Isu Terkini

Julai 2024

Kembara / 23 Mac 2021

Malaya Ride & Camp: Permata Di Negara Sendiri

Hari Pertama (15/12/20): Bangi – Port Dickson

Selepas siap habiskan kerja (WFH), pada pukul 10.00 malam aku terus shoot ke 'Podiksen' (H&N Campsite) untuk bersama Si Wak Isma dan keluarganya. Harga bayaran bermalam untuk motosikal + khemah ialah RM20. Sebaik saja sampai, terus set-up hammock tanpa pasang 'fly'. Memang niatnya nak tengok milkyway.... penyudahnya langit berkelip kelip. Pukul 4.00 pagi set-up khemah sekali lagi untuk menyelamatkan diri daripada ditertawa kawan-kawan kalau basah kuyup keesokan harinya. Lepas tu, aku terus tidur nyenyak tanpa mimpi.

Hari Kedua (16/12/20): Port Dickson – Tasik Biru, Jasin

Tasik Biru, Jasin sekarang ini paling viral katanya di area Melaka. Hujan turun dari bandar Jasin menuju ke tapak perkhemahan. Kali ini, muncul seorang lagi sahabat, si Alip Kaizer Kashmiri.

Ride kali ni ada motor berkuasa tinggi (BMW F850GS), motor cub (Honda EX5) dan Honda BR-V Camper SUV. Kami nak uji dulu setiap campsite yang dituju sama ada laluannya lepas/sesuai untuk semua jenis kenderaan.

Sebaik sahaja Wak sampai, kami terus plan untuk cuba gaya wildcamp sikit. Jumpa tempat, terus set-up alat perkakas berkhemah. Malam tu kami turut ditemani kawan-kawan Melaka iaitu Abang Mi dan Azrul. Mereka siap belanja roti canai! Punyalah banyak, macam nak buat kenduri cukur jambul pula! Apa pun terima kasih ye kerana sudi luangkan masa.

Hari Ketiga (17/12/2020): Tasik Biru Jasin - Tanjung Sedili

Cuaca mendung dari pagi. Maklum sekarang musim monsun. Tapi yang degil sangat nak ride tu dah kenapa? Inilah cabaran ketahanan badan vs cuaca.

Perjalanan ke Tanjung Sedili yang terletak di daerah Kota Tinggi dengan melalui jalan-jalan lama memang best! Kami pusing-pusing dulu di sekitar Sungai Rambai. Ini kali pertama kami tengok air jernih yang popular dan diperbualkan oleh netizen di media sosial. Kami hilangkan rasa lapar di Muar dan kembali ke atas kenderaan masing-masing. Wak masih sangkut dengan jem di beberapa kawasan bandar. 'Mat Rempit' memang senang sikit nak mencelah. 'Sap... sap... lepas!'

Aku berkesempatan untuk bergambar kat tepi-tepi jalan. Tak sangka, dua jam juga perjalanan dari Muar nak ke Sedili ni. Betul-betul punya hujung laluan di dalam kawasan felda ni. Bila sampai di simpang nak masuk ke tapak perkhemahan (Tiger Base Camp), aku keliru sikit sebab kena masuk ladang kelapa sawit. Mujur ada signboard halus terpacak kat area tanah merah. Lega!

Aku terus lapor diri di pejabat Tiger Base Camp. Harga untuk berkhemah + motosikal ialah RM10. Selepas siap urusan di pejabat, aku terus cari port nak pacak khemah. Siap semua perkakas, barulah ada mood nak bergambar. Cuaca pun cun! Selang setengah jam kemudian, Wak beserta Apis Ijau pun sampai.

Lepas makan malam, Ranting Moped Johor pun sampai. Mereka ialah Adam China, Azmi Homestay dan Epul Volvo yang baik hati membawa bersama produk-produk makanan. Terima kasih geng! Sebelum dibuai mimpi dalam hammock masing-masing, kami layan berborak cerita hantu dulu! Pukul 4.00 pagi.... hujan turun! Aduhai....

