Isu Terkini

Julai 2024

Kembara / 9 Ogos 2020

Keliling Samosir di Indonesia Dengan Honda Vario

Aku memang dah lama sangat mengidam nak pergi ke Danau Toba. Tempat ini telah dimasukkan ke dalam bucket list aku, antaranya nak rasa suasana sejuk bagaikan negara Eropah, sedut dalam-dalam udara segar, singgah mandi di air terjun di sana, makan masakan yang lazat dan pastinya nak berbual dengan orang tempatan. Selepas beberapa lama membuat rancangan, aku dan orang umah (Ana) bersetuju untuk ke Danau Toba pada 25hb hingga 30hb Disember yang lalu.

Ramai warga tempatan mula berniaga di jeti sejak awal pagi.
Ramai warga tempatan mula berniaga di jeti sejak awal pagi.

Kami lipat baju... lipat seluar... cas power bank... dan ya, tak lupa baju hujan GIVI yang pasti digunakan nanti di sana sebab kami periksa cuaca di sana (Samosir), memang hujan setiap hari.

Rekabentuk rumah masyarakat Batak di Huta Siallagan yang cukup cantik.
Rekabentuk rumah masyarakat Batak di Huta Siallagan yang cukup cantik.

Flight pukul 8.00 pagi, pukul 6.00 pagi kami berdua dah tersengih kat depan pegawai Mas Airlines sambil berikan dua passport. Naik kapal... 40 minit, sampai di Lapangan Terbang Kualanamu di Medan. Untuk ke Pulau Samosir, kami perlu ke Parapat terlebih dahulu dan ada macam-macam cara seperti sewa kereta, naik van ramai-ramai atau menggunakan perkhidmatan bas. Kami pilih naik van tetapi terpaksalah tunggu lagi 4 orang. Dua jam juga baru dapat penuhkan van dan setiap penumpang perlu membayar Rp120,000 sekitar RM35.


Fuh... pakcik drebar bawa van dah macam Louis Hamilton. Jalan mendaki di kawasan pergunungan agak sempit dan berliku tetapi semuanya 'corner' dah dalam kepala pakcik drebar ni, selamber je dia potong lori-lori besar. Bila dah masuk kawasan perkampungan, teringin juga nak ambil gambar tapi cerminnya gelap benar. Kalau nak buka penuh berdebu dan agak berbahaya. Akhirnya aku simpan memori dalam kepala, bukan di CF Card.


Selepas empat jam, kami sampai di Parapat. Jam dah pukul 1.30 petang dan perut pun mula berlagu tapi kami ingin lari daripada kesibukan pelabuhan itu secepat mungkin. Dari Parapat, kami menyeberangi Danau Toba yang luas itu menuju ke Pelabuhan Tuk Tuk pada kadar bayaran Rp17,000 (RM5) seorang. Selain itu, terdapat juga pelabuhan lain di Parapat yang boleh dipilih seperti Tiga Raja, Ajibata dan Ihan Ajibata. Semuanya akan membawa kita ke Pulau Samosir.

‘Becak’ motosikal banyak digunakan sebagai pengangkutan awam di Pulau Samosir.
‘Becak’ motosikal banyak digunakan sebagai pengangkutan awam di Pulau Samosir.


Danau Toba merupakan sebuah tasik terbesar di Indonesia dan juga merupakan tasik gunung berapi terbesar di dunia dengan panjang sejauh 100 kilometer dan lebar sejauh 30 kilometer. Tasik yang berwarna biru gelap ini memiliki kedalaman mencecah 505 meter. Tasik ini terjadi selepas berlakunya letusan gunung berapi kira-kira 74,000 tahun yang lalu dan merupakan letusan terbesar di dunia dalam jangka masa 25 juta tahun. Kedinginan cuaca dan keindahan alam di sini menjadikan Danau Toba sentiasa menerima kunjungan daripada para pelancong dari dalam dan luar Indonesia.

Oleh kerana ingin meneroka pulau ini dengan lebih santai, kami menyewa sebuah skuter, Honda Vario 150cc. Skuter ini selesa, ada ruang barang yang luas dan enjin pun power. Harga sewaan biasanya ialah Rp100,000 (RM29.50) dari 9.00 pagi hingga 6.00 petang. Kami menyewa terus untuk tiga hari pada harga Rp250,000.

Kami dapat menunggang di kawasan sekitar Tuk Tuk, Tomok dan Simanindo. Pemandangannya sukar diucapkan dengan kata-kata. Kami bermalam di sebuah hotel bersaiz sederhana pada harga Rp175,000 (RM51) yang terletak betul-betul di tepi tasik.

Pemandangan Tasik Toba dari Bukit Partokoan.
Pemandangan Tasik Toba dari Bukit Partokoan.

