Europe Ride 2019 "Touch & Go" (Bahagian 1)
Kisah pengembaraan ini bermula ketika saya, Fadil dan Fuad sedang berborak kosong di Moto Moto Puchong. Fadil bersuara, “Trip ke Jepun dengan group BMW mungkin tak jadi kot?” Masing-masing tak bagi respon. Lalu Fuad mencelah, “Jom kita ride di Eropah, aku teringin sangat nak ride di sana.” Bila dengar cadangan Fuad, saya dan Fadil serentak menjawab “Jom!”
Tanpa berlengah Fadil terus buka Google Map, Ok, kita pergi Eropah Timur. Kebetulan syarikat Penerbangan Qatar Air sedang mengadakan promosi laluan ke Bucharest, Romania. Bincang punya bincang, kami buat keputusan untuk bertolak dari Malaysia pada 31 Julai 2019. Jadi, kami ada masa cukup panjang untuk membuat persiapan, lebih kurang 4 bulan sebelum berangkat.
Kalau ikut cadangan asal, ada 10 orang yang setuju nak pergi. Beberapa kali perbincangan diadakan, akhirnya kami memutuskan lapan orang sahaja yang akan ke sana disebabkan motosikal yang hendak disewa amat terhad walaupun permintaan daripada sahabat-sahabat yang hendak ikut pengembaraan ini seperti goreng pisang panas!
Final meeting.... saya, Fadil, Kapten Mulaidi (Blanka), Fuad, Nazri (Ayie), Dato Ariff, Dato Abul dan Mohd Shapie (Atok SB) berbincang keperluan yang perlu dibawa seperti lesen antarabangsa, makanan, peralatan baik pulih dan lain-lain.
Tanggal 31hb Julai 2019. Berangkatlah kami ke Singapura kerana penerbangan bermula dari Changi Airport ke Doha dan seterusnya ke Bucharest Henri Coanda Airport. Setiba di sana (1hb Ogos) kami tidak buang masa walaupun cuaca ketika itu hujan, kami terus ambil teksi ke Bucharest, Romania.
Kami disambut dengan penuh mesra oleh Mr Lucian. Agak lama juga kami di situ (4 jam) untuk mengisi borang, insuran, periksa motor, mendengar cadangan laluan dari Mr. Lucian dan yang best petik buah epal. Kami bermalam di Hello Hotel, Calea Grivitei yang terletak di tengah-tengah kota Bucharest. Lebih kurang 100 meter dari hotel, terdapat La Hussein Gara De Nord Restaurant yang mengajikan makanan halal.
Agak murah makan kebab di sini disebabkan matawangnya. Untuk satu Romania Leu, ia bersamaan dengan RM0.98 sen. Tidak jauh beza dengan Ringgit Malaysia.
Hari Kedua - Bucharest ke Sofia
Pukul 7.30 pagi kami bersiap sedia di motosikal masing-masing untuk mulakan pengembaraan. Anggaran perjalanan hari ini lebih kurang 455 kilometer. Semua peserta dikehendaki memakai baju yang ditaja oleh Dato Ariff. Nampak betul-betul segak!
Kami melalui Jalan 5 (jalan kampung) yang mempunyai pemandangan sangat indah lebih-lebih lagi ketika itu musim bunga matahari sedang mengembang. Fadil memberi isyarat dengan tangan untuk berhenti ambil gambar ladang bunga matahari yang terletak di Uzunu. Cantik 'bebeno' gambarnya!
Pendikit terus dikoyak untuk meneruskan perjalanan ke Bulgaria melalui jambatan yang terkenal dengan nama Friendship Bridge. Jambatan yang dibuka pada tahun 1954 ini menghubungkan bandar Giurgiu dan bandar Ruse. Ketika di sempadan, pihak berkuasa di sana memeriksa Green Card (geran motor), pasport... Syukurlah, semuanya ok dan kami dapat menyambung perjalanan menuju ke bandar Tirnovo yang terletak berhampiran Ivaylo Stadium untuk makan tengahari di restoran makanan segera. Cuaca? Orang Kedah kata, “Panas lit it”... suhu persekitaran dah cecah 39°, masing-masing terus memesan 2 atau 3 botol air.
