Ride For The Deaf (r4td) - Perjalanan Penuh Harapan

Ini merupakan sebuah perjalanan yang telah dikongsikan lebih daripada 10 tahun lalu (RodaRoda Februari 2009). Ia adalah satu pengembaraan yang sangat menarik kerana dilakukan demi mencari kebahagiaan, kebajikan dan memperjuangkan golongan-golongan yang agak terpinggir iaitu golongan orang-orang pekak. Perjalanan yang murni ini mengambil masa selama enam bulan, merangkumi 19 buah negara dengan jarak perjalanan sejauh 43,600 kilometer. Jom! Kita selami semula 1001 kisah pengembaraannya.
'Saya menyertai Persekutuan Orang-Orang Pekak atau Malaysia Federation of The Deaf (MFD) pada tahun 1997 sebagai seorang perantaraan antara orang pekak dengan masyarakat biasa. Saya dapati ada di kalangan mereka ini dipinggirkan malah di sesetengah negara ada di antara mereka ini disisih oleh masyarakat. Pada tahun 2003, Kuala Lumpur telah menganjurkan Pertandingan Bolasepak antara orang-orang pekak dari seluruh Asia dan di sinilah kami mendapati seluruh persatuan orang-orang pekak ini tidak bekerjasama antara satu sama lain dan masing-masing buat hal sendiri sahaja,” kata Rosman, Pengembara r4td.
Apabila mengetahui masalah itu, Rosman di bawah naungan Persekutuan Orang-Orang Pekak telah memulakan projek penjelajahannya yang pertama (Asean Tour 2005) iaitu ke Thailand, Laos, Vietnam, Kemboja dengan hanya satu tujuan iaitu untuk memperkenalkan 'hub' khusus untuk persatuan-persatuan yang terlibat bergabung, berkomunikasi atau bertukar-tukar pendapat dan barangan.
Hub yang dimaksudkan ialah tempat terkumpulnya segala maklumat yang dikehendaki oleh persatuan-persatuan ini dan semuanya melalui dunia internet. Contohnya, katakan ada sekolah orang-orang pekak di Thailand memerlukan alat tulis, mereka akan menghantar maklumat ini ke dalam hub dan persatuan lain yang boleh menyalurkan bantuan itu akan meletakkan nombor atau cara untuk dihubungi. Selepas itu pihak dari Thailand akan berurusan terus dengan persatuan itu untuk langkah-langkah seterusnya. Menurut Rosman, hub ini cuma bertahan selama setahun, selepas itu semua persatuan ini berhubung terus antara satu sama lain.
Pada tahun 2007, sekali lagi Rosman juga di bawah naungan Persekutuan Orang-Orang Pekak mengadakan penjelajahan dan kali ini lebih kepada memperkenalkan Malaysia dan projek komunikasi (hub) antara komuniti-komuniti pekak di dalam negara-negara Asia khususnya.
Cara Rosman memperkenalkan negara kita mudah dan efektif iaitu dengan menunjukkan rupabentuk Jalur Gemilang, gambar Seri Paduka Yang Di Pertuan Agong, corak mata wang, bunga kebangsaan (Bunga Raya), buah-buahan tempatan, binatang-binatang terkenal Malaysia contohnya, Orang Utan, kepelbagaian kaum, pakaian tradisional dan banyak lagi. Menurut Rosman, masih banyak daerah pendalaman di negara-negara Asia yang tidak mengenali Malaysia.
“Selepas berjaya mendapatkan dana dibantu pula oleh penaja-penaja yang bermurah hati, saya memulakan perjalanan pada bulan Mac 2007 di Hyderabad, India. (Motosikal naik kapal terbang sama-sama dengan saya). Sebaik sahaja sampai, saya menuju ke Kalkuta. Sepanjang perjalanan hari itu tidak mendatangkan masalah pada saya sehinggalah tiba di 'pintu masuk' ke Bangladesh.”
“Masa isi borang perlepasan, saya meletakkan pekerjaan saya sebagai 'WRITER'. Pada masa yang sama ketika itu di Bangladesh ada pergolakan kerajaan dan para penulis atau yang berkaitan dengan kewartawanan tidak dibenarkan masuk ke negara itu. Apa nak buatkan? Tiga hari saya bermalam di sempadan tu dan mesyuarat antara saya dengan wakil Persekutuan Orang Pekak Bangladesh pun diadakan di situ.”
