Pengembaraan Penuh Cabaran Di Padang, Indonesia
Pada tahun yang lalu kami telah bermotosikal ke lima negara iaitu Thailand, Laos, Cambodia, Vietnam dan juga Malaysia. Kali ini kami berhasrat bermotosikal ke Indonesia dengan menyewa motosikal kecil untuk melengkapi pengembaraan ke negara Asean.
Perjalanan bermula dari rumah bersama motosikal cub, diparkir di tempat letak motosikal bangunan bawah KLIA2 dengan bayaran RM1 sehari. Aku dapati ia selamat, teratur dan berpengawal. Untuk 6 hari, baru RM6 sahaja bang!
Tiket penerbangan ditempah awal untuk mendapatkan harga murah. Kami memilih Padang kerana perjalanan hanya mengambil masa tidak lebih sejam. Motosikal telahpun ditempah secara talian lebih awal begitu juga dengan pemindahan kami dari lapangan terbang ke lokasi mengambil motosikal. Kami disambut oleh Supir untuk membawa kami (lapan orang) mengambil motosikal di sebuah hotel kecil di Kota Padang. Jarak antara Lapangan Terbang Minangkabau ke pusat bandar sejauh 25km mengambil masa lebih kurang sejam dengan aliran trafik yang sedikit sesak.
Rancangan serta matlamat utama kami adalah bermotosikal sejauh 600km selama 6 hari 5 malam, menggunakan laluan kampung dan terpencil. Ini antara kelengkapan tunggangan kami… 1. Topi keledar, 2. Jaket atau Windbreaker, 3. Vest Keselamatan, 4. Baju Hujan, 5. Peralatan ringkas baiki motosikal, 6. Tali Getah, 7. Pemegang Handphone (tujuan GPS), 8. Bag Pakaian Kalis Hujan yang ringkas, 9. Bag Tambahan tujuan membeli belah semasa pulang (boleh lipat diisi dalam bag utama)
Hari Pertama: 2 Februari 2019 (Rayau Padang)
Selesai urusan motosikal, kami terus menuju ke Fave Hotel dengan kadar RM140 semalam. Semasa kami di lobi kelihatan beberapa penghuni bergegas keluar meninggalkan hotel. Kami tidak mengesaki sebarang yang aneh ketika itu. Selepas menikmati hidangan Padang yang menyelerakan di sebuah restoran, barulah kami tahu sebentar tadi terdapat gegaran atau gempa bumi yang agak kuat menurut cerita seorang warga tempatan.
“Kau rasa?” Ya cukup kuat. Pertama kali dalam hidup aku merasakan gegaran gempa bumi. Berita semasa memberitahu sebentar tadi antara dua gegaran paling kuat sedang berlaku di Padang. Warga tempatan kelihatan seperti tiada apa yang berlaku. Kata mereka “Ini biasa Pak, kalau kuat lagi udah bunyi sirennya.”
Bandar Padang terletak di tepi pantai, sememangnya mempunyai risiko tsunami dan ancaman gempa bumi, tetapi ia sebuah bandar yang cantik dan mempunyai pemandangan pantai mempersonakan. Pada malamnya, kami melelapkan mata agak awal sambil merenung langsir dan air tenang dalam gelas. Kadang kala, langsir bergoyang dan ketenangan air dalam gelas bergerak…. kami tahu, Padang sedang bergegar.
Hari Kedua: 3 Februari 2019 (Padang - Padang Panjang-Batu Sangkar) 120 km
Keesokannya, kami terkejut melihat tajuk utama di akhbar, ‘Padang Bergegar 56 Kali!’ Kami berpandangan, bermakna ancaman gempa bumi di sini agak serius. Bagaimanapun perjalanan kami pada hari ini ke Batu Sangkar menuju ke kawasan pergunungan yang jauh dari garisan gegaran… untuk menyedapkan hati.
Kami sempat berkunjung ke kawasan Pantai Air Manis yang terkenal di situ untuk melihat Malin Kundang. Ia sebuah mitos yang sama cerita Si Tanggang di Malaysia yang menjadi batu akibat sumpahan menderhaka kepada si ibu.
Oleh kerana yakin dengan jalan pintas (disemak melalui Google), kami meredah jalan tanah berbukit untuk ke utara menuju ke arah Bukit Tinggi. Sebaik meninggalkan daerah Padang beberapa kali disimbahi hujan. Ya, masa untuk berponcho (baju hujan plastik berharga lebih kurang RM3). Kami membeli beberapa helai poncho untuk kegunaan sepanjang perjalanan kerana ia mudah koyak sekiranya menunggang sedikit laju. Ia tidak direka untuk tunggangan jarak jauh.
