Bario Keindahan Semula Jadi Yang Kekal Terjaga
Melakukan sesuatu tanpa dirancang dan berakhir dengan kejayaan memang memberikan kepuasan yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Hanya mereka yang pernah melaluinya akan faham dengan perasaan tersebut.
Itulah yang terjadi kepada kami berdua iaitu Mohd Asri (penulis) dan Raziman. Bermula dengan cakap kosong, tetapi menjadi kenyataan dalam masa yang pantas. Kami hanya membuat perancangan selama dua hari. Rakan-rakan yang baik hati sanggup meminjamkan motosikal Honda EX5 untuk kami gunakan sepanjang perjalanan ke Bario. Ia adalah satu kawasan perkampungan di pertengahan Tanah Tinggi Kelabit di Timur Laut Sarawak, yang terletak 1,115km dari Kuching, dan 474km dari Miri.
Untuk ke Bario, anda boleh menaiki kapal terbang kecil Twin Otter dari Miri atau melalui jalan darat yang memakan masa berjam-jam lamanya dengan melalui jalan lori balak yang tidak berturap, berbatu, licin dan berbecak apabila hujan. Namun, inilah yang dicari oleh kami berdua, cabaran untuk sampai ke Bario melalui jalan darat.
Hari Pertama (19 November 2020)
Perjalanan pada hari ini adalah dari Kuching ke Long Lama di Miri. Untuk mendapatkan feri pertama, kami perlu berada di jeti Triso seawal jam 6.00 pagi. Perjalanan sejauh 787 kilometer bermula seawal jam 4.00 pagi dari Kuching. Motosikal yang akan digunakan diangkut dengan kenderaan pick-up, diikat dengan kuat dan rapi.
Perjalanan yang memakan masa lebih Samarahan dengan menggunakan dua buah feri iaitu Feri Sebuyau dan Feri Pusa. Seterusnya melalui perkampungan kecil di Pakan dan memasuki Lebuhraya Pan Borneo yang masih dalam pembinaan. Kami selamat tiba di Long Lama sekitar jam 8.30 malam. Ia adalah sebuah pekan kecil di tepi Sungai Baram.
Kami bercadang untuk bermalam di Masjid Long Lama. Syukur, En. Bolkan selaku penjaga Masjid Long Lama cukup baik hati mengizinkan kami bermalam di situ serta membenarkan kami meninggalkan kereta untuk beberapa hari sepanjang pengembaraan kami ke Bario. Bukan itu sahaja, beliau turut memberi info dan selok belok perjalanan ke Bario.
Menurut En. Bolkan, sepanjang perjalanan ke Bario nanti, kami akan berjumpa beberapa penempatan penduduk bermula dengan sebutan Long seperti Long San, Long Selaan, Long Balong, Long Banga dan sebagainya. Di sesetengah Long, akan terdapat kedai-kedai yang menjual petrol dan barangan runcit malah ada sesetengah Long turut menyediakan homestay.
Hari Kedua
Bermulalah episod tunggangan kami ke Bario. Perjalanan offroad sepanjang 330 kilometer. Mampukah kami melakukannya? Itulah yang menjadi persoalan.
Waktu subuh di Long Lama seawal jam 5 pagi. Selesai solat subuh, kami membuat persiapan dengan menyusun barang di atas motosikal. En. Bolkan sekali lagi membantu kami dengan mengiringi dan menunjukkan kami simpang ke Bario. Tepat jam 6.30 pagi, laluan offroad terbentang di hadapan kami.
Perjalanan lancar dengan keadaan yang masih sunyi serta berkabus. Selepas satu kilometer, mula kelihatan anak panah kecil yang menunjukkan laluan yang perlu diikut oleh pengguna kenderaan. Anak panah kecil ini adalah kegunaan laluan arah lorong untuk lori balak. Ada kalanya laluan ini berubah ke lorong kanan, mengikut faktor muka bumi. Sesiapa sahaja yang menggunakan jalan ini perlu mengikut lorong yang ditunjukkan oleh anak panah tersebut yang berada di sepanjang jalan.
Jangan leka. Kegagalan mengikut arahan tersebut boleh mendatangkan bahaya dan mengakibatkan kemalangan yang serius. Ini adalah kerana lori balak serta kenderaan pick-up yang menghantar barang ke Bario sering dipandu dengan laju kerana faktor muka bumi yang berbukit serta mengejar masa.
Setelah menunggang selama dua jam dalam keadaan jalan yang masih basah dan berlumpur, kami mula mengesan masalah teknikal. Madgad depan yang tercabut membuatkan tanah lumpur terpercik naik hingga ke muka. Perjalanan diteruskan dengan berhati-hati mengikut laluan lori balak, kerana kelibat lori balak sudah kelihatan.
