Semenanjung Malaysia Destinasiku
Tatkala dunia dibelenggu dengan virus Covid-19 dan negara kita terlibat di dalam penularannya, kerajaan mengambil tindakan menutup semua pintu sempadan antarabangsa negara buat rakyat Malaysia dan warga asing untuk masuk dan keluar tanpa urusan rasmi serta kebenaran bertulis. Dengan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam 5 fasa di antaranya adalah PKP Bersyarat, PKP Diperketatkan dan PKP Pemulihan, negara berjaya membendung penularan wabak ini daripada berleluasa dengan sistematik dan lebih membanggakan, usaha ini telah diiktiraf dunia oleh kepakaran asing. Syabas Kementerian Kesihatan Malaysia dan semua barisan hadapan!
PKPP (pemulihan) memberikan nafas lega buat rakyat Malaysia terutamanya buat pencinta motosikal yang 'ketagihan' dunia luar selepas aktiviti bermotosikal mingguan atau merentasi sempadan negeri disekat secara wajib. Ekoran daripada PKPP ini, perjalanan dalam negara masih sudah boleh dilakukan dengan pemantauan dan mengikuti SOP yang ditetapkan. Proses keluar masuk pintu sempadan masih tidak dibenarkan.
Baru-baru ini, Mat berpeluang melepaskan rindu dengan mengembara sekitar semenanjung walaupun dalam masa yang singkat. Dalam menyahut dan membantu perkembangan industri pelancongan domestik yang teruk dihimpit masalah ketiadaan pelancong, Mat telah war-warkan kepada rakan-rakan media sosial supaya pergi melancong dalam negara bagi membantu ekonomi tempatan dan negara amnya.
Mat menunggang Yamaha XJ6. Bermula dari Selangor ke Perak, Kedah, Perlis dan melintasi Banjaran Titiwangsa melalui lebuhraya Timur-Barat ke Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor. Selepas itu, naik semula ke utara melalui Melaka, Negeri Sembilan sebelum pulang semula ke Selangor. Sesungguhnya perjalanan kali ini telah memberikan kenikmatan betapa seronok dan menawannya negaraku Malaysia.
Dalam pengembaraan solo ini, Mat mengekori lebuhraya, jalan persekutuan, jalan negeri, jalan kampung dan ada pula jalan yang tidak pernah dilalui sebelum ini dan berjaya mencatatkan 1,924.5 kilometer dalam empat hari 3 malam. Ringkasan perjalanan adalah mengikut jalan-jalan yang dilalui dan sebahagian cerita ini adalah mengenai kawasan pelancongan berhampiran yang setengahnya tidak sempat dilawati tetapi baik untuk rujukan pembaca sekalian. Mungkin satu hari anda dapat melawat kesemua tempat-tempat menarik ini.
Selangor Darul Ehsan: Selangor ternyata membangun dengan pesat dalam pelbagai sektor termasuklah pelancongan. Antara tarikan utama negeri ini ialah Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Shah Alam, Putrajaya dan banyak lagi. Kuala Selangor sebagai contohnya, kaya dengan kawasan pelancongan alam semulajadi seperti Bukit Malawati (rumah api dibina Belanda 1794), Taman Alam Kuala Selangor dan Kg Kuantan (Kelip-Kelip).
Ketika tiba di Sekinchan, Mat dapati pelancongan inap desa banyak di sini seperti Dorani homestay, Dorani Resort, D’sawah Bendang homestay dan Anjung Pool Villa dengan harga dan pakej berpatutan. Jika anda peminat makanan esotik seperti Landak, Rusa dan Arnab bolehlah ke Restoran Lembah Bernam dan Restoran Selera Rimba untuk menjamu selera.
Tak lupa juga dengan daerah Sabak Bernam – Pantai Bagan Nakhoda Omar (BNO) merupakan pantai riadah yang kemas, bersih dan teratur.
Perak Darul Ridzuan: Negeri yang pernah menjadi pengeluar bijih timah terbesar semasa pemerintahan kolonial British di Malaya dahulu. Mempunyai sejarah terbesar tamadun manusia dengan terjumpanya Perak Man yang dikatakan pendudukan awal manusia pada 10,000 – 11,000 tahun dahulu di Lenggong.
Teluk Intan – Menara condong Teluk Intan dikenali dunia sama seperti Tower of Pisa di Itali kerana kedudukannya yang condong. Ia sebenarnya merupakan tempat simpanan air ketika kemarau dan berlakunya kebakaran. Ini adalah tempat wajib singgah bagi pengemar berswafoto.