Dari Padang kami menggunakan laluan utama ke Bukit Tinggi, sebelum menyimpang masuk ke Padang Panjang. Semasa memasuki kawasan Tanah Datar, suhu dingin mula terasa. Air Terjun Lembah Anai dan sungai yang cantik menyusuri sepanjang laluan berbukit.
Kami ke Batu Sangkar melalui jalan perkampungan berpanorama teres sawah padi bukit yang mengasyikkan tambahan pula berlatar belakangkan gunung ganang. Sampai agak lewat di Batu Sangkar, suasana dingin jam 8 malam itu agak sunyi begitu aman rasa. Kami menginap di Hotel Pagaryung dengan bayaran Rp348,000 (sekitar RM120 sebilik).
Pada malamnya santai merayau bermotosikal mencari hidangan, sudah pasti nasi Padang, berpuluh jenis lauk sedia untuk dinikmati. “Yang penting fokus apa yang mahu, kalau duk cuit-cuit semua, semuanya akan dikira” ujar salah seorang dari kami. Begitulah cara Padang.
Hari Ketiga: 4 Februari 2019 (Batu Sangkar-Sawah Lunto-Paya Kumbuh) 124km
Selepas sarapan, kami terus ke Istana Pagaruyung antara ikon pelancongan yang harus dilawati. Senibina Minangkabau begitu memukau, lebih-lebih lagi dengan keadaan bangunan yang amat besar tersergam indah di sebalik rumah-rumah kampung di sekitarnya. Istana ini telah musnah dalam satu kebakaran pada tahun 2007 dan dibina semula dengan mengikut rekaan senibina yang asal.
Apa yang perlu diingatkan apabila bermotosikal di Indonesia adalah parkir terutama di bandar. Setiap kali meletak motosikal, dikenakan bayaran Rp2000 (60 sen) biarpun meletak di hadapan restoran yang kita singgahi dan dikutip oleh orang awam yang menjaga kawasan tersebut.
Cabaran bermula apabila pemandu arah kami, Ajis yang begitu rajin meneliti laluan melalui Google Maps membawa kami ke laluan yang terpencil sunyi tetapi sepanjang laluannya begitu memukau jiwa. Saya beberapa kali terhenti dan menghayati pemandangan yang jarang terlihat. Tidak ramai atau sangat jarang kenderaan lain menggunakan laluan ini tambahan pula ia terlalu jauh dengan jalan utama dan bandar.
Hari Keempat: 5 Februari 2019 (Paya Kumboh-Kelok 9- Lembah Harau - Bukit Tinggi) 120km
Laluan berbukit dan bergunung padang rumput yang luas mata memandang, sekali-sekala terdapat penempatan tiga ke empat buah rumah seperti orang asli bukit yang jauh dari budaya moden, hidup dengan persekitaran dingin berangin tanpa janaan elektrik. Kemudian pemandangan berbukit-bukau disulam dengan sawah padi bukit yang berteres, pastikan memukau sesiapa yang melihat pemandangan sebegini. Kami bertemu dengan sebuah kawasan yang landai di mana terdapat petani yang sedang bekerja. Kami sempat berbual dan menikmati cara kuno proses kerja mereka. Segalanya membanting tulang tidak bermesin.
Kami dibasahi hujan dingin semasa melalui Kampung Sulit Air sehingga memaksa kami mencari tempat perlindungan dari hujan yang semakin lebat. Singgah di sebuah masjid terpencil di puncak bukit. Dengan kedinginan gunung, berarak pula kabus dingin di mana kami yakin berada dalam kelompok awan tebal yang dipenuhi dengan titisan air hujan. Begitu mengasyikkan panaroma ini. Seakan berada dalam alam khayalan.
Sebaik hujan reda, kami menyusur lagi laluan terpencil untuk ke sebuah puncak bukit menyaksikan panorama Danau Maninjau dari atas. Setibanya di kawasan tersebut, awan dan kabus putih memenuhi ruang alam, tiada apa kelihatan selain putih. Sempat pula mengena kopi panas dan Indomie goreng di sebuah warung kecil. Jam menunjukkan 4 petang belum lagi mendapat hidangan tengahari.
Begitulah lumrah perjalanan kami.
Kami benar-benar berada di penempatan yang terpencil, bagaimanapun perihal petrol tidak perlu risau kerana kebanyakan kampung mudah mendapatkannya. Kami bermalam di Paya Kumboh dan menginap di Resort Kolivera yang sangat luas dan mengujakan.