Ya, lori balak dengan muatan balak yang berat, memang laju. Memang terkejut kami melihat cara pemanduan mereka. Setiap kali melihat lori balak di hadapan, kami akan memberhentikan motosikal untuk memberi mereka lalu. Tak mahu mengambil risiko. Lori-lori ini memerlukan ruang dan kelajuan untuk mendaki ke bukit seterusnya.
Masalah teknikal! Cover Box bahagian atas tercabut. Kebetulan Raziman ada di belakang, dia berpatah balik untuk mengambil cover tersebut. Untuk sementara, cover tersebut diikat dengan tali getah pengikat barang. Di sini kami mula menyedari kesilapan kami. Penggunaan kotak barang biasa seperti ini tidak sesuai untuk perjalanan offroad. Dengan berat yang ditampung dan motosikal yang melambung-lambung, membuatkan tapaknya bengkok dan patah. Inilah yang terjadi kepada motosikal Raziman. Di sini kami menghabiskan masa hampir dua jam untuk menanggalkan tapak box dan menyusun semula barang-barang yang dibawa. Perjalanan menjadi perlahan kerana kotak barang tersebut terpaksa diletak di ruang tengah (di antara hendal).
Jam menunjukkan 5.30 petang. Dengan perjalanan kami yang semakin perlahan, cuaca sudah gelap diikuti hujan, Raziman menjadi tertekan dan ingin berpatah balik. Namun saya tetap berkeras dan memberinya semangat untuk meneruskan perjalanan kerana kami sudah pun melebihi separuh perjalanan. Ketika kami tiba di Long Balong, terlihat sebuah kedai runcit.
En. Anthony Lasau, pemilik kedai tersebut dan juga selaku Ketua Kampung di situ terkejut apabila mengetahui kami ingin ke Bario dengan menaiki jentera moped.
“Memang akan sampai ke Bario, tapi tidak pernah dibuat orang dengan motor ini. Scrambler sudah biasa la.” Itulah yang disebut oleh beliau sambil mengaru-garu kepala dengan matanya ke atas dan ke bawah melihat motosikal kami berdua.
Memandangkan waktu sudah malam, beliau mempelawa kami untuk bermalam di rumahnya. Syukur, kami mendapat tempat penginapan dan perjalanan akan diteruskan esok.
Hari Ketiga
Hujan dari pukul 3.00 pagi akhirnya berhenti tiga jam kemudian. Kami akan menempuh jalan yang basah, licin serta berbecak. Setelah menyelesaikan masalah teknikal dan menyusun atur barang, kami bermula dari Long Balong ke Bario pada jam 9 pagi. Bersedia menempuh dugaan mendatang. Masih ada satu per tiga jarak perjalanan yang perlu ditempuh.
Dalam perjalanan, selepas Long Banga kami terserempak dengan tiga buah motosikal berkuasa tinggi. Dua buah Benelli TRK502 dan sebuah BMW R 1200 GS. Mereka adalah kenalan kami di Kuching. Menurut mereka, disebabkan hujan dan keadaan jalan yang licin, berlumpur serta pemilihan tayar yang tidak sesuai, mereka tidak dapat meneruskan perjalanan.
Mereka terpaksa bermalam di tengah hutan tebal. Sekiranya cuaca panas dan jalan mulai kering, mereka akan cuba ke Bario. Jika sebaliknya, mereka akan berpatah balik ke Long Lama. Timbul pula rasa bangga dengan diri kami berdua dan teringat kisah ‘Sang Arnab dan Kura-kura'. Lambat tetapi sampai juga dengan jayanya.
Kami yang bermula sejak 9.00 pagi dari Long Balong akhirnya berjaya tiba di Bario pada jam 4.00 petang. Tujuh jam perjalanan. Memang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata sewaktu kami tiba di Bario. Keletihan, tetapi kepuasannya memang tidak dapat dinilai. Kami berdua memandang antara satu sama lain, sambil tersenyum. Tanda puas!
Semua mata memandang ke arah kami berdua. Pelik melihat kami dan motosikal yang kotor berlumpur. Barang yang dibawa pula berbungkus seperti orang menjual karpet, motosikal pun seperti sudah tidak cukup sifat.
Dalam perjalanan mencari tempat menginap, kami disapa oleh orang-orang Bario yang ternyata peramah. Bertanya kami dengan macam-macam soalan, kerana tidak percaya kami dapat menunggang ke Bario hanya dengan Honda EX5. Kami meneruskan perjalanan mencari penginapan dan menginap di Nancy Harris Guest House.
Selang beberapa ketika, kami ternampak kelibat tiga orang rakan kami yang terkandas di pertengahan jalan tadi tetapi tidak ada pula kelihatan motosikal mereka. Setelah ditanya, rupa-rupanya mereka telah menyerah kalah, motosikal terpaksa ditinggalkan di dalam hutan dan mereka menumpang kenderaan orang kampung untuk ke Bario. Alang-alang kami di satu tempat penginapan, kumpulan kami telah menjadi berlima dan menginap di dalam satu bilik yang besar. Cukup untuk lima orang.
