Isu Terkini

Julai 2024

Kembara / 18 Mac 2020

Team Moped ADV Touring Himalaya Fly & Ride

Perjalanan kami jauh berbeza kali ini dan ia adalah pengembaraan bagi aku (Apis) dan sahabat lain iaitu Eirwan, Paklong, Jiben, Alip dan Don antara yang paling mencabar. Kami meninggalkan Malaysia untuk menguji ketahanan mental dan fizikal untuk menjejakkan kaki ke Himalaya.

4 Julai 2019 - Delhi Memang Serik

Padat, sesak... panas. Seharian transit di Delhi banyak mengajar untuk kita lebih bersyukur. Setiap pelosok bandar yang padat itu digunakan untuk tujuan diri masing-masing. ‘Conjob’ juga banyak di bandar ni. So... hati-hatilah.

Hotel: Viva Palace, Harga: RM90-RM100, Wifi: Bagus, Lokasi cuma 3km dari lapangan terbang.

5 Julai 2019 – Day Trip Keliling Delhi Bersama 'Unkel' Teksi Handal

Kami sewa teksi selama lapan jam atau 80km pada harga 1800 rupee. Duit parking bayar lain. Walaupun aku tengok driver tu parkir tepi jalan je, 'dorang' memang macam tak tahu jalan pula. Suruh bawa pergi makan di shopping mall, dibawanya pergi makan kedai capati. Kita dah berangan nak pekena 'kepci'. Dia jawab di sana tak ada pasaraya.

Kami kemudiannya minta dibawa ke kedai motor, tapi dibawanya ke kedai kain macam Jakel tu. Dia ingat kami ni makcik-makcik ke nak layan kain ela. Kami sabar sampailah bila dah geram, mat mat rempit 'kolumpo' bersatu! Jegilkan mata sikit, haaa elok je pun mengikut.

Hujan lebat sejam di Delhi boleh menyebabkan banjir kilat tapi drebar kami hebat! Diredahnya banjir macam bawa speed boat. 'Burrrrrrr...' macam air paip air masuk dalam kereta. Elok sampai je di lapangan terbang, untuk penerbangan seterusnya ke Leh, dia tu ‘try’ lagi. Katanya sudah lebih 80km dan kami kena tambah lagi 300 rupee. Malas nak bertekak, kami bagi separuh dari amount, angkat beg dan terus jalan. “Selamat tinggal Uncle Master Ji!”

Ok... sebagai langkah awal di India, kami sempat juga kunjungi beberapa tempat menarik seperti India Gate, Qutub Minar, Old Delhi Market, Chandri Chowk, kedai kain dan Jama Masjid

6 Julai 2019 - Ada Apa Dengan LEH?

Hampir 12 jam ‘bergelandangan’ di ruang domestic flight untuk ke Leh. Jika kami nak bergerak awal, ada beberapa penerbangan domestik ke Leh seperti GoAir, Indigo, Spice Jet dan yang lain. Flight memang selalunya di awal pagi, sekitar 6.30 – 8.30pagi. New Delhi ke Leh mengambil masa lebih daripada satu jam. Bagi kawan-kawan yang ada duit lebih, bolehlah top-up untuk dapatkan window seat. Memang berbaloi sebab... dapat tengok pemandangan banjaran Himalaya.

Jujurnya, aku tak pernah tau pun ada tempat bernama Leh ni wujud sebelum ni. Setakat Srinagar tu biasa dengar. Rupa-rupanya ada pengembaran dalam filem ‘Mission Imposibble: Fallout' tu dilakukan di daerah Leh Ladakh?

Altitud di pekan Leh ni lebih kurang 3,500m (Gunung Kinabalu sekitar 4,100m). Memang terasa benar perbezaan untuk bernafas. Kita akan cepat mengah bila bergerak aktif. Apa pun, tempat ini memang sangat cantik dan nyaman. Suasana kampung-kampungnya tenteram, tidak 'semak' macam di Delhi atau Srinagar. Pemandangannya dikelilingi dengan gunung-ganang dan lembah-lembah.