Rosman terpaksa berpatah balik ke Kalkuta dan menetap di hotel. Di sana dia dapati seluruh penghuni hotel itu mengalami masalah cirit-birit yang agak serius. Mujurlah Rosman amat-amat menjaga soal makan minum, kalau tidak dia juga akan ditimpa masalah tersebut. Ubat-ubatan milik Rosman juga telah habis diberikan kepada mereka yang lebih memerlukannya.
“Perjalanan sekali lagi terhenti ketika saya tiba di Nepal. Nak jadi cerita masa tu diadakan proses penyerahan senjata oleh pihak pemberontak kepada tentera-tentera UN. Saya terpaksa bermalam di sana selama dua hari, itupun sebelah dengan khemah tentera India. Nak selamat! Saya tidak ke Nepal sebaliknya meneruskan perjalanan ke New Delhi.”
“Di sana terdapat perbezaan yang sangat ketara antara pihak polis dan tentera. Polis di sana suka buat kacau, nak duit sahaja sebaliknya pihak tentera sangat kuat membantu terutamanya kepada warga negara asing. Saya beberapa kali tersalah arah kerana banyak keadaan dan laluan jalan dalam peta langsung tidak tepat.”
Perjalanan dari New Delhi ke Lahore, Islamabad berjalan dengan lancar dan Rosman selamat tiba ke tempat yang dituju dan di sana dia telah menghadiri satu mesyuarat besar yang dihadiri oleh 50 orang perwakilan dari Pakistan.
“Saya berkesempatan untuk menyusuri Lebuhraya Kakakorum. Lebuhraya ini sepanjang 90 kilometer jalannya sehala dan di penghujung jalan ialah sempadan China-Pakistan. Lebuh raya ini hanya dibuka selama tiga bulan dalam setahun kerana pada masa-masa lain, seluruh lebuh raya ini diliputi dengan salji tebal terutama sekali di Khujerab yang mempunyai ketinggian 4,700 meter.”
“Saya sempat menghadiri satu lagi mesyuarat di Gilgit sebelum meneruskan ekspedisi ini. Sepanjang perjalanan di lebuhraya ini saya dapat melihat tempat bermulanya Sungai Hinda (kolam mata air) yang cuma sebesar kolam kecil tetapi apabila kita melihatnya di kawasan pertengahan atas hilir sungai ini, ia hampir selebar dua atau tiga kilometer. Itulah kebesaran Tuhan. Ekspedisi 'r4td' diteruskan menyusuri jalan-jalan biasa melewati daerah Peshawar, Petrit dan Khyber Pass. Haa.. di sini ada cerita menarik.”
“Ohh! Khyber Pass ni ialah sempadan antara Pakistan dengan Afganistan, dan ada pasar tapi bukan jual sayur tau. Dia orang jual senapang, pistol, bom dan macam-macam lagi. Kalau kita berminat nak menembak pun boleh. Bayar sahaja USD12, kita akan dapat satu senapang yang kita pilih dan satu kotak peluru. Peniaga itu akan bertanya “Hang nak ayam ke kambing?” Rupa-rupanya binatang tu untuk dibuat 'bahan' ujian tembakan kita. Fuh!! Takut saya dibuatnya.”
“Setibanya saya di Pakistan, segala masalah, kerisauan, perasaan takut hilang sama sekali. Sebaik saja saya memberi salam, semua 'pintuí terbuka'. Alhamdulillah. Bila sebut pula datang dari Malaysia, dapat pula secawan kopi. Semua orang di sana cukup menyanjung tinggi Tun Mahathir kita, malah setiap orang yang saya jumpa bertanyakan keadaan dan kesihatannya.”
Selepas dapat berehat dan membersihkan diri, Rosman meneruskan misinya ke Quetta untuk menghadiri satu lagi mesyuarat penting yang melibatkan perwakilan dari tiga buah sekolah orang-orang pekak dan wakil dari World Health Organization (WHO) turut hadir dalam pertemuan itu.
“Di sinilah saya berjumpa dengan seorang sahabat yang selepas itu bersama-sama saya menjelajah ke destinasi seterusnya. Namanya Mark Olsen dari Belgium. Semasa saya berjumpa dengan Mark, dia baru sahaja dibebaskan dari penjara setelah disabitkan kesalahan kerana melanggar seorang pekerja membuat jalan. Selama tiga hari, tiga malam dia tak diberi makan dan terpaksa membayar sejumlah wang yang sangat-sangat banyak untuk dibebaskan.”
