Isu Terkini

Julai 2024

Kembara / 15 April 2023

Ride & Camp - Round 360 Sabah

Perancangan hanya mengambil masa sebulan. Enam sahabat iaitu Rejap, Rosly, Norzalee, Mohammed Hatta, Damiding dan Mohd Aidil telah merealisasikan perancangan untuk membuat program "Ride & Camp Round 360 Sabah."

Program ini bertujuan untuk mengeratkan semangat setiakawan dan juga untuk menikmati keindahan bumi Sabah disamping merasai pengalaman menunggang motosikal di atas jalan rayanya. Dalam masa yang sama, untuk mengukur dan menguji tahap kemahiran dan ketahanan mental, fizikal para penunggaang dan motosikal.

Tarikh 21-26 Januari 2023 telah dipilih sebagai tarikh untuk menunggang motosikal mengelilingi Sabah, sempena cuti panjang Tahun Baru Cina yang lalu.
20 Januari 2023, setelah mendarat di Lapangan Terbang Kota Kinabalu, kami menuju ke tempat penyewaan motosikal di Likas untuk mengambil motosikal. Motosikal yang disediakan adalah Yamaha Y15, Yamaha LC135 dan Honda RS 150.

Kami merancang untuk berkhemah di setiap persinggahan tetapi atas faktor cuaca, keselamatan dan keselesaan, kami bersepakat untuk 3 hari tidur di hotel dan 3 hari lagi berkhemah. Lokasi berkhemah adalah di Bundu Tuhan, Melangkap dan Simpang Mengayau.

Perjalanan kami selama 6 hari merangkumi perjalanan dari bandaraya Kota Kinabalu - Tawau (melalui Jalan Kalabakan) - Lahad Datu - Sandakan - Pitas - Kota Marudu - Simpang Mengayau, Kudat - Kundasang (melalui Jalan Marak Parak) - Kota Belud - Papar - Kota Kinabalu.

21/1/2023 Kota Kinabalu - Tawau (Via Jalan Kimanis-Keningau, Jalan Keningau-Tawau)

Seawal 7 pagi, perjalanan pun bermula. Cuaca yang cerah mengiringi perjalanan kami. Destinasi perhentian yang pertama adalah hentian Batu 16, Jalan Kimanis-Keningau untuk berehat sebentar sambil merasai kesejukan kabus dan angin sejuk di Puncak Banjaran Crocker. Jarak perjalanan adalah lebih kurang 86km dari Bandar Kota Kinabalu.

Seterusnya kami meneruskan perjalanan ke Pekan Keningau untuk mengisi minyak. Sepanjang perjalanan dari Keningau ke Kalabakan, tiada stesen minyak yang akan ditemui di tepi jalan. Minyak hanya dijual oleh orang-orang kampung di tepi-tepi jalan.

Perjalanan dari Keningau ke Maliau Basin diiringi dengan hujan di sepanjang perjalanan. Dengan keadaan jalan yang kebanyakannya telah rosak, berlubang, berpasir dan licin, ianya banyak mencabar kami dan kami harus fokus 100% ke atas jalan raya.

Hentian seterusnya adalah di Maliau Basin. Kami sampai di Maliau Basin lebih kurang pukul 3 petang untuk makan tengahari. Untuk pengetahuan, Maliau Basin adalah Lembangan hutan semulajadi yang masih misteri dan belum diterokai. Jarak setakat ni sudah mencecah 284km.

Kami meneruskan perjalanan ke Kalabakan yang mengambil jarak sepanjang 80km untuk mengisi minyak. Ini adalah stesen minyak yang pertama setelah yang terakhir di Keningau. Seusai isi minyak, kami meneruskan perjalanan sepanjang 95km sebelum singgah sebentar di tapak Tawau Bike Week 2023.

Kami selamat sampai di Hotel MB, Tawau sekitar pukul 10 malam. Jarak perjalanan untuk hari pertama adalah 465km dan masa perjalanan adalah 13 jam.

22/1/2023 Tawau - Sandakan

Cuaca pagi ni cerah. Kami memulakan perjalanan seawal 7.30 pagi. Singgah di Pekan Kunak untuk menikmati hidangan makan pagi di Restoran Nasi Payau. Hidangan istimewa di sini adalah Nasi Payau Masak Kicap.