Hari Keempat
Bario terletak 3,280 kaki dari aras laut yang terdiri daripada kawasan pergunungan dan bukit bukaunya yang tidak terusik seperti di Cameron Highlands, Pahang. Sudah pasti ia memberi udara yang menyegarkan pada waktu pagi. Sejuk dan berkabus.
Untuk hari ini, kami hanya mengambil peluang membaik-pulih motosikal, berehat dan melawat kawasan persekitaran Bario. Manakala tiga orang kawan kami itu sibuk mencari transporter di Bario untuk membawa pulang motosikal mereka yang terkandas di dalam hutan.
Kaum majoriti di Bario adalah Kelabit dan terkenal dengan keramahannya. Ketika kami menikmati kopi di salah satu gerai di Bario, kami didatangi oleh seorang penduduk yang dikenali sebagai Uncle Sim. Seronok sehingga leka bersembang. Kami menceritakan pengalaman sepanjang perjalanan ke Bario dan memberitahunya bahawa ini adalah kali pertama kami ke Bario. Uncle Sim menawarkan diri untuk membawa kami melawat tempat-tempat menarik di Bario. Tanpa berfikir panjang, kami bersetuju. Tepat pukul 2.00 petang, Uncle Sim tiba di tempat penginapan kami bersama pick-up nya.
Sememangnya kami sangat bertuah dipertemukan dengan Uncle Sim yang baik hati. Kami dibawa mengelilingi Bario. Sempat melawat rumah panjang, kebun, ladang dan beliau membawa kami minum petang di rumah panjang, tempat tinggal beliau. Leka bersiar-siar dan berbual-bual, tidak terasa waktu itu berlalu dengan pantas. Rupa-rupanya sudah pukul 8.00 malam dan Uncle Sim menghantar kami pulang ke tempat penginapan.
Pada malam itu, kami membuat persiapan akhir untuk berangkat pulang manakala tiga orang rakan kami itu berjaya mendapatkan tiga buah trak pick-up untuk mengambil motosikal mereka. Raziman mengambil kesempatan tersebut untuk 'tumpang sekaki' menaiki pick-up. Raziman pun menyerah kalah dan tidak sanggup lagi menunggang motosikal untuk pulang. Saya tetap bertekad memacu Honda EX5 pulang walaupun seorang diri.
Hari Kelima: Perjalanan Pulang
Tidak banyak yang dapat diceritakan untuk perjalanan pulang kerana selok belok jalannya sama dan sudah pun diketahui. Raziman dan yang lain-lain dapat mengambil motosikal mereka yang terkandas itu sebelum pulang kembali ke Long Lama.
Saya yang menunggang berseorangan sejauh 330km sememangnya menguji mental dan fizikal. Berhenti hanya untuk mengisi minyak yang dibekalkan di dalam botol. Saya hanya minum bekalan air mineral, tanpa makan manakala tiga buah kereta pick-up telah jauh ditinggalkan di belakang.
Pada pukul 6.00 petang, saya masih lagi berada 180 kilometer di dalam hutan. Keadaan mulai gelap dan diuji pula dengan hujan. Suluhan cahaya tertutup dengan tanah becak yang melekat pada lampu. Penglihatan saya juga terhad kerana ada tanah yang turut terpercik ke muka. Hanya berpandukan anak panah lorong laluan lori balak, itu lah petunjuk saya untuk meneruskan perjalanan. Terus terang saya katakan, tanpa petunjuk itu, saya pasti akan tersesat.
Pada 10 kilometer terakhir, saya ternampak cahaya lampu dari belakang. Yes!!! Ia adalah pick-up kawan-kawan. Rasa cukup lega kerana sudah ada back-up dan mereka hanya mengikut saya dari belakang untuk menambah cahaya dengan menyuluh jalan yang dilalui.
Saya meninggalkan Bario seawal jam 9.00 pagi dan pengembaraan penuh dugaan itu berakhir pada jam 11.30 malam. Fuh... 14 jam perjalanan, amat berbeza dengan perjalanan pergi yang mengambil masa dua hari satu malam. Sampai di Long Lama, kami terus berpecah. Raziman dan saya ke Masjid Long Lama untuk dapatkan kereta manakala tiga lagi rakan menurunkan motosikal masing-masing di Bekenu dan bermalam di Batu Niah.
Pada malam itu juga kami menyusun atur semula barang ke dalam kereta kami dan meneruskan perjalanan pulang ke Kuching pada jam 12.00 malam. Syukur pada Yang Esa, saya dan Raziman selamat tiba di Kuching pada jam 8.00 malam keesokan harinya. RR
- Mohd Asri
Popular