Untuk menuju ke Iran, Rosman dan Mark terpaksa melepasi beberapa daerah yang dikuasai oleh pihak pemberontak. Oleh itu untuk ke Mirjaveh seterusnya Daiberden, Rosman dan Mark hanya boleh menunggang di waktu siang sahaja jika tidak mahu diculik dan dibunuh. Menurut Rosman, dia memang kecut perut sepanjang perjalanan itu dan tidak henti-henti berdoa agar tidak menghadapi kesulitan pada masa itu.
“Di sempadan nak masuk Iran, visa asal saya selama 21 hari telah dipendekkan menjadi 14 hari sahaja manakala Mark hanya tujuh hari. Tapi masa itu perasaan takut semakin menebal kerana konvoi kami diiringi dengan jip-jip askar di depan dan belakang. Mereka mengawasi dan menjaga kami sepanjang perjalanan sejauh 800 kilometer. Memang besar-besar jalan di sana, enam lorong ke selatan dan enam lorong ke utara.”
“Selepas mengawasi kami sejauh itu, kami 'dilepaskan' apabila sampai di Bam. Mark pun terus memecut ke depan meninggalkan saya di belakang. Tiba-tiba sebuah trak askar memintas saya sambil mengacukan senjata automatiknya tepat di arah saya sambil menjerit “Duduk! Duduk! Rasa saya lah. Saya pun tidak fasih berbahasa Iran.”
“Saya terus duduk. Mereka menengking saya untuk beberapa minit sebelum menolak kepala saya dengan muncung senapang dengan kuat. Ketika itu hanya Allah sahaja yang tahu betapa lemahnya kaki saya dan takutnya saya sehinggakan saya terkencing. Salah seorang daripada askar itu membelek motor saya dan menjumpai stiker kalimah Allah, Nabi Muhammad dan stiker Ayat Kursi. Apa lagi, terus dia menjerit “Musliman! Musliman!” dan berlari ke arah saya.”
“Askar yang senapangnya masih di kepala saya terus bertanya kepada saya, “Musliman?” Saya mengangguk sambil menunjukkan pasport saya kepadanya. Askar itu bersuara dengan lantang “Malaysia! Musliman Malaysia”. Beberapa orang askar lain terus ketawa sambil dok ulang “Musliman Malaysia!” sebanyak lima hingga enam kali dan terus naik trak tu tinggalkan saya yang masih tak boleh nak bangun. Ceh! Tak guna betul, aku punyalah takut sampai terkencing, depa gelak ja...”
Mujurlah sahabat Rosman, Mark telah jauh di hadapan. Jika tidak entah apa yang mungkin berlaku.
“Satu lagi peristiwa yang menarik sewaktu saya di Iran ialah kadar bahan api yang terlalu murah. Semasa saya ingin menambah petrol, saya berada bersebelahan dengan trak yang sedang mengisi minyak dan saya terpaksa menunggu kerana di stesen itu hanya ada satu pam petrol. Selesai saja pekerja itu mengisi petrol trak itu, dia terus berjalan ke arah saya tanpa menutup pam petrol itu.”
“Selamba je dia jalan padahal petrol dah berbesen-besen membazir begitu saja tapi nasib baik lantai pasir, petrol diserap dengan pantas. Amboi! Punyalah murah sampai tak kisah macam tu sekali. Saya cuma perlu membayar RM8.00 sahaja untuk satu tangki penuh 32 liter.”
Disebabkan ingin mengejar masa, Rosman dan Mark menunggang sekitar 1,200 - 1,600 kilometer dalam sehari atau lebih kurang 16 jam atas motor. Rosman hanya singgah di Tehran selama sehari saja untuk menghadiri satu lagi mesyuarat yang penting. Sayangnya, Rosman tak sempat nak berhenti di Laut Caspian untuk elakkan pembaziran masa.
Sebelum memasuki Turki, Rosman terlebih dahulu harus menggunakan jalan yang juga dikuasai pemberontak iaitu di Dogubeyazit. Dia amat bersyukur sekali kerana perjalanannya ketika itu dilindungi oleh Allah sehinggalah dia berjaya memasuki Turki. Rosman dapat melihat sejarah peninggalan zaman Roman ketika menyusuri jalan dari Van, Diyarbakir, Kahramanmaras dan Kayseri.