Jarak Kunak dari Bandar Tawau adalah 80km. Setelah selesai makan dan mengisi minyak, kami teruskan perjalanan menuju ke Lahad Datu. Pertengahan jalan, hujan turun dengan lebatnya dan memaksa kami memperlahankan motosikal. Dalam pukul 3.00 petang, kami singgah makan tengahari di Sukau. Sukau adalah kawasan yang berada di daerah Kinabatangan. Kami menikmati makan tengahari di salah sebuah rumah keluarga peserta kembara kami.

Lebih kurang pukul 4 petang, kami meneruskan perjalanan kami menuju ke Sandakan. Perjalanan dari Sukau ke Sandakan mengambil jarak lebih kurang 130km. Kami tiba di Hotel Elopura dalam pukul 8.30 malam. Jarak perjalanan untuk hari kedua adalah 368 km dan masa yang telah kami tempuhi sekitar 13 jam.

23/1/2023 Sandakan - Kota Marudu (via Jalan Sapi Nangoh)

Seawal pagi cuaca kurang mengizinkan. Sedari subuh angin kuat dan hujan lebat membasahi bumi Sandakan. Perjalanan harus diteruskan. Setelah bersarapan roti canai di restoran berdekatan, kami memulakan perjalanan lebih kurang pukul 8 pagi.

Destinasi kami pada hari ini adalah Simpang Mengayau, Kudat, di mana terletaknya penghujung paling Utara Kepulauan Borneo atau dikenali dengan "Tip of Borneo." Kami akan menggunakan Jalan Sapi Nangoh iaitu jalan paling timur Sabah untuk ke Kudat. Kami akan melalui Pekan Paitan, Pitas dan Kota Marudu sebelum sampai ke Kudat.

Ketika berada di Pekan Paitan iaitu lebih kurang 224 km dari bandar Sandakan, kami sempat menikmati makan tengahari sekitar pukul 2 petang. Motosikal salah seorang dari kami telah mengalami kerosakan pada rantai dan sproket. Nasib baik ada bengkel yang beroperasi di pekan tersebut dan masalah dapat diselesaikan. Kami sempat mengisi minyak di Stesen Minyak Petronas Paitan sebelum meneruskan perjalanan.

Di sepanjang perjalanan, kami sempat singgah di Hutan Simpan Madai Baturong dan Robert Ong's Viewing Point. Ketika mengisi minyak di Pitas, kami mendapat berita bahawa ada dua kawasan jalan menuju ke Kota Marudu telah mula dinaiki air. Kami bersepakat untuk meneruskan perjalanan dan berharap kenderaan ringan masih boleh melepasi kawasan tersebut.

Bila sampai di kawasan banjir, kami dimaklumkan bahawa kenderaan ringan masih boleh meneruskan perjalanan dan kami berjaya melepasi kawasan tersebut.

Setelah sampai di Dataran Bengkoka Lobster Landmark, Pitas, kami sempat merakamkan gambar kenangan di landmark tersebut dalam keadaan hujan lebat. Usai bergambar kenang-kenangan, kami buat keputusan untuk berhenti rehat di restoren Honeyan Rasa, bersebelahan dengan Lobster Landmark kerana perut sudah lapar dan kami semua sudah menggigil kesejukan kerana sepanjang perjalanan hujan lebat.

Memandangkan pada ketika itu jam sudah menunjukkan pukul 6.30 petang, dan perjalanan masih berbaki lagi 115km, kami sebulat suara memutuskan untuk menukar destinasi kami untuk ke Kota Marudu yang jauhnya sekitar 40km sahaja. Ini adalah disebabkan oleh hujan yang masih belum berhenti, keadaan jalan yang licin dan basah serta berlubang dan suasana yang gelap di sepanjang jalan.

Kami tiba di GL Hotel, Kota Marudu sekitar pukul 8.30 malam. Setelah daftar masuk hotel, kami sempat makan malam di restoran berdekatan sambil mendobi baju-baju yang telah basah. Perjalanan hari ni hanya 350km tetapi masa perjalanan adalah sekitar 12 jam.

24/1/2023 Kota Marudu - Simpang Mengayau - Kundasang (Via Jalan Marak-Parak)

Mengikut pelan asal, hari ini kami akan menunggang motosikal dari Simpang Mengayau - Kundasang. Disebabkan perjalanan semalam telah tertangguh di Kota Marudu, kami sepakat untuk meneruskan perjalanan ke Tip of Borneo dan patah balik ke Kota Marudu untuk mendaftar keluar hotel dan meneruskan perjalanan ke Kundasang melalui Jalan Marak-Parak. Jalan Marak Parak adalah jalan berliku yang mempunyai 150 selekoh sepanjang 70km.

