Isu Terkini

Julai 2024

Kembara / 10 September 2019

Ride Ramadhan Tenang Team 2019

Ramadhan Al Mubarak adalah bulan keberkatan yang ditunggu-tunggu oleh umat Islam di seluruh dunia. Begitu juga dengan kami dari Tenang Team yang pastinya akan mengadakan konvoi bermotosikal di bulan ini. RRTT19 yang dilangsungkan pada 17hb-19hb Mei mendapat sambutan yang menggalakkan. Destinasi: Bukit Beruntung – Parit Buntar – Kangar – Bukit Beruntung. Sebanyak 30 buah motor dan dua buah pacuan empat roda digunakan sebagai back-up.

Ini merupakan tahun kedua saya mengikuti ride Ramadhan. Seawal 6.15 pagi saya sudah bergerak menuju ke Bukit Beruntung. Ketika dalam perjalanan, Yamaha Lagenda saya terlanggar sebatang besi di lorong kecemasan di KM 451.9 - arah utara. Nasib kurang baik... rim depan bengkok manakala rim belakang pula pecah. Termenung saya seketika di tepi Lebuhraya Utara Selatan itu.

Saya memujuk hati.... Nasib baik tidak jatuh mungkin ini berkat daripada doa sahabat-sahabat. Kejadian ini telah saya maklumkan di dalam Whatsapp Group RRTT19. Beberapa minit kemudian, Bob Azli membalas bahawa dia bersama Bard dan anaknya menaiki Nissan Navara akan membawa saya sekali ke sana. Lega.

Sampai sahaja di Bukit Beruntung, semua peserta sudah menunggu. Bro Razali sudah menyediakan sepasang sport rim baru untuk saya. Saya cukup terharu tak terhingga dan jutaan terima kasih kepada semua yang membantu.

Jam 10.00 pagi baru konvoi bergerak. Semua nampak bersemangat dan segak dengan jaket hijau masing-masing. Namun sebaik sahaja memasuki lebuhraya, bahagian depan motosikal saya mula bergoyang. Semakin lama semakin kuat. Kali ini bearing roda depan pula rosak. Sekali lagi motor saya terpaksa menaiki kereta back-up, Ford Ranger yang dipandu oleh Haji Jasni.

Sdr Mat Zain, ketua konvoi mengarahkan kami semua terus ke Kuala Kangsar untuk memperbaiki motor saya. Kami merancang akan berjumpa semula di Masjid Kg. Air Kuning, Changkat Jering untuk solat Jumaat.

Perjalanan diteruskan ke Taiping. Akhirnya saya menyambung perjalanan dengan menunggang motosikal semula. Cuaca sangat baik, Sang Mentari bersinar dengan terang dan cukup panas. Kali ini konvoi diketuai oleh saudara Latif Mat Saad, orang lama kelab RR dan yang paling penting, ini kampung dia!

Sesi bergambar secara berkumpulan rancak diadakan. Lokasi di hadapan Zoo dan di bawah rimbunan pohon Tasik Taiping menjadi pilihan. Suasana riuh sebentar apabila seorang pelancong dari Australia turut bergambar bersama kami.

Destinasi seterusnya kami bergerak ke Ban Pecah. Hampir 60 km juga jarak yang perlu kami lalui. Jika bukan di bulan puasa, pastinya menu Mee Udang menjadi tumpuan di sini. Jika terus ke Tanjung Piandang pula, kita boleh membeli hasil tangkapan laut yang masih segar. Udang, sotong dan ketam sentiasa menjadi pilihan para pengunjung yang datang ke sini.

Pemandangan memang sungguh cantik. Sebelah kiri terbentang lautan luas yang kebiasaannya menjadi tempat kaki-kaki pancing mencari rezeki. Sebelah kanan pula kelihatan tali air yang mengairi kawasan sawah padi yang sayup mata memandang. Hari semakin petang dan sinaran matahari terus merimaskan kami yang rata-ratanya sudah amat keletihan. Kata sepakat telah dicapai. Kami terus ke homestay di Simpang Lima untuk berehat seketika.

Hari ini kami berbuka puasa di Masjid Jamek Simpang Lima. Sedikit sumbangan telah diberikan kepada pihak pengurusan masjid untuk dihulurkan kepada golongan yang memerlukan. Selepas solat sunat terawih, kami singgah santai, minum dan makan di salah satu Komuniti Pitstop Malaysia Local Route iaitu Route 1 Simpang 5 (R1S5) yang terletak bersebelahan dengan homestay kami. Konsep ini baru sahaja bermula pada tahun 2018. Ianya bakal menjadi satu tarikan bagi pengembara dari serata dunia untuk menjelajah ke setiap ceruk negara Malaysia melalui pit stop MLR ini.