Aku rasa, keluasan pekan Leh ini sekitar 20 kilometer radius. Dalam pekan, ada street market - boleh la beli cenderahati popular, magnet peti ais. Kalau nak rasa nasi beriani, roof top cafe pun ada... dapat lepak-lepak sambil minum chai. Memang syahdu beb. Kalau rasa banyak yang dijual tu harga masih tinggi, ada juga pasar khas untuk pelarian tibet yang telah dibuka dan harga sedikit murah. Geng hiking/trekking pun banyak yang datang ke sini. Ada la tu mana-mana bukit yang nak dipanjatnya.

Kebetulan pada hari kami sampai, ada keramaian menyambut ulang tahun kelahiran Dalai Lama. Ladakhi memang hormat sungguh pada Dalai lama ni dan kami berpeluang merasai suasana 'Hari Raya' dengan gaya Leh. Apa itu Ladakhi, ia adalah panggilan atau gelaran untuk penduduk di sini. Mereka di sini beragama Buddha atau Muslim. Di pekan Leh sendiri terdapat dua buah masjid yang digunakan oleh golongan sunni dan syiah.

Raut wajah, orang di sini macam Tibetan dan ada juga yang macam orang Pakistan. Mekanik motosikal kami di sepanjang pengembaraan ini pun muka macam pemain bolasepak pasukan Real Madrid, Karim Benzema. Bagi aku, jika perlu pilih di antara dua, aku lebih suka jika fly ke Leh dari Srinagar. Walaupun dalam negeri yang sama, suasana sebenarnya jauh berbeza.

7 Julai 2019: ‘ Taglang La, Aku Balik Meru.’

Malam pertama di Leh cukup nyaman sehinggakan kami dapat tidur tanpa penghawa dingin dan kipas. Mandi waktu pagi sejuk sangat sampai ke otak. Sepanjang kami di sana, aku dapati kebanyakan tempat penginapan di daerah berdekatan Himalaya disediakan dengan pemanas air yang menggunakan jana kuasa solar. Tapi bila awal pagi, mana datangnya kuasa solar sebab Sang Mentari belum muncul lagi. Mujur masih ada air baki dalam tangki.

Aku dan beberapa sahabat yang sampai awal ambil peluang untuk test ride jentera Royal Enfield. Destinasi yang nak tuju ialah ‘Taglang La Pass. Highpass Peak di jalan Leh ke Manali. Aku naik RE Classic 350, ada juga yang pilih RE Bullet 350 dan tidak lupa juga pada model kembara RE Himalayan.

RE memang ok! Ia dibina cukup sesuai untuk bentuk mukabumi sana. Purata kelajuan ialah sekitar 80-90 km/j tapi kalau turun bukit, dapat cecah 100km/j. Cuma tongkat dia saja ‘fumble'. Sudut senget tongkatnya kurang lagi dari 45 darjah - terkuis kuis cari batu bila nak menongkat kasi tegak. Oleh kerana ia bukanlah motosikal yang ringan, pakai 'kederat' juga lah bila nak angkat dan ride semula.

Dari Leh, laluan jalan yang landai memudahkan perjalanan. Kami kemudiannya sampai di pos kawalan polis/tentera yang diberi nama, Upshi. Memang banyak juga army checkpoint yang kami lalu sepanjang tempoh pengembaraan di Himalaya. Ada yang kena isi borang dan ada pula yang tak perlu. Kadang-kadang aku keliru tapi tetap ikutkan saja, janji dapat ride.

Pemandangan di sini memang mengagumkan. Ada sungai, kiri dan kanan gunung berwarna coklat. Kami selamat sampai di Upshi dan sementara dok tunggu pemeriksaan passport, sempat la kami lepak minum chai sambil 'pekena' cekedis. Chai kat sini masih lagi berharga 10 rupee, murah. Chai adalah perkataan hindi untuk teh dan di India, terdapat pelbagai citarasa chai yang berbeza.