Setelah bersarapan dalam pukul 8 pagi, kami terus ke Tip of Borneo untuk menikmati suasana di tepi pantai dan melihat di mana pertembungan ombak dari Laut Sulu dan Laut China Selatan. Kami sempat merakamkan gambar di Landmark Tip of Borneo sebagai kenang-kenangan.

Kami menuju ke Hotel untuk mendaftar keluar dan seterusnya menuju ke Kundasang. Keadaan jalan di Jalan Marak Parak boleh dikatakan agak baik tetapi banyak selekoh kecil dan selekoh besar bersilih ganti. Bagi kami, Jalan Marak-Parak boleh dikatakan sama dengan Jalan Klawang, Negeri Sembilan kerana ianya seperti syurga bagi penunggang motosikal untuk melayan selekoh.

Setelah sampai di Ranau, kami sempat singgah di Hot Spring, Ranau sebelum meneruskan perjalanan ke Kundasang.

Setelah sampai di Kundasang sekitar 4 petang, kami singgah untuk makan tengahari di Pekan Kundasang. Sayap ayam adalah menu terkenal yang terdapat di Kundasang dan kami sempat menikmati kelazatan Sayap Ayam Kundasang dalam suasana berkabus dan sejuk.

Setelah selesai menikmati hidangan makan tengahari, kami membeli barang keperluan untuk makan malam kerana kami akan berkhemah pada malam hari. Kami meneruskan perjalanan ke Bundu Tuhan yang mengambil jarak 16 km dari Pekan Kundasang.

Malang bagi kami, kerana tapak khemah yang kami tempah terlalu basah dan air bertakung dan tidak sesuai untuk mendirikan khemah. Homestay pula telah habis dijual. Setelah berbincang dengan pihak pengurusan tapak khemah, mereka berusaha menghubungi pengurusan homestay yang ada di sekitar tempat tersebut. Mujur, ada satu homestay masih kosong dan kami menyewa homestay tersebut.

Jika hari tidak hujan dan berkabus, kami boleh melihat pemandangan Gunung Kinabalu dari homestay pada waktu malam tetapi pada malam itu, cuaca tidak mengizinkan. Kami berharap esok pagi cuaca akan cerah dan kami dapat menikmati pemandangan Gunung Kinabalu.

Hari ini, jarak perjalanan kami adalah sepanjang 287km dan masa dalam perjalanan adalah selama 10 jam.

25/1/2023 Kundasang - Melangkap, Kota Belud

Syukur Alhamdulillah, pagi ni cuaca mengizinkan untuk menikmati pemandangan indah Gunung Kinabalu dari jarak dekat. Indahnya ciptaan Tuhan. Lensa kamera kami tidak lekang merakamkan keindahan Gunung Kinabalu yang dikelilingi kabus di bawahnya. Hari ini kami lebih santai kerana jarak perjalanannya hanya sekitar 60 km sahaja. Destinasi kami pada hari ni adalah ke Melangkap, Kota Belud.

Setelah berkemas, kami mulakan perjalanan dalam pukul 10 pagi. Kami bersarapan di Pekan Kundasang menikmati Soto Daging dan Sayap Ayam. Badan terasa panas sedikit selepas menikmati Soto Daging yang panas kerana cuaca di Kundasang amat sejuk sehingga badan boleh menggigil.

Dalam pukul 11 pagi, kami meneruskan perjalanan ke Melangkap dan telah menempah tapak khemah di Nahandang Melangkap Homestay & Campsite. Kami menempah satu Sulap bersaiz besar (Pondok) dengan harga RM100/malam dan sewa RM10 untuk tapak khemah.

Setelah selesai mendirikan khemah, kami sempat menikmati keindahan lanskap campsite, pemandangan Gunung Kinabalu dan Sungai Melangkap.

Pada malam hari kami adakan acara bakar Sayap Ayam yang telah kami tempah dari Pekan Kundasang. Menikmati malam yang indah di Melangkap tidak akan kami lupakan. Sambil berborak dengan jiran dan pengendali homestay, kami bertukar-tukar pengalaman dan pengetahuan tentang alam dan kehidupan.

26/1/2023 Melangkap, Kota Belud - Papar - Kota Kinabalu

Hari terakhir dalam misi menjelajah mengelilingi bumi Sabah. Destinasi terakhir kami adalah bandar Kota Kinabalu. Selepas subuh, kami menikmati pemandangan terbit sang suria di sebalik Gunung Kinabalu, dikelilingi kabus di bawahnya seolah-olah terdapat satu pulau di atas awan.

