Ekspedisi Solo Tiga Negara Bersama Modenas Kriss II..
Saya mula membaca majalah ini sejak berusia 14 tahun. Penulisan pengasas RodaRoda, Allahyarham Md Yusoff Bakar sentiasa memberikan inspirasi buat para pencinta motosikal. Di sini, saya mencuba sebaik mungkin untuk berkongsi pengalaman menunggang khusus untuk tatapan pembaca RR yang dikasihi.
Pada awal tahun ini, saya mengembara ke tiga buah negara iaitu Thailand, Laos dan Vietnam dengan menunggang sebuah Modenas Kriss II. Tujuan saya melakukan perjalanan ini ialah untuk menghayati dan mengagumi keindahan alam semula jadi di negara-negara ini dengan lebih dalam.
Hari Pertama. Tidak banyak kisah di sepanjang jalan selatan Thailand, cuma kualiti jalan di Malaysia ternyata lebih baik berbanding di negara jiran. Selepas rehat di Hatyai, saya meneruskan perjalanan keesokan hari ke Bangkok untuk menempah tiket keretapi ke Chiang Mai.
Cuaca di utara Thailand seperti di negara Eropah dan ketika saya di sana, suhu di antara 17oC-24oC - cukup nyaman dan menenangkan sekali. Saya sempat singgah di Thaweesin Hot Spring di Chiang Rai... dalam cuaca sejuk begini, mandi air panas memang sesuai sekali. Kawasan ini juga menjadi tumpuan para pelancong dari Asia, Eropah dan Amerika.
Terdapat banyak coffee house yang dibina dengan rekabentuk yang cantik dan kreatif oleh pemiliknya untuk menarik perhatian para pelanggan. Setelah puas bergambar di kawasan ini, saya menyambung perjalanan memasuki bandar Chiang Rai dan menginap di Bit Buttler Guesthouse.
Di sini, saya bertemu dengan Steve Lucture dari California dan Lawrence dari St. Petersburg. Steve merupakan seorang pesara dari bidang perkapalan yang telah menjadikan Chiang Rai sebagai 'rumah' keduanya. Steve akan berulang alik dari Amerika ke Chiang Rai setiap enam bulan dan juga merupakan rakan baik dengan pemilik hostel penginapan di Chiang Rai ini. Lawrence pula seorang guru pelatih yang menetap di China dan sedang membuat pengajian dalam bahasa kantonis. Dia berada di sini kerana sedang membuat pengembaraan ke seluruh Thailand.
Steve mengajak kami makan di sebuah Restoran Organic. Apa yang menarik di sini ialah segala sayur yang dihidangkan, ditanam dan dimasak sendiri oleh pemiliknya. Melihat akan sistem kitaran organiknya saya amat kagum dengan usaha pemilik restoran tersebut. Selepas itu kami mendaki puncak Ban Doi Chang. Angin sepoi-sepoi bahasa seolah-olah mengalu-alukan kedatangan kami, ditambah pula dengan keadaan cuaca amat baik dengan langit membiru. Motosikal kami meratah setiap selekoh dengan ghairah sekali.
Di puncak, kami ke kawasan view point Ban Doi Chang yang menawarkan pemandangan yang sangat-sangat cantik dan mengasyikkan. Pemandangan di The Buddhist Temple lagi menakjubkan! Bila dilihat hasil gambar dari lensa kamera kami, gambar tersebut seolah-olah hidup, begitulah kelebihan apabila berpeluang mengembara dengan orang yang telah lama menetap di sini.
Sebelum pulang kami sempat singgah di Doi Chang Coffee & Resort yang diusahakan oleh orang tempatan. Menurut Steve, orang asli di sini berasal dari kawasan pergunungan Tibet China yang berhijrah ribuan tahun dahulu. Sempat juga merasa kuih tradisi mereka ala-ala kuih kuaci Malaysia...sedap! Steve sempat membeli kopi original Doi Chang untuk dibawa pulang.
Di sebelah malam, saya melawat pula pasar malam Chiang Rai yang sepanjang dua kilometer, siap ada live band lagi. Memang jenuh nak jalan. Di tengah-tengah tapak pasar malam ni terdapat dataran yang dipenuhi dengan landskap bungaan segar yang disusun penuh teratur. Nak makan, shopping, muzik, cuci mata... semua ada di sini. Tidak dilupakan juga menara jam emas Chiang Rai (Noh Nalika Chalerm Prakiat) yang akan bertukar warna setiap satu jam dari 7.00 hingga 9.00 malam berserta alunan muzik tradisional Thailand. Inilah keunikan bandar Chiang Rai.
