ATM Kembaraku & Mistik Camp Meet
Gunung Jerai atau dahulunya dikenali dengan nama Pulau Serai terletak di antara daerah Yan dan Kuala Muda, Kedah. Ia adalah di antara gunung tertinggi di Semenanjung Malaysia yang puncaknya setinggi 3,854 kaki dari aras laut. Gunung Jerai menawarkan pemandangan cukup indah, suasana nyaman dan suhunya cukup dingin. Pemandangan panorama sekitar daerah Yan dan Pulau Dayang Bunting dapat dilihat jelas bila cuaca mengizinkan.
Jalan masuk utama hanya terletak tiga kilometer sahaja dari bandar Gurun. Dari pintu masuk ke puncak Jerai, keadaan jalan rayanya berliku sejauh 12 kilometer dengan beberapa bahagian kecerunan 40 darjah. Di sini memang sesuai bagi mereka yang suka melakukan aktiviti riadah dan lasak. Hujung minggu, tempat ini menjadi tumpuan ramai seperti berbasikal, jogging dan bersantai.
Adventure Touring Malaysia (ATM) telah menjayakan aktiviti yang diberi nama “ATM Kembaraku & Mistik Camp Meet” pada 14-16 September lalu. Ini merupakan kali kedua Gunung Jerai dipilih dan berbanding tahun lepas, penganjuran kali ini telah mendapat sambutan hangat dari para peserta.
Seramai 120 orang terlibat dari seluruh pelosok tanahair dan juga dari negara jiran, Indonesia. Lokasinya ialah di Hutan Lipur Kekal di bawah pengawasan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah. Di sini, kawasan rekreasi memang lengkap kemudahan asas seperti dewan, surau, tandas dan kawasan perkhemahan cuma keadaannya agak kurang memuaskan.
Ramai peserta tiba lebih awal sehari agar dapat memilih tapak khemah yang lebih sesuai dan menepati citarasa. Kebetulan Persatuan Pengakap Negeri Kedah juga menjalankan aktiviti mereka di situ pada tarikh yang sama. Semasa tinjauan dan tempahan dilakukan oleh penganjur sebelum ini tiada aktiviti dari kelab atau persatuan mana-mana pun yang membuat tempahan. Apa pun... lebih ramai, lebih meriah!
Bermula dari Sungai Buluh pada jam 6.00 pagi kami bertiga (Sham, Amierul & Saiful) tiba di Gurun pada jam 1.30 petang. Kami kemudiannya berehat sambil menjamu selera di Restoran Top D’Gurun sementara menunggu hujan reda yang membasahi kami sejak dari Sungai Petani lagi.
Wah... Mendaki dengan motosikal sememangnya menyeronokkan. Banyak liku-liku yang tajam perlu disempurnakan sambil mendongak tinggi menguji kepintaran mengawal kenderaan apatah lagi kami berat dengan muatan. Kami selamat tiba di lokasi pada jam 3.00 petang bersama beberapa peserta lain.
Tanpa melengahkan masa kami mencari lokasi terbaik untuk mendirikan khemah yang boleh memuatkan empat orang dewasa. Selesai sahaja mendirikan khemah, kabus menyelubungi kawasan perkhemahan itu. Pemandangan yang cukup menakjubkan itu menambah keterujaan perasaan kami.
Tidak banyak aktiviti yang dijadualkan untuk hari pertama. Masih ramai peserta baru tiba dan baru bersua muka dengan yang lain. Ada datang berkeluarga dan bersendirian. Sepanjang perkhemahan tersebut, makanan disediakan sendiri oleh peserta. Kami hanya menyediakan makanan ala kadar sahaja. Adat “camping” orang bujanglah katakan.... Telur goreng, mee segera, roti, sup ayam adalah antara menu wajib. Masak dengan menggunakan mess tin ala tentera yang cukup senang dan cepat. Ada juga peserta yang membawa sambal petai dan keropok lekor untuk dimakan bersama.
Lewat petang, penganjur mengelolakan satu rombongan ke puncak Jerai untuk menikmati keindahan matahari terbenam. Sayangnya peratusan melihat fenomena alam ini agak tipis memandangkan cuaca pada petang itu agak mendung. Acara gathering ini telah diadakan di The Regency Jerai Hill Resort yang menawarkan satu panorama yang cukup menarik. Tidak terlintas di pemikiran terdapatnya suasana sebegini hebat.
Bangunan resort cantik, berhalamankan tumbuh-tumbuhan yang segar dan cukup cantik. Kami telah dibawa melihat unitunit kediaman yang bersih, berkonsep moden dan mempunyai kemudahan setara hotel lima bintang.
Malam melabuhkan tirainya. Aktiviti bercerita pengalaman mengembara dan cerita-cerita mistik Gunung Jerai dikongsi bersama. Mungkinkah cerita Sang Kelembai dan Merong Mahawangsa atau cerita Katak Puru di Telaga Tok Sheikh. Sayu-sayu sahaja kedengaran penceritaan itu sehingga hanyut lena dibuai mimpi dalam kepenatan.
Laungan azan subuh dari base kem pengakap memecah kesunyian. Bermulalah hari baru. Sibuklah Dapur Officer menyediakan sarapan. Tidak kurangnya kami, Amierul yang dah biasa dengan tugasan memasak turut beraksi. Gaya memasak yang menggunakan chopstick memang nampak seperti tukang masak berpengalaman. Hebatkan!!!
