Isu Terkini

Julai 2024

Kembara / 5 September 2020

Kembara Epik Ha Giang Loop Bahagian 1

Persiapan rapi telah dilaksanakan kira-kira sebulan sebelum keberangkatan. Pembelian tiket kapal terbang pergi balik dari Kuala Lumpur ke Hanoi telah ditempah secara berkumpulan. Maklumat dan lakaran perjalanan diselidiki: jadual perjalanan, tempat persinggahan, penginapan, cuaca, bekalan makanan dan lain-lain keperluan.

Kemudahan internet digunakan dalam pencarian maklumat terutama sekali untuk mencari saudagar sewaan motosikal yang mampu menawarkan servis terbaik mengikut kemampuan dan kehendak kami. Isu pemakanan juga harus diberikan perhatian yang serius memandangkan Vietnam adalah sebuah negara yang mempunyai penduduk Islam yang sangat sedikit. Kerana itu, kami telah bersiap siaga dengan membawa bekalan yang terdiri daripada makanan kering dan tahan lama seperti roti, serunding, makanan dalam tin dan mee segera.

Paling penting sekali jika teringin nak makan nasi, kembara meals menjadi pilihan. Ianya cepat, mudah, efisien serta boleh disediakan di mana sahaja tanpa memerlukan sebarang  peralatan tambahan. Hanya perlu tambah air sahaja, apa sahaja jenis air, panas atau sejuk, nasi berperisa bersama rendang daging atau ayam sedia untuk dinikmati. Sila review tatacara penggunaan kembara meals di sini: https://www.youtube.com/ watch?v=Qa5rFoMwUBI

Tanggal 19 Januari 2019, Air Asia membawa kami terbang selama tiga jam untuk sampai ke Hanoi seawal subuh hari. Kami menuju ke My Dinh Bus Station dengan teksi. Di sana, kami mendapatkan tiket perjalanan ke Ha Giang pada malam nanti.

Lapan jam kami mengembara dalam lena menuju ke Ha Giang meredah kedinginan malam. Sedar-sedar sahaja, menjelang waktu subuh, bas sudah berhenti di hadapan hostel. Selesai bersarapan ringkas dengan bekalan yang dibawa dari Malaysia, kami ke garaj motosikal yang terletak bersebelahan dengan hostel. Di sini, kami diberi peluang untuk memilih jentera tunggangan masing-masing.

Di bandar Ha Giang ini, terdapat beberapa premis perniagaan yang menawarkan aktiviti pelancongan bermotosikal . Kami memilih QT Motorbikes and Tours sebagai peneraju kami setelah terpesona dengan kemudahan yang disediakan memenuhi kehendak kami, ditambah pula dengan komentar mulia daripada pelancong yang pernah berkunjung ke sini. Mereka boleh dihubungi melalui laman Facebook: https://www.facebook.com/qtmotorbikes/. Difahamkan bahawa syarikat ini mempunyai 250 buah motosikal pelbagai model sebagai aset sewaan kepada pelancong. Harga berbeza mengikut model yang ditawarkan, bermula daripada VND200,000 (RM35.00) bagi moped berkuasa 110cc, sehingga VND650,000 (RM115.00) bagi model dirt bike berkuasa 150cc.

Jentera superbike dengan kapasiti lebih besar tidak ditawar memandangkan bentuk muka bumi serta keadaan jalan tidak membenarkan tunggangan secara agresif dilaksanakan dalam pengembaraan ini. Purata kelajuan yang bersesuaian adalah dalam lingkungan 50-60 km/j sahaja. Kelajuan bukanlah keperluan di sini. Pengembaraan menikmati keindahan alam, itu adalah matlamat kami.

Penerangan maklumat perjalanan serta keselamatan disampaikan dengan jelas oleh pengurus syarikat sewaan yang fasih berbahasa Inggeris jika dibandingkan dengan kakitangan yang lain.

