Isu Terkini

Julai 2024

Kembara / 10 Ogos 2019

KTNS CFMOTO Ride 2019 Malaysia - Thailand

Untuk menghargai para pelanggannya, KTNS Holding Sdn Bhd telah menganjurkan satu konvoi buat kali pertama ‘CFMoto Ride MalaysiaThailand 2019’,  yang bermula dari Seberang Jaya, Pulau Pinang pada awal bulan Julai lalu. Sebanyak 14 buah motosikal yang melibatkan jentera-jentera CFMoto seperti 650MT (10 buah) dan 250NK (4 buah). Konvoi ini terdiri daripada 21 orang peserta yang rata-ratanya dari Semenanjung dan ada juga yang datang dari Sarawak. Menerusi konvoi ini, pihak KTNS ingin membuktikan ketahanan, prestasi dan kemampuan jentera keluaran mereka di Malaysia serta mempromosikan jenama CFMoto.

Sempat juga RR merasa prestasi  dan kehebatan jentera CFMoto 250NK sepanjang perjalanan ini diadakan selama 3 hari 2 malam. Jentera ini didatangkan dalam dua varian iaitu Standard dan SE. Model yang kami uji ialah SE. Perbezaan antara kedua-dua varian ini hanya pada bahagian meter dan juga sistem brek.

CFMoto 250NK didatangkan dengan enjin bersesaran 249.2cc, DOHC, 4 lejang, penyejuk cecair, dipadankan dengan transmisi 6-kelajuan yang mampu menghasilkan kuasa setinggi 26hp pada 9,000rpm dan tork 22Nm pada 7,500rpm. Dengan menggunakan sistem suntikan bahan api, jentera ini bukan sahaja menjanjikan prestasi enjin yang mantap tetapi penjimatan penggunaan petrol yang optimum sejauh 270km dengan sekali isian sahaja (12.5 liter).



5 Julai 2019: Pengembaraan  bermula di stesen minyak Petronas Seberang Jaya, Pulau Pinang. Deruman enjin dari jentera 650MT dan 250NK mula didengari seawal jam 8.30 pagi lagi. Kami berkumpul di sini sementara menunggu ketibaan para peserta yang lain dan ada juga kumpulan yang akan tunggu di sempadan Pengkalan Hulu.

Pelana empuk 250NK setinggi 795mm memudahkan kami untuk memanjatnya dan memberikan keyakinan kepada kami untuk terus memacunya. Di lebuhraya, perjalanan konvoi  ternyata kemas, teratur dan mengikut peraturan. Masingmasing menunggang jentera dengan santai sambil menikmati pemandangan yang ada di sekeliling.

Dengan kelajuan purata sekitar 100-105km/j, kami tiba di stesen minyak Pengkalan Hulu kira-kira 1 jam kemudian. Selepas mengisi bahan api, para peserta mengambil peluang untuk menghilangkan dahaga masing-masing di gerai berdekatan sementara menunggu beberapa peserta membuat pengesahan (permit) jentera masingmasing di balai polis sebelum meneruskan perjalanan.


Pendikit kembali dipulas untuk ke pintu sempadan Thailand. Proses imigresen dan kastam selesai dengan baik tanpa adanya sebarang masalah walaupun tersangkut di sana hampir 40 minit kerana ramai pengunjung/pelancong memasuki ke pekan Betong, Thailand.

Matahari sudah tegak, perut masing-masing berbunyi menandakan kelaparan. Kami meneruskan perjalanan ke sebuah restoran Krua Mariam untuk menikmati makan tengah hari. Para peserta telah dijamu dengan pelbagai jenis lauk pauk seperti nasi, ikan, telur dadar, sayur-sayuran dan pelbagai lagi. Fuh! Memang mengenyangkan.

Kami terus ke River Inn Resort untuk berehat sebelum melakukan aktiviti di sebelah petang. Cuaca di sebelah petang mula menyebelahi kami, para peserta menghidupkan jentera masing-masing untuk ke lokasi lawatan seterusnya iaitu Piyamit Tunnel. Perjalanan dari tempat penginapan sejauh 17 kilometer sahaja.