Tepat pukul 2.16 petang kami meneruskan perjalanan ke Troyan. Troyan adalah sebahagian dari Central Balkan National Park yang mempunyai laluan yang berbengkang-bengkok. Memang sesuai dengan motosikal kerana laluannya membuatkan semua peserta konvoi berasa segar (tak mengantuk) ditambah pula dengan pemandangan yang indah serta cuaca yang semakin sejuk dan nyaman. Suhu pun sudah turun ke 23° sahaja.
Kami tiba di Sofia, ibu negara Bulgaria. Jam pun dah 7.20 malam, park motor dan terus masuk bilik. Disebabkan hotel pun terletak di pusat bandar, banyak kedai yang tawarkan makanan yang lazat dan menyelerakan. Kami pilih T&M Turkish Restaurant – memang terangkat! Selesai sahaja dinner, masing-masing ambil peluang pergi cuci mata di Boulevard Vitosha (pasar malam) yang berhampiran hotel.
Hari Ketiga: Sofia Bulgaria - Skopje North Macedonia
Selesai subuh di Masjid Banya Bashi yang dibina di Zaman Ottomaniah (1566), kami sempat melawat tapak arkeologi Roman abad ke-4 selepas masihi yang terletak bersebelahan masjid. Kami kemudiannya menyusun kaki dengan lurus dan berjalan penuh semangat ke Dataran Pejabat Presiden Republik Bulgaria untuk melihat upacara kawad yang dilakukan oleh askar Bulgaria ketika sesi pertukaran syif bertugas.
Untuk ke Skopje, kami menggunakan Lebuhraya 62 yang juga menjadi pilihan para penunggang motosikal di sana – memang ramai. Ketika sampai di Ulitsa Lenin di daerah Kyustendil, di kiri kanan terdapat banyak gerai menjual buah segar dari ladang. Kami singgah. Harga buah tembikai sekilo RM1.50, rasanya.... punyalah manis. Fuad dan Dato Abul borong sakan epal dan anggur. Sambil makan, kami nikmati pemandangan bukit bukau yang menghijau.
Lebih kurang 15 kilometer dari Piperkov Chiflik, kami berhenti isi minyak sebelum meneruskan perjalanan ke sempadan Kriva Palanka yang sejauh 46 kilometer atau sejam perjalanan. Jam 11.00 pagi, kami telah berjaya melepasi sempadan Bulgaria/ North Macedonia. Cuaca yang amat baik dan pemilihan lebuhraya E75 & A2 yang tidak banyak kenderaan memudahkan perjalanan kami. Lebih kurang jam 1.45 petang, kami tiba di Skopje , ibukota North Macedonia. Sebelum masuk hotel, pekena 'lunch' di kiosk Burger.
Petang itu tiada apa yang nak kami 'kejar', acara bebas. Ada yang cuci baju, bersiar-siar, yang kaki makan mestilah cari makan dan ada juga yang tidur. Tepat jam 8.00 malam, semua 'ahli pasukan' dah bersiap sedia di lobi hotel. Kami perlu berkumpul untuk meeting kerana perjalanan keesokan harinya akan merentasi tiga buah negara. Setelah mendapat persetujuan, kami berjalan kaki ke Macedonia Square, Archaeology Museum (kami jalan di luar sahaja sebab ia telah ditutup), Carsija Bazar Turki lama dan Kameni Most (Stone Bridge).
Hari keempat: Skopje - Kosovo - Montenegro – Bosnia
Ia adalah perjalanan yang paling jauh dengan jarak yang melebihi 600 kilometer dan pastinya akan memakan masa yang agak lama. Kebanyakan laluan yang kami tempuhi adalah di kawasan tanah tinggi. Memang banyak corner dan paling unik ialah pengalaman melalui tiga buah sempadan negara. Jam 8.00 pagi, kami meninggalkan Skopje dengan melalui lebuhraya E65 hingga ke sempadan Macedonia Kosovo.
Setibanya di sempadan Hani Elezit Kosovo, kami memberhentikan jentera masing-masing berhampiran dengan pos pemeriksaan pihak berkuasa (CHQ). Belum sempat kami turun dari motosikal, datang seorang anggota polis dengan senyum, bersalaman dan berbual dengan Kapten Blanka. Dia tanya kami datang dari mana dan memang cukup ramah. Rupa- rupanya dia juga seorang biker.