Angin sejuk yang mengena tubuh badan bagaikan ingin 'menggerakkan' kami untuk bersiap awal. Selepas melihat peta dengan teliti, kami meninggalkan Tuk Tuk menuju ke bandar Pangururan dengan niat untuk melihat segala keindahan alam dan keunikan tempat ini. Suhu waktu pagi sekitar 21C-23C menjadikan setiap saat itu cukup selesa.

Tidak jauh dari hotel kami terletaknya Huta Siallagan atau Desa Siallagan. Ia adalah sebuah perkampungan kuno yang berada di daerah Simanindo dan di sini, para pelancong dapat melihat keunikan budaya, rekaan bentuk rumah, kepercayaan dan sejarah lama masyarakat di situ. Ratusan tahun dulu, masyarakat di kawasan sini mengamalkan sistem beraja yang memiliki kuasa penuh dalam menjatuhkan hukuman. Terdapat tempat bersidang khas diperbuat daripada batu untuk para pembesar bermesyuarat dan menjatuhkan hukuman.


Menurut sejarah, pesalah akan disiksa terlebih dahulu sebelum dipancung manakala bahagian kepala dan badannya akan dipisahkan agar tidak dapat bersatu semula. Beberapa bahagian badan pesalah akan dipotong dan dicincang untuk dijadikan santapan. Terngaga juga mendengar kisah yang disampaikan. Seram pun ada... teruja pun ada.

Mujurlah Honda Vario mempunyai ruang bawah pelana yang agak luas, dapatlah kami menyimpan baju, set baju hujan, air mineral dan set kasut basah.

Pemandangan yang indah & menenangkan.
Pemandangan yang indah & menenangkan.

Tak dinafikan, cara terbaik untuk menerokai sesebuah kawasan ialah dengan menunggang motosikal. Bila-bila masa sahaja boleh berhenti... oleh kerana pemandangannya sangat cantik dan segar, kami berhenti banyak kali. Saja nak tengok gunung-gunung menghijau dan sawah padi di 'kakinya' bermacam-macam warna.

Kami ternampak sebuah gerai di tepi jalan. Ada soto, bakso, lontong dan nasi uduk (nasi lemak). Memang tepat pada masanya, kami pun baru sedar yang perut belum diisi. Teruja sangat sampai lupa nak makan! Dua pinggan Lontong, 2 kopi dingin berharga Rp35,000 (RM10.30). Dalam perjalanan, kami sedari kebanyakan penduduk di pulau ini tidak memakai topi keledar. Hanya pelancong sahaja! Senang nak kenal... bila nampak saja penunggang motosikal di depan yang lengkap dengan topi keledar, mesti orang luar!


Kami terserempak dengan sepasang pelancong 'minah salleh' yang seperti tidak pasti untuk masuk ke sebuah simpang. Sekejap masuk... sekejap keluar dan terus ke depan. Kami kemudiannya masuk ke lorong yang sama. Oh! Ia adalah laluan masuk ke Menara Pandang Dugul Sinapuran. Jalannya berbatu dan terpaksa mendaki. Perlahan-lahan kami mengawal skuter dan berjaya juga sampai ke puncak. Walaupun ada 'pondok tiket' di situ, tiada harga tetap untuk dibayar, ikut keikhlasan hati... pandai-pandailah! Rugi betul 'minah salleh' tu tak usaha naik, pemandangannya memang sangat mengagumkan.

Horas! Kami guna untuk menyapa sesiapa saja yang kami bertemu. Selain untuk menyapa, 'horas' juga boleh digunakan untuk meluahkan rasa gembira, syukur, sihat, rezeki dan macam-macam lagi. Ia adalah satu ungkapan yang luas.

Sedang asyik melihat ladang-ladang jagung yang kering menguning, kami terpandang sebuah rumah yang betul-betul terletak di antara sawah padi dan tasik. Cantik sekali lokasinya. Ia adalah tempat sewaan memancing dan kawasan perkhemahan. Namanya memang unik, Pasir Aek Natio, Desa Cinta Damai. Simanindo. Harganya bermula sekitar Rp10,000 hingga Rp30,000. Sempat juga dia ceritakan tentang jagung-jagung di Samosir yang dibiarkan kering untuk dijadikan makanan haiwan penternakan dan tepung pembuat kek.

Tempat memancing di Pasir Aek Natio, Desa Cinta Damai yang cukup cantik.
Tempat memancing di Pasir Aek Natio, Desa Cinta Damai yang cukup cantik.

Keadaan trafik sedikit sesak apabila tiba di bandar Pangururan. Makin ramai penunggang motosikal yang memakai topi keledar, makin meriah bunyi hon dan corak kehidupan di kawasan ini lebih sibuk dengan pelbagai jenis urusan. Pada mulanya memang susah juga nak faham bila perlu aku tekan hon. Kalau di Malaysia, bunyi hon punya pasal boleh bergaduh... boleh popular di media sosial beb! Tapi bila dan lama atas jalan, sebut horas pun dah tak segan-segan. Aku pun pandai la tekan hon. Seronok pula!