Sitiawan – Bandar besar yang berdekatan dengan Manjung dan Lumut. Destinasi pantai dan pulau dikenali ramai. Teluk Batik pantai semakin maju dan membangun. Pulau Pangkor mempunyai tarikan tersendiri seperti Kota Belanda, Batu Bersurat dan Galeri Panorama Pangkor.
Disamping itu Pulau Pangkor juga merupakan pengeluar ikan kering dan ikan bilis mata biru yang juga penghasilan berasaskan makanan laut seperti satay ikan, satay sotong dan pelbagai lagi. Bagi mereka yang tidak ke Pulau Pangkor, produk hasil laut boleh didapati di Lumut Waterfront sambil berswafoto di lokasi yang berwarna-warni menarik.
Taiping - Anda perlu seharian di sini malah lebih baik bermalam kerana banyak tempat perlu anda kunjungi kerana di sinilah sejarah awal muzium Malaya bermula. Muzium pertama sejak 1883 dibina oleh Sir Hugh Low, Resident keempat British di Perak. Jika anda minat sejarah di sinilah tempat anda. Berjirankan muzium ini adalah Penjara Taiping (1879) dikenali sebelum ini Penjara Larut dan Pusat Latihan Taiping.
Tidak jauh pula letaknya Taman Tasik Taiping seluas 61.93 hektar sebelum ini dan diperbesarkan hingga menjadi 96.44 hektar adalah taman tasik terbesar dan paling lama di semenanjung. Berhampiran dengannya adalah Zoo Taiping (1961) yang menempatkan lebih 1300 haiwan dari pelbagai spesis. Bukit Larut (Maxwell Hill) menyajikan pemandangan panorama yang indah berlandskapkan bukit-bukau, tumbuhan, flora dan fauna. Jika lapar jangan risau. Taiping mempunyai banyak tempat makan dengan sajian menarik perlu anda terokai sendiri.
Bagan Serai – Kuala Gula dikenali ramai dengan makanan laut terutamanya ketam lembut. Singgahlah untuk menjamu selera.
Kedah Darul Aman: Dikenali sebagai negeri jelapang padi. Saujana mata memandang, padi bendang menghijau ketika waktu semaian hinggalah sebelum masa tuaian. Oleh kerana Kedah bersempadan dengan Pulau Pinang anda mungkin keliru terutama bagi mereka yang baru mula nak melancong dan rata-rata warga tempatannya berbahasa dalam loghat yang sama. Kalau sesat, buka peta atau bertanya sahaja.
Sg Petani – Pelancongan Arkeologi sejarah dikategorikan di sini. Candi di Lembah Bujang terletak 25km dan tapak arkeologi Sungai Batu pula 13 km dari bandar Sg Petani.
Gurun – Di sinilah letaknya kaki Gunung Jerai yang mashyur. Puncak Jerai menanti kehadiran dan anda pasti tidak dikecewakan. Mungkin anda perlu luangkan banyak masa di sini terutama ketika hampir terbenamnya matahari di ufuk barat.
Alor Setar – “Hang mai alor setar, kepala hang aku putar” tu dia... hebat tak hebatnya Alor Setar dalam cerita P.Ramlee. Ibu negeri Kedah. Sekitar bandar, banyak tempat menarik untuk swafoto kenangan. Berhampirannya adalah Jeti Kuala Kedah yang merupakan salah satu pintu masuk ke Pulau Langkawi.
Pulau Langkawi – Namanya di persada dunia dengan penganjuran Le Tour De Langkawi saban tahun. Pulau bebas cukai yang menantikan kedatangan pelancong tempatan yang mengemari “permainan” membeli-belah. Jika anda berminat, banyak tempat untuk dilawati seperti Padang Mat Sirat, Makam Mahsuri, Beras Terbakar, Pantai Cenang, Pulau Payar, Ladang buaya dan Langkawi Underwater World. Pastikan wangnya banyak ye!!! Penginapan hotel bajet banyak dengan harga yang munasabah.
Perlis Indera Kayangan Negeri paling utara di semenanjung Malaysia. Negeri kecil tetapi tidak kurang hebatnya. Jika anda ke sini di antara bulan April hingga Mei anda boleh merasai keenakkan buah mangga “Harum Manis.”
Arau, Kangar adalah antara dua bandar besar di Perlis. Wang Kelian dan Padang Besar merupakan pintu sempadan antara Malaysia dan Thailand. Jangan kata Perlis tiada tempat menarik! Jenguklah ke Gua Kelam di Kaki Bukit dan Taman Ular Perlis di Sungai Batu Pahat… anda pasti teruja.
Kuala Perlis – Jeti bot ke Pulau Langkawi dari Perlis. Di sini juga banyak restoran yang menyajikan makanan yang sedap pada harga yang berpatutan. Untuk ke lebuhraya Timur-Barat, Mat mengambil jalan negeri dari Kangar-Ayer Hitam-Jitra-Pendang hingga ke Sg Petani sebelum masuk ke Kulim.