Perhentian Rosman seterusnya ialah di Nemrut Dagi, ia merupakan sebuah pergunungan yang juga tanah perkuburan orang-orang zaman dahulu. Nak dijadikan cerita, di sini juga enjin motor Rosman 'kaput', disebabkan tekanan udara yang sangat nipis. Dia terpaksa menolak motornya hingga tiba di kaki gunung dan barulah enjin hidup semula.
“Pemandangan paling menakjubkan ialah ketika tiba di Gerome. Ia adalah sebuah perkampungan bawah tanah yang dahulunya merupakan tempat tinggal masyarakat Kristian ketika zaman persengketaan mereka dengan masyarakat Islam. Dalam binaan bawah tanah itu terdapat rumah, bilik-bilik dan juga gereja,” Rosman menyambung cerita.
Di Turki, harga petrol sangat jauh bezanya dengan negara jirannya (Iran) iaitu RM7.65 seliter dan ia merupakan harga tertinggi di dalam dunia. Pemandangan di Turki tidak banyak bezanya dengan negara-negara Timur Tengah kecuali apabila sampai di Adana yang cukup popular sebagai destinasi pelancongan dan perikanan kerana ia bersebelahan dengan laut Mediterranean.
“Saya sangat teruja dan kagum dengan ciptaan Yang Maha Esa ketika tiba di Adana ini kerana pemandangan di sini sangat-sangat indah. Air laut yang membiru dan sangat jernih sehinggakan keadaan di dasar laut dapat dilihat dengan jelas walaupun dari tempat yang agak jauh. Tapi macam biasalah kalau berada di tempat cantik-cantik dan tumpuan pelancong, serba-serbi mahal-mahal belaka. Alah.... McD Value Meal harganya pun dah mencecah RM120 untuk satu set. Memang 'lubuk' orang-orang kaya di sini.”
“Sempat juga saya singgah di Izmir untuk melihat sebuah bandar pelabuhan yang sentiasa sibuk dengan urusan jual beli barangan dari laut. Perjalanan saya selepas itu ialah untuk ke Istanbul untuk menghadiri satu lagi mesyuarat penting dan di sini juga masa untuk saya dan Mark berpisah kerana Mark ingin meneruskan penjelajahannya ke Bulgaria.”
“Sebelum sampai ke Istanbul, saya melencong sedikit ke Semenanjang Gelopoli. Semenanjung Gelopoli merupakan tempat peperangan antara Turki dengan tentera gabungan Austria, New Zealand dan Britain pada Perang Dunia Ke-2 dahulu. Paling hebat ialah kemenangan berpihak kepada Turki yang mempunyai semangat juang yang sangat tinggi.”
Mesyuarat antara Rosman dan wakil Persekutuan Orang-Orang Pekak di Istanbul juga merupakan 'titik noktah' kepada projek 'r4td' yang dikhususkan untuk negara-negara Asia. Dalam penjelajahan ini Rosman telah berjaya bersua dan berbincang dengan 33 buah institusi yang melibatkan golongan masyarakat pekak iaitu dari sekolah-sekolah vokasional, persatuan dan badan-badan kebajikan. Walaupun begitu, perjalanannya masih jauh lagi kerana dia masih perlu ke Madrid, Sepanyol untuk menghadiri Mesyuarat Agong Pertubuhan Orang Pekak Sedunia.
“Oleh kerana masa masih banyak, saya membuat perancangan untuk melawat beberapa tempat lagi. Saya sempat ke Kalambaka, Greece iaitu gereja yang telah dibina di atas kawasan pergunungan. Untuk ke Itali, saya menaiki feri dari Igoumeniatsa ke Brindisi yang mengambil masa selama 12 jam. Jejak je motor atas tanah, saya terus pulas throttle menuju ke Fano untuk menyertai 'Ducati Bike Week' yang memang saya dok idam-idamkan.”
“Sayangnya, party di sana terlalu ganas, liar dan langsung tak sesuai dengan kita. Tambahan pula pesta ini diadakan di tepi pantai, tahu-tahu je lah macam mana keadaannya. Ada seorang pemilik Ducati yang gagal mengawal motornya ketika berwheelie telah melanggar beberapa buah motor dan selepas insiden itu, saya terus 'blah' sebelum apa-apa yang buruk berlaku.”