Piyamit Tunnel merupakan salah satu tempat tarikan pelancong di Betong. Terowong sepanjang satu kilometer dan lebar 5-6 kaki telah digunakan oleh parti komunis pada tahun 70an dan mempunyai sembilan pintu keluar/masuk. Ia terletak di Tano Maero dalam wilayah Yala. Terdapat juga muzium yang mempunyai beberapa barang pameran dan sejarah penubuhan komunis. Piyamit Tunnel dibuka dari jam 8.00 pagi - 5.00 petang dengan tiket berharga 60Baht untuk dewasa dan 20Baht bagi kanakkanak. Para peserta juga tidak melepaskan peluang untuk bergambar dengan pokok berusia ribuan tahun “Piyamit Millennium Tree.”

Sebelum bergerak, kami sempat menikmati buah durian yang enak sehingga menjilat jari. Apa yang mengagumkan, kami berpeluang merasa durian yang seberat 8kg! Nyammm…. isinya yang empuk dan menyelerakan. Harga pun sangat berpatutan. Memang benar, di Thailand terdapat banyak dusun-dusun durian.  Masih penuh dengan buah lagi, maklumlah tengah musim.

Perjalanan pulang ke hotel sangat-sangat mencabar mengharungi jalan-jalan berselekoh dan berbukit. Mujur tayar-tayar 250NK bersaiz 110/70R17 M/C (hadapan) dan 140/60R17 M/C (belakang) mampu memberi cengkaman di permukaan jalan dengan begitu efisyen, miringkan sahaja badan jentera ini. Keseronokan bermain di jalan berselekoh juga disebabkan sistem brek jenis cakera di hadapan dan belakang beserta dengan sistem brek anti-kunci (ABS) yang bekerja dengan sempurna sekali. Kami dapat memasuki selekoh dengan tepat dan selamat. Untuk sistem ABS hanya terdapat pada model SE sahaja.

Sebelum sampai di hotel, kami sempat singgah di Hot Spring Resort & Spa untuk berehat sementara. Ada yang bersiar-siar dan juga ada yang merendamkan kaki di kolam air panas. Kemudian para peserta mula bergerak ke restoran Tuan Kitchen untuk menikmati makan malam sebelum pulang ke hotel masing-masing. Pada waktu malam adalah aktiviti bebas.

6 Julai 2019: Perjalanan hari kedua sudah pasti cukup mencabar buat para peserta konvoi yang perlu mengharungi jarak perjalanan sejauh 270 kilometer untuk tiba di Songkhla. Seawal jam 5.00 pagi (6.00 pagi waktu Malaysia) para peserta sudah mula berkumpul di hadapan hotel. Perjalanan sejauh 47 kilometer dari hotel ke i-Yerweng atau lebih dikenali sebagai The Sea Of Cloud sangat kemas dan teratur.

Laluan ke lokasi yang dituju cukup mencabar. Sudahlah gelap, permukaan jalan-jalannya tidak rata dan licin menuju ke puncak bukit i-Yerweng. Dengan adanya set lampu hadapan jenis LED serba canggih pada model 250NK, sekali gus memberikan pencahayaan yang cukup terang untuk melihat keseluruhan jalan. Dengan mudah kami dapat mengesan segala bahaya yang datang dari depan. Manakala lampu belakangnya juga jenis LED sudah cukup untuk penunggang di belakang melihat kehadiran kita.

Saspensi hadapan jenis terbalik (USD) dan penyerap hentak mono (belakang) menyerap segala hentakan dengan sempurna sekali menyebabkan 250NK dapat berada di laluannya dengan tegap walaupun ada kalanya perlu melalui permukaan jalan yang agak berbonggol dan berlubang.

Kami sangat sukakan rekaan meternya. CFMoto 250NK dilengkapi dengan panel meter TFT (untuk model SE) yang cantik dan kemas. Menerusi paparan ini, kita dapat melihat info-info biasa seperti tahap kelajuan, putaran rpm, kedudukan gear, masa, purata bahan api dan jarak perjalanan. Penunggang dapat memilih untuk melihat beberapa paparan menerusi dua mod tunggangan iaitu Road dan Rain.

