Ride & Camp Ke Sungai Batangsi Bersama Moped ATM
Moped Adventure Touring Malaysia sekali lagi menganjurkan aktiviti Ride & Camp kali ini ke Sungai Batangsi yang terletak di Semenyih, Selangor pada 23 dan 24 Februari lalu. Konvoi kali ini disertai seramai 11 orang pencinta alam yang menunggang pelbagai jenis motosikal seperti Yamaha Y15ZR, Honda RS150R, Yamaha 135LC, Honda EX5 dan turut bersama ialah sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Semua rakan-rakan berkumpul di Petronas Jalan Semenyih pada jam 8.30 pagi dan setengah jam kemudian, kami memulakan perjalanan. Konvoi sempat singgah seketika untuk bersarapan di salah sebuah gerai di Kg Pasir Semenyih. Nak tenaga.... mesti la kena makan! Setelah selesai sarapan, kami diberikan sedikit taklimat ringkas tentang aturcara program oleh En. Don Danial selaku Ketua Ekspedisi tersebut. Kira-kira pada jam 11.00 pagi kami meneruskan perjalanan ke camp site Batangsi yang mengambil masa 30 minit.
Tepat jam 12.00 tengahari hari kami tiba di lokasi. Kami meninjau dan memeriksa kawasan sekeliling sebelum memulakan pemasangan khemah. Beberapa aspek diambil kira bagi menjamin keselamatan dan melancarkan lagi program ini. Setelah semua ahli berpuas hati, kami mengagihkan tugas. Antaranya mencari kayu api, memasak, penyediaan khemah dan keselamatan. Tugas-tugas ini diberikan adalah agar kami semua bekerjasama dan pada masa yang sama semangat setiakawan dapat dieratkan.
Tepat jam 4.00 petang, kami mula menyediakan minum petang. Menu serta bahan makanan telah dirancang awal supaya kami tidak membawa barang atau bahan yang sama. Menu petang kami seperti biasa cucur ikan bilis, roti telur yang dinikmati dengan minuman nescafe dan teh tarik. Kenikmatan menghirup secawan teh tarik dan sekeping roti telur pada ketika itu memang tak dapat kami gambarkan dengan kata-kata. Hanya Tuhan sahaja yang tahu perasaan kami ketika itu. Senang hati!!
Untuk mengisi masa terluang, ada di antara kami yang mandi manda, memancing dan berbual tentang program akan datang serta berkongsi pengalaman pengembaraan motosikal.
Pada jam 6.30 petang kami mula menyediakan makan malam. Antara menunya ialah kari ayam/daging, sardin, telur dadar, ikan goreng dan tidak lupa benda wajib yang mesti ada setiap program kami ialah sambal belacan dan budu.
Walaupun di dalam hutan, selera kami sama juga macam di rumah. Cuma suasana dan waktu bersama rakan-rakan yang membezakannya. Walau di mana kami berada, solat berjemaah tidak kami lupakan. Memohon keberkatan dan permudahkan urusan kami kepadaNya.
Setelah semua selesai, ada di antara rakan kami yang membawa projektor untuk kami berhibur dan meluangkan masa bersama. Barulah kena dengan tema Camping with Style! Gelak tawa ketika itu menjadi sedikit kenangan manis yang dapat kami simpankan sampai bila-bila. Kami masing-masing sibuk dengan urusan kerja dan apabila sekali-sekala dapat berkumpul, memang terasa seronok sehingga tidak sedar jam sudah pukul 2.00 pagi.
Pukul 8.00 pagi dah ada antara kami yang sibuk menyiapkan sarapan pagi. Ada juga yang masih belum bangun, maklumlah penat berbual dan berjaga. Menu roti telur, nasi goreng, ubi kentang, sambal kupang dan kerang telah disenaraikan untuk sarapan pagi kami pada hari itu. Ada juga hasil tangkapan ikan semalam yang digoreng untuk dinikmati bersama-sama.
Jam 11.00 pagi kami bersiap-siap kemas untuk pulang. Aspek kebersihan alam amat dititikberatkan oleh kami. Kami bersama-sama membersihkan kawasan tapak perkhemahan supaya memudahkan orang lain untuk berkunjung ke tempat tersebut. Tempat yang cantik begitu perlu dijaga dan dibersihkan kembali bagi menjamin ekosistem semulajadi tidak tercemar.
Jam 12.30 tengahari kami mula meninggalkan kawasan tersebut. Pelbagai kenangan dan pengetahuan yang kami dapat di dalam perkhemahan kali ini... walaupun tidak lama. Semoga ikatan persahabatan dan permuafakatan antara kami dapat diteruskan untuk program akan datang.
Akhir kata jagalah kehijauan alam yang masih ada. Siapa lagi untuk menjaganya kalau bukan kita. Teruskan persahabatan dan eratkan lagi ukhwah sesama kita. Terima kasih Tuhan kerana permudahkan urusan.. Terima kasih kawan kerana sentiasa ada…. RR
- Singlet Bercorak
Popular