Antara perkara mustahak yang perlu diberi perhatian sebelum berlepas ke Vietnam adalah keperluan memiliki permit pemanduan antarabangsa (IDP) bagi membenarkan seseorang warga asing mengendalikan kenderaan bermotor di Vietnam. Demi keselesaan atau ‘for peace of mind’ demi memudahkan banyak pihak termasuk diri sendiri sekiranya terjadi sesuatu yang tidak diingini, adalah lebih baik IDP ini dimohon terlebih dahulu di Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) dengan bayaran RM150.00 sahaja dan sah untuk tempoh setahun. Dah ada IDP barulah terasa lebih yakin untuk menunggang di negara orang.

Seperkara lagi yang harus diberikan perhatian adalah keperluan untuk mendapatkan perlindungan insuran, sama ada untuk diri sendiri atau jentera yang ditunggangi. Walau pun tidak menjadi kewajipan, namun jika mengambil kira laluan pengembaraan yang ekstrem serta berisiko, insuran boleh membantu sekiranya terjadi sesuatu perkara yang tidak diingini.

Travel insurance boleh dibeli di Malaysia menggunakan perkhidmatan yang disediakan oleh syarikat insuran dengan bayaran berpatutan. Manakala insuran untuk motosikal dibayar kepada syarikat sewaan sebagai jaminan bantuan di jalanan sekiranya berlaku kerosakan pada jentera dengan bayaran sebanyak VND200,000 sahaja.

Kami diberi peluang untuk mencuba jentera yang disediakan sebelum membuat keputusan memilih jentera tunggangan dan menjelaskan bayaran. Akhirnya seorang dari kami memilih model vintage Yamaha YB125SP sebagai teman pengembaraan beliau, dua orang memilih scrambler Honda XR150, manakala selebihnya yang tidak mementingkan gaya, cukup sekadar dapat ride sahaja, telah memilih Yamaha Sirius 110cc. Semua jentera dalam keadaan baik, malah ada beberapa model Yamaha Sirius yang masih belum mencecah 1,000km perbatuan. Masih baharu dan 'bergetah'. Semua sudah bersedia. Lets ride!!!

Jam 8.45 pagi, cuaca redup dan dingin musim sejuk hemisfera utara. Apatah lagi apabila bermotosikal, kesejukan itu makin ketara memandangkan kami tidak memakai jaket yang cukup tebal. Sewaktu proses pencarian maklumat dijalankan ketika kami masih berada di Malaysia, anggapan kami sejuk biasa-biasa aje ala Genting Highlands.

Rupanya sejuk di sini ibarat di Genting Highlands sesudah hujan di subuh hari. Ditambah lagi dengan motosikal ini kami terdedah secara langsung dengan tiupan angin, memang sangat sejuk hinggakan kami terpaksa mengenakan beberapa helaian pakaian yang dipakai berlapislapis untuk mengekang kesejukan. Harapan kami agar tiada hujan sepanjang perjalanan.

Justeru itu, kepada sesiapa yang ingin ke sana, siasat dahulu keadaan cuaca/musim apa di sana.

Kami singgah di sebuah stesen minyak untuk memenuhkan tangki motosikal sehingga ke paras maksimum. Menunggang di negara asing, sukar bagi kami untuk mengagak lokasi stesen minyak yang berikutnya. Maka adalah lebih baik, setiap stesen yang disinggahi dipenuhkan dengan petrol secukupnya.

Satu jam pertama pengembaraan ini membawa kami keluar dari bandar Ha Giang menuju ke kawasan desa yang landai dan permai sebelum memulakan pendakian merentasi kawasan pergunungan. Ha Giang (disebut sebagai Haa-Jiang) merupakan sebuah negeri yang terletak di utara negara Vietnam dan bersempadan dengan tanah besar China. Dengan kepadatan penduduk sekitar 72,000 orang, ia bukanlah sebuah negeri yang besar dan tidak terlalu sibuk. Kerana itu, khazanah alam semulajadinya masih terpelihara dengan menyajikan lanskap kawasan pergunungan dan kawasan lembah yang indah saujana mata memandang. Dataran tinggi yang mengasyikkan ini telah mendapat pengiktirafan UNESCO sebagai Dong Van Karst Plateau Geopark pada tahun 2010, sekaligus menjadi tarikan kepada pelancong untuk berkunjung ke sini.