Perjalanan ke Kelantan melalui Lebuhraya Timur-Barat bermula dari Kulim – Baling – Gerik hinggalah ke Jeli sejauh 215 km. Perlu diingatkan bagi mereka yang menaiki moped, skuter atau motosikal yang tangkinya kecil haruslah membawa bekalan petrol bersama. Jangan lupa berhenti sebentar di Tasik Banding dan hentian puncak Titiwangsa bergambar kenangan sebagai tanda anda pernah ke sini.
Kelantan Darul Naim Dikenali sebagai negeri Cik Siti Wan Kembang, satu kisah lagenda mashyur suatu ketika dahulu iaitu pada kurun ke-16. Jenis pelancongan di Kelantan merupakan aktiviti membeli-belah dan makanan. Walaupun masakan dan makanan dari sini telah dijual di kota-kota lain, keaslian masakan di tanah asalnya ini suatu kelebihan yang tersendiri. Kuih Akok, Tahi Itik, Kuih Jala Mas dan Nasi Kerabu yang perlu anda rasai kelazatannya.
Dari Jeli ke Ayer Lanas dan keluar ke Laluan 196 Jalan Panglima Bayu – Rantau Panjang akan membawa anda terus ke Rantau Panjang. Lokasi membeli bebas cukai Malaysia-Thailand. Semasa kehadiran Mat waktu itu, banyak kedai yang menutup operasi kerana ketiadaan pengunjung.
Jalan Persekutuan 3 yang menghubungkan Rantau Panjang - Pasir Puteh hinggalah ke Kota Bharu. Dari Kangar ke Kota Bharu perjalanan mengambil masa tidak kurang dari 8 jam perjalanan. Ini bergantung pada kelajuan dan tempoh masa anda berhenti rehat. Jadi tak salahlah Kota Bharu dijadikan hentian bermalam.
Wakaf Che Yeh merupakan pasar terbuka beroperasi setiap hari dari pagi hingga ke malam. Terletak hanya 7 km di Kota Bharu menjadikan ia tempat membeli-belah penduduk tempatan mahupun pelancong. Kedai makan di Kota Bharu sememangnya banyak. Dari pusat bandar hinggalah ke Pantai Cahaya Bulan. Tak terkira banyaknya. Hotel-hotel bajet semurah RM45 sebilik pun ada.
Jika anda ingin meneruskan perjalanan keluar dari bandar dan menuju ke selatan pantai timur pastikan anda memberikan setengah jam masa tambahan dalam jadual perjalanan. Banyak persimpangan lampu isyarat dalam jarak yang dekat dan aliran trafik yang tinggi terutama awal pagi.
Tok Bali adalah kawasan tepi pantai yang cantik. Anda boleh bersarapan di sekitar kawasan ini. Banyak gerai dan warung-warung dibuka menanti kehadiran anda. Dari Tok Bali dan Pasir Puteh anda akan memasuki Negeri Terengganu di Jerteh.
Terengganu Darul Iman Jerteh/Besut - Sekiranya anda meneruskan perjalanan menyusuri pantai dari Tok Bali, anda akan tiba di Besut. Jeti utama ke Pulau Perhentian, Terengganu. Destinasi percutian pulau di Terengganu memang banyak. Jom ke pulau Redang atau Pulau Kapas... kedua-duanya tidak akan menghampakan percutian anda.
Kuala Terengganu – Pasar Payang, keropok ikan, keropok lekor, kain batik, tembaga Terengganu adalah antara sebutan tempat dan benda dicari pengunjung luar jika ke sana. Kini, Jambatan Draw Bridge telah dimasukkan ke dalam peta pelancongan Terengganu. Ayuh ke sana!!
Marang – Jeti ke Pulau Kapas, Pulau Gemia bagi aktiviti snorkeling, selam scuba dan mencandat sotong sekitar bulan Mei hingga Jun.
Kuala Berang – Tasik Kenyir mengamit pengunjung. Aktiviti memancing adalah kegiatan utama di sini. Anda boleh menyewa bot kecil atau Houseboat bagi kumpulan yang ramai. Berpuluh pengendali Houseboat menawarkan pakej-pakej yang menarik dan berbaloi.
Pahang Darul Makmur Negeri terbesar semenanjung mempunyai kawasan pantai yang panjang. Destinasi percutian pantai seperti Cherating, Balok, Pantai Sg Karang, Pantai Teluk Chempedak dan Pantai Tanjung Sepat.