Hari Keempat (18/12/2020): Tanjung Sedili – Sungai Lembing

Dari sebelum subuh hujan sudah turun renyai-renyai membawa terus ke tengahari. Kami membuat keputusan untuk membuka semua perkakas dalam hujan. Waktu ni beberapa cara perlu dilakukan seperti teknik daun keladi (nekad hanya mengenakan baju hujan semata-mata tanpa baju lain di dalam) ia seperti 'berbogel' terus atas motor – senang mandi terus bila hujan lebat… perumpamaan saja ya! Tu kalau tuan-tuan berani la. Takut juga nanti terlupa, buka baju hujan di depan khalayak ramai, nescaya maruah pun boleh hilang woo! Aku selalunya pakai baju hujan dengan (boxer + seluar + baju).

Ok... aku sambung cerita balik! Dah melalut sikit, nanti siapa nak baca.

Jarak dari campsite ke stesen petrol paling dekat ialah sekitar 10 kilometer. Lepas isi minyak throttle aku pusalas menghala Sungai Lembing, Pahang dengan menggunakan laluan Mersing – Rompin – Pekan – Kuantan.

Perjalanan guna rain mode (70-200km/j) mengambil masa sekitar empat jam dan syukur aku sampai di Sungai Lembing pada pukul 8.00 malam walaupun terpaksa meredah hujan tanpa henti. Li Komando dari Moped Pahang sudah kelihatan di kedai minum depan pokok besar Sungai Lembing menanti kehadiran kami semua. Pasti 'korang' tertanya-tanya mana Wak? Wak Isma terpaksa balik ke Kuala Lumpur sekejap kerana menghadiri hari graduasi tadika anak bongsunya pada hari Sabtu pagi (19 Disember).

Li Komando bawa aku ke dalam hutan rimba tengah hujan-hujan tu. “Malam ni kita pacak atas bukit awan karpet Don!” Aku ok je asalkan tidur tu tak jejak tanah.

Sampai port, aku terus siapkan apa yang patut dalam hujan renyai tak henti-henti. Malam, aku dan Li Komando sembang kejap je lepas tu dua-dua 'padam'. Tidur awal sikit sebab nak bangun awal untuk ambil gambar sunrise beserta awan karpet. Kalau tak biasa dengan keadaan sunyi/gelap/hujan lebat nescaya boleh berhubung dengan alam ghaib di sebalik mata kasar. Aku tidur-tidur ayam malam tu sebab telinga asyik terdengar kesan tapak kaki ke hulu, ke hilir tapi bayangnya tak ada pula. Malas layan! Aku selubung sampai pukul 6.00 pagi.

Hari Kelima (19 Disember 2020): Sungai Lembing

Celik mata pagi tu aku bagaikan berada di alam lain. Awan bergulung-gulung di depan mata, boleh dicapai dengan tangan. Bergambar macam-macam teknik dan gaya pagi tu untuk simpanan kot ada yang bertanya “Pergi tak? Singgah tak?” Jadi.... kita siapkan awal-awal.

Li buat milo secukup rasa, siap tambah gula. Naik ke atas mata hitam aku bila menghirup milo Li Komando! Sambil minum, sambil layan pemandangan indah di depan mata. Tak sangka, sampai terlelap aku atas kerusi. Sedar-sedar dah pukul 9.00 pagi, tu pun pasal terasa bahang kat muka - matahari dah naik.

Kami bersiap-siap ke rumah Li untuk jemput anak-anaknya di rumah yang jaraknya sekitar 40 kilometer dari Sungai Lembing. Wak pun nekad untuk sambung perjalanan selepas selesai program tadika anaknya. Wak sampai di Sungai Lembing lebih kurang pukul 2.30 petang. Kami tapau makanan dan terus ke wildcamp di tepi sungai yang terletak sama jalan ke arah Air Terjun Pelangi. Free je pacak khemah situ.

Sudah dijangka hujan akan turun di sebelah petang. Aku nak selesa dan cukup rehat untuk 'recharge' tenaga dan badan pasal pada waktu siangnya dah 'pepah' atas motor. Maka peralatan UL (ultra light) macam kerusi, meja, hammock dan khemah yang kompak atau jenis lipat kena siap siaga. Ini salah satu cara aku jaga stamina bila ride berhari-hari. Aku tidur beralaskan tilam yang dibeli di Decathlon ditambah dengan bantal... sleeping bag... nyamannya suasana di rimba.

Hari Keenam (20 Disember 2020): Sungai Lembing - Pantai Chendering, Kuala Terengganu

Hujan dari malam membawa ke tengahari. Kami terpaksa mengemas di dalam hujan, siap pakai baju hujan. Siap semua barang, kami bergegas ke beberapa lokasi bergambar kenangan seperti Jambatan Gantung Sungai Lembing dan di Campervan Port Pasir Puteri.