Kami menyelusuri laluan berliku sebelum tiba di Quan Ba, sebuah daerah kecil yang berada pada ketingggian 1,600 meter dari paras laut, juga merupakan pintu masuk ke Dong Van Karst Plateau Geopark. Turut dikenali sebagai Heaven Gate oleh penduduk tempatan. Di sini terletaknya dua buah bukit batu kapur menyerupai payudara wanita yang menjadi cerita lagenda masyarakat tempatan berkenaan dengan hikayat cinta puteri kayangan dengan seorang pemuda di bumi. Setelah mendapat tentangan daripada keluarga sang puteri, beliau telah dipaksa pulang ke kayangan. Namun sebelum itu, sempat pula beliau meninggalkan payudara beliau sebagai susuan kepada anaknya yang masih bayi. Lama kelamaan, payudara tersebut berubah menjadi bukit. Begitulah menurut hikayat kisah lagenda di sini.

Kami singgah sebentar di pekan Quan Ba kerana jentera Honda XR150 dahagakan petrol yang hampir kehabisan setelah menempuh perjalanan sejauh 60km merentasi kawasan desa yang penuh dengan selekoh dan turun naik bukit. Hairan juga kerana Yamaha Sirius 110cc kelihatan di meter masih berada dalam takuk yang penuh.

Ternyata dengan gaya tunggangan di sini, Yamaha Sirius 110cc memberikan penjimatan petrol yang amat mengagumkan. Kerana itu, penunggang Yamaha Sirius 110cc nekad untuk meneruskan perjalanan tanpa mengisi petrol kerana yakin mampu sampai ke stesen berikutnya yang terletak 60km di hadapan.

Pengembaraan menuju ke check point seterusnya, yang sepatutnya mengambil masa dua jam perjalanan, terpaksa dilanjutkan gara-gara kami banyak berhenti untuk merakamkan gambar berlatar belakangkan lanskap indah kawasan pergunungan. Secara tidak langsung memberi kami peluang untuk berehat setelah duduk agak lama di atas jentera.


Kami singgah di Doc Tham Ma Viewpoint untuk merakamkan kenangan. Kawasan ini meyajikan pemandangan indah liku-liku jalan raya merentasi kawasan pergunungan. Ia ibarat ikon yang seakanakan menggamit kehadiran pelancong untuk bertandang ke sini. Semestinya dengan motosikal.

Kelibat kanak-kanak etnik tempatan berkeliaran di sini menggamit kehadiran pelancong. Mereka membawa bunga segar dan juga bunga yang sudah digubah untuk dijual kepada pelancong. Bagi membangkitkan rasa seronok dalam diri mereka, kami memberi sedekah dalam bentuk gula-gula, coklat, makanan ringan dan juga sedikit wang.

Kami singgah di stesen minyak berhampiran untuk memenuhkan tangki yang semakin kurang isinya. Walaupun jauh di pedalaman dan hanya dihubungkan dengan jalan raya yang sempit dan penuh berliku, masih terdapat sebuah stesen minyak yang cantik dan moden. Rupanya masih cantik.... seperti baru dibina.

Kami meneruskan perjalanan menuju ke destinasi berikutnya yang terletak kira-kira 50 kilometer di hadapan. Tiang bendera Lung Cu, sebuah mercu tanda yang didirikan oleh kerajaan bagi menempatkan sebatang tiang bendera gergasi seperti yang kita lihat di Dataran Merdeka. Tegak berdiri setinggi 30 meter, di atas puncak Gunung Lung Cu pada ketinggian 1,400 meter, berkibar megah bendera gergasi ‘Red Flag With A Gold Star’ bagi menunjukkan tanda kedaulatan negara kepada jirannya, China yang terletak di sebelah sempadan sahaja.