Selepas 40 minit perjalanan, peserta konvoi sampai ke destinasi yang dituju. I-yerweng sememangnya tempat yang juga cukup terkenal di Betong. Ternyata ramai rakyat Malaysia berkunjung ke sini untuk menyaksikan keindahan alam. Untuk ke puncak peserta perlu memilih sama ada ingin berjalan kaki ataupun menaiki teksi motor. Oleh kerana, sudah lewat tiba di sini kami memilih untuk menaiki motor yang dicas sebanyak 20Baht (RM2.66) manakala untuk turun 10Baht (RM1.33) sahaja. Puncak yang mempunyai ketinggian 2,085 meter dari paras laut ini menawarkan pemandangan yang cukup memukau. Sangat mengagumkan apabila dapat melihat lautan kabus. Memang rugilah kalau sudah berada di Bentong tidak berkunjung ke sini.

Selepas puas bergambar, konvoi diteruskan ke destinasi berikutnya. Disebabkan masa yang terhad, peserta konvoi tidak berkesempatan untuk melawat dan bergambar kenangan di Bang Lam Dam Bridge. Kami membuat keputusan untuk meneruskan perjalanan ke Pantai Samila, Songkhla. Konvoi terpaksa berhenti seketika di stesen minyak untuk memenuhkan bahan api pada jentera CFMoto. Mujur ada kedai serbaneka, dapatlah kami bersarapan.

Laluan ke Songkhla cukup sesak dengan kenderaan ketika kami tiba di bandar Yala. Jentera CFMoto terpaksa berhimpithimpit untuk memintas kenderaan lain. Buat penunggang 650MT pasti sukar untuk mencelah di laluan yang terhad terutama jentera yang ada kotak sisi. Manakala jentera 250NK cukup lincah untuk masuk dan keluar di kawasan yang sempit. Dengan adanya kuasa tork yang tinggi, kami dapat bergerak dengan lancar walaupun dalam keadaan trafik yang sesak. Ditambah pula bar handelnya yang lebar memudahkan kami untuk mengawal jentera ini tanpa sebarang masalah.

Cuaca semakin panas dan matahari terpacak di atas kepala memaksa para peserta berhenti di stesen minyak berdekatan untuk berehat sambil menghilangkan dahaga. Konvoi berehat selama 30 minit sebelum menyambung semula perjalanan ke Songkhla.

Sebaik sahaja memasuki lebuhraya, inilah masanya untuk menguji prestasi dan ketangkasan jentera masing-masing. Pendikit 250NK dipulas dengan lebih galak lagi. Jentera ini didatangkan dengan sistem suntikan bahan api yang memberikan tindak balas antara pendikit dengan enjin bekerja dengan lancar. Karaktor enjin silinder tunggal ini sememangnya memuaskan hati kita apabila berada di peringkat pertengahan. Dalam kedudukan gear ketiga dan keempat, kuasa torknya yang mantap dapat menarik mesin ini hingga 100km/j dengan mudah. Masuk sahaja gear keenam, kami dapat melarikan jentera ini pada purata kelajuan sekitar 150kmj.

Kami sampai di Pantai Samila tepat pada jam 2.00 petang. Kami disambut oleh rider-rider dari Thailand yang menunggang jentera CFMoto antaranya 400NK, 650NK dan 650MT di sebuah restoran di sini untuk menikmati juadah tengah hari bersama-sama. Selepas makan tengah hari konvoi menyambung perjalanan ke bandar Hatyai dan berhenti di kedai Moto Addict, pengedar CFMoto. Nampaknya cuaca di sebelah petang semakin mendung, sikit demi sedikit hujan mula turun membasahi bumi dan memaksa kami untuk menunggu sebentar sebelum bergerak ke hotel. Mujur lokasi tempat penginapan tidak begitu jauh (hanya 100 meter) dari kedai ini.

