Kembara Ke Ba'kelalan - Menguji Ketahanan Mental & Fizikal
Ekspedisi ini adalah lanjutan dari rasa tidak puas hati dengan pengembaraan ke Bario pada bulan November 2020 yang lepas. Ba`kelalan terletak 3,000 kaki ketinggian dari aras laut dan hanya 4 kilometer dengan sempadan Kalimantan, Indonesia.
Dengan menggunakan motosikal, kami melalui hutan tebal Borneo menggunakan jalan hutan. Untuk sampai ke Ba`kelalan, tidak dapat diukur dengan jarak, hanya dapat diukur dengan masa. Kesabaran, kemahiran, tekanan mental, kepenatan, emosi sangat menguji diri. Namun dengan semangat bekerja sebagai satu pasukan, akhirnya kami berjaya ke destinasi.
Perjalanan ke Ba`kelalan kali ini bermula dari Long Lama, Miri. Disertai seramai tujuh orang, lima dari Kuching dan dua dari Miri. Pak Su dan Abg Zul akan berjumpa kami di Long Lama. Abg Zul, warga emas yang bukan calang-calang orangnya. Beliau pernah berbasikal ke Bario melalui jalan hutan dan mengambil masa dua minggu perjalanan. Pak Su pula, pertama kali ingin merasai pengalaman menunggang di jalan offroad, manakala yang selebihnya tidak perlu dijelaskan lagi. Pantang ada peluang, terus jadi. ‘Keadaan Terkawal’ itu lah ayat trademark dari Jalal.
Hari Pertama
Persiapan seawal 7.00 pagi bermula di Masjid Long Lama. Motosikal diturunkan dari pick-up, susun atur barang, diikat rapi dan kuat. Setelah minyak diisi penuh di dalam tangki dan botol, kami bersarapan terlebih dahulu sementara menunggu Pak Su dan Abg Zul yang bergerak dari Miri seawal subuh tadi.
Jam 10 pagi, bermulalah perjalanan kami. Ibarat burung dilepaskan dari sangkar, masing-masing memecut laju seolah-olah mengejar sesuatu di depan. Cuaca baik, namun jalan sedikit licin. Baru sekitar dua kilometer perjalanan, Zam sudah tersungkur jatuh gara-gara mengelak Pak Su yang motornya terhenti kerana jalan yang berbecak. Bukan bantuan dihulurkan, tapi gelak ketawa diraikan bersama terlebih dahulu.
Kesimpulannya, tidak perlu laju, tidak perlu berlumba, tidak perlu mengikut rapat. Ini perjalanan hutan, masih tidak diketahui selok belok. Sebarang kemalangan, masalah teknikal akan memberi kesan yang besar. Perjalanan ke Ba`kelalan bukan berjam-jam, tapi memakan masa berhari-hari.
Setengah jam selepas itu, sewaktu menuruni bukit, giliran Pak Su pula tersungkur jatuh. Tapi kali ini semua terdiam. Kerana dari cara beliau terjatuh, ia kelihatan serius. Semua berhenti membantu. Barang disusun semula, ditinggalkan sahaja di tepi hutan. Barang yang tidak perlu dan memberi beban berlebihan pada motosikal. Apabila keadaan Pak Su sudah stabil dan keadaan kembali terkawal, kami meneruskan perjalanan. Kali ini semua mengambil langkah lebih berhati-hati. Perhentian kami adalah di Long Bedian untuk makan tengahari.
Kami meneruskan perjalanan ke Long Seridan dan merancang untuk bermalam di sana. Namun begitu, disebabkan cuaca yang masih baik, dan kami tiba di Long Seridan pada waktu yang masih awal iaitu sekitar jam 4.00 petang. Abg Zul menyarankan untuk perjalanan diteruskan.
Tujuannya adalah untuk melepasi Bukit Magoh. Sekiranya ditunggu esok dan hujan lebat, adalah mustahil untuk melepasi kawasan bukit ini. Bukit Magoh memang diketahui oleh penduduk berdekatan dan transporter yang menghantar barang sebagai satu bukit yang mempunyai cerun yang tinggi, panjang serta berbecak. Kami semua bersetuju dan perjalanan kemudiannya diteruskan.
Apabila sampai di Bukit Magoh, kami semua tergamam, merenung jauh ke arah cerun yang tinggi dan panjang itu. Akan ada tiga cerun yang perlu didaki untuk melepasi Bukit Magoh. Persoalannya, bolehkah motor kami mendaki bukit pacak ni? Maka bermulalah aktiviti ekstrim kami ini.
