Kehebatan Kuasa Kawasaki Concours 14 Mengagumkan
Ramai di antara kita yang bermotosikal mempunyai laluan tahunan yang tersendiri. Ia adalah tempat yang pasti akan anda lawati berulang kali sama ada berseorangan atau pun bersama rakan-rakan rapat. Saya sebagai contohnya, akan bermotosikal ke Death Valley dan ia merupakan pilihan saya sejak tahun 1977.
Death Valley terletak 350 kilometer dari rumah saya – cukup dekat, hanya seharian menunggang untuk ke sana. Oleh kerana ramai di antara kami orang California yang datang dari Los Angeles atau San Francisco, tempat untuk berjumpa selalunya di Kernville. Ia merupakan sebuah resort kecil yang lengkap dengan sebuah tasik bergelar Isabella, dikelilingi dengan pokok-pokok.
Saya menunggang sebuah Kawasaki yang cukup hebat, Concours 14 yang mampu menjana kuasa setinggi 140hp di kedudukan 10,000 rpm dan tork 135.5Nm pada 6,000rpm. Saya memerah tenaga Kawasaki ini ke Carrizo Plain yang berjarak 80 kilometer dan separuh daripada tempat ini (sebelah selatan) kini telah diwartakan sebagai Monumen Negara manakala di sebelah utara dijadikan kawasan perladangan dan terletaknya dua buah syarikat penjanaan kuasa yang mempunyai panel-solar yang bersaiz mega.
Bangunan pertama yang saya lalui, Topaz Solar Farm dikatakan yang terbesar di dunia. Ia dilengkapi dengan sembilan juta panel photovoltaic yang menghasilkan kuasa setinggi 550 megawat. Ia menyerap kuasa mentari di waktu siang dan menerangi rumah-rumah di waktu malam. Paling penting ialah kuasa ini bersih. Setiap rumah di Amerika menggunakan lebih kurang 9,000 kilowat-jam kuasa elektrik setiap tahun.
Pihak gabenor California mengatakan bahawa mereka ingin menjadikan sistem jana kuasa daripada sumber ini digunakan di separuh daripada negeri ini menjelang tahun 2030. Sama-sama kita tunggu adakah ia boleh terjadi tetapi daripada apa yang saya lihat sepanjang perjalanan ini, ia adalah satu usaha yang layak diberi penghormatan.
Saya pula masih kekal dengan penggunaan bahan api yang amat diperlukan lebih-lebih lagi apabila bersama Kawasaki ini – barulah dapat menikmati kehebatan kuasanya ke tahap maksimum. Antara perkara yang penting lain untuk saya ialah komputer untuk menaip segala pengalaman dan telefon antik flip-up yang jarang benar saya gunakan. Saya hanya membawanya apabila turun dari motosikal, manalah tahu mungkin perlu bantuan daripada AMA's Roadside Assistance.
Sebagai nota tambahan, hampir seratus tahun yang lalu telah dihasilkan sebuah jentera empat silinder yang kuasanya tidaklah sehebat Kawasaki ini, satu per sepuluh pun tidak sampai. Nama motosikal itu The Pierce, yang mempunyai silinder mendatar dan pacuan shaft, sistem yang lebih kurang sama dengan Concours ini. Memang menarik melihat peningkatan kuasa dan teknologi yang dicapai dalam industri motosikal selama ini.
Jentera besar yang saya tunggangi ini didatangkan dengan sistem anti-lock braking (ABS) dan traction control (TC). Mungkin beberapa penunggang merungut dengan mengatakan model ini tidak dilengkapkan dengan mod kuasa pelbagai jenis. Bagi saya, pengendalian dan kawalan kuasa sesebuah motosikal tetap terletak di pergelangan tangan seseorang penunggang itu. Talaan saspensi? Bukan masalah buat saya untuk menalanya dengan menggunakan tangan sendiri. Cruise Control? Saya sukakannya tetapi kawalan pendikit yang mudah sudah mencukupi untuk saya dan bagi saya, pemanas tempat pemegang memang bagus!
