Isu Terkini

Oktober 2024

Kembara / 10 Mac 2019

Kembara Dua Sahabat Dengan SYM VF3i

Dua orang penunggang SYM VF3i telah menamatkan pengembaraan mereka menjelajahi seluruh Semenanjung Malaysia dengan menggunakan motosikal SYM VF3i. Muhammad Hamizan bin Pedi@Lapok dan Muhammad Iqram bin Mohd Bahar berjaya menyempurnakan misi ini dalam masa 5 hari antara 16-20 November lepas. 2 November 2018 Hari ini kami akan berkongsi serba sedikit pengalaman mengenai pengembaraan kami menjelajah Malaysia. Untuk pengetahuan semua, ini merupakan pengalaman pertama buat saya (Muhamad Iqram) dan Muhamad Hamizan.  Perjalanan bermula di ibu pejabat Mforce Bike Holdings, Bukit Mertajam.

Selepas sempurna majlis perlepasan Ride With SYM VF3i, kami terus bergerak ke arah utara dan tiba di Sungai Petani pada pukul 11.00pagi untuk bertemu dengan salah seorang pemilik SYM VF3i iaitu Ahmad Rizal. Kami juga sempat bergambar kenangan di Dataran Sungai Petani. Kemudian pendikit dipulas semula sehinggalah kami tiba di destinasi kedua iaitu Bandaraya Alor Star untuk bergambar di Istana Anak Bukit.

Jentera SYM VF3i diarahkan ke Kangar dan kami bertemu dengan dua lagi kenalan iaitu Anuar dan Atai. Sambil pekena teh tarik, kami semua pun ambil gambar kenangan. Barulah semangat nak sambung perjalanan. Lebih kurang jam 3.00 petang, kami meneruskan perjalanan ke Kota Bharu melalui lebuhraya lama. Perjalanan ke Kota Bharu agak berliku dan mencabar kerana kami perlu merentasi Banjaran Titiwangsa ke Jeli terlebih dahulu sebelum tiba ke destinasi. Perjalanan kemudiannya menjadi amat mencabar kerana jalan terlalu gelap disebabkan hujan yang mula lebat turun pada jam 9.00 malam.

Kami berharap cuaca akan lebih baik tetapi sangkaan itu meleset kerana ia berlarutan hingga jam 2.00 pagi. Kami terus menguatkan semangat untuk mengerahkan jentera ke destinasi dengan baik dan akhirnya kami selamat sampai. Oleh kerana kesemua agak penat, kami terus melelapkan mata dan berehat sehari di bandar ini. Penggunaan minyak pada hari pertama ialah sekitar RM40.

3 November 2018

Pengembaraan hari kedua terpaksa ditangguh kerana masalah cuaca yang kritikal di sekitar pantai timur. Kami hanya mampu menjelajah sekitar 200 kilometer sahaja iaitu dari Kota Bharu hingga ke Kuala Terengganu. Walaupun terpaksa mengharungi cuaca yang mencabar, hati terubat kerana kami disambut baik oleh para pemilik SYM VF3i di Kota Bharu iaitu Che Din, Ben, Amran, Dinnie dan Saek. Kami makan tengahari di Nasi Ulam Cikgu dan bergambar bersama pemilik SYM VF3i di Kelantan.

Konvoi kami berdua berhenti lagi di Jerteh untuk berehat dan bertemu dengan sahabat VF3i iaitu Wan, Zuri, Faizol dan Akim. Selepas itu kami meneruskan perjalanan ke Marang dan terpaksa berhenti di Chalet Yunie kerana cuaca semakin gelap dan hujan semakin lebat. Penggunaan petrol sebanyak RM15 sahaja.

4 November 2018

Hari ini kami meneruskan perjalanan ke Dungun dan amat gembira kerana ditunggu oleh Farhan Atan dan Pak Tam yang juga pemilik VF3i – makin ramai komuniti pemilik jentera ini. Keadaan cuaca yang tidak mengizinkan menyebabkan pengembaraan terganggu dan selepas berehat selama sejam kami menguatkan semangat untuk meneruskan perjalanan ke Kemaman. Kami terpaksa berhenti sekali lagi untuk membaiki kasut dan keadaan hujan yang terlalu lebat serta berbahaya.

Kami berhenti di Kemaman hingga pukul 4.00 petang sebelum bertolak ke Kuantan dan disambut oleh Abe dan Faizul yang membantu menunjukkan arah untuk ke Segamat, Johor. Dengan semangat yang kental dan tunggangan penuh disiplin, kami tiba di tempat yang dituju pada pukul 9.00 malam. Kami dijemput oleh Zack dan terus membawa kami untuk menikmati makan malam dan kemudiannya bergerak terus ke Johor Bharu. Penggunaan minyak adalah sebanyak RM40 untuk perjalanan sejauh 630 kilometer.

5 November 2018

Kami memulakan perjalanan dari Johor Bahru ke Melaka. Kami mengerahkan seluruh tenaga jentera kami ke tahap maksimum dalam jarak yang jauh dan lama. Perjalanan ke Melaka mengambil masa lebih kurang tiga jam dengan jarak sejauh 214 kilometer. Sampai sahaja di Melaka, kami disambut pula oleh wakil ahli-ahli SYM VF3i Official Owner Melaka dan telah membawa kami bersiarsiar sekitar bandar Melaka.