Jarak dari Leh – Taglang La – Leh adalah sekitar 240 kilometer dan kami guna jalan yang sama untuk pergi dan balik. Ketika mendaki dari Upshi, aku jumpa satu kampung bernama ‘MERU’ yang terletak lebih kurang 30 kilometer sebelum sampai Taglang La. Suhu pula dah mula menurun. Pemandangan bumi hijau semakin kurang dan diganti dengan salji. Terpegun juga diri sendiri pertama kali nampak dan ride di sini. Tak sia-sia kami buat rancangan lebih setahun untuk ke sini.

Sampai di Taglang La, kami cepat-cepat masuk ‘R&R’- pekena chai dan maggi masala dulu. Termengah-mengah juga penangan nak tongkat motor. Kami ambil masa lebih kurang setengah jam lepak di 'peak'. Selfie saja 20 kali! Kalau zaman kamera pakai filem dulu, mesti bapa aku dah sound tepat. Jika nak dibandingkan di antara, Changla, Khardungla dengan Taglang La memang berbeza. Taglang La lebih tenang, orang tak ramai dan tak serabut. Memang aku suka!

8 Julai 2019: Kemuncak gunung ke kemuncak gunung - Lembah Nubra

Program ride sebenar bermula hari ini. Semasa kami makan malam, sempat berborak dan berkenalan dengan rakan-rakan yang lain. Ada level abang, ada haji, ada kakak.... semuanya berkongsi minat yang sama. Bila dah dikumpul, kami semua seramai 17 orang rider yang semuanya sporting belaka.

Kawasan pergunungan Khardungla terletak di belakang pekan Leh saja dan memang boleh nampak puncaknya pun. Kami rasa macam nak ride belakang rumah saja masa mula-mula nak jalan. Ketika kami sampai, tempat ini agak padat dengan netizen tempatani. Satu batu punya hal, semua berebut nak bergambar! Di atas, terdapat juga kem tentera berskala kecil.

Di kemuncak, kita akan dapat merasa pelbagai pengalaman. Altitud yang tinggi, bau hancing pekat pun dapat. Kalau lama-lama memang boleh mabuk hancing. Sebabnya tak ada tandas yang elok atau bersih di kawasan ini, jadi.... faham-faham je lah. Apa yang paling istimewa ialah penanda aras untuk setiap tempat yang dilawati. Setiap kali mendaki atau ketika menuruni, pemandangan yang terhampar di depan mata amat berbeza sekali.

Selepas rehat di Norbu, kami bergerak ke Nubra Valley yang berjarak sekitar 100 kilometer. Perjalanan di tepian Shyok River memang cukup mengasyikkan. Nyaman dan cantik. Nubra Valley kedudukannya antara banjaran pergunungan Karakoram (Pakistan) dan banjaran pergunungan Transhimalaya (India). Kami sampai di Hunder Hubra Valley pada jam 5.00 petang.

Memang terpesona juga apabila melihat kawasan perkhemahannya yang menawan, ala glamping gitu. Sebelum malam menjelma, kami sempat singgah di Hunder Sand Dunes yang merupakan sebuah kawasan padang pasir yang luas dan menjadi lokasi pelancongan yang popular. Selain pemandangan yang sangat cantik, di sini terdapat spesis unta dua bonggol. Kalau nak naik pun boleh!

Kami makan malam ‘vege’ sambil sempat berborak dengan kawan-kawan semua. Suhu malam tu boleh tahan sejuk.... tapi aku tetap gembira sebab dapat mandi air panas. Fuh... nikmat!

9 Julai 2019: Pangong Tso yang berbenjol-benjol.

Sepanjang pengembaraan selama enam hari, laluan dari Nubra Valley - Durbuk – Tasik Pangong Tso antara yang paling teruk sekali. Dah la nak kena hadapi altitud tinggi, ditambah pula kali ini kami kena menyeberang salji cair. Ada banyak tempat pula tu. Salji dari altitud tinggi cair dan turun ke bahagian bawah. Kasut riding pun dah macam kasut skuba. Banjir dan... sudah ada bau kepam. Ujian betul!