Selesai 'berfoto', aku singgah kejap ke kedai sebelum berpisah dengan Li Komando dan aku teruskan misi ke Terengganu. Matahari 'malu-malu' nak keluar dan mujurlah tak hujan. Hari ni aku ikut Lebuhraya Pantai Timur sebab dapat info ada jalan di Kemaman dah tenggelam. Sampai di Kuala Terengganu, kami halakan kenderaan masing-masing ke tempat bermalam di sekitar Pantai Chendering.

Kali ni kami ambil homestay untuk mengecas segala gadget seperti lampu dan powerbank. Jiwa camping kami punyalah tebal. Walaupun ada bilik, kami tetap pasang hammock di pantai depan homestay tu. Memang tak boleh tidur la kalau tak tengok bintang. Lepas isyak kami didatangi kawan-kawan 'Ganu.'

Abang Syam ATM hadir bersama orang rumahnya. Selang 30 minit, tokey pitstop route Marang Pizza Kapas pun sampai bersama tiga kotak pizza 'handal', Abg Syam belanja malam tu! Oleh kerana mereka kerja esok harinya, tepat jam 12.00 malam Abg Syam and the geng bergerak balik. Selamat jalan dan thank you.

Hari Ketujuh (21/12/2020): Kuala Terengganu - Jeli (Banjaran Titiwangsa)

Alamak! Terlewat bangun pula! Tengok jam dah pukul 10.00 pagi. Aduh, punya nyaman cuaca sampai terlajak. Tengah aku bersiap tetiba Shahidan Himalaya call. Cantik, boleh makan sekali. Kami pekena nasi dagang padu! Lepas tu dibawanya aku pusing-pusing di sekitar yang memang sesuai untuk bergambar.

Pukul 3.00 petang, perjalanan kena sambung kali ini arah Banjaran Titiwangsa menggunakan laluan Kenyir - Aring - Dabong – Jeli. Cuaca memang 'cun' dari Terengganu, bebas hujan! Kami sampai area Dabong hari dah gelap, lebih kurang jam 8.00 malam. Aku kena berlawan dengan mental dan fizikal kerana perlu rentasi laluan 'angker' atau 'keras' atau haunted yang selalu didengar di laluan Jeli – Gerik.

Walaupun aku berdua motor dengan kereta (Wak) tapi bila di tempat tak ada lampu ni, paling laju boleh tekan pun dalam 80-90km/j je sebab gelap bercampur kabus. Memang masa tu segala cerita seram mula bermain kat kepala! Ahhhh... nasib baik motor aku boleh buka lagu nasyid. Aku pun terkumat kamit ikut nanyi sekali atas motor. Kalau tak, aku pasang ayat-ayat ruqyah tapi risau pula 'mende' tu mengamuk atas-atas pokok, tiang elektrik atau yang merayap tepi-tepi semak. Dibuatnya 'semua' keluar nanti, masak!

Aku buat tak tau. Sampai kawasan banjaran sudah jam 11.00 malam. Kami terus pacak khemah, berdepan dengan gunung ganang. Standby awal untuk tengok sunrise. Buka zip khemah terus nampak gunung tapi punyalah padu rasa sejuk di sini. Lebih sejuk daripada Cameron Highlands. Kami hanya mampu berborak dari dalam khemah masing masing je. Tak mampu nak duduk luar. Bukan pasal hujan tapi pasal kabus campur sejuk sangat tu memang tak boleh tahan betul!

Hari Kelapan (22/12/2020): Banjaran Titiwangsa – Bukit Ayer, Perlis

Syukurlah, kami semua selamat daripada dipijak gajah. Mungkin Si Wak dah 'pagar' 9 Penjuru Teknik Halimunan Puteri Pantai Selatan. Buka je zip khemah, aku terpesona dengan pemandangan yang disajikan. Subhanallah, ucapan yang tak berhenti-henti aku lafazkan dalam hati. Pemandangan dah macam di Mae Hong Son dan di Mae Sariang. Punyalah cantik, aku rasa dua kali je aku kelip mata dari pagi sampai tengahari.

