju ke pusat pelancongan tersebut. Memang seronok memanjat dengan Multistrada ini kerana respons di antara enjin dan pendikit yang tepat. Pulas sahaja, ia 'berlari' kencang tetapi tidak liar – Ducati ini lincah dan cukup stabil. Selekoh-selekoh tajam bukan sahaja mengujakan tetapi juga memberi kepuasan setiap jiwa pencinta motosikal.

Dengan penunjuk posisi gear yang jelas, para penunggang dengan mudah memastikan kedudukan gear terbaik untuk masuk/keluar setiap selekoh dengan selamat. Ducati telah melengkapkan model pengembaraan Multistrada 950 ini dengan tayar-tayar Pirelli Scorpion Trail II bersaiz 120/70 R19 (hadapan) dan 170/60 R17 di belakang yang menawarkan cengkaman cukup mantap di jalanan biasa mahu pun di laluan sukar.

Kami bertuah kerana cuaca amat baik sepanjang pengembaraan. Suhu rendah di Frasers Hill cukup menyegarkan dan kesempatan di sini kami habiskan dengan bertukartukar pengalaman dalam dunia dua roda. Setiap pendakian mesti disudahi dengan penurunan... sekali lagi jenterajentera Ducati ini diuji ke jalan-jalan berselekoh tajam sebelum tiba di Kuala Kubu Baru.

Sebelum sesi bergambar, kami terlebih dahulu menikmati makan tengahari masakan kampung di tepian sungai. Memang segar, nyaman dan sangat mendamaikan. Sajian 'pencuci mulut' durian Musang King pula sememangnya dinanti-nantikan terutamanya Si Pencinta Durian yang diketuai oleh Remon dan Zaid. Paling mengejutkan.... Gianluca juga peminat durian rupanya!

Dari Urban, kami menukar ke pemetaan Sport untuk merasai kepantasannya memecut di lebuhraya. Ya... karaktor si pengembara ini terus bertukar menjadi lebih garang dan lebih dinamik. Hamburan kuasanya yang hadir cukup cemerlang membolehkan pendikitnya direntap sehingga meter kelajuan mencecah hampir 220km/j dan terima kasih buat ketegaran kerangkanya yang memberikan kestabilan tinggi dalam kelajuan sebegini.

Selepas menyempurnakan perjalanan sejauh 255 kilometer dengan mengharungi pelbagai jenis jalan dan muka bumi, kami menamatkan perjalanan di perkarangan Ducati Malaysia dan lebih mengujakan apabila kami disambut oleh Timbalan Presiden 1, Next Bike SB iaitu En. Fazli Hisham Shukor.

Bagi mereka yang ingin mengembara dengan sebuah jentera yang pantas, ringan, mudah dikendalikan dan praktikal... maka model ini boleh disenaraikan untuk menjadi pilihan. Bagi model standard, harga untuk unit warna merah ialah RM85,900 manakala warna putih berharga RM86,900. Model rim berjejari pula ditawarkan pada harga RM91,900 (merah) dan RM92,900 untuk warna putih. Kesemua harga-harga tersebut termasuk GST.

RR juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih buat rakanrakan dari Ducati Malaysia dan BB Adventure yang bekerja keras untuk menjadikan program ini berjalan dengan lancar dan seronok sekali. RR

Isu Pada

Januari 2018

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

Kembara Sampai ke Boten

Ride Sri Lanka - Berbelit Jalan Serta Lidah Nak Menyebutnya...

Kuching, Sarawak, Malaysia - Pontianak, Indonesia: 1000km Loop (Bahagian Akhir)

Kuching Sarawak Malaysia - Pontianak Indonesia: 1000km Loop (Bahagian 1)

Sabah 360 Ride 1,800KM Loop (Bahagian II)

Ride Berdua ke Siam

Sabah 360 Ride 1,800km Loop (Bahagian 1)

Ride Ihya Ramadhan TM Bikers Ke Gua Musang, Kelantan

Disyorkan untuk anda
Dari Litar

Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

Tahun 2024 juga menyaksikan rekod baru jumlah kehadiran penonton sepanjang musim ini mencecah 3,033,255 orang. Ia adalah pencapaian terbaik setakat ini sejak 75 tahun penganjuran MotoGP.

Warta Roda

Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Boon Siew Honda (BSH) telah merasmikan pembukaan Honda Bigwing yang pertama di Melaka.

Model Baru

EICMA 2024: Fantic Caballero 700 Edisi Khas - Deluxe & Travel

EICMA, Fantic Caballero 700 baru telah diiperkenalkan dalam dua edisi khas iaitu Deluxe dan Travel.

Model Baru

Honda CB1000 Hornet & CB1000 Hornet SP 2025 Dilancarkan Untuk Pasaran Eropah

Honda Eropah kembali dalam segmen Hypernaked dengan melancarkan model terbaru iaitu Honda CB1000 Hornet 2025.