Untuk memasuki Kosovo, semua kenderaan luar mesti beli Border Insurance dan untuk kenderaan dua roda nilainya sebanyak 10Euro. Selesai di CHQ sempadan kami meneruskan perjalanan ke Pristina melalui lebuhraya R7. Di Pristina kami berhenti mengisi minyak sekali lagi dan isi perut masing-masing dengan memakan biskut serta cicah air kopi (cara orang kampung). Sebaik saja nak menyambung perjalanan tiba-tiba motor Kapten Blanka tak hidup! Setelah diperiksa, ia disebabkan bateri. Apa lagi! Kami tolak beramai-ramai kemudian disambung oleh saudara Fuad yang menolak guna kaki ala Hafizh Shahrin menunda Marquez dalam MotoGP tahun lalu.
Perjalanan diteruskan melalui jalan perkampungan R101. Sewaktu di Lidhja e Pejes, kami berhenti makan tengahari serta solat jamak di masjid berhampiran restoran tersebut dan seterusnya ke sempadan Kosovo/Montenegro. Mengikut panduan dari Google Map, kami memerlukan masa empat jam lagi untuk sampai di sempadan Montenegro iaitu Metaljka sebelum masuk ke Bosnia and Herzegovina.
Jalan yang kami lalui sangat cantik, masih asli dan tidak tercemar. Kenderaan berenjin tak banyak dan diganti dengan penggunaan kereta kuda yang masih kelihatan di jalan raya. Dari Metaljka, kami melalui berbagai daerah lagi sebelum tiba di Tronovo yang sejauh 100 kilometer. Sepanjang perjalanan, hanya dua orang penunggang motosikal sahaja kami temui. Itu pun mungkin orang tempatan.
Jam dah hampir pukul 9.00 malam manakala cuaca menurun mendadak kepada 3°C. Lapan penunggang dari Malaysia terus bergelut dengan keadaan cuaca sejuk dan berangin. Kami berhenti seketika di tengah kawasan pergunungan kerana perut dah mula berbunyi dan ada juga yang hendak ke tandas. Atok Shafie yang badannya agak kecil dan kurus tiba-tiba memecah kesunyian malam dengan berkata, “Sejuk nak mampuih!”
Dua jam kemudian, kami tiba di Hotel Old Town yang terletak di bandar Sarajevo yang cukup sepi sekali. Salah seorang peserta tumbang dari motosikal ketika nak turun dari motosikal akibat keletihan. Sebenarnya perjalanan hari ini lebih kepada mengejar masa dan tempat. Itulah sebabnya tajuk kembara ini diberi nama Jelajah Europe “Touch & Go”. Kami hanya dapat tengok petrol pam, restoran dan hotel sahaja.
Hari Kelima: Sarajevo - Zagred , Crotia
Pagi ini kami lebih santai oleh kerana semalam kami menempuh perjalanan agak lama sehingga sampai lewat malam. Hotel yang kami bermalam terletak di kawasan Bascarsija (kawasan pelancongan). Jadi.... memang mudahlah sebab tak perlu nak bawa motosikal. Kami berjalan sambil bergambar serta shopping. Di sini, kami dapat melawat muzium, masjid lama dan mengingatkan kami kepada kawasan Central Market dan Masjid Jamek.
Kami keluar dari hotel lebih kurang jam 11 pagi, terus menuju ke Pejabat Kedutaan Malaysia di sini . Terima kasih Kapten Blanka yang telah bersusah payah mengatur pertemuan dengan H.E. Ambassador, Tuan Zakri Jaafar. Lebih kurang 30 minit berbual serta mendapat nasihat dari segi keselamatan dan info yang paling best yang dikongsi oleh Tuan Zakri ialah restoran masakan melayu baru dibuka milik GISB Holding Sdn Bhd.
Kami makan tengahari di Banglo GISB di Sarajevo. 'Tu dia'... masing-masing punyalah berselera. Maklumlah, dah seminggu tak jumpa masak lemak cili padi, sambal belacan, ayam goreng, sayur campur. Ini kalau 'gadis litar' lalu belakang pun tak nampak. Selepas mengucapkan selamat tinggal, konvoi diteruskan ke Zagred, Croatia melalui Banja Luka dan bermalam di Sheraton Zagred Hotel. RR
Sambung bulan hadapan….
Jamil RR009
Popular