Pangong Tso merupakan perkataan dari masyarakat Tibet yang bermaksud Tasik Padang Tanah Tinggi atau High Grassland Lake. Tasik ini berketinggian 4,350 meter, sepanjang 134 kilometer dan terbahagi kepada dua bahagian iaitu India Ladakh (Pangong Tso) dan China-Tibet (Bangong Co). Ketika musim sejuk, tasik ini akan membeku sepenuhnya. Pangong Tso juga merupakan tempat penting untuk pembiakan beberapa spesis burung, itik dan camar.

Selain itu, inilah tempat tidur paling sejuk buat aku di sepanjang tempoh perjalanan. Kebanyakan kawasan khemah dibuat berhadapan dengan tasik ini. Sebagai info tambahan, memang ada beberapa syarikat pelancongan yang tawarkan pakej trip sehari dari Leh - Pangong Tso – Leh. Mereka guna minivan yang tak jauh bezanya dengan bas mini di Kuala Lumpur pada tahun 1990 an dulu.

10 Julai 2019: Rendang 'Marmot', Senak Perut di Kemuncak Chang La

Kalau nak diikutkan, ini masuk hari ketiga program ride. Kami akan balik semula ke Leh. Aku terasa rindu dengan chai di guest house. Jadi... dari Pangong, kami akan naik ke Changla High Pass dan kemudian mendaki terus ke kemuncak Changla sebelum turun semula ke Leh. Semasa keluar dari Pangong, aku sempat ambil gambar dengan binatang comel bernama Marmot. Ia merupakan spesis tikus gunung atau tikus alpen yang berkomunikasi satu sama lain dengan 'jeritan' nyaring yang unik. Sarangnya terletak di tepi jalan saja. Pangong Tso ini diiktiraf sebagai taman negara. Oleh itu, memang banyak binatang seperti kuda, biri biri, marmot, yak dan lain-lain.

Setelah bergembira dan 'Horay! Horay! di Pangong Tso, kami mula membuat pendakian ke Chang La. Peh... perjalanan kali ini lah paling sukar sekali. Laluan offroad memang sangat panjang. Sakit pinggang... senak... semua dapat. Jalan-jalan di kawasan pergunungan ini sentiasa dalam proses penambahbaikan. Ada sahaja jentera berat dan pekerja yang tengah bekerja di tepi jalan.

Ada kekeliruan juga berlaku antara Taglang La dan Chang La. Kedua-dua tempat diakui mereka lebih tinggi. Biarlah hal itu di tangan mereka yang lebih bertanggung jawab. Macam yang dah aku tulis sebelum ini, puncak itu hanyalah sebagai penanda aras. Siapa lebih tinggi janganlah didebatkan sangat. Aku lebih excited pada pemandangan. Chang la juga ada penempatan kem tentera yang berskala kecil.

Selepas meng-harungi segala kesukaran, kami sampai di Leh sekitar 5.00 petang. Selepas 2 ke 3 hari duduk atas motor, bibir pun dah mula kering dan luka. Aku mulanya rasa macam handal, tak mahu pakai vaseline tapi bila dah kering... sakitnya bukan main-main. Pedih... menitik air mata nanti. Sejak hari tu, setiap kali berhenti saja, aku akan sapu vaseline.

11 Julai 2019: Jumpa lagi Leh, Manisnya Kargil

Habis sudah loop di Leh untuk pengembaraan kali ini tetapi masih ada banyak lagi route yang boleh dilalui. Mudah-mudahan ada kesempatan di lain masa. Terasa berat juga hati aku bila nak bergerak tinggalkan Leh.