Sebaik matahari bercahaya sayup di ufuk timur, pemandangan keliling resort mula kelihatan. Sememangnya kawasannya cukup menarik. Landskapnya begitu teliti dan kemas. Sawah padi teres menghijau disinari matahari pagi di luar pagar cukup mengujakan untuk berehat tenang berbuai di bawah pohon ketapang di tepi kolam ikan.
Pagi ini kami ke Kelok 9, 30km dari Paya Kumboh yang amat dikenali sebagai sebuah kejuruteraan binaan di sebuah kawasan berbukit yang cukup indah. Sebelumnya terdapat jalan lama yang sempit dan berselekoh tajam seperti ular dipalu. Jambatan atau laluan baru dibina agar lebih luas dan mengelak daripada selekoh tajam yang pendek. Oleh yang demikian ia dibina lebih panjang dan laluan baru tersebut mempunyai keseluruhan sembilan selekoh yang luas. Kami beruntung kerana sampai awal di kawasan tersebut dan tidak begitu sibuk.
Misi seterusnya untuk mencapai garisan 0 darjah khatulistiwa iaitu equator kota alam terletak 15km dari Kelok 9. Salah seorang antara kami mengalami kebocoran tayar belakang dan terpaksa memperlahankan tunggangan sehingga bertemu dengan gerai tempat membaiki. Boleh dikatakan terdapat banyak gerai kecil yang menawarkan khidmat menampal atau mengganti tiub motosikal.
Destinasi seterusnya kembali semula ke Paya Kumboh untuk melihat sebuah lokasi penting yang amat dikenali, Lembah Harau. Oleh kerana hari minggu, kawasan agak sesak dengan kenderaan terutama bas penuh muatan bersama-sama menuju ke kawasan tersebut. Lembah Harau adalah seperti Grand Canyon, cuma di sini diliputi tumbuhan menghijau. Bayaran dikenakan sejak awal di pintu gerbang lagi. Dan bagi motosikal ataupun kereta, sekali lagi bayaran letak kenderaan dikenakan… Namun berbaloi, Lembah Harau sememangnya unik tambahan pula terdapat banyak air terjun yang begitu cantik sekali.
Untuk ke Bukit Tinggi dari Paya Kumboh sekitar hanya 40km. Laluan utama dari Paya Kumboh ke Bukit Tinggi begitu sesak dengan kenderan berat dan kita pula tidak begitu arif dengan pemanduan mereka. Jalan rayanya cukup baik cuma tidak begitu lebar dan tidak mempunyai bahu jalan. Untuk memotong di laluan sibuk, benar-benar pastikan selamat untuk berbuat demikian kerana tiada ruang kemaafan untuk kenderaan mengelak.
Sewaktu kami berhenti sebelum memasuki bandar Bukit Tinggi, seorang penunggang motosikal menyapa kami dan memperkenalkan dirinya sebagai Pak Budi. Beliau memperlawa kami untuk menginap di Ananda Hotel dengan bayaran RM130 untuk satu malam. Hotel kemas dan terletak di kawasan yang aman dan selesa. Terima kasih Pak Budi.
Bukit Tinggi sebuah kawasan tanah tinggi mempunyai iklim yang hampir sama dengan Cameron Highlands cuma bandar ini mempunyai kepadatan penduduk serta sebuah bandar yang besar, tidak terasa seperti berada di atas bukit atau gunung. Aktiviti malam mencari menu murtabak mesir yang terkenal di Bukit Tinggi.
Hari Kelima: 6 Februari (Bukit Tinggi-Puncak Lawang-Kelok 44-Danau Maninjau-
Pariaman-Padang) 170km
Mungkin angka 170km, jika diikutkan hanya mengambil beberapa jam. Akan tetapi dengan mode kembara yang akan singgah di beberapa tempat, keadaan jalan yang tidak dapat digambarkan dan cuaca nampak tidak menyebelahi kami, mungkin dapat bayangkan akan berlaku kelewatan pada hari ini. Tambahan pula, pagi ini kami mengambil sedikit masa untuk membeli cenderahati di Bukit Tinggi.
Sedikit demi sedikit, masa demi masa sehingga kami betul-betul lewat ditelan waktu. Terpaksa membayar lebihan Rupiah atas kelewatan ‘check-out.’
Laluan menuju ke Puncak Lawang menggunakan laluan terpinggir, walaupun sempit tetapi mempunyai permukaan jalan yang baik. Cuaca berterusan mendung dan dingin. Hampir dengan Puncak Lawang kami melalui kawasan berkabus tebal sehingga memaksa kami berhenti untuk menikmati sepuasnya kedinginan tersebut.