Megah 'berdiri' di depan mata ialah Gunung Pusuk Buhit dan di situlah tempat yang nak dituju. Pusuk Buhit merupakan salah satu gunung berapi yang masih aktif di Sumatera Utara. Ia setinggi 1,972 meter dan terdapat banyak tempat menarik yang wajib dikunjungi jika ke sini. Untuk mendaki dan mengelilingi gunung ini memerlukan masa kerana banyak sungguh tempat cantik! Lepas sahaja menyeberangi Jambatan Tano Ponggol, 'korang' boleh pilih nak ke kiri atau ke kanan. Kami pilih untuk ke kanan terlebih dahulu!

Dalam laluan ini, kami dapat singgah ke beberapa tempat menarik seperti Samto Aek Rangat (tempat mandian air panas), Bukit Partokoan atau popular dengan nama Bukit Teletubbies, Air Terjun Hadabuan Ngai Sogop, Batu Hobon dan Toba Caldera Geopark. Apa yang mengagumkan, tidak kira di mana sahaja kami pergi, liputan internet cukup kuat. Kalau setakat nak buat video 'live' tu memang tak ada masalah. Kami suka menyinggah, berbual-bual, ambil gambar kenangan... masa pun berlalu dengan cepat. Kami masih di puncak gunung, jam sudah hampir 6.00 petang waktu tempatan (sudah mula gelap).

Dengan sisa cahaya matahari yang kian 'lesu', kami cepat-cepat pakai baju hujan GIVI. Walaupun tak hujan, baju ini dapat melindungi tubuh badan daripada suhu yang semakin dingin. Laluan yang tiada lampu jalan tidaklah terlalu sukar kerana permukaan jalannya memang 'klasss'. Lebih kurang dua jam kemudian, kami tiba di hotel.

Kopi Samosir juga terkenal. Memang cukup sedap!
Kopi Samosir juga terkenal. Memang cukup sedap!

Danau Sidihoni (Danau di atas danau)

Air Terjun Efrata yang berwarna coklat gelap disebabkan tanah gambut dan akar kayu di bahagian atas.
Air Terjun Efrata yang berwarna coklat gelap disebabkan tanah gambut dan akar kayu di bahagian atas.

Rancangan hari ketiga ialah untuk merentasi kawasan tengah Pulau Samosir dan mengunjungi beberapa lagi tempat menarik di Gunung Pusuk Buhit. Tangki skuter dipenuhkan dengan bayaran Rp18,000 (RM5.30) dan 'misi' diteruskan. Kami menggunakan Jalan Pulau Samosir menuju ke laluan dalam hutan (Botanical Samosir) yang cukup sunyi kerana tidak ramai pengguna jalan raya di kawasan itu. Apa pun, kawan-kawan baru di sana telah pun yakinkan kami bahawa tiada apa yang perlu dirisaukan.

Selepas 40 minit di laluan hutan, kami akhirnya tiba di sebuah kampung kecil di Simbolon Purba. Masyarakat di sini hidup dengan menternak khinzir, kambing, kerbau, menanam padi dan jagung. Lebih kurang 30 minit kemudian, kami sampai di Danau Sidihoni atau 'Danau di atas Danau'. Tasik kecil ini terletak di atas kawasan pergunungan dan disebabkan lokasinya agak jauh ke dalam, tidak ramai pelancong luar ke sini.

Ramai pengunjung datang ke Menara Pandang Tele khususnya di hari minggu.
Ramai pengunjung datang ke Menara Pandang Tele khususnya di hari minggu.


Hanya 15 minit peruntukan masa dalam jadual kami kerana perlu mendaki sekurang-kurangnya dua tanah tinggi lagi. Jalannya cantik dan kesegaran udara memang menyihatkan badan. Tidak hairanlah masih ramai warga pulau ini yang gagah berjalan walaupun di usia 80 hingga 90 tahun.

Menara Pandang Tele terkenal di kalangan para pelancong dan ketika kami sampai, memang dah agak ramai orang. Dari puncak menara itu, kami dapat melihat Air Terjun Efrata dan ia bagaikan 'memanggil-manggil' kami ke sana.

Nak masuk ke kawasan air terjun, setiap pelawat dikenakan bayaran Rp7,000 (RM2.10). Harga ini hampir sama di semua tempat pelancongan dan parkir Rp2,000. Tukar baju... masuk... terpegun dengan ketinggian air terjun ini. Niat nak mandi terbantut apabila melihat airnya yang berwarna coklat gelap bagaikan air 'teh o'! Lama juga tunggu pengunjung lain yang lebih tahu tentang kedalamannya. Okay, ada dua kawasan. Satu paras airnya hanya di peha manakala kawasan atas memang dalam. Kami cuba dua-dua sekali... takut juga nak terjun sebab gelap sangat tetapi beranikan diri jugalah sebab dah sampai. Airnya... fuh sejuk macam ais.