Pada hari kedua, aktiviti dirancang untuk menjamu selera di Warung Kacang Poi Ugthara di Berkam, melawat tempat bersejarah di Ekor Kucing iaitu sempadan British dengan Siam sekitar tahun 1909 (pernah dikenali sebagai sempadan Penang-Siam oleh penduduk tempatan), jambatan keretapi lama dan lawatan ke Tapak Tamadun Terawal Asia Tenggara di Sungai Batu. Pemandu pelancong kami ialah Admin Media Sosial ATM, Dr. Azman. Lawatan tersebut mengambil masa kirakira empat jam. Ramai di antara kami yang bersurai di lokasi terakhir lawatan. Tinggallah kami berempat termasuk Dr. Azman yang mengiringi pulang ke Gurun dalam rebas hujan. Di pertengahan perjalanan beliau mengajak kami pekena Mee Goreng Mashyur di Bedong. Warung Mee Abu nama diberi. Wah!! Betul-betul sedap.
Apabila tiba di kawasan perkhemahan, kami dapati jumlah peserta dan khemah sudah berkurangan. Mungkin ada yang hanya bermalam sehari sahaja. Acara di waktu petang bebas dan inilah peluang buat kami dan rakan-rakan lain berendam di kolam. Seronok walaupun sejuk lebihlebih lagi apabila angin bertiup lembut dari puncak menyentuh badan. Apa yang lebih seronok ialah suhu luar permukaan air terasa lebih sejuk daripada dalam air. Apa lagi, masuk semula ke dalam air untuk dua jam lagi! Puas!
Pada jam 5:30 petang kami disertai dua orang peserta lain ke puncak sekali lagi dengan hajat 'nak pekena' mee bandung di Medan Selera Jerai. Sayang sekali.... tutup dan terpaksalah pulang dengan tangan dan perut yang kosong. Hujan lebat sekali lagi membasahi kami ketika berpatah balik ke resort.
Kempunan tak dapat nak rasa mee bandung, kami ke The Simple Café untuk makan sandwich tetapi tiada meja yang kosong. Pelanggan pada hari itu memang ramai. Akhirnya kami mengambil keputusan makan malam ala buffet di restoran Puncak Jerai (restoran utama The Regency). Harga berbaloi dengan hidangannya.
Kami kembali ke tapak khemah pada jam 7.00 malam. Masa tu... suhu dah semakin menurun, makin lama makin sejuk. Inilah seronoknya berkhemah kerana minda tenang... tidak terganggu dengan kesibukan kota dan kerja. Sesekali kami keluar berborak dengan mereka yang lain yang hampir semuanya bercerita mengenai pengembaraan dan perkhemahan.
Antara mereka yang berkongsikan kisah pengembaraan mereka ialah Aimpro Samudera, Alfi & Diana, Pak Eid, Aziz PG, Rosli Sulaiman dan yang paling istimewa ialah saudara Azman Ali. Beliau berkongsikan cintanya pada pengembaraan tercetus disebabkan membaca tulisan dan nukilan arwah MYB, pengasas majalah RodaRoda ketika menunggang motosikal di Eropah. Azman yang kini menunggang sebuah Brixton telah mengembara hingga ke China dan India.
Selain daripada perkongsian kisah dan tips ketika mengembara, pihak penganjur turut mengadakan acara cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai jenis hadiah yang unik seperti makanan kucing, 'cacing' untuk tampal tayar, vaucer baju-t (kena ambil di Betong), topi keledar dan paling kelakar ialah ubat kuat untuk lelaki yang diberi nama 'Din Turbo'. Memang gamatlah suasana bila tiba acara cabutan bertuah. Semua bergelak ketawa ketika menerima hadiah lebih-lebih lagi apabila hadiah 'ubat kuat' dimenangi oleh orang yang sama... bujang pula tu!
Hari ketiga juga 'bermula' awal. Dengan bantuan lampu yang dibawa, kami memulakan operasi pertama pagi ini iaitu dengan membuat sarapan. Sedikit demi sedikit kedengaran jiran-jiran mulai keluar dari khemah... semuanya mula menyediakan sarapan seperti kami. Menu pagi ini cukup ringkas. Kami 'pekena' apa yang masih berbaki seperti telur goreng dan mee segera. Bila melihat keadaan di khemah bersebelahan, macam-macam menu pagi itu. Siap ada Continental dan English Breakfast lagi. Earl Grey Tea…. kami cuma sky juice je pagi ini. Cukuplah.
Sebaik kami dah selesai bersarapan. Kerjakerja mengemas terus dijalankan. Kami berhajat untuk meninggalkan Gunung Jerai seawal mungkin agar dapatlah tiba di Kuala Lumpur sebelum gelap. Setelah bersalaman dan mengucapkan selamat tinggal kami bertolak turun tepat jam 8.30 pagi. Permukaan jalan yang basah memerlukan kawalan jentera dengan baik agar tidak berlaku segala yang ditakuti. Syukur... kami selamat tiba di kaki Gunung Jerai dalam keadaan selamat dan meneruskan perjalanan pulang ke destinasi akhir.
Walaupun dalam masa yang singkat tetapi kepuasan dan pengalaman menjadi satu cerita menarik buat anak cucu kami nanti. Setidak-tidaknya cerita ini bukanlah suatu cerita Mistik di Gunung Jerai. RR
Oleh: Saiful Nizam
Popular