Sementara itu, saya dan beberapa orang lagi telah dibawa ke Restoran Seafood Mak Siti oleh saudara Najmi dan Shafiee (ahli RR utara). Istimewa di bulan Ramadhan sahaja… kami dihidangkan dengan beraneka jenis siput, kerang dan kepah, disamping cucur udang dan satay. Berbaloi menunggu lama sedikit dan sudah ada dalam perancangan di kepala untuk kembali lagi ke sini Ramadhan akan datang. Walaupun lokasinya di ceruk kampung namun pengunjung yang datang sangat ramai. Kagum seketika dengan perniagaan makcik Siti ini.

Jam 1.00 pagi baru kami sampai di homestay, dan terima kasih kepada sdr Najmi dan Shafiee yang sudi belanja kami makan. Sebelum pulang ke Lenggong, saudara Najmi sekali lagi memberi oleole ikan pekasam untuk semua peserta RRTT19. Semoga dimurahkan rezeki. Terima kasih juga diucapkan buat pihak R1S5 yang sudi menyediakan makan sahur. Tak lupa kepada cikgu Azizan yang sudi datang menjenguk kami. Terima kasih daun keladi. Panjang umur kita berjumpa lagi.

Hari Kedua
Destinasi seterusnya.... Kangar. Kali ini, Sdr Salleh Ismail atau Wak Leh pula mengetuai konvoi hingga Pantai Merdeka. Sementara itu Bro Razali meneruskan perjalanan ke Alor Setar dahulu kerana ada urusan keluarga.

Dari jauh saya dapat melihat satu menara yang tegak berdiri sebelum masuk simpang kanan ke Pantai Merdeka. Kelihatan bot-bot nelayan bertindih-tindih antara satu sama lain. Mengimbau kembali bencana Tsunami yang menggemparkan dunia pada tanggal 26 Disember 2004 lalu, terdapat 26 buah bot nelayan yang rosak telah dijadikan Tugu Peringatan Tsunami. Sememangnya ia adalah saat yang menggerunkan dan menerusi tugu ini, kita dapat jugalah membayangkan situasi sebenar yang berlaku pada waktu itu.

Lima belas minit kemudian kami pun berhenti rehat di Pantai Merdeka. Melihatkan laut yang tenang, pantai yang mendamaikan dengan angin sepoi-sepoi bahasa, saya masih tidak dapat menerima kenyataan yang pernah terjadi satu tragedi buruk di sini.

Seterusnya acara cabutan bertuah dan penyampaian hadiah telah disampaikan oleh Uchenlong untuk beberapa kuiz yang telah diberikan sebelum ini. Pelbagai hadiah telah disediakan. Ada yang dapat handphone, bluetooth speaker, gajet-gajet terkini, baju T dan macam-macam lagi. Meriah sungguh sehingga lupa sekejap lapar dan dahaga. Thank you saudara Uchenlong kerana menyediakan hadiah-hadiah yang menarik.

Dalam waktu bersiap-siap untuk ke destinasi seterusnya, Skuter SYM 250 Uchenlong tak boleh dihidupkan. Aduh! Bateri lemah. Giliran motor dan Uchenlong pula naik Ford Ranger Hj. Jasni. Cuaca pula semakin panas ketika kami melalui Bandar Sg. Petani yang agak sibuk ketika itu. Bahang panas membakar badan dan makin terasa apabila terpaksa menunggu beberapa kali di lampu isyarat merah.

Akhirnya kami berhenti di sebuah surau di kaki Gunung Jerai. Selesai solat dan rehat, kami meneruskan perjalanan ke Kangar. Niat untuk bergambar di Menara Alor Setar terpaksa dibatalkan ekoran cuaca yang sangat panas.

Dari kepanasan yang amat sangat, kami 'disambut' dengan hujan ketika masuk ke negeri Perlis Indera Kayangan. Terasa segar semula setelah bermandi hujan. Bro Razali kembali menyertai kami semula setelah diberitahu kami tidak akan ke Alor Setar. Dalam masa yang sama, Uchenlong, Bob Azli dan Hj. Jasni berjaya mendapatkan bateri baru untuk skuter Uchenlong di Sg. Petani.