Puncak Lawang, aku pun sebenarnya tidak pasti apa yang ada di sana. Apabila tiba di destinasi barulah kami kagum dengan rasa syukur diberi peluang untuk menikmati keindahan pemandangannya. Dari puncak melihat ke bawah Danau Maninjau begitu mengasyikkan, lebih-lebih lagi kami seakan berada separas awan. Suasana suhu begitu dingin dan terasa kaku… kami ingin menikmati sepuas-puasnya.
Kami harus segera untuk membatasi masa yang semakin mencemburui. Terus ke Kelok 44 menuju turun ke Danau Maninjau. Kelok 44 sebenar diambil nama laluan tersebut mempunyai 44 selekoh tajam. Dari puncak 44 hingga ke kelok satu, suhu dingin beransur-ansur normal hingga apabila sampai di Danau Maninjau, suhu kembali normal seperti berada di Padang. Selama tiga malam (Batu Sangkar, Paya Kumboh dan Bukit Tinggi) kesemua berada dalam suhu yang dingin antara 22 darjah C ke 25 darjah C.
Laluan sepanjang tepian Danau Maninjau juga amat menarik. Keadaan jalannya begitu kemas dan baik, sesuai untuk menikmati tunggang motosikal ataupun basikal. Walaupun sudah jam 5 petang, kami baru sahaja menikmati hidangan tengahari di sebuah gerai tepian tasik sambil menikmati keindahan Danau Maninjau.
Perjalanan semakin menurun ke paras pantai, waktu senja sambil menuruni bukit itu terdapat banyak serangan berterbangan. Kami dapat rasakan berlanggar dengan visor helmet dan memenuhi ruang penglihatan. Kesian Mael yang menggunakan visor gelap terpaksa bersilat bersama serangga dan unggas-unggas malam tanpa visor. “Jika tutup aku tak nampak apa, bila buka, muka penuh ulat bai”
Lewat atau tidak, kami harus sampai ke Padang malam atau pagi ini, kami sudah jangkakan akan sampai pada jam 1 atau 2 pagi. Namun keselamatan dan corak tunggangan masih dikawal agar tidak tergesa-gesa. Kami amat bersyukur kerana laluan malam ke Pariaman agak aman dan tenang, jalan pula seperti baru diturap dan cat atau garisan jalan terang lebih meyakinkan kami. Kami tiba di Pariaman jam 12 pagi, hanya sempat rehat bergambar beberapa minit sebelum meneruskan perjalanan ke Padang.
Hajat untuk sampai awal di Padang untuk menikmati dendangan muzik secara langsung di hotel yang kami tempah akhirnya tidak terjadi. Kami sampai ke hotel pada jam 2 pagi dan terpaksa dengar muzik di perut dek kelaparan kerana belum menikmati makan malam.
Hari Keenam: 7 Februari 2019 (Padang)
Sebelum memulang motosikal, sempat merayau membeli belah sekitar bandar Padang. Kami mengambil Supir untuk kembali ke Lapangan Terbang Minangkabau sebelum berlepas ke KLIA2 jam 4 petang. Penerbangan hanya mengambil masa 45minit sahaja. Seperti tidak terasa merentasi sebuah negara.
Dengan perhubungan internet ke serata dunia adalah mudah bagi kita untuk mencari hotel, kenderaan sewa dan yang paling penting adalah perjalanan. Jika kita memerlukan pemandu pelancong mungkin boleh menempah awal semasa proses sewa motosikal. Sekiranya ingin mengembara sendiri, pencarian awal di Google Maps dan Google sendiri banyak membantu untuk maklumat pantas dan boleh dipercayai.
Informasi Ringkas Perbelanjaan
- Tiket penerbangan : RM450
- Travel insurans : RM44
- Bagasi : RM63 * Sewa motor : Rp450,000 (Rp90,000 x 5 hari)
- Airport Transfer pergi dan balik : Rp60,000 * Hotel 5 hari : Rp939,000
- Pengunaan Petrol : Rp127,000
- Duit tabung Makan & Aktiviti : Rp500,000
- Jumlah Keseluruhan: RM1170
Tips: Elakkan membawa bag yang besar dan serabut bertali-tali (ini kerana bag tersebut perlu diikat dan bersama sepanjang perjalanan). Bayangkan ketika hendak mengisi petrol, rumit untuk dibuka pasang.
Bagasi penerbangan: semasa pergi satu isian bagasi 20kg dikongsi bayaran bersama. Semasa pulang kami berkongsi bayaran untuk bagasi 40kg. Perbelanjaan kongsi pula, kami menyediakan tabung Rp100,000 sehari yang akan diuruskan oleh seseorang. Jadi segala keperluan seperti makan dan minum bersama, parkir atau tiket sebarang aktiviti bersama menggunakan wang tersebut... RR
- Pak Sheikh
Popular