Saya melewati San Joaquin Valley merupakan antara tempat yang mengeluarkan hasil tanaman sayuran dan buah-buahan yang sangat besar. Kawasan ini juga digelar America's Breadbasket - gelaran ini selalunya diberikan kepada tempat yang tanahnya cukup subur. Sepanjang jalan di sini, kelihatan sebahagian tanahnya sudah bertunas manakala sebahagian lagi kosong tanpa tanaman. Musim kemarau sedikit mengganggu, para petani tidak mendapat bekalan air seperti yang diinginkan. Ada juga yang mengambil kesempatan menjual air yang telah diperuntukan kepada orang-orang di bandar yang memerlukan air untuk membasuh kereta atau untuk menyegarkan laman hijaunya. Kita memang hidup dalam dunia yang pelik!
Saya kemudian memasuki Kern River Canyon, sebuah ngarai yang mempunyai dinding batu yang nyaman dan cantik. Apa yang seronok di sini ialah pemandu kereta yang sering kali membenar para penunggang motosikal bergerak laju memintas mereka. Kawasaki Concours 14 (C14) yang seberat 317 kg tidak disangka cukup lincah dan stabil ketika berada di jalan-jalan berselekoh. Memang nikmat menunggangnya di sini.
Sungai ini memang bermasalah. Apabila hampir tiba musim bunga, air sungai ini sepatutnya cukup deras sehinggakan ia pasti akan dipenuhi dengan mereka yang gemar melakukan aktiviti water rafting yang menyebabkan mereka melompat-lompat dalam rakit getah. Sayangnya arus airnya kini sangat perlahan dan menyedihkan. Di sini juga terletaknya stesen janakuasa hidro elektrik The SoCal Edison yang telah beroperasi sejak tahun 1921 lagi. Ketika di waktu kemuncak, tahap kuasa tertinggi yang dicatatkan ialah 40 megawat tetapi sayangnya musim kemarau merencatkan operasi.
Sampai juga saya di Tasik Isabella, semua rakan-rakan kami berkumpul di sini (isteri dan anak-anak semuanya bercuti sesama mereka, kami bebas). Ada bermacam-macam mesin di sini...dari Jepun, Eropah dan Amerika.
Ahli kumpulan paling muda ialah Matt, seorang rakan yang cukup menyeronokkan. Pernah bekerja sebagai penanam buah anggur dan pembuat wine dan kini bertugas dalam bidang pembikinan kotak kuasa hidrogen. Saya memang kurang faham dengan konsep itu dan sememangnya orang yang bijak dapat mencipta campuran antara hidrogen dan oksigen untuk mencipta sumber kuasa yang digunakan oleh enjin-enjin elektrik. Keberkesanan daripada konsep ini ialah bahan yang terkeluar menerusi corong ekzos iaitu air. Penciptaan hebat ini pastinya jauh lebih baik berbanding penggunaan bateri biasa.
Banyak syarikat bahan api amat berminat dengan teknologi ini dengan memberi tawaran pembelian pada harga yang cukup tinggi. Sememangnya duit 'memegang' corak kehidupan di dunia ini, ada yang mahu terus mencari minyak yang tersedia di bawah tanah dan ada juga yang kini sedang mempromosikan transpotasi yang lebih bersih seperti elektrik.
Keesokan harinya, saya menuju ke timur dengan menggunakan Jalan CA178, yang menawarkan selekoh-selekoh dan lurusan yang panjang dengan keadaan trafik yang cukup lengang - jalan yang sangat sesuai untuk C14 ini. Jalan sepanjang 56 kilometer ini juga menawarkan pendakian ke Walker Pass yang setinggi 5,250 meter kemudian turun semula ke Indian Wells Valley. Apabila memasuki jalan US395, saya dan C14 ini terpaksa berkongsi jalan dengan kenderaan lain tetapi masih dapat memecut sekitar 130km/j...masih dibenarkan oleh CHP (California Highway Petrol).