Selepas makan tengahari, kami meneruskan perjalanan ke Negeri Sembilan yang hanya sejauh 90 kilometer dalam masa satu jam 30 minit. Sekali lagi kami disambut oleh ahli-ahli SYM Official Owner Negeri Sembilan dan Central – benar-benar kagum dengan semangat setiakawan walaupun ada di antaranya baru sahaja dikenali. Sambil berehat, kami pekena Roti John Paroi... memang sedap sungguh! Untuk jadikan perjalanan ke Kuala Lumpur lebih mengujakan, kami ditemani oleh ahli-ahli SYM Official Owner Central.

6 November 2018

Hari ini merupakan hari terakhir kami menjelajah Semenanjung Malaysia dan paling bersyukur ialah cuaca yang cukup cantik bagaikan merestui perjalanan kami. Kami bertolak dari Kuala Lumpur menuju ke Ipoh untuk mengharungi perjalanan yang sejauh 205 kilometer. Berkat kesabaran dan tunggangan yang berdisiplin bersama jentera yang cukup mantap dan penggunaan bahan api yang ekonomikal, perjalanan lancar hingga ke destinasi yang dituju. Konvoi disambut oleh Abang Zaidi dan Abang Azman, seterusnya membawa kami untuk makan tengahari.

Pelbagai tajuk kami bualkan tetapi pastinya lebih tertumpu kepada pengalaman kami sepanjang lima hari perjalanan. Usai sahaja makan tengahari, kami bertolak ke destinasi terakhir iaitu Pulau Pinang. Kami tiba agak lewat di Pulau Mutiara dan hanya sempat berjumpa dengan dua orang ahli SYM VF3i 185 di Eizam Char Kueh Teow yang terletak di Alma iaitu Eizam dan Farouk.

Syukurlah... kami akhirnya pulang ke rumah masing-masing dengan selamat selepas mengharungi satu pengembaraan yang penuh cabaran selama 5 hari 4 malam dengan jarak lebih kurang 2,500 kilometer. Kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih buat Mforce Bike Holdings Sdn Bhd, semua ahli-ahli SYM VF3i 185 Official Owner dari Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur, Perak dan Pulau Pinang atas sokongan serta bantuan semua demi menjayakan misi ini.

Segala memori dan jasa anda semua akan kami semat sebagai memori terindah. Semoga ikatan persaudaraan kita akan sentiasa erat dan jka ada rezeki boleh kita berjumpa lagi. Buat keluarga tercinta... doa kalian adalah segalanya. RR

Isu Pada

Mac 2019

Popular

  • Warta Roda

    Lagi kes bengkel terbakar. Kali ini 7 buah motosikal hangus dijilat api!

  • Dari Litar

    Marquez Jatuh...Pecco Raih Juara

  • Warta Roda

    Lelaki tumbuk pemandu wanita selepas anak dilanggar.

  • Model Baru

    Vespa GTS 300 Classic - Harga RM31,900

  • Warta Roda

    Nahas Treler & Kereta: 5 Mangsa Disahkan Maut

Artikel berkaitan

TM Bikers Jelajah Turkiye 2024!

900 Kilometer Dengan Suzuki Hayabusa

Kembara Sempoi Ke Tasik Raban, Lenggong, Perak

Kembara Sampai ke Boten

Ride Sri Lanka - Berbelit Jalan Serta Lidah Nak Menyebutnya...

Kuching, Sarawak, Malaysia - Pontianak, Indonesia: 1000km Loop (Bahagian Akhir)

Kuching Sarawak Malaysia - Pontianak Indonesia: 1000km Loop (Bahagian 1)

Sabah 360 Ride 1,800KM Loop (Bahagian II)

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Polis mula siasat kes pukul penunggang motosikal

Polis sedang menjalankan siasatan melibatkan insiden seorang penunggang motosikal dipukul penunggang lain di persimpangan lampu isyarat di Tampoi, di sini kelmarin.

Model Baru

VOGE DS800 Rally - Prestasi dan spesifikasi menarik perhatian!

LONCIN Motor Co., Ltd merupakan pengeluar motosikal yang diasaskan pada tahun 1993 dan VOGE merupakan jenama premium mereka. Selain dua roda, Loncin juga mengeluarkan kereta elektrik, generator, mesin rumput, jentera perindustrian dan helikopter drone. VOGE memberi tumpuan dalam penjualan motosikal dan pelbagai jenis komponen motosikal yang berkualiti tinggi.

Pandu Uji

Honda XL750 Transalp: Antara Jentera Kembara 'Middle Weight' Yang Terbaik?

Ketika Boon Siew Honda (BSH) melancarkan 4 model hebat tahun lalu, saya memang terpikat dengan model Transalp ini. Ini kerana beberapa tahun dulu, saya pernah menunggang Transalp model lama. Apabila saya kongsikan beberapa gambar di media sosial, ramai yang 'menyakat' tanya motor itu abad ke berapa? Betul kata mereka, dari segi design, ia tidaklah begitu hebat tetapi dari segi hantaran kuasa dan keselesaannya memang sangat saya suka.

Warta Roda

Lagi kes bengkel terbakar, kali ini melibatkan 22 buah motosikal...

Sebanyak 22 buah motosikal musnah dalam kebakaran di sebuah bengkel di Laluan Utama Kampung Tekah Baru, di sini hari ini.