Aktiviti pada malam terakhir telah dimeriahkan dengan sesi makan malam bersama rider-rider Thailand di Buri Sriphi Boutique Resort. Acara pada malam
tersebut sangat meriah dan riuh rendah dibuatnya. Para peserta juga tidak melepaskan peluang untuk menunjukkan bakat masing-masing berkaraoke. Ini merupakan satu pengalaman yang sangat menyeronokkan.

7 Julai 2019: Hari terakhir kami berada di Thailand. Sebelum pulang, kami diberi kesempatan untuk bersiar-siar di bandar Hatyai. Ada yang berehat di hotel dan ada juga yang bershopping sakan.

Perjalanan hari terakhir cuma 60 kilometer dari Hatyai ke Danok. Tepat pada jam 11.00 pagi para peserta sudah bersedia untuk pulang ke tanah air. Dengan cuaca yang baik memudahkan kami untuk terus ke sempadan Danok – Bukit Kayu Hitam. Sebaik sahaja tiba di pusat imigresen, fuhh ramainya orang! Maklumlah hari Ahad, ramai rakyat Malaysia yang ingin pulang ke tanah air. Walaupun beratur panjang, proses imigresen berjalan dengan lancar dan pantas.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada para peserta kerana menyertai dan telah bersama-sama menjayakan pengembaraan kali ini. Kesemua peserta dapat bekerjasama dengan baik sekali. Saya harap para peserta enjoy dengan konvoi yang kami adakan. Jika diberi peluang, kami mungkin akan adakan lagi ride seperti ini pada masa akan datang.”, kata Mr. Alan Lee, Pengurus Besar KTNS Holdings Sdn Bhd.

Perjalanan yang sejauh 620 kilometer bersama para pencinta motosikal sangat memberikan pengalaman yang cukup bermakna. Pelbagai pengalaman baru dapat kami pelajari sepanjang pengembaraan ini diadakan. Pada masa yang sama menguji ketahanan mental dan fizikal buat para penunggang. Ia juga merupakan satu pengembaraan yang berjaya membuktikan ketahanan jentera CFMoto.

Terima kasih buat KTNS Holdings atas jemputan ini dan para pemilik jentera CFMoto yang sporting. Tidak lupa juga kepada En. Mohd Khazanni atau dikenali sebagai 'Mr. K' yang merupakan ketua konvoi sepanjang pengembaraan. Perjalanan dikawal dengan cukup baik dari hari pertama hingga hari terakhir. RR

-M.Redzuan

Isu Pada

Ogos 2019

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

Kembara Sampai ke Boten

Ride Sri Lanka - Berbelit Jalan Serta Lidah Nak Menyebutnya...

Kuching, Sarawak, Malaysia - Pontianak, Indonesia: 1000km Loop (Bahagian Akhir)

Kuching Sarawak Malaysia - Pontianak Indonesia: 1000km Loop (Bahagian 1)

Sabah 360 Ride 1,800KM Loop (Bahagian II)

Ride Berdua ke Siam

Sabah 360 Ride 1,800km Loop (Bahagian 1)

Ride Ihya Ramadhan TM Bikers Ke Gua Musang, Kelantan

Disyorkan untuk anda
Dari Litar

Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

Tahun 2024 juga menyaksikan rekod baru jumlah kehadiran penonton sepanjang musim ini mencecah 3,033,255 orang. Ia adalah pencapaian terbaik setakat ini sejak 75 tahun penganjuran MotoGP.

Model Baru

EICMA 2024: Aprilia Tuono 457 - Jentera Jalanan Ada Aura

Aprilia kini memperkenalkan pula model jalanan paling baru iaitu Tuono 457.

Model Baru

EICMA 2024: Yamaha R3 'Kemas Kini' Lebih Mantap!

Berikutan pelancaran R9 baru tempohari, Yamaha memilihi 'pentas' EICMA untuk memperkenalkan model yang dikemas iaitu R3 untuk pengeluaran tahun 2025.

Model Baru

Honda CB1000 Hornet & CB1000 Hornet SP 2025 Dilancarkan Untuk Pasaran Eropah

Honda Eropah kembali dalam segmen Hypernaked dengan melancarkan model terbaru iaitu Honda CB1000 Hornet 2025.