Selepas dua hari di sini, saya menuju ke daerah Nan di bahagian tengah utara Thailand melalui Phayao dengan menggunakan Highway 101. Saya tiba di tempat yang dituju agak lewat kerana sistem GPS telah rosak disebabkan 'virus'. Ini memaksa saya bertanya orang tempatan untuk mendapatkan jalan yang betul.
Ada beberapa tempat di daerah ini yang jalannya kurang baik. Saya tidak dapat laju di sini tetapi mujurlah jentera saya dilengkapi dengan spotlight memberikan suluhan lebih terang dan tepat. Saya sampai pukul 10.00 malam dalam keadaan cuaca yang cukup dingin (12 Darjah C).
18 Januari. Saya ke Laos melalui imigresen Muang Nguen. Keadaan di sini agak lengang, tiada bas atau pengangkutan awam lain yang lalu melainkan kenderaan persendirian sahaja. Pemeriksaan kastam di pos kawalan keselamatan agak ketat. Saya dikenakan bayaran 65,000.00kip atau sekitar RM32.96 termasuk motosikal. Lega dapat masuk negara Laos dengan selamat, saya terus menuju ke Hongsa untuk mengambil jalan pintas le Luang Prabang.
Hongsa terkenal dengan stesen loji janakuasa elektrik yang baru dibina oleh sebuah syarikat Thailand. Maka bermulalah cabaran menunggang di jalanan offroad dari Jom Petch ke Luang Prabang. Di pertengahan jalan, saya terpaksa menunggu di tengah-tengah hutan kerana laluan ditutup untuk kerja-kerja melebarkan jalan. Lepas pukul 5.00 petang baru saya dapat menyambung perjalanan. Sabar je lah....
Jam menunjukkan 9.00 malam dan saya sedang menunggang seorang diri di dalam hutan besar di Laos ditemankan oleh bunyi unggas. Tidak pernah dibuat begini seumur hidup saya. Dalam kegelapan malam itu, saya terjumpa tapak perkhemahan pekerja yang sedang membuat jalan dan bertanyakan dengan salah seorang supervisor mengenai jarak perjalanan ke Luang Prabang.
Pegawai itu katakan lebih kurang 100 kilometer lagi. Termenung dibuatnya. Menunggang di jalanan offroad sejauh itu dalam keadaan gelap adalah mustahil. Saya membuat keputusan untuk menumpang di khemah mereka. Itulah jalan penyelesaian terbaik. Terima kasih kepada pegawai tersebut kerana memberi saya makanan berserta sarapan pagi percuma. Inilah cabaran mengembara di negara orang.
19 Januari. Selepas mengucapkan berbanyak terima kasih atas bantuan mereka sepanjang malam, saya menyambung semula perjalanan. Aisey... sekali lagi saya terpaksa menunggu hampir sejam kerana terdapat satu lagi penutupan jalan. Saya terpaksa mengambil keputusan untuk berpatah balik ke Hongsa kerana tak nak membuang banyak masa lagi menanti di sana. Sampai di tapak membuat jalan yang pertama (semalam) jalan tutup lagi!!! Jam 1.00 petang baru dapat lalu.
Apabila sudah dua hari saya 'layan' jalan offroad dengan tayar biasa, saya semakin mahir. Sekali sekala dapat juga membuat powerslide menggunakan tayar belakang. Rasa macam bawa BMW GS atau Yamaha Super Tenere je. Untuk terus lancar, saya kerap menggunakan gear kedua terutamanya di jalan yang amat-amat curam dan berdebu. Ada ketikanya sudut kecuraman hampir 75 darjah, memang cukup mengerunkan. Nasib baik jalan kering, kalau basah dan licin.... dah lama saya tertonggeng.
Sebaik sahaja tiba di PTT Laos di Hongsa, saya ditegur oleh Pn. Anurat Thepphaitoon yang telah berkahwin dengan seorang warga Amerika yang bermastautin di Vientiane. Suami Pn. Anurat juga sedang membuat penjelajahan offroad menggunakan jentera KTM miliknya. Beliau amat terperanjat mendapati saya ke Laos hanya dengan menunggang motosikal. Lama juga kami berborak. Mereka pernah melawati hutan Royal Belum, Perak dan ke Sabah dalam siri jelajah offroadnya dengan motosikal.