Sambil melayan view, aku menghirup kopi dicicah biskut. Memang lain benar rasanya berbanding di rumah dengan suasana atas gunung. Kami siapkan barang-barang ke lokasi seterusnya. Aku halakan GS aku terus ke Perlis menggunakan Lebuhraya Timur-Barat (Tasik Banding - Gerik - Baling - Pokok Sena - Perlis Indera Kayangan).

Kami singgah untuk makan tengahari di Pokok Sena di atas jemputan Ranting Moped Kedah iaitu Ikwan Ayam Goreng Handal. Kami makan di kedai atuknya. Lepas makan, Ikwan bawa jalan-jalan tepi sawah. Fuh... view padu macam lukisan, untung laaa ada kampung cantik. Siap berfoto, kami shoot ke arah utara, sampai sempadan Perlis/Thailand. Aku berhenti kejap, ambil gambar buat kenangan. Kalau sekadar nak simpan dalam kepala, bila-bila pun boleh lupa tapi kalau ada gambar, memori tu kekal walaupun bila dah meninggal.

Selepas puas ke hulu ke hilir sekitar Timah Tasoh/Wang Kelian view point, kami bergegas ke campsite yang bernama Campsite PEKETUM Malaysia. Geng seperjuangan bidang pengembaraan menggunakan motosikal ber'cc' kecil. Beza kenderaan dengan satu tujuan. Tapak perkhemahan ini private dan datang atas jemputan sahaja untuk bermalam. Alip Kashmiri muncul semula dengan EX5nya semasa aku di Wang Kelian view point. Cuaca hari ni cun! Nyaman je tidur dalam hammock.

Air sungai cantik, sebiji macam di Kuangsi, Laos yang berwarna hijau Jed. Bila suluh terus nampak dasar. Sungai tak besar mana, tapi cukup dalam untuk buat triple somersault jump dari dahan pokok tepi sungai tu. Malam tu kami nekad nak berendam pasal air cukup padu. Campsite sangat lah terjaga. Bersih, persekitaran nyaman, malam pun sejuk. Kami pula didatangi Ranting Moped Perlis, Apis GS 'Tropi' bersama bungkusan makanan seumpama hari raya, siap dengan air gas! Cuma tinggal balang nak isi kuih je tak ada. Kami berborak sakan sampai pukul 2.00 pagi. Apis balik, kami padam!

Hari Kesembilan (23/12/2020) Bukit Ayer - Sungai Sedim, Kedah

Tak cukup satu malam untuk teroka negeri Perlis ni sebab terlalu banyak tempat yang cantik dan padu yang setanding dengan negara sebelah serta patut diketengahkan. Aku cuba untuk datang repeat semula 5 hari 4 malam yang fokus dalam Perlis sahaja. Kalau ada yang nak join, meh sekali! Kita tak ada pilih-pilih tapi biasa la main motor ni kena tahan la ejek-ejek sikit. Tak tahan, 'gi' main basikal.

Celik mata... aku celup mata dengan air sungai. Si Alip dah menekan! “Don... Don bangun cepat! Menteri Besar dah sampai depan tu!" Aku ingat dia main-main, sekali betul rupanya. Dengan muka yang tak siap lagi, aku sambut menteri.

“Kamu dari mana ni datang berkhemah di sini?” tegur beliau.

“Saya dari Kajang Tok,” jawab aku bersahaja memandangkan baru bangun tidur (Ambil masa sikit untuk on system badan).

"Terima kasih kerana sudi bercuti di negeri Perlis," tambah beliau. Tak sempat nak minta adjust hal KWSP, MB pun bergerak melawat kawasan sekitar.

Lepas tu Ketua No.1 Peketum pun sampai. Brader Mat Du (Malay Regiment) dengan berbaju kemeja siap masuk dalam. Baru habis kerja katanya! Kami dibelanja 'Nasi kandaq”. Terima kasih masbro. Lepas berborak, lepas kenyang, lepas jumpa Abg Lan Peketum dan lepas siap mengemas, kami tuju arah Sungai Sedim, Kedah. Terima kasih juga buat Abg Latok 'Seluar Handal' yang bagi dan bekal kami dengan satay paling mantap di Kedah! Kami lalu Bukit Ayer - Ayer Itam – Kulim yang takde lah jauh sangat dan bawa santai. Lebih kurang sama laju dengan 'Cepai' Alip Kashmiri. Kita ride tak pilih-pilih, normal is boring kan.