Kami semua akan teruskan pengembaraan mengikut jalan Leh dan Lebuhraya Srinagar. Di jalan ini akan terlihat banyak transporter lori-lori 'hantu berhias' yang popular di kebanyakan program rencana berkaitan Himalaya. Jalan ini berjarak lebih kurang 420 kilometer. Aku tak pastilah berapa hari lori-lori ini perlukan untuk bergerak dari point A ke point B. Kami akan meneruskan perjalanan ke Kargil yang sejauh 220 kilometer. Dari Leh ke Lamayuru, keadaan jalan sedikit mendatar dan suhu pun biasa saja, tidak lagi terlalu sejuk. Sedang-sedang elok saja.

Kami berhenti di ‘R&R’, Lamayuru. Yesss... buat pertama kali sepanjang tempoh ride, kami berhenti makan di sebuah restoran yang ada wi-fi padu! Apa pun, liputan rangkaian telefon dari Leh ke Srinagar juga dah semakin stabil. Aku masih ingat, kalau di tanah tinggi, harapan nak cari line telefon sentiasa gagal. Lamayuru kami tinggalkan dan kembali merentap jentera masing-masing untuk mendaki ke puncak tertinggi iaitu di Fotula dan selepas itu Namik La. Oleh kerana keadaan jalan dari Leh - Kargil agak sempurna, aku lebih bertenaga, senak-senak juga semakin berkurangan.

Dari Namik La konvoi akan turun semula untuk sampai ke destinasi seterusnya. Kargil adalah sebuah pekan/daerah yang majoriti penduduknya adalah muslim. Ada syiah dan ada sunni di sini dan netizennya manis-manis belaka. Di sini juga terletaknya Sungai Suru (Indus) yang cukup ganas, airnya sangat deras. Kalau jatuh confirm terus hilang.

12 Julai 2019: Ngilu Ngilu di Pergunungan Zojila

Tak sangka, hari terakhir ride untuk pengembaraan ini dah sampai. Berat untuk bergerak tinggalkan Himalaya. Dari Kargil, kami semua bergerak menuju ke Drass, Zojila, Sonamarg dan Srinagar. Dalam perjalanan ke Drass, aku dapati jalan dah mula mendatar di kiri kanan dan makin banyak pemandangan hijau. Disebabkan kedudukan kami tidak lagi di tanah tinggi, suhu tidak lagi terlalu dingin tetapi hembusan udara segar masih terasa.

Sampai di Drass kami berniat nak alas perut dengan maggi masala tapi sebaik sahaja langkah masuk ke kedai, ternampak periuk nasi beriani. Beriani ayam tambah chai harganya cuma 80 rupee. Sampai ke hari ini aku masih teringat betapa lazatnya makanan kami tu.

Drass juga merupakan tempat kedua di dunia yang memiliki persekitaran suhu paling rendah di dunia apabila menjelang musim sejuk. Purata suhu di sini ialah -30 Celcius, malah pada tahun 1990an lalu dikatakan pernah direkodkan suhu terendah iaitu -60 darjah.

Kami tinggalkan Drass terus ride menghala ke Zojila yang sibuk dengan kenderaan. Lori-lori hantu berebut-rebut dan suasana cukup hingar bingar dengan bunyi hon, menekan nekan nak habiskan ke bawah. Kami rehat sekejap di Sonamarg sebelum masuk balik ke laluan sesak menuju ke Srinagar. Keadaan makin padat... makin panas ketika tiba di Srinagar dan kami tak buang masa, terus ke kawasan houseboat memandangkan hari makin gelap.

13 Julai 2019: Srinagar (Mini Delhi) - Kuala Lumpur

Srinagar adalah pit stop terakhir. Tak ada aktiviti bermotor untuk kami di sini, free and easy. Bagi aku, bandar Srinagar mungkin bagaikan jelmaan Delhi. Kalau tak nak kalut-kalut dengan trafik, kawasan houseboat lebih chill... angin menderu membuatkan aku dapat sedikit ketenangan. Dari kawasan salji ke kawasan bandar memang jauh benar bezanya. Dari keadaan yang tenang terus bertukar kepada suasana yang agak berserabut. Apa pun, sempat juga pusing-pusing naik bas mini sekitar bandar Srinagar.