Cerun yang pertama. Daripada tujuh buah motosikal, hanya Abe yang dapat melepasi cerun tersebut. Maklumlah motosikalnya telah diubahsuai. Manakala yang lain terpaksa ditolak dengan bantuan rakan-rakan.
Cerun yang kedua, cuaca hampir gelap. Setelah berhempas pulas, kami mula kepenatan tetapi masih ada empat buah motosikal yang belum lepas cerun kedua. Ketika berada tengah-tengah cerun, walaupun dalam keadaan brek yang dicengkam, dalam kedudukan ada gear, motosikal masih menggelongsor ke belakang. Ini menunjukkan betapa licin dan curamnya laluan tersebut.
Kami terpaksa menggunakan tali untuk menarik tiga lagi motosikal. Masih ada satu lagi cerun tetapi cuaca sudah gelap. Kami mengambil keputusan untuk bermalam sahaja di Bukit Magoh. Pendakian ke cerun ketiga akan disambung esok. Khemah didirikan dengan pantas kerana khuatir hujan akan turun bila-bila masa. Dengan bekalan makanan yang ada, itulah makan malam kami. Mandi? Lupakan saja. Kami berada di dalam hutan yang tiada sumber air.
Hari Kedua
Sebaik matahari naik kira-kira pada jam 6.00 pagi, kami mula membuat persiapan. Sarapan pagi ala kadar, kemas semua barang, dan bersiap sedia untuk cabaran di cerun ketiga. Disebabkan hujan malam tadi, jalan menjadi sangat licin. Cubaan untuk mendaki bukit tersebut ternyata gagal. Setelah tiada pilihan, kami menggunakan tali yang disambung sepanjang 100 meter. Ketika inilah kerjasama sebagai satu pasukan sangat dihargai. Andai tiada kerjasama dalam pasukan, jangan sesekali mengharapkan kejayaan. One man show adalah mustahil untuk mengatasi masalah ini.
Cerun sepanjang 100 meter, dua orang di bawah dan lima lagi memegang tali hingga ke puncak. Satu demi satu motor berjaya ditarik. Namun kudrat yang dikerah sangat memenatkan. Setiap motosikal yang ditarik memakan masa satu jam. Setengah jam untuk menarik, setengah jam berehat. Dengan bekalan air minum yang sudah habis, semua kehausan. Menjelang pukul 12.00 tengahari, barulah semua motosikal berjaya dibawa ke puncak Bukit Magoh. Dalam kepenatan, kami meneruskan perjalanan. Dengan harapan janganlah ada lagi bukit seumpama ini di depan.
Sepanjang perjalanan, masih banyak rupanya bukit yang perlu didaki. Tapi tidak lah setinggi Bukit Magoh. Beberapa jam kemudian, motosikal Wan mengalami masalah teknikal dengan clutch plate terbakar. Tiada jalan lain, alternatif yang diambil adalah dengan menunda menggunakan tali, dan menuju ke arah bandar Limbang.
Setibanya kami di Kem Merlimau dan berehat seketika, kami berjumpa dengan transporter. Di sini kami berbincang untuk menghantar motosikal rosak ke bengkel yang terletak di Limbang. Untuk ke Limbang, ia akan memakan masa tiga jam lagi. Dua buah motosikal dibawa menggunakan pick-up manakala yang lain menunggang. Dalam perjalanan ke Limbang, kami terpaksa menempuh satu lagi halangan, iaitu banjir berhampiran Kampung Medamit.
Kami yang bermotosikal ini nekad untuk meredah banjir. Disangkakan cetek, rupanya air naik separas 1.5 meter dan jarak kawasan banjir itu pula sepanjang 200 meter. Akibatnya semua motosikal mati di tengah-tengah kawasan banjir dan terpaksa ditolak. Cemas juga bila memikirkan di Sarawak ini memang banyak buaya sesat terutamanya di waktu banjir.
Kami tiba di bandar Limbang pada jam 6.00 petang. Tanpa berlengah, kami mencari hotel budget untuk berehat dan merancang perjalanan untuk keesokan hari.
Hari Ketiga
Cuaca pada waktu pagi amat baik. Sebaik sahaja bengkel dibuka, kami semua mengambil kesempatan untuk memeriksa dan membaiki motosikal masing-masing. Kami perlu memastikan jentera dalam keadaan terbaik agar tidak mendatangkan masalah di dalam perjalanan terutamanya di hutan nanti. Sekitar jam 12.00 tengahari, kami keluar dari hotel.