Rosman banyak menghabiskan masanya dengan melawat beberapa tempat menarik seperti Kilang Ducati, Kilang Ferrari dan ke Neukirchen untuk menghadiri Triumph Bike Week. Rosman kemudiannya menuju ke sebuah pekan kecil bertaraf antarabangsa iaitu Mattighafen untuk melawat kilang KTM.
“Di pekan Mattighafen ni, boleh dikatakan semua orang 'bekerja' untuk KTM. Kedai roti contohnya, turut membekalkan juadah untuk semua kakitangan KTM dan orang-orang muda bandar itu dah tentulah bekerja di kilang itu. Memang seronok.”
“Perjalanan kemudiannya diteruskan menuju ke Garmisch Partenkirchen untuk meraikan pesta BMW Bike Week. Di sini saya sangat gembira kerana dapat berjumpa dengan ramai kenalan (overlanders) dari seluruh dunia. Pihak BMW turut mengumumkan setiap kumpulan 'biker' yang hadir, bila nama saya disebut, saya sorang je dari Malaysia. Di pesta ini keadaannya sangat jauh berbeza jika hendak dibandingkan dengan pesta Ducati malah semua pemilik BMW terutama sekali yang datang dari jauh diberi layanan yang cukup baik.”
Untuk ke Perancis, Rosman terpaksa bermalam di dalam keretapi sebelum sampai di Narbonne. Di Perancis, dia sempat menjelajah ke banjaran Gunung Pyrenees yang juga merupakan sempadan semulajadi antara Perancis dan Sepanyol. Rosman kemudiannya meneruskan perjalanannya ke Sepanyol dan hentian pertamanya ialah di Barcelona.
“Barcelona juga dikenali sebagai Bandar Kesenian dan Muzik. Di mana-mana saja kita dapat melihat orang menyanyi, melukis, bersyair, bermain muzik dan menari. Bangunan-bangunannya terdiri daripada ciri-ciri Sepanyol dan Islam kerana dahulu negara ini pernah ditakluk oleh orang Moorish beragama Islam. Cukup segar dan 'hidup' bandar ini dan sememangnya ia merupakan destinasi pelancongan yang sangat terkenal.”
“Akhirnya saya tiba di Madrid untuk hadiri perhimpunan yang amat penting itu. Di dalam program ini terdapat ceramah dan perbincangan mengenai segala yang berkaitan dengan dunia orang-orang yang mempunyai masalah pendengaran. Antara tajuk-tajuk yang diperbincangkan ialah Deaf Youth and Its Problem, Geopolitical Scenario and Deaf Migration dan Pendidikan.”
Bak kata pepetah, 'Menyelam Sambil Minum Air', Rosman sempat berkunjung ke stadium Santiago Barnabeu untuk melihat dengan lebih dekat pasukan bolasepak kegemarannya iaitu Real Madrid ketika berada di sana.
Antara destinasi-destinasi yang sempat dilawat Rosman ialah Poland, Lithuania, Latnia, Astonia, Republik Czech, Hungary dan akhirnya kembali ke Jerman. Apabila sampai di Hamburg, bermakna perjalanannya semakin hampir ke penghujungnya. Di Bremerhaven, Rosman membeli tiket untuk pulang, dia ikut udara manakala motornya ikut laut. Barang-barangnya diikat pada motosikal untuk dibawa terus ke Klang. (Menurut Rosman, segala barang-barang itu selamat sampai di Klang tanpa sebarang kerosakan atau hilang).
“Pada hari terakhir saya di Jerman, memang terasa sangat terharu kerana perjalanan selama enam bulan sudah tamat. Saya amat berterima kasih terutamanya kepada Persekutuan Orang-Orang Pekak Malaysia sebagai penaung projek murni ini, Wisma Putra dan kepada semua penaja yang sangat bermurah hari. Segala pengalaman dan peristiwa yang saya lalui sangat bernilai dan bakal menjadi memori paling indah buat saya. Paling penting, kini seramai 93 penyertaan sudah berada di dalam hub ketika projek konvoi ini ditamatkan. Alhamdulillah, segalanya sudah selamat.” RR