Aku dapati di bandar ini lebih sesuai untuk mereka yang suka membeli belah. Selamat... aku dapat santap ‘Wazwan’ masa makan tengahari. Terubat juga hati! Wazwan ialah makanan orang Kashmir yang berasaskan daging. Nasi dihidang di dalam talam untuk santapan ramai-ramai. Harganya memang agak tinggi... tapi rasanya memang sedap. Wajib kena cuba sekali dalam seumur hidup.

Di sebelah petang, kami cuba ‘Shikara Ride,’ naik sampan pusing-pusing tasik. Dapatlah layan sunset petang. Dal Lake boleh tahan besarnya. Di sebelah belakangnya ada rumah orang tempatan dan beberapa buah kedai. Sebut sajalah nak apa... pashminar, bunga, buah, safron... semua ada. Demi mencari sebutir pengalaman berharga, malam terakhir kami bersantai sambil 'pekena' shisha di houseboat.

13 Julai 2019: 'Sayonara'

Airport Srinagar memang cukup ketat. Kaunter nak periksa beg saja kena lalu lima kali. Yang terakhir terletak di pintu sebelum masuk pesawat. Entah apa diperiksanya aku pun tak tau. Nak bantah nanti kena tangkap pula. Kita hormati dan ikut saja segala peraturan yang telah ditetapkan. Senang... mudah perjalanan.

Jadi, tamatlah cerita fly and ride kami ke Himalaya. Banyak lagi route yang kami tak berkesempatan nak terokai. Aku rasa, kalau nak cover semua sekaligus mungkin kena letak surat berhenti kerja dulu. Jujurnya aku berharap ada rezeki lagi untuk ride ke sini di masa akan datang. Ada pengalaman manis, ada yang pahit... yang pasti semuanya menjadi pengalaman. RR

- Apis Ijau

Isu Pada

Januari 2020

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

Kembara Sampai ke Boten

Ride Sri Lanka - Berbelit Jalan Serta Lidah Nak Menyebutnya...

Kuching, Sarawak, Malaysia - Pontianak, Indonesia: 1000km Loop (Bahagian Akhir)

Kuching Sarawak Malaysia - Pontianak Indonesia: 1000km Loop (Bahagian 1)

Sabah 360 Ride 1,800KM Loop (Bahagian II)

Ride Berdua ke Siam

Sabah 360 Ride 1,800km Loop (Bahagian 1)

Ride Ihya Ramadhan TM Bikers Ke Gua Musang, Kelantan

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Hong Leong Yamaha Motor Rasmikan Space Y, Muzium Motosikal Pertama di Malaysia

Sekalung tahniah buat Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd (HLYM) di atas pencapaian pengeluaran motosikal mereka yang ke- 6,000,000 unit. Bersempena dengan hari bersejarah itu, pihak HLYM telah merasmikan muzium motosikal pertama di Malaysia yang dikenali sebagai Space Y.

Dari Litar

CP125: Syamil Akan Raikan Gelaran Juara Lebih Awal Jika Menang Hujung Minggu ini?

Gelaran juara keseluruhan CP125 buat pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha - 31 Racing, Md Syamil Amsyar semakin cerah.

Model Baru

CFMOTO 675SR-R Dilancarkan Pada Harga Asas RM37,888

Bersempena dengan majlis perasmian CFMOTO Flagship Store Sendayan Motor, Mforce Bike Holdings Sdn Bhd telah melancarkan model sport terbaru iaitu CFMOTO 675SR-R.

Warta Roda

Penunggang motosikal berkuasa tinggi terlibat dalam kemalangan maut...

Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi dan pemandu warga emas maut selepas kedua-dua kenderaan tersebut bertembung dalam kejadian di Kilometer 11 Jalan Pan Borneo, di sini pada hari Ahad yang lalu.