Pengembaraan Juzride Bikerz Ke Kunming, China. Bahagian Akhir
Ini merupakan hari kedua di Kunming dan jadual kami ialah untuk berkunjung ke Pejabat Kedutaan Malaysia di sana sebagai kunjungan hormat. Kami disambut dengan cukup meriah dan turut diberikan sedikit taklimat mengenai selok belok undang-undang trafik. Apa yang paling penting ketika menunggang atau memandu di negara ini ialah tidak boleh campur tangan jika melihat kemalangan.
Undang-undang di sini mengatakan jika kita memberi pertolongan atau membantu mangsa kemalangan bererti kita sudah terlibat sama di dalam kes itu dan ia amat menyusahkan terutamanya bagi orang luar negara. Walaupun nampak kejam, cara terbaik ialah dengan mengendahkannnya dan tunggu sehingga pihak polis tiba. Kedua-dua pihak (suspek dan mangsa) tidak dapat melarikan diri kerana sistem CCTV di negara ini amat banyak. Sambil menikmati masakan steambot, kami turut berkongsi pengalaman menunggang sepanjang perjalanan ke bandar ini.
Kunming merupakan ibu negara di daerah Yunnan dan pernah juga dikenali dengan nama Yunnan-Fu sehingga tahun 1929 sebelum ianya ditukar nama. Populasi bandar ini ialah 6,432,212 orang dan ianya seluas 21,473 kilometer persegi. Dalam Peperangan Dunia Kedua, bandar ini merupakan pusat operasi tentera China, pusat penerbangan tentera Amerika dan lokasi pengangkutan utama ke negara Burma. Kini Kunming dilengkapi dengan universiti, muzium, galeri serta institusi-institusi berkaitan ekonomi dan kebudayaan.
26 April : Hari Kesebelas. “Lama pula rasanya tak menunggang, rindu untuk kembali ke atas jalan,” kata salah seorang daripada kami. Ya, memang benar, dah dua hari kami berehat. Semangat setiap pengembara semakin berkobar-kobar untuk menyambung perjalanan. Ketika dalam perjalanan, kami sempat melintasi tasik Fu Xian Hu yang sangat indah dan bersih. Selepas bandar Tonghai, kami tiba di Jianshui yang terkenal sebagai lokasi yang masih menempatkan kawasan-kawasan bersejarah yang dijaga dengan sempurna dan sememangnya kita rasa seperti kembali ke zaman dahulu kala apabila berada di sini.
Kami tidak membuang masa lalu terus menuju ke Zhu Family Garden, yang juga merupakan destinasi wajib dikunjungi jika datang ke Kunming ini. Zhu Family Garden ini terletak di sebuah bandar kecil di Jianshui dan rumah keluarga Zhu ini dibina lebih daripada 100 tahun yang lalu. Terdapat 28 buah bilik tetamu yang lengkap dengan rekaan dan ukiran tradisional masyarakat cina yang dijaga dengan baik sekali. Kami seperti sedang berada di dalam set lakonan filem-filem kung-fu zaman lalu. Biasalah...masing-masing terus berasa dialah Wong Fei Hung, Fung Sai Yuk, Ip Man dan macam-macam lagi lah.
Oleh kerana sering dikunjungi oleh para pelancong luar negara, banyak papan-papan tanda di bandar ini berbahasa inggeris – barulah senang! Tetapi keluar bandar saja, papan tanda kembali dalam bahasa tempatan dan di sinilah kita memerlukan bantuan pemandu pelancong tempatan. Antara pemandangan menarik di bandar ini ialah teksinya yang beroda tiga, sempoi! Selepas puas bergambar, membeli cenderahati dan makan yang sedap-sedap, kami semua pulang ke hotel dengan hati yang cukup gembira.
27 April : Hari kesebelas. Kami berkumpul seawal jam 7.00 pagi dan seperti biasa, semua dikehendaki mendengar taklimat dan memeriksa keadaan jentera masing-masing. Kami berhenti seketika di Jambatan Shuanglong (Twin Dragon), satu lagi lokasi pilihan pelancong yang menarik. Jambatan ini mempunyai 17 gerbang laluan air yang dibina di dua masa berbeza iaitu ketika zaman pemerintahan Maharaja Qianlong. Pada mulanya hanya jambatan ini terdapat tiga gerbang laluan air sahaja tetapi selepas berlaku perubahan pada Sungai Tachong dan Sungai Lujiang, gerbang laluan air ini ditambah kepada 17 buah.
Sebaik sahaja tiba di bandar Mojiang, kami sekali lagi disambut bagaikan selebriti Hong Kong. Orang ramai sibuk bergambar, tiba-tiba datang tuan punya kedai emas menjemput kami minum petang di kedainya. Bandar ini sebenarnya sudah tidak asing lagi buat pasangan kembar di seluruh dunia kerana saban tahun akan diadakan International Twins Festival. Selain memberi pengiktirafan kepada pasangan kembar, festival ini juga merupakan salah satu program yang menggamit para pelancong untuk hadir ke sini.
28 April : Hari ketigabelas. Kami akan mula meninggalkan negeri China dan ia bermula dengan berpatah balik ke Mengla. Tidak beberapa lama memecut di lebuhraya, konvoi ditahan pihak polis dan kami dinasihatkan agar tidak menggunakan lebuhraya. Sebaik sahaja Kamal berbicara dalam bahasa mandarin, mereka mula tersenyum dan semakin rancak berbual. Kesemua pihak polis yang menahan memang ramah dan sporting! Mereka juga sempat bergambar kenangan bersama kami.
