Ride Ihya Ramadhan TM Bikers Ke Gua Musang, Kelantan
Setelah penat bergomol dengan lumpur dan gunung di Bromo, Indonesia tempoh hari, kali ini tumpuan kami kepada dalam negara pula sempena Ramadan yang mulia ini. Targetnya ke mana ye? Ke negeri Cik Siti Wan Kembang, Tanah Serendah Sekebun Bunga, Negeri Kelantan Darul Naim.
Pada 8 April (Sabtu) tepat pukul 8.00 pagi konvoi yang rata-ratanya dari Lembah Klang berkumpul di BHP Karak Highway. Dalam senarai, terdapat lebih kurang 50 buah motosikal dari TM Bikers yang akan ke Gua Musang pada pagi yang segar ini. Kali ini motor dari pelbagai kuasa dan jentera tidak mengira cc. Kita rider semua sama tiada beza.
Perjalanan ke Gua Musang kami lalui dengan tenang. Jalan biasa yang selalunya jem terutama pada waktu hari raya dan cuti umum iaitu Gombak-Karak-Bentong-Raub, tapi kali ini tidaklah sesak pun kerana hanya di hujung minggu biasa. Tak ada cuti perayaan atau hari-hari istimewa. Rata-rata riders menunggang dengan tenang dan menikmati suasana perjalanan dengan riang ria.
Lebih kurang pada pukul 10.15 pagi kami berhenti rehat dan rawat sebentar di Petronas Benta, Pahang untuk 'membasahi tekak' tangki motor ya bukan tekak penunggang. Kita di bulan puasa, ingat tu. Lokasi pertemuan kami yang ketiga adalah di Petron Lipis, jarak kurang lebih 20 minit dari lokasi tadi. Tujuannya adalah untuk kami regroup dengan team Bikers Kelantan yang akan menyambut rider dari KL seterusnya memimpin konvoi hingga ke Gua Musang. Selesai apa yang patut, kami sambung perjalanan ke Gua Musang yang sebenarnya amatlah dekat dari Kuala Lumpur iaitu 250km sahaja sama jauh jika dikira seperti Kuala Lumpur ke Kuantan.
Tiba di Gua Musang, kami terus check-in di Kesedar Inn. Sedikit info untuk perkongsian, Gua Musang merupakan pintu masuk utara ke Taman Negara, yang terletak di bahagian tenggara jajahan negeri Kelantan. Gua Musang dikelilingi oleh gua-gua dan bukit-bukau batu kapur, yang cukup popular di kalangan pengembara gua, pendaki gunung dan juga merupakan daerah yang terbesar di Kelantan dengan keluasan sekitar 8,000 kilometer persegi. Jumlah penduduk di sini adalah seramai lebih kurang 120,000 orang.
Salah satu tarikan di sini adalah Masjid Razaleigh yang dilengkapi sembilan (9) menara setinggi 30 meter dan lapan (8) kubah mirip Masjidil Haram di Mekah. Sangat cantik!
Selesai process check in, kami berkumpul di IPD Gua Musang bagi memulakan program rasmi iaitu Program Santuni Masyarakat Orang Asli dan Berbuka Puasa Bersama Anak Yatim & Asnaf Kuala Betis, Gua Musang, Kelantan. Program ini dianjurkan bersama Telekom Malaysia, IPD Gua Musang, Kelab RTM Kelantan, Kelantan FM, dan Jabatan Kemajuan Orang Asli Kelantan. Para jemputan khas dan VIP yang terlibat adalah Puan Rozainee Muhammad, Pengurus Besar TM Kelantan, Encik Wan Azhan Wan Hamat, Pengarah Penyiaran RTM Kelantan dan Superintenden Sik Choon Foo, Ketua Polis Gua Musang.
Sebaik sahaja semua rider telah berada di perkarangan IPD, kami dengan diiringi peronda Polis, menuju ke Kuala Betis untuk memberi sumbangan kepada penduduk orang asli di sana.
Sememangnya polis dan masyarakat berpisah tiada. Dengan adanya program seperti ini, masyarakat akan sentiasa mempunyai hubungan yang rapat dengan pihak berkuasa dan boleh turut sama berganding bahu dalam membenteras jenayah serta mengembalikan kerjasama erat antara Polis dan orang ramai.
Perjalanan menuju ke sana mengambil masa lebih kurang 30 minit. Menunggang di celah celah hutan yang redup amatlah segar walaupun cuaca terik dan panas. Untuk keselamatan semua, kami terpaksa menunggang dengan agak perlahan. Jentera-jentera kami dah mula overheat…. hahaha.
Tiba di Dewan Ayahanda Pusat Komuniti Orang Asli Kuala Betis, kami disambut meriah oleh mereka dan di sinilah penganggihan sumbangan dilakukan. Salah seorang penduduk yang bernama En. Acheh menyatakan keseronokan beliau mendapat sumbangan dan menerima kunjungan bermotor dari pihak kami. Kegembiraan jelas terpancar di wajah beliau apabila beramah mesra dan gelak ketawa.
Selesai misi kami di sini, kami bergerak semula menuju ke bandar Gua Musang bagi menyambung program di Masjid Razaleigh pula, kali ini untuk menyatuni golongan Asnaf dan anak-anak OKU.
Pada program ini, kami telah menyantuni dan memberikan sumbangan kepada 150 keluarga Asnaf dari tiga buah mukim di Gua Musang Kelantan. Seramai 50 orang kurang upaya dan anak yatim dan tidak terkecuali asnaf yang berusia 77 tahun yang mana bagi memperingati 77 tahun penubuhan RTM mengikut seperti mana program yang dirancang. Program telah berjalan lancar dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran. Kami semua berbuka puasa di sini seterusnya menunaikan solat terawih.
Kami pulang semula ke hotel dan ada juga rakan-rakan yang bersiar-siar sekitar bandar Gua Musang dan mengambil peluang merasai 'colek-colek' yang popular di sana. Bagi kaki joran, mereka meneruskan 'perjuangan' dengan memancing ikan di sungai sebelah hotel. Pelbagai aktiviti dapat dilihat dan pastinya akan sentiasa kami rindui saat indah seperti ini. Moga persahabatan ini akan kekal hingga ke Syurga. Amin.
Tepat jam 4.00 pagi keesokan harinya, makanan untuk sahur telah disediakan oleh pihak caterer. Sambil makan berjemaah dan bercerita, kami menunggu waktu subuh. Selesai menunaikan tanggungjawab, kami mengambil kesempatan terakhir untuk bersiar-siar sambil bergambar kenangan. Kawasan sekitar masjid ini cantik kerana ia berlatar belakangkan gunang ganang yang cukup menenangkan. Layanan kakitangan di sini juga menambahkan lagi kenangan manis kami di sini.
Konvoi kami kali ini amatlah short and sweet. Agenda utamanya adalah untuk merahmati bulan Ramadan yang mulia disamping memberi peluang kepada rider-rider TM Bikers untuk berkumpul kembali bagi mengeratkan silaturahim serta menikmati keindahan negara sendiri yang sebenarnya masih ada route-route dan jalan-jalan yang indah.
Pada pagi Ahad, jentera-jentera kami berderum kembali memecah kesunyian dan satu demi satu motor kami mula meninggalkan bandar Gua Musang untuk pulang ke destinasi masing-masing. Semoga bertemu kembali di lain episod. RR
Oleh: Zack Ahmad dan Zaimi
Popular