Isu Terkini

Julai 2024

Kembara / 29 September 2020

Kembara Epik Ha Giang Loop Bahagian 2

Mulakan hari yang ceria dan bersemangat! Selesai subuh, kami naik ke bahagian roof top untuk menikmati sarapan pagi. Sekali lagi menggunakan bekalan makanan yang dibawa dari Malaysia. Penyediaan yang cukup mudah, pantas dan mengenyangkan. Suasana sejuk dingin kawasan pergunungan, pada ketika hujan mula berhenti memberikan rasa yang segar lagi mendamaikan.

Matlamat kami pada hari ini adalah untuk pulang ke garis permulaan yang kami tinggalkan semalam di bandar Ha Giang pada waktu yang ditetapkan supaya kami dapat pulang ke Hanoi pada malam itu juga. Sebelum meninggalkan Dong Van, kami membeli sedikit cenderahati untuk dibawa pulang sebagai ole-ole kepada orang yang ditinggalkan di tanah air. Dikhabarkan harganya lebih murah jika dibandingkan dengan kos yang lebih tinggi di bandar seperti Hanoi.

Kami juga sempat bersiar-siar di sekitar kawasan hostel bagi menghirup suasana pagi yang dingin sambil merakamkan gambar dan bertegur sapa dengan penduduk tempatan. Sebelum bergerak meninggalkan pekan ini, kami memeriksa dahulu keadaan jentera kami supaya berada di tahap terbaik. Setelah berpuas hati dengan kondisi jentera tunggangan masing-masing, kami meninggalkan Dong Van, menuju ke Ha Giang, melalui laluan legenda Ma Pi Leng yang menakjubkan.

Laluan Ma Pi Leng adalah jalan merentasi pergunungan sepanjang 20 kilometer yang menghubungkan pekan Dong Van dan Meo Vac. Membina jalan raya di kawasan pergunungan bukanlah kerja mudah. Ia adalah hasil kerja keras 1,200 tenaga kerja rakyat tempatan, serta lebih 1,000 pekerja sukarela yang terdiri daripada remaja yang berasal dari 16 etnik tempatan dan lapan daerah di utara Vietnam. Mereka bermandikan darah dan keringat demi membina jalan raya sejauh 185 kilometer yang bermula dari Ha Giang menuju ke Dong Van, seterusnya tamat sehingga Meo Vac.

Sepanjang enam tahun pembinaan, bermula dari tahun 1959 hingga 1965, mereka berhempas pulas menggali, mengalihkan batu, meratakan tanah serta melicinkan permukaan tar tanpa menggunakan jentera yang canggih. Empat belas orang remaja dilaporkan terkorban sewaktu proses pembinaan dan jasad mereka terus terkubur di kawasan UNESCO Geopark.

Bagi memperingati peristiwa pembinaan laluan Ma Pi Leng yang bersejarah ini, pada tahun 2017, pihak pemerintah Ha Giang telah mendirikan sebuah tugu peringatan setinggi 16 meter sebagai simbolik pengorbanan, kerja keras dan kejayaan generasi muda pada masa itu, yang dinamakan sebagai Youth Monument.

Meneruskan pengembaraan ini, trek kami masih lagi penuh berliku. Hari ini jalannya lebih banyak menurun dan ia menandakan kami mulai turun dari kawasan pergunungan. Perkara yang paling mengujakan adalah hampir keseluruhan melalui laluan Ma Pi Leng penuh dengan landskap indah seolah latar belakang filem pecah panggung Lord of the Rings. Sepertinya alam fantasi! Faktor alam ciptaan Tuhan inilah yang menjadikannya sebagai salah satu tapak UNESCO di dunia.

Kami terus menerus turun dari tanah tinggi Dong Van, cuaca dari sejuk dah mula panas. Kami meratah selekoh-selekoh tajam dengan berhati-hati untuk terus ke hadapan. Check point kami yang seterusnya adalah sebuah pekan kecil bernama Meo Vac untuk berhenti sekurang-kurangnya mengisi minyak.

Dari Meo Vac kami melanjutkan perjalanan ke Du Gia, kawasan desa yang penuh dengan khinzir dan anjing berkeliaran. Sekali lagi, stesen minyak menjadi transit kami untuk berehat dan mengisi minyak bagi yang perlu. Dengan melalui pekan-pekan kecil sebegini, bekalan petrol mudah didapati.

Jam sudah menunjukkan tiga petang tatkala kami melewati sebuah perkampungan kecil puak Hmong. Maka perut pun berkeroncong minta diisi. Kami mencari lokasi yang agak baik, lapang serta mempunyai sumber air semulajadi untuk menyediakan santapan kami. Setelah sejam merehatkan badan, kami meneruskan perjalanan pulang ke Ha Giang.