Setelah selesai susun atur barang dan makan tengahari, pengembaraan disambung. Kali ini tiada destinasi perhentian ditetapkan. Menunggang sejauh yang mungkin, dan hanya akan berhenti sekitar jam 5.00 petang tidak kira di mana asalnya, ia lokasi yang sesuai untuk mendirikan khemah.
Nasib kami baik kerana kawasan banjir yang dilalui semalam sudah pun kering. Namun begitu, hujan lebat turun secara tiba-tiba. Dengan keadaan serba basah dan licin, kami tetap bersemangat untuk maju ke depan. Sedang menikmati pemandangan hijau di puncak bukit yang berketinggian 2,400 kaki dari aras laut, tayar motosikal Zam telah pancit. Perjalanan terhenti selama 45 minit untuk mengantikan tiub dalam kesejukan. Semua menggigil ditambah pula apabila sesekali dilintasi awam dan kabus yang membeku.
Kami akhirnya tiba di puncak Bukit Demaring berhampiran Long Semadoh dalam waktu yang ditetapkan. Di situ kami menemui pondok kosong tinggalan kaum Penan. Pada mulanya kami ingin menumpang di pondok tersebut. Tapi timbul pula rasa tidak sedap hati bila memikirkan perkara-perkara mistik. Jadinya, kami mengambil keputusan mendirikan khemah di tempat berhampiran.
Tugas dibahagi untuk mencari kayu api dan air bersih untuk memasak. Selesai makan malam, hujan turun dengan lebatnya. Kami semua berkurung di dalam khemah, dalam keadaan basah dan lembap. Dalam kesejukan, mata tertutup lena hingga ke pagi.
Hari Keempat
Harapan pada hari ini adalah sampai ke destinasi iaitu di Ba`kelalan. Selepas tiga hari, tiga malam perjalanan, sudah ada tanda-tanda putus asa.
Jam sudah 8.00 pagi dan semua bergerak meneruskan perjalanan. Malangnya dalam sejam perjalanan, berlaku pula kejadian tanah runtuh di Bukit Pintu. Ini juga menyebabkan runtuh jugalah moral kami di saat itu. Jalannya tidak dapat dilalui oleh sebarang kenderaan.
Kelihatan excavator sedang menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan. Namun kami tidak dapat menunggu terlalu lama. Tidak sanggup lagi bermalam di dalam hutan. Memang sengsara apabila kudrat banyak digunakan untuk menarik, menolak motosikal di laluan yang bercerun tinggi. Masih ada dua 'biji' lagi motosikal di bawah, tapi kami sudah kehabisan tenaga.
Akhirnya kami mengambil keputusan meminta bantuan excavator tersebut. Hasilnya, motosikal tersebut diangkat dari bawah terus ke atas. Lega, tidak perlu lagi memerah tenaga. Kami menghulurkan sedikit 'duit kopi' untuk pemandunya.
Kami singgah di Sebayang Camp untuk berehat. Camp Sebayang ini adalah hak milik syarikat Petronas yang menempatkan para pekerja yang terlibat dengan penyelenggaraan paip gas di dalam hutan tersebut. Di situ kami mengalas perut berbekalkan biskut yang dibawa dan menambah bahan api yang dibeli dari penduduk kampung. Harga minyak di situ memang tinggi dari pasaran. Tapi tidak perlu bersunggut, kerana setelah menempuh perjalanan yang sukar ini, kami memahami apa yang ditempuhi masyarakat sekitar.
Sekitar jam 1.00 petang, kami sampai di persimpangan Long Adang menuju ke Pa`Bruno. Perjalanan terhenti sekitar hampir 2.00 jam, gara-gara motosikal Zam pancit, ikuti pula dengan bearing tayar belakangnya pecah. Sepanjang perjalanan dari Long Adang, kami dapati tanah di situ berwarna hitam dan disebabkan hujan, ia menjadi sangat berbecak - tidak ubah seperti bubur.
Dengan masalah seumpama ini, kami dapat rasakan agak mustahil untuk sampai ke Ba`kelalan pada hari ini. Mungkin terpaksa juga bermalam di mana-mana tempat nanti. Kami tiba di persimpangan Lawas dan Ba`kelalan pada jam 4.00 petang. Tertera papan tanda menunjukkan 60 kilometer sahaja lagi ke Lawas. Semua tersenyum, tanda kepuasan walaupun masih belum tiba di destinasi.
Rasa bersemangat di dalam diri tiba-tiba meninggi, kerana yakin kami akan sampai pada hari yang sama. Tanpa berlengah, semua memecut laju. Namun hujan mulai renyai, dan cuaca mulai gelap. Buat kali yang ketiga, motosikal Zam pancit lagi. Kali ini pancit kedua-dua tayar belakang dan depan. Yang lain meneruskan perjalanan dan cuba dapatkan bantuan daripada orang kampung nanti.