Jentera C14 ini memberi kadar penggunaan bahan api sekitar 7.6 liter untuk 100km, saya berhenti untuk isian petrol di Persimpangan Coso, berdekatan dengan Coso Operating Company yang beroperasi sebagai badan yang memberikan perkhidmatan tunjuk ajar, pemikiran dan pembangunan berkaitan dengan kepimpinan, pencegahan penipuan, pengawalan dalam syarikat dan pengurusan berisiko.
Pengembaraan berhenti sebentar di China Lake Naval Weapons Center, tempat yang dijadikan lokasi latihan pengeboman dan di sini juga terletaknya bangunan Coso Geothermal Field yang bertanggung jawab menghasilkan kuasa elektrik dengan memanafaatkan stim daripada aktiviti gunung berapi di bawah tanah. Syarikat ini beroperasi sejak tahun 1990 dan berjaya menghasilkan kuasa setinggi 300 megawat. Ada satu paip dihasilkan untuk memberi laluan air kepada pelan kuasa – dengan menambah lebih banyak air, stim juga terhasil dengan lebih banyak dan bererti tahap kuasa yang dihasilkan juga lebih tinggi.
Saya kembali di atas jalan, kali ini menuju ke Haiwee Hydro Power Plant yang dijalankan oleh Bahagian Air dan Kuasa Los Angeles. Kuasa elektrik yang dihasilkan di sini agak sedikit iaitu sekitar lima atau lebih megawat. Walaupun nampak kecil, ia telah beroperasi sejak tahun 1924. Kemudian, C14 ini dipacu ke Owens Valley yang mempunyai sebuah tasik besar, lebih daripada 160 kilometer persegi. Terdapat satu longkang besar di sini yang mengalirkan air untuk kegunaan warga Los Angeles.
Kembali ke Death Valley dan terus memerah tenaga ke Furnace Creek Ranch yang juga sedang pesat dijadikan lokasi penempatan panel solar. Walaupun banyak usaha dilakukan di kawasan ini, kuasa elektrik paling tinggi masih tetap dibekalkan oleh SoCal Edison. Selepas dua hari bersama-sama, kami semua pulang semula ke rumah masing-masing dan dalam perjalanan pulang, saya melalui bandar Mojave yang berdekatan dengan Ladang Tehachapi Wind – sebuah ladang turbin kincir angin yang membekalkan kuasa elektrik setinggi 800 megawat yang didapati daripada 5,000 buah kincir angin di sini.
Bercerita mengenai kuasa elektrik, motosikal elektrik juga amat popular sekarang ini sehinggakan pihak polis bandar turut menggunakan mesin ini. Motosikal seperti ini memerlukan bateri yang mampu dicas semula yang kebanyakannya didapati daripada bahanapi fosil seperti arang batu dan gas asli.
Rumah saya pula menggunakan kuasa elektrik yang dibekalkan melalui kuasa nuklear yang didapati daripada Diablo Canyon dengan kuasa setinggi 2,200 megawat. Masalahnya ialah apa yang dapat kita lakukan pada sisa nuklear ini? Sememangnya mendapatkan kuasa elektrik dengan menggunakan alam sekitar adalah tanggung jawab semua dan kini terdapat beberapa orang yang pintar cuba menjana kuasa dengan menggunakan arus deras dari lautan. Lagi pun, arus ini tidak pernah berhenti, ia terus bergerak 24 jam sehari. Bijak...memang bijak...
Betul...apabila cara mendapatkan kuasa ini dapat dilakukan dengan bersih maka alam kita juga akan kembali bersih, bagus untuk bumi ini tetapi kalau untuk motosikal, biasa kuasanya kekal sehebat ini. Kalau nak ubah pun, biarlah selepas ketiadaan saya. RR
Oleh : Clement Salvadori
Foto : CS dan Mike Callahan
Popular