Cabaran seterusnya menanti kami ketika hampir tiba di Ha Giang apabila terpaksa menempuh jalan rosak yang dipenuhi lumpur dan licin sejauh kira-kira 5 kilometer. Bagi kami yang menunggang dirt bike, ini adalah satu kelebihan. Berbanding dengan penunggang kapcai, tunggangan perlu dilaksanakan dengan penuh berhati-hati. Memang amat perlahan - tidak melebihi 20km/j kerana sudah dirasakan tayar seperti tidak mencengkam jalan. Syukur... mujurlah tiada kejadian yang tidak diingini berlaku, namun pakaian kami penuh dengan percikan lumpur yang diharapkan tiadalah najis berat melekat padanya.

Jam menunjukkan pukul enam petang sewaktu konvoi pengembaraan kami tiba di bandar Ha Giang, menandakan perjalanan ini sudah hampir tamat. Sebelum memulangkan motosikal sewaan, kami singgah di Dataran Tugu Peringatan Ho Chi Minh, dan sempat juga menikmati secangkir kopi Vietnam di pinggir Sungai Song Lo yang berada di tengah-tengah kota Ha Giang. Ia sebagai simbolik meraikan kejayaan kami menawan laluan Ha Giang Loop dalam tempoh dua hari satu malam.

Sesungguhnya ini adalah pengalaman yang sangat berharga bagi kami. Kombinasi jentera dan manusia bersatu menikmati keindahan alam ciptaan Tuhan melahirkan rasa keterujaan berbeza yang hanya boleh difahami oleh pencinta dua roda sahaja. Dua roda tersebut tidak semestinya mahal dan berkuasa tinggi. Secara keseluruhannya, kami telah melalui perjalanan sejauh lebih daripada 370 kilometer.

Ke gunung sama didaki, ke lurah sama dituruni. Merentasi kota dan desa dengan menggunakan jentera kecil yang hanya mampu bergerak secara purata tidak melebihi 80km/j disebabkan keadaan jalan raya yang kurang memuaskan.

Cabaran utama yang kami hadapi, selain dari suhu yang sangat dingin adalah dari segi pemakanan dan bahasa. Apa pun, ia dapat di atasi dari segi perancangan yang rapi serta penggunaan teknologi yang memudahkan terjemahan dari sudut bahasa. Kami pulang ke Hanoi pada malam itu juga dengan menaiki bas ekspress setelah meninggalkan seribu satu kenangan yang tidak mungkin dapat dijual beli.

Segala suka duka, pahit manis pengembaraan kami dijadikan teladan dalam menempuhi liku-liku kehidupan sebenar yang serba mencabar. Jadilah pengembara... bukan pelancong. RR

- Zuri Aqim

Isu Pada

November 2019

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

Kembara Sampai ke Boten

Ride Sri Lanka - Berbelit Jalan Serta Lidah Nak Menyebutnya...

Kuching, Sarawak, Malaysia - Pontianak, Indonesia: 1000km Loop (Bahagian Akhir)

Kuching Sarawak Malaysia - Pontianak Indonesia: 1000km Loop (Bahagian 1)

Sabah 360 Ride 1,800KM Loop (Bahagian II)

Ride Berdua ke Siam

Sabah 360 Ride 1,800km Loop (Bahagian 1)

Ride Ihya Ramadhan TM Bikers Ke Gua Musang, Kelantan

Disyorkan untuk anda
Dari Litar

Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

Tahun 2024 juga menyaksikan rekod baru jumlah kehadiran penonton sepanjang musim ini mencecah 3,033,255 orang. Ia adalah pencapaian terbaik setakat ini sejak 75 tahun penganjuran MotoGP.

Warta Roda

Kemalangan Kereta Dengan Motosikal Berkuasa Tinggi, Penunggang Maut

Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut setelah terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Batu 6, Jalan Kangkar Baru Paloh, Yong Peng, jam pukul 10.15 pagi semalam.

Warta Roda

Kemeriahan Konvoi PETRONAS Sprinta ke MotoGP Sepang 2024

PETRONAS Lubricant Marketing Malaysia Sdn Bhd (PLMM)bekerjasama dengan Dania Garage dala menganjurkan konvoi 'PETRONAS Sprinta ke MotoGP Sepang 2024'.

Warta Roda

Kemalangan Maut Motosikal Akibat Langgar Kerbau

Perjalanan seorang pengawal keselamatan ke tempat kerja bertukar tragedi apabila motosikal ditungganginya terlanggar seekor kerbau.