Memang best dan santai bawa motor sambil berdiri menghayati sawah padi di kiri kanan. Memang nyaman suasana kehidupan di desa ni. Aku dengan Alip sampai dulu, kemudian barulah Si Wak sampai. Dia sangkut pasal jem sikit kat pekan-pekan. Selang 40min, Wak pun sampai dan setelah sebulat suara ala gaya meja bulat King Arthur, semua bersependapat untuk bermalam di Abg Yus Sungai Sedim Campsite yang harganya hanya RM10 je.

Port kami betul-betul tepi sungai dan paling best sekali, kami datang hari biasa, orang tak ada. Aduh... nyaman betul. Sebelah malam, kami layan mancing dengan snap foto guna nightmode sebab bintang-bintang bersepah-sepah – cantik sungguh. Memang terkilan rasa kalau tak ambil gambar untuk kenangan. Jam 3.00 pagi aku masuk hammock, tutup mata. Nyaman bunyi sungai dan angin secukup rasa. Emmm... susah nak cakap macam mana feel dia.. tak akan dapat rasa macam ni kalau bercuti di hotel. Saranan! Sesekali keluarlah dari kelompok keselesaan.

Hari Ke-10 (24/12/2020): Sungai Sedim – Pulau Pinang

Lokasi seterusnya ialah ke Penang. Tempat bermalam belum set lagi. Aku nak 'usyar' dulu mana yang padu. Sebelum masuk ke Pulau Mutiara, aku singgah di trek motocross Padang Ibu yang baru dinaik taraf. Mantap, next time datang kena bawa scram la baru berselera nak pepah dalam tu.

Sementara nak tunggu Wak yang sangkut jem sekitar Pulau Pinang, kami makan dulu kat Gurney tapi tak juga sampai. Jadi kami bersiar-siar di Batu Feringgi. Wak muncul kat Teluk Bahang siap sempat mendobi pakaian harian. Sambil tunggu baju kering, kami bincang nak pacak khemah kat mana.

“Don kita pergi sini (tunjuk kat handphone), sungai paling terbaik dalam Penang!" Aku ikut je tapi sekali sampai, tengok-tengok dah macam tempat orang buang saka. Khabarnya port ni direkomen oleh warga tempatan. Cubalah kalau handal!

Kami bincang sekali lagi, ada kawan-kawan cadangkan di kawasan sekitar Batu Feringgi, harga pun dalam RM5.00 je dan ada sea view. Kami pun bergegas patah balik, main corner malam-malam di Balik Pulau menghala ke Batu Feringgi.

Memang best dan seronok tapak khemah dia! Thanks Amet. Tak lama kemudian, skuad sampai. Sulong dengan Poji datang dari KL. Malam tu semua pakat lena dalam hammock sebab cuaca yang cukup nyaman. Aku kira-kira, bermula dari turun Banjaran Titiwangsa sampai di Batu Feringgi ni, cuaca cantik - tak hujan hujan, terbaik.

Malam tu Si Amet (kawan bagi lokasi) datang, dia pun join sekali.

Hari Ke-11 (25/12/2020): Batu Feringgi – Pos Kuala Mu

Suasana pagi kat Batu Feringgi 'sebijik' macam kat Phuket! Cantik dan segar... nyaman. Kami pi kedai bersarapan pagi, depan Hard Rock. Parking motor pun sebelah-sebelah je. Brek Brembo kena hati-hati! Walau pahit untuk ditelan, itula realiti. Terlalu banyak kes brek Brembo 'ghaib' sekitar area sini. Kalau tidur malam pun biarlah motor berlaga dengan lutut. Kalau hilang.... standby la 5-7 ribu set brembo untuk motor BMW. Itu pun kot ada harga tu lagi memandangkan sekarang harga semuanya dah naik. Alasannya... Covid! Macam-macam teknik main harga.

Kami tekan kenderaan masing-masing ke Padang Rengas - Kuala Kangsar - Sungai Siput. Kami dijemput rakan seperjuangan moped, Sajok ke rumah keluarganya. Dijamunya kami dengan Nasi Ayam Hainan Chinese Look, nampak simple tapi tiga kali aku tambah. Aduh, kena pula dengan air sarsi. Sekali lagi naik ke atas mata hitam aku!