Bukit Hulbong turut popular sebagai lokasi aktiviti perkhemahan dan treking.
Bukit Hulbong turut popular sebagai lokasi aktiviti perkhemahan dan treking.
Pelbagai aktiviti dan permainan menarik di Bukit Indah Simarjarunjung.
Pelbagai aktiviti dan permainan menarik di Bukit Indah Simarjarunjung.

Sejam juga kami di sana sambil berbual dengan Mr. Walter dari Australia yang sudah ke Pulau Samosir lebih daripada 20 kali. Menurutnya, dia ke sini kerana inginkan kedamaian dan ketenangan yang ternyata semakin hilang di dunia kita. Kami setuju!

Destinasi berikutnya ialah Bukit Hulbong yang sangat popular dan banyak dikongsikan di media sosial. Betul... memang cantik sungguh cuma nak panjat tu kena ada stamina la sikit ye! Bukit ini disukai dek kerana pemandangannya dan ia juga pilihan para pencinta alam untuk aktiviti perkhemahan.
Ketika membuat lakaran perjalanan, kami memilih laluan lain untuk ke hotel kerana nak buat satu pusingan penuh pulau itu. Apa yang terlepas ialah laluan itu memerlukan pendakian kawasan pergunungan yang jauh. Mujurlah skuter Honda cukup cemerlang walaupun sekali lagi terpaksa bersendirian di dalam kegelapan yang hanya bertemankan lampu utamanya.

Pemandian Aek Manik yang mempunyai air yang cukup jernih.
Pemandian Aek Manik yang mempunyai air yang cukup jernih.

Mujurlah nampak papan tanda 'BENSIN' yang bererti petrol (SOLAR bererti diesel). Di atas gunung itu kami dapat menambah petrol pada harga yang sekali ganda lebih tinggi dari biasa. Memang betullah sebab jauh dari penempatan lain. Bila minyak dah penuh... lebih yakin la kami pulas throttle dan selamat sampai di hotel pada jam 9.00 malam. Syukur.

Air Terjun Sipiso Piso yang menakjubkan.
Air Terjun Sipiso Piso yang menakjubkan.
Pasar buah-buahan di Berastagi memang wajib singgah khusus pada musim buah mangga dan salak!
Pasar buah-buahan di Berastagi memang wajib singgah khusus pada musim buah mangga dan salak!

Sebelum check-out, kami sempat menunggang lagi, kira-kira sejam. Sukar nak tinggalkan tempat ini kerana masih ada lokasi yang belum sempat dilawati dan keindahan alamnya. Dari Pulau Samosir, kami ke Medan dan sempat lagi singgah di empat lagi tempat cukup menarik iaitu Aek Manik (mata air) di daerah Sida Manik, ladang teh Sida Manik, Air Terjun Sipiso Piso di Merek, Pasar Buah Berastagi dan Bukit Indah Simarjarunjung yang menawarkan pelbagai jenis permainan yang unik dan murah. RR

Isu Pada

Februari 2020

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

Kembara Sampai ke Boten

Ride Sri Lanka - Berbelit Jalan Serta Lidah Nak Menyebutnya...

Kuching, Sarawak, Malaysia - Pontianak, Indonesia: 1000km Loop (Bahagian Akhir)

Kuching Sarawak Malaysia - Pontianak Indonesia: 1000km Loop (Bahagian 1)

Sabah 360 Ride 1,800KM Loop (Bahagian II)

Ride Berdua ke Siam

Sabah 360 Ride 1,800km Loop (Bahagian 1)

Ride Ihya Ramadhan TM Bikers Ke Gua Musang, Kelantan

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Penunggang Motosikal Antara Yang Maut Dalam Nahas Tiga Kenderaan

Penunggang motosikal maut dalam nahas melibatkan tiga buah kenderaan.

EICMA 2024: Skuter Adventure Maksi Pertama Dari KYMCO!

Kymco memperkenalkan skuter pengembaraan maxi pertamanya di EICMA.

Model Baru

MODENAS Eliminator dilancarkan di MotoGP Sepang 2024. Harga asas dari RM30,100

Motosikal dan Enjin Nasional (MODENAS) memilih hari cukup sempurna bersempena 'pesta' MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang untuk melancarkan model terbaru, MODENAS Eliminator.

Warta Roda

LCR Honda Fan Enduro Day!

Berbeza dengan sebelum ini, pihak GIVI telah mengadakan LCR Honda Fan Enduro Day bertempat di KEV Enduro Park, Gamuda Gardens, Rawang.