Selepas Vang Va menuju ke Ban Donkon barulah dapat meningkatkan kelajuan sedikit. Ada dua empangan Hidroelektrik baru dibina di sini oleh syarikat dari China. Saya terpaksa bermalam di sebuah Guesthouse berhampiran Ban Donkon kerana suhu telah turun dalam 15oC, jalan pula kurang baik dan dipenuhi dengan lori-lori treler. Melalui jalan ini pada waktu malam agak berisiko tinggi.
Ya... 9.00 pagi, 21hb Januari! Saya meneruskan perjalanan ke persimpangan Lak dan berhenti untuk makan tengahari di stesen bas berhampiran. Terpandang pula tikus rebus di deretan kedai di situ terus menutup selera makan saya. Tapi terpaksa makan jugalah roti dan kerepek pisang Laos untuk memberikan tenaga. Hampir dua kali saya ditahan oleh polis kerana menyalakan lampu tetapi mujurlah dilepaskan oleh mereka setelah melihat nombor pendaftaran motosikal saya.
Perjalanan ke Pak Mong cukup menyeronokkan kerana dapat meratah setiap selekoh dengan bitumen baru yang tiada penghujungnya - `Endless corner’! Lebih kurang jam 5.00 petang barulah sampai ke bandar Luang Prabang. Suatu ketika dulu, ia merupakan ibu negara Laos dan walaupun saya mengambil masa agak lama untuk tiba di sini, ianya berbaloi!
Keesokan paginya, saya duduk di hadapan hostel dan sempat berkenalan dengan Racphayel Chaplo dan rakannya dari Perancis. Mereka ingin pergi ke air terjun Kuangsi yang sangat terkenal di Luang Prabang dan saya terus menawarkan diri untuk turut serta. Pagi itu saya berkonvoi bersama-sama mereka menunggang Honda CG 125 dari Vietnam.
Sedikit bayaran dikenakan untuk memasuki kawasan air terjun tersebut. Terdapat mini zoo, menempatkan beruang Laos yang kini telah mengalami kepupusan. Kami menyusuri tapak air terjun ini, airnya biru memang amat cantik dan luar biasa sekali. Kami mendaki ke puncak air terjun untuk melihat anak-anak sungai kecil yang menjadi punca pembentukan air terjun yang besar dan cantik.
23 Januari 2016. Saya bergerak ke Phosavan. Kebetulan pula Rcaphayel dan rakannya serta Julie Simon yang baru sampai di Luang Prabang ingin turut serta ke Phosavan. Baru saja bergerak lebih kurang sejam, tiba-tiba motor Rcaphayel meragam. Saya cuba baiki motor itu dengan peralatan sokongan yang saya bawa... berjaya! Setelah itu kami menuju ke Paksa dan berehat seketika di sini untuk melihat keindahan kawasan pergunungan yang bagaikan hampir bercantum dengan langit `endless view’.
Kami sampai agak lewat di Phou Khoun yang berada kira-kira 2,000 kaki dari aras laut. Kami terpaksa membuat keputusan bermalam di sini kerana keadaan berkabus manakala suhu teramat sejuk (5oC). Keesokan harinya hujan pada awal pagi menyebabkan suhu jatuh lebih teruk. Kami menunggu hingga ke tengahari dengan harapan hujan akan berhenti tetapi ia tidak berlaku.
Rcaphayel dan Julie membuat keputusan untuk ke selatan Laos dengan menaiki bas, saya tekad meneruskan perjalanan ke Phosavan. Suhu yang menurun hingga 0oC menyebabkan saya terpaksa kerap berhenti kerana jari menjadi cepat kebas. Akhirnya berhenti di sebuah kedai runcit untuk membeli sarung tangan kain dan menutup pula bahagian jari dengan plastik untuk mengatasi masalah tersebut buat seketika.
Hari sudah pun malam ketika saya sampai di Phosavan. Angin di kawasan ini memang cukup kuat memandangkan Phosavan adalah bandar yang berada 1,000 meter dari aras laut dan merupakan sebuah bandar sebelum memasuki ke Tp.Vinh Vietnam.
Phosavan mempunyai lembangan tanah rata yang luas. Saya sampai di suatu restoran Muslim dalam keadaan seluruh badan menggigil. Cuaca sejuk menyebabkan perut cepat terasa lapar. Sempat juga berkenalan dengan seorang warganegara Kanada yang menyarankan saya menginap di Sawadee Guesthouse. RR - bersambung...
Oleh: Udinor
Popular