Kami terpecah kepada dua kumpulan. Asri, Jalal dan Abg Zul ke depan, manakala yang lain di belakang. Hampir jam 7.00 malam, cuaca semakin gelap ditambah pula dengan hujan turun dengan lebat. Ternyata, kami gagal tiba di Ba'kelalan hari ini. Tambahan pula sewaktu tiba di Long Beluyu, pembinaan jalan raya sedang dilakukan dan laluan itu juga adalah bukit yang tinggi, sangat berbecak dan tidak dapat dilalui oleh kenderaan buat masa itu.
Kelihatan di atas bukit tersebut beberapa buah kenderaan pacuan empat roda yang tersangkut tidak dapat meneruskan perjalanan. Masih ada 30 kilometer perjalanan. Tiada pilihan, kami terpaksa bermalam. Sekarang kami sudah berpecah dua kumpulan. Kumpulan pertama menumpang tidur di kem pembinaan yang membina jalan tersebut. Beruntung juga kerana kami dibenarkan menumpang, tidak perlu lagi memasang khemah.
Manakala kumpulan kedua bermalam di Malindo Café, kepunyaan Mr. Ramsay yang terletak di Long Semadoh. Kerana memahami makanan halal agak sukar buat kami, kami memasak bekalan dibawa untuk makan malam. Sambil menyuap makanan, kami sudah terbayang-bayang kesukaran yang perlu dihadapi hari esok dengan harapan itulah sengsara yang terakhir.
Hari Kelima
Matahari dah naik! Kami merenung bukit yang akan didaki dan tahu ia adalah sama susah seperti di Bukit Magoh. Namun hanya tinggal 30 kilometer perjalanan, ujian ini perlu ditamatkan juga walau apa cara sekalipun. Apa pun, kali ini kami tidak tergesa-gesa. Cuaca agak panas. Kami bergerak sekitar jam 11 pagi dengan harapan tanah becak akan kering.
Namun ternyata jangkaan itu meleset! Separuh mati kami menolak dan menarik semua motosikal. Jentera moped seperti Honda EX5 yang rendah (tidak seperti scrambler) memberi masalah yang besar dalam keadaan seperti ini. Tanah yang melekat antara tayar dan madgad membuatkan tayar tidak dapat berpusing seolah-olah telah digam oleh tanah tersebut.
Mengambil jalan mudah, lagi sekali kami meminta bantuan excavator mengangkat motosikal tersebut. Dekat sejam juga kami mengambil nafas dan kekuatan semula selepas penat 'bertarung'.
Cabaran diteruskan dengan doa dan kami akhirnya sampai ke Ba`kelalan kira-kira pada jam 3.00 petang. Semua menarik nafas panjang. Kembara kali ini mengambil masa 5 hari 4 malam, baru sampai ke Ba`kelalan. Satu pengalaman yang memberi kesan dan pengajaran. Terutama sekali dalam kerjasama rakan-rakan sebagai satu kumpulan.
Objektif ke Ba`kelalan sudah tercapai. Namun kami tidak bercadang untuk bermalam di Ba'kelalan.
Di sini.... kami menikmati setiap saat dengan mengelilingi kawasan kampung, menghirup udara sejuk dan segar. Penduduk Ba`kelalan menyambut ketibaan kami dengan lambaian, seolah-olah tahu kami adalah orang luar yang datang melawat. Selesai mengisi perut, kami mengambil keputusan mencari transporter untuk menghantar kami dan motosikal ke Lawas. Tidak sanggup lagi meredah jalan yang sama untuk pulang. Dengan menaik pick-up, kami sampai ke bandar Lawas pada pukul 12.00 malam.
Apabila tiba di bandar Lawas, bermulalah pula episod untuk pulang ke Kuching. Dari Lawas, semua motosikal dihantar ke Kuching menggunakan khidmat transporter manakala kami menaiki feri ekspres ke Limbang.
Dari Limbang kami menaiki kapal terbang ke Miri dan kemudiannya ke Long Lama untuk mengambil kenderaan kami. Dari situ, perjalanan mengambil masa lebih kurang 12 jam lagi untuk sampai ke Kuching. Syukur pada Yang Esa, semua selamat sampai. Yang pasti semua masih kepenatan dan perasaan bercampur baur masih segar dalam ingatan. RR
Oleh: Mohd Asri
Popular