Keadaan jalan yang cukup baik membantu kami bergerak dengan lebih pantas. Syukur, kami sampai awal di Mengla tanpa sebarang masalah pada motosikal masing-masing.
29 April: Hari keempatbelas. 'Selamat tinggal China, anda memberikan kami seribu macam pengalaman indah.' Sedih juga kerana hari ini kami akan meninggalkannya...entah bila pula dapat datang ke sini. Perasaan bercampur baur sebaik sahaja sampai di Chiangkong. Sedih kerana pengembaraan semakin berakhir tetapi pada masa yang sama seronok pun ada kerana semakin dekat dengan Malaysia. Selepas dua minggu meninggalkan keluarga, rindu pun semakin menebal.
Okay, perjalanan kembali sukar tetapi mungkin disebabkan semakin berpengalaman, kami dapat mengharunginya dengan pantas dan mudah. Dalam perjalanan ke Luang Prabang, kami berjumpa dengan Pol Jane, seorang pengembara motosikal dari Sepanyol yang sudah bermotor sejak 15 bulan yang lalu. Dia menunggang Honda Africa Twin dan paling mengejutkan ialah caranya mencari dana untuk menyambung dan meneruskan perjalanan iaitu dengan menjual gelang tangan yang dibuatnya sendiri. Hebat!
Tidak lama selepas meneruskan perjalanan, Mael terjatuh betul-betul sebelah gaung. Mujurlah tidak ada kecederaan serius! Pergerakan konvoi sekali lagi terbantut apabila sampai ke kawasan berlakunya tanah runtuh. Kami terpaksa berhenti lebih kurang sejam sementara pembersihan dijalankan. Ia memang satu hari yang sangat panjang dan memenatkan.
30 April : Hari kelimabelas. Perjalanan ke Vientien, Laos memang mencabar kerana keadaan jalan yang kurang baik tetapi kami tidak begitu mengendahkannya kerana lebih tertarik dengan keindahan pemandangan alamnya. Ketika berhenti bergambar di sebuah restoran di atas bukit, kami berkenalan dengan empat orang penunggang motosikal dari Vietnam yang juga sedang mengembara bersama-sama. Dapat juga kami bertukar-tukar fikiran dan nasihat dengan penunggang tempatan agar perjalanan seterusnya lebih terjamin.
Sampai sahaja di Vang Vieng, kami terus ke restoran Nazim yang menawarkan makanan ala India. Sudah 14 hari 'wooo' tak rasa kari, memang terangkat dibuatnya, puas hati! Vang Vieng ini antara lokasi paling popular di kalangan pelancong luar dari Asia. Memang ramai 'mat saleh' di sini yang datang mencari keindahan dan kedamaian flora dan fauna. Selepas mengharungi perjalanan sejauh 392 kilometer, kami akhirnya tiba di Vientien di sebelah petang.
1 Mei : Hari keenambelas. Untuk sampai ke Bangkok, kami perlu mengharungi perjalanan sejauh 600 kilometer tetapi kali ini keadaan jalan sudah jauh lebih baik berbanding dua hari sebelum ini. Oleh kerana mengejar masa untuk ke Kunming, kami tidak sempat singgah tetapi kali ini... hampir setiap tempat menarik kami berhenti untuk bergambar. Memang lama masa yang diambil tambahan pula urusan di sempadan Laos – Thailand mengambil masa lebih daripada sejam.
Hari itu juga kumpulan kami sekali lagi berpecah (seperti yang berlaku di awal perjalanan dulu). Ini kerana rakan-rakan dari Singapura ingin meneruskan perjalanan manakala yang lain ingin singgah di bandar Udon untuk makan tengahari. Oleh kerana hari itu cuti, pemilik restoran terpaksa menyediakan makanan berseorangan – memang lambatlah tapi berbaloi, sedap!
Kami meneruskan perjalanan ke Bangkok walaupun hari sudah petang kerana semua orang masih bertenaga. Hujan turun di sebelah malam tetapi oleh kerana masing-masing sudah arif dengan jalan di Thailand dan bantuan GPS, kami tidak menghadapi sebarang masalah dan tiba di destinasi lebih kurang jam 12.30 malam.
Pada malam itu juga lori untuk membawa motosikal kami sudah siap menunggu untuk dibawa terus ke Hatyai manakala kami pula 'terbang' ke sana dengan kapal terbang. Sampai sahaja di Hatyai, rakan-rakan lain Kelab Juzride datang dari Kuala Lumpur untuk menyambut kami. Memang gembira dan terharu dengan kesungguhan mereka. Kami bermalam di Danok sebelum pulang ke destinasi masing-masing.
Program ini juga amat membanggakan kami semua selepas mendapat sijil penghargaan daripada Kementerian Belia dan Sukan Negara dan bagi kami semua...ia adalah satu pencapaian peribadi yang tidak mungkin dapat dilupakan sepanjang hayat.
Ternyata pengembaraan ini membuka mata kami tentang nilai persahabatan, pengetahuan tentang motosikal, cara hidup orang lain, nilai sejarah yang patut dipertahankan, perbezaan undang-undang dan paling penting ialah disiplin bukan sahaja sebagai penunggang motosikal tetapi juga sebagai manusia. Hingga pengembaraan berikutnya. RR
Oleh : Shuhaimi
Popular