Perjalanan diteruskan. sebelum sampai Kuala Mu… ada spot layan 'kona' sekitar Sungai Siput menghala ke Kuala Mu yang leper paras cuping telinga. Apa lagi! Setelah bergabung dengan semangat Valentino Rossi yang tiba-tiba menyerap masuk, jalan seakan-akan Route 12 punya 'kona'. Buka gear 4!

Sampai area gunung-gunung, aku mula bawa slow balik sambil berdiri menghayati panorama kawasan tanah tinggi. Cuaca sejuk! Wak sampai dulu ke campsite. Dia gerak awal sikit sebab nak elak sangkut mana-mana. Aku macam biasa, mesti ambil gambar.

Tapi pelik... ada ke orang yang jalan-jalan tak minat nak bergambar langsung? Aku cuba juga untuk terima akal, takan lah tak ada langsung sekeping dua gambar dalam simpanan? Sekurang-kurangnya untuk dijadikan rujukan kenangan di saat hari tua nanti.

Kami ambil pondok untuk bermalam di sini. Aku keluarkan tilam, bantal dan sleeping bag je dari dalam box. Lepas tu buka meja dengan kerusi untuk berborak yang juga kali ni dihadiri oleh 'Penjaga Lembah Gunung dan Pemegang Pintu Gua' di Kuala Mu iaitu Along Loceng. Siapa pernah sampai Kuala Mu mesti kenal, kalau ada yang tak kenal, korang mesti belum sampai Kampung Gepeh. Setakat 'main' kat depan-depan je la tu.

Hari Ke-12 (26/12/2020): Pos Kuala Mu – Kalumpang, Hulu Selangor

Pagi ni aku dikejutkan dengan 'alarm' dari ayam-ayam yang ada di sekitar campsite. Rasa macam nak tangkap, lepas tu cekik sikit dalam tiga minit leher dia. Aku tengah sedap lena, kat sebelah telinga dia tarik 'pikap' paling maksimum berkokok. Hadoi...kesudahannnya, memang dia suruh aku bangun terus.

Lompat semula atas Bee Eem, misi diteruskan ke Kalumpang melalui Ipoh (Nasi Ganja Yong Suan) – PLUS dan keluar di Tanjung Malim. Kami cadang nak makan Nasi Ganja di Ipoh, sebulat suara semua setuju.

Sampai kat Kedai Kopi Yong Suan a.k.a Nasi Ganja, orang yang beratur boleh tahan panjangnya tapi semua yang beratur tu nak tapau je. Kalau nak makan kat situ kena tunggu 10 minit kat luar sebelum boleh masuk dalam. Kena tunggu turn, ada kosong boleh masuk, jangan risau. Lepas makan, Sulong dengan Poji terus shoot balik KL, aku dengan Wak masih ada misi lagi iaitu di negeri tumpahnya darahku, Selangor Darul Ehsan. Kami buat keputusan untuk bermalam di Kalumpang sebab tak pernah pergi lagi. Asyik tengok orang review je kat FB.

Exit je Tol Tanjung Malim, aku disambut oleh Ranting Moped Selangor iaitu Arai FBI dan Abg Azhar. Tak tahu menahu pula dia orang nak join. "Kami tunggu mu Don kat sini!" Kami gerak sama-sama ke campsite.

Lapor diri di kaunter, aku isi semua ikut SOP. Dapat tapak tapi tengah-tengah nak set up, hujan pulak. Sambil basah kuyup pasang khemah. Pengalaman 13 hari buka pasang, buka pasang khemah dah jadi lumrah. Lepas maghrib kami 'bedah siasat', cerita-cerita pasal trip di setiap negeri dan plan nanti untuk bawa geng pula. Malam tu cukup selesa dalam sleeping bag, kat luar pun hujan renyai-renyai.

Hari Ke-13 (27/12/2020): Kalumpang – Bangi

Suara mat rempit entah datang mana ceruk menggerakkan aku. Baru pukul 7.30 pagi. Tak ada rasa segan ke kat orang-orang yang datang bercamping situ? Ada yang bawa anak kecil! Tak tahu macam mana cara dia orang ni berfikir. Tengok muka macam semua dah berakal. Kot ya pun happy dapat mandi sungai, biasa-biasa dah la. Yang nak menjerit pagi-pagi tu dah kenapa? Ini salah satu spoil bila pergi camping… jumpa perangai macam ni… nak di tegur kang berkelahi pula. Malas panjang cerita, buka khemah, buat muka sikit.