Kami tiba di dataran pintu masuk ke puncak Lung Cu pada lewat petang, di mana kebanyakan pelancong sudah mula meninggalkan tempat tersebut. Kami mengambil kesempatan berhenti di sini untuk menikmati bekalan makanan yang dibawa dari Malaysia serta menunaikan solat. Air yang amat dingin memberikan cabaran kepada kami sewaktu berwuduk. Terasa seperti menyapu ais di badan. Sejuk yang amat!

Untuk sampai ke puncak Lung Cu, kami perlu mendaki beberapa puluh anak tangga lagi dalam kedinginan tanah tinggi ditambah pula dengan suasana musim sejuk di utara Vietnam. Walau pun agak memenatkan, namun usaha itu berbaloi dengan pemandangannya yang menakjubkan.

Selesai bergambar kenangan, kami meninggalkan Lung Cu pada saat matahari hampir terbenam. Ini bermakna, kami harus meneruskan perjalanan ke pekan Dong Van sejauh 25 kilometer dalam kepekatan malam. Tanpa bantuan cahaya dari lampu jalan, hanya berpandukan suluhan cahaya dari lampu motosikal, kami bergerak dengan berhatihati dalam satu kumpulan.

Sejam kemudian, kami sampai ke pekan Dong Van, lalu terus menuju ke hostel untuk bermalam. Gerimis mengundang ketibaan kami, lalu memberikan kedinginan tanpa pendingin hawa sepanjang berada di sini. Kami check-in di sebuah bilik yang menempatkan lapan buah katil yang cukup selesa dengan bayaran yang sangat berpatutan. Kami menikmati tidur yang lena musim salji, nun jauh di dalam utara Vietnam. RR

Bersambung di bulan hadapan….

Zuri Aqim

Isu Pada

Oktober 2019

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

Kembara Sampai ke Boten

Ride Sri Lanka - Berbelit Jalan Serta Lidah Nak Menyebutnya...

Kuching, Sarawak, Malaysia - Pontianak, Indonesia: 1000km Loop (Bahagian Akhir)

Kuching Sarawak Malaysia - Pontianak Indonesia: 1000km Loop (Bahagian 1)

Sabah 360 Ride 1,800KM Loop (Bahagian II)

Ride Berdua ke Siam

Sabah 360 Ride 1,800km Loop (Bahagian 1)

Ride Ihya Ramadhan TM Bikers Ke Gua Musang, Kelantan

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

RXZ Twin Boss V2 Oleh FNG Works Akan Dipamerkan di Yokohama Hot Rod Custom Show 2024 di Jepun!

RXZ Twin Boss V2 yang menang di AOS2024 dalam pertandingan Art Of Speed Invitational Bike Build Off akan dipamerkan di Yokohama Hot Rod Custom Show 2024.

Dari Litar

Qabil Irfan Raih Podium Di Sepanyol

Qabil Irfan menunjukkan prestasi cemerlang di Spanish Superbike Championship Moto4 Round 6 yang berlangsung di Litar Navara, Sepanyol.

Yamaha R9 - Generasi Terbaru Supersport

Untuk tahun 2025, Yamaha memperkenalkan model Supersport terbaru, R9 yang menawarkan prestasi cukup mantap dan teknologi canggih Siri R. Model ini direka berasaskan jentera perlumbaan sebenar.

Warta Roda

Kemalangan Maut Motosikal Akibat Langgar Kerbau

Perjalanan seorang pengawal keselamatan ke tempat kerja bertukar tragedi apabila motosikal ditungganginya terlanggar seekor kerbau.