Setelah kabus menyelubungi Gunung Kinabalu dalam pukul 9 pagi, kami bersiap-siap untuk meneruskan perjalanan ke Kota Kinabalu. Kami bercadang singgah di Jambatan Gantung Tamparuli yang terletak di Pekan Tuaran dan seterusnya menuju ke Pekan Papar kerana kami akan menikmati makan tengahari di rumah keluarga salah seorang peserta kembara kami. Di Papar, kami telah dihidangi dengan masakan kampung. Kari Udang Kara, Sup Tulang, Sayur dan Ikan Talapia Pekasam yang dibuat sendiri oleh tuan rumah.

Pada pukul 5 petang, kami teruskan perjalanan ke Kota Kinabalu untuk mendaftar masuk Hotel Celyn dan seterusnya menghantar motosikal yang disewa selama 6 hari. Perjalanan hari ni hanya sejauh 115km.

PENUTUP

Jarak perjalanan yang telah kami lalui sepanjang ride ini adalah lebih kurang 1,900km.
Pengalaman dan pengamatan yang kami lalui dan dapati sepanjang program ini adalah :-

Keadaan Jalan Raya
- Terdapat jalan raya yang berpasir, berminyak, tidak bertar, berlubang dan jalan licin di sepanjang perjalanan kami terutamanya di Jalan Nabawan - Kalabakan dan Jalan Sapi Nangoh - Pitas. Disebabkan itulah, kita kena fokus 100% tumpuan terhadap jalan raya dan keadaan sekeliling.

Keadaan Cuaca
- Cuaca panas terik dan hujan lebat silih berganti dan kadang-kadang satu hari perjalanan di dalam hujan lebat. Persediaan kelengkapan menunggang di waktu hujan amatlah digalakkan untuk mengelakkan kita hilang fokus kerana kesejukan.

Kepelbagaian trafik
- Dengan ketiadaan lebuhraya, jalanraya antara bandar di Sabah hanyalah jalan dua hala. Oleh yang demikian, kita akan bertembung dengan semua kenderaan sama ada ringan atau berat. Oleh yang demikian, sifat tolak ansur dan sikap berhati-hati amatlah dituntut ketika menunggang di Sabah.
Bagi kami, Sabah adalah salah satu tempat menarik untuk melakukan aktiviti menunggang motosikal dan berkhemah kerana Sabah mempunyai tempat yang menarik dengan berbukit-bukau, bergunung-ganang, mempunyai banjaran, hutan simpan, sungai, pulau dan juga laut.

"Semuanya ada di Sabah". RR

- Rejab

Isu Pada

April 2023

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

Kembara Sampai ke Boten

Ride Sri Lanka - Berbelit Jalan Serta Lidah Nak Menyebutnya...

Kuching, Sarawak, Malaysia - Pontianak, Indonesia: 1000km Loop (Bahagian Akhir)

Kuching Sarawak Malaysia - Pontianak Indonesia: 1000km Loop (Bahagian 1)

Sabah 360 Ride 1,800KM Loop (Bahagian II)

Ride Berdua ke Siam

Sabah 360 Ride 1,800km Loop (Bahagian 1)

Ride Ihya Ramadhan TM Bikers Ke Gua Musang, Kelantan

Disyorkan untuk anda
Model Baru

EICMA 2024: Moto Morini Perkenalkan Model Ikonik, 3 1/2 Baru

Moto Morini meraikan ulang tahun ke-50 model ikonik yang dikenali sebagai '3 1/2' dengan memperkenalkan di pameran motosikal antarabangsa EICMA.

Model Baru

Ducati Panigale V4 2025 Kini Di Malaysia - Harga Asas RM182,900

Ducati Malaysia telah melancarkan Panigale V4 generasi terbaru sempena dengan perasmian pembukaan Ducati Sungai Buloh.

Warta Roda

Penunggang motosikal berkuasa tinggi terlibat dalam kemalangan maut...

Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi dan pemandu warga emas maut selepas kedua-dua kenderaan tersebut bertembung dalam kejadian di Kilometer 11 Jalan Pan Borneo, di sini pada hari Ahad yang lalu.

Yamaha R9 - Generasi Terbaru Supersport

Untuk tahun 2025, Yamaha memperkenalkan model Supersport terbaru, R9 yang menawarkan prestasi cukup mantap dan teknologi canggih Siri R. Model ini direka berasaskan jentera perlumbaan sebenar.