Geng pun dah bangun. Si Arai dengan Abg Azhar sapa aku. “Asal awal Don? Tak tahan dengan Tarzan ke?" Nampak gayanya diaorang lagi awal dah kena gangguan.

Siap kemas, kami lepak santai. Punya la jakun kelakuan sesetengah manusia, sampai anak-anak Si Wak pun takut nak mandi. Betul-betul macam di amazon punya perangai. Aku dah habis berlapik dah ni. Kami kemudiannya terus hala ke kedai Paan (Ayam Pasu LV) yang beroperasi di Taman Nakhoda, Selayang.

Cantik lah sebab ia dalam laluan ikut jalan lama dari Kalumpang – Ulu Yam. Kami order, makan dan berborak tapi mood pulak tak ngam dari pagi. Lebih kurang sejam lepas tu kami pun bersurai.

Tak pernah aku camping lama-lama macam ni dengan motor. Apa yang dapat aku belajar dalam trip ni adalah lebih untuk mengenali diri sendiri/daya tahan mental, fizikal untuk berlawan dengan cuaca (monsoon). Memang nampak simple tapi kalau mental tak kuat, buang khemah 'pastu' check-in hotel je.

Setiap perjalanan ada jalan ceritanya yang tersendiri, mengikut kemahuan jiwa masing masing. Tapi kalau ada orang yang tak minat bergambar tu paling pembohong. Aku dah cuba bertahan.... cuba merasai rasa tidak suka bergambar tapi memang mustahil. Jujur pada diri sudah memadai kerana pengalaman sangat berharga lebih-lebih lagi kalau bercuti dan mengembara.

Terima kasih buat semua sahabat yang turut sama menjayakan misi kali ni. Terima kasih pada yang sudi luangkan masa untuk bersua, siap bawa 'jajan'. Jasa anda dikenang, sahabat selamanya dengan satu tujuan. Jumpa next ride. Jangan serik! Kita keluar dari kelompok keselesaan... bloodbrother. RR

#DonMestiBelanjer

Isu Pada

Februari 2021

Popular

  • Warta Roda

    Honda RS150R Tiba Dengan Warna Baru

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

Artikel berkaitan

Kembara Sampai ke Boten

Ride Sri Lanka - Berbelit Jalan Serta Lidah Nak Menyebutnya...

Kuching, Sarawak, Malaysia - Pontianak, Indonesia: 1000km Loop (Bahagian Akhir)

Kuching Sarawak Malaysia - Pontianak Indonesia: 1000km Loop (Bahagian 1)

Sabah 360 Ride 1,800KM Loop (Bahagian II)

Ride Berdua ke Siam

Sabah 360 Ride 1,800km Loop (Bahagian 1)

Ride Ihya Ramadhan TM Bikers Ke Gua Musang, Kelantan

Disyorkan untuk anda
Model Baru

Ducati Perkenalkan Panigale V2 & Streetfighter V2 Baru di Milan

Seperti biasa, Ducati memilih pameran motosikal antarabangsa EICMA untuk melancarkan Panigale V2 dan Streetfighter V2 yang memiliki ketangkasan dan kemantapan prestasi untuk tunggangan di jalanan biasa mahupun di litar.

Warta Roda

Warga Emas Meninggal Dunia Motosikal Dilanggar Dari Belakang

Seorang peniaga maut selepas motosikal ditunggang terlibat kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Tengku Mizan, di sini pada Selasa.

Warta Roda

Kemeriahan Konvoi PETRONAS Sprinta ke MotoGP Sepang 2024

PETRONAS Lubricant Marketing Malaysia Sdn Bhd (PLMM)bekerjasama dengan Dania Garage dala menganjurkan konvoi 'PETRONAS Sprinta ke MotoGP Sepang 2024'.

Dari Litar

GP Valencia 2024 Dibatalkan...Litar Untuk Pusingan Akhir Belum Dipastikan Lagi

Berikutan bencana banjir yang melanda beberapa buah bandar di Utara Sepanyol yang turut melibatkan komuniti di Valancia, pihak Dorna telah mengumumkan bahawa GP Valencia yang dijadualkan berlangsung pada 15-17 November nanti telah dibatalkan.