Sebelum sampai ke homestay, kami singgah dahulu membeli juadah berbuka puasa. Kedua-dua kenderaan pacuan empat roda sudah sampai dulu di homestay. Kami berbuka beramai-ramai kali ini. Berbagai juadah yang ada dikongsi bersama. Seronok rasanya berbuka puasa ramairamai begini. Keakraban makin terasa. Kemunculan ahli RR Perlis, saudara Wadisham amat dinanti-nantikan. Selepas terawih kami berkumpul beramai-ramai.

Puan Ayu telah dipilih oleh ahli jawatankuasa sebagai peserta terbaik pada tahun ini. Hadiah berupa replika helmet fullface sumbangan dan hasil kerja tangan dari  Wak Leh sendiri. Terima kasih. Selepas itu saudara Misran dari Johor memberikan sedikit kata-kata ucapan dan nasihat kepada semua yang ada terutama sekali kepada yang pertama kali menyertai konvoi sebagai pembakar semangat buat ahli yang baru.

Hari Ketiga
Seawal jam 8.00 pagi, para peserta telah bersiap sedia untuk perjalanan pulang. Masing-masing nampak bersemangat. Selepas mengisi petrol kami singgah di Route 7, kedai jeruk kepunyaan saudara Wadisham. Di dalam kedai, Wadisham dan isteri tak menang tangan melayan kami. Di luar kedai lain pula ceritanya. Pokok mangga Wadisham dijadikan sasaran. Habis buah-buah mangga dia kami turunkan untuk dibawa pulang.

Setelah selesai semua urusan jual beli dan kait-mengait, Wadisham dan isteri sempat berkonvoi bersama hingga ke rumah tol yang berdekatan. Semoga dimurahkan rezeki dan dipermudahkan segala urusan untuk saudara Wadisham sekeluarga.

Perjalanan pulang dari Kangar ke Bukit Beruntung yang sejauh 434 kilometer menjadi cabaran utama. Cuaca sekejap panas dan sekejap hujan silih berganti. Ini membuatkan kami rasa keletihan dan mengantuk. Syukur semuanya selamat. Setibanya di RnR Tapah, peserta dari pantai timur mengundur diri dahulu. Suasana sedih dan pilu agak terasa bila bersalaman.

Semoga kita dapat berjumpa lagi di lain waktu. RR

- Sham Sani (B0667)

Isu Pada

September 2019

Popular

  • Dari Litar

    Voge Formica Rossa 150 Bakal Muncul di Perlumbaan CubPrix & ARRC Musim Depan

  • Warta Roda

    Honda RS150R Tiba Dengan Warna Baru

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

Artikel berkaitan

Kembara Sampai ke Boten

Ride Sri Lanka - Berbelit Jalan Serta Lidah Nak Menyebutnya...

Kuching, Sarawak, Malaysia - Pontianak, Indonesia: 1000km Loop (Bahagian Akhir)

Kuching Sarawak Malaysia - Pontianak Indonesia: 1000km Loop (Bahagian 1)

Sabah 360 Ride 1,800KM Loop (Bahagian II)

Ride Berdua ke Siam

Sabah 360 Ride 1,800km Loop (Bahagian 1)

Ride Ihya Ramadhan TM Bikers Ke Gua Musang, Kelantan

Disyorkan untuk anda
Model Baru

Moto Morini Calibro 700 Masuki Pasaran Negara. Harga bermula RM35,888

Mforce Bike Holding selaku pengedar rasmi jenama Moto Morini di Malaysia dengan bangganya melancarkan model ketiga hari ini iaitu Calibro 700.

Warta Roda

Pos Malaysia Terima 1,092 Jentera Elektrik, MEV-1 Pro dari MODENAS

Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) sehingga kini telah pun menyerahkan sejumlah 1,092 unit motosikal elektrik iaitu MEV-1 Pro khusus kegunaan pihak Pos Malaysia Berhad.

Warta Roda

Kemalangan Kereta Dengan Motosikal Berkuasa Tinggi, Penunggang Maut

Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut setelah terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Batu 6, Jalan Kangkar Baru Paloh, Yong Peng, jam pukul 10.15 pagi semalam.

Model Baru

CFMOTO 675SR-R Dilancarkan Pada Harga Asas RM37,888

Bersempena dengan majlis perasmian CFMOTO Flagship Store Sendayan Motor, Mforce Bike Holdings Sdn Bhd telah melancarkan model sport terbaru iaitu CFMOTO 675SR-R.