Cherating – Pantai tumpuan pengunjung ini sememangnya padat dengan warga tempatan di hujung minggu dan cuti umum. Santuari penyu berada tidak jauh dari jalan utama.
Gambang – Muadzam Shah – Bandar Tun Abdul Razak – Segamat. Jarak: 157km. Laluan ini merupakan jalan utama menghubungkan pantai timur dan selatan tanahair bagi kenderaan berat. Walaupun sebahagian besar jalan sedang dinaiktaraf ia sememangnya mempunyai struktur jalan beralun. Melalui ladang dan hutan sepanjang jalan agak bahaya dengan kehadiran binatang liar melintasi jalan ini. Biawak, kera dan ular adalah mangsa sering dilihat mati dilanggar tayar kenderaan. Sama ada ia besar atau kecil, ia merupakan penyumbang kepada kecelakaan. Waspada selalu!
Johor Darul Takzim Tidak kurang seperti Pahang, Johor juga mempunyai kawasan pantai yang panjang dari timur membawa ke barat. Tetapi hanya pantai di timur sahaja menjadi tempat peranginan seperti Teluk Gorek, Air Papan, Tg Leman, Batu Layar dan Tg Sepang. Pulau Tioman boleh dikunjungi dengan menaiki bot dari jeti di Mersing.
Taman Negara Endau Rompin merupakan destinasi percutian terbaik buat mereka yang cintakan alam semulajadi. Dianggarkan kawasan taman negara ini berusia sekitar 250 juta tahun. Jalan raya dari Segamat ke Tangkak memang luas, rata dan menyenangkan. Bukit-bukau dan Gunung Ledang menjadi panorama indah di sepanjang jalan. Oleh kerana tidak banyak industri dan pusat ekonomi di antara dua bandar ini, keadaan trafik tidak sesak dengan kenderaan.
Muar – Pengisytiharaannya sebagai Bandar Maharani Bandar Diraja membolehkan pengekalan warisan sedia ada daripada digantikan dengan pembangunan pesat dan moden. Mee Bandung dan Otak-Otak Muar memang cukup terkenal di kalangan pelancong dan orang kenamaan juga.
Melaka Bandaraya Bersejarah: Ia kini jauh lebih dikenali berbanding ketika di zaman Malaya dahulu kala. Dalam peta dunia lama juga telah pun terpapar nama “Malacca” yang dicatatkan oleh para pengembaran dunia. Tidak hairanlah ianya antara sebuah pelabuhan paling sibuk di Asia Tenggara suatu ketika dahulu.
Portugis, Belanda, Inggeris telah bertapak dan meninggalkan banyak sejarah di Melaka untuk tatapan dan peringatan buat kita. Dataran Pahlawan, A’ Farmosa, Perigi Hang Li Poh, Kampong Chetti semuanya punyai sejarah mereka tersendiri, datang ke sini untuk mempelajarinya. Kepelbagaian etnik berada di Melaka sejak bermulanya perdagangan rempah ratus oleh saudagar-saudagar timur dan barat.
Bandar Hilir, Muzium Samudera, Jonker Street merupakan tempat wajib singgah jika anda pertama kali ke sini. Klebang dan Pengkalan Balak merupakan pantai percutian yang dikenali ramai. Asam Pedas dan Coconut Shake menjadi tagihan menu pengunjung sekitar Melaka. Apatah lagi Umbai dan Serkam yang terkenal dengan masakan makanan laut.
Negeri Sembilan Darul Khusus: Negeri penuh beradat. Terdapat 12 suku mewarisi adat di antaranya Biduanda, Batu Hampar, Paya Kumbuh, Mungkal, Tiga Nenek, Seri Melenggang, Seri Lemak, Batu Belang, Tanah Datar, Anak Acheh, Anak Melaka dan Tiga Batu.
Sembilan luak diambil menjadi nama Negeri Sembilan dan kecantikan pantai di Teluk Kemang dan Port Dickson adalah tarikan pengunjung untuk mengunjungi negeri ini.
Masakan popular di negeri ini ialah Sembilang Salai Masak Lemak Cili Api yang akan dihidangkan di hampir setiap restoran atau gerai di sini. Secara ringkas, negara ini sentiasa menjadi pilihan bagi warga luar untuk menghabiskan masa di sini kerana negara ini mempunyai masyarakat yang berbilang kaum, kawasan percutian dan corak muka bumi yang cukup menarik.
Untuk menikmati negara ini, jangan terburu-buru dalam merancang sesuatu perjalanan dan aturlah perbelanjaan secara berhemah agar percutian itu mengembirakan. Patuhi SOP dan kendiri agar kita sihat sejahtera. RR
Teks & gambar: Saiful Nizam
Popular