Kembara Bersama Antara Dua Roda
Amat jarang sekali, sebuah kembara dilakukan dengan dua kategori jentera berbeza, lebih-lebih lagi melibatkan yang berenjin dengan basikal. Itulah yang kami lakukan pada awal bulan April yang lalu. Saya dan sahabat, Sham Sani rayau kembara di pendalaman Kelantan dan merentasi Banjaran Titiwangsa menggunakan laluan Gua Musang - Lojing untuk ke Ipoh.
Saya menggunakan basikal kembara Bombtrack untuk tujuan tersebut manakala, Sham menunggang solo dengan Yamaha Lagenda. Tiga rakan lain turut serta berkayuh bersama kami. Sham memulakan perjalanan pada 8.00 pagi dari rumah kediamannya di Kuang, Sungai Buloh ke Kota Bharu pada Sabtu 6 April. Manakala kami yang berbasikal menggunakan perkhidmatan bas dari Terminal Bandar Tasik Selatan pada jam 10 malam pada tarikh yang sama.
Ini merupakan kali pertama Sham menunggang bersendirian ke Kelantan menyusuri laluan Kuala Lipis - Gua Musang seterusnya ke Kota Bharu. Perjalanan sejauh 468 kilometer itu mengambil masa 10 jam dengan kos petrol hanya RM24. Itulah kelebihan mengembara menggunakan motosikal berkuasa 115cc.
Tambang bas RM42 seorang memiliki sedikit kelebihan iaitu dapat membawa muatan dan berehat di sepanjang perjalanan. Jika dikira dari segi kos ke stesen utama, menunggang motosikal ternyata lebih jimat dan dapat melihat pemandangan yang cantik dan pastinya lebih menyeronokkan.
Sham bermalam di rumah bapa saudaranya, Cikgu Khairul yang terletak di bandar Kota Bharu. Kenangan berputik bila Sham terlihat semula motosikal Kawasaki KR150 yang dipinjam dari bapa saudaranya itu untuk menyertai ekspedisi Kelab Roda pada tahun 1995. Terasa juga ingin menghidupkan semula motosikal tu katanya!
Restoran Din Tokyo di pusat bandar Kota Bharu menjadi tempat perjumpaan kami pada jam 8.00 pagi keesokan harinya. Sambil menikmati hidangan istimewa Telur Ping Pong, kami menunggu beberapa rakan kayuhan dari Kota Bharu untuk bersama-sama nikmati sarapan.
Hari Pertama (Kota Bharu - Tanah Merah - Temangan- Kuala Krai) 90km
Berlepas dari Kota Bharu jam 9.00 pagi terus ke Masjid Kampung Laut yang terletak 12km dari pusat bandar. Kami memilih laluan terpencil yang mempunyai pemandangan menarik yang jarang dinikmati oleh kebanyakan pengguna jalan raya yang lain. Bayangkan dapat berkayuh basikal dan menunggang motosikal di tepian sawah menyusuri sungai Kelantan yang tidak akan kita gunakan pada kadar biasa. Maka sebab itulah Sham sanggup mencuba mengikuti jejak kami bersama motosikalnya semata-mata untuk menikmati keindahan.
Ternyata laluan D15 pinggiran Sungai Kelantan dari Kampung Kadok ke Kampung Kubang Tebik dengan menaiki bot penambang ke Tanah Merah cukup cantik sekali. Ketika cuaca terlalu panas, rentak kayuhan makin perlahan manakala Sham yang mengekori perlahan pun terasa penatnya. Pasti dia bosan! Kami sempat singgah menikmati air tebu yang enak dan kuih gomak yang lazat.
Destinasi kami adalah untuk melihat hasil kejuruteraan lama, sebuah jambatan keretapi yang merentasi Sungai Kelantan diberi nama Guillemard Bridge sepanjang 600 meter. Pada mulanya, dari Tanah Merah sememangnya kami ingin merentasi sendiri jambatan tersebut untuk kembali ke laluan asal ke Kuala Krai. Memikirkan jambatan itu masih digunakan dan amat panjang untuk direntasi, akhirnya kami mengambil keputusan untuk menggunakan jambatan kenderaan biasa dan mencari laluan yang sebaiknya untuk sampai di muka jambatan agar dapatlah mengambil gambar kenangan. Demi mendapatkan gambar yang cantik dari sudut yang sempurna, kami sanggup meragas semak.
Dari jambatan Guillemard Bridge, kami meneruskan perjalanan ke Kuala Krai menggunakan laluan D219 ke Temangan, sebuah bandar terpencil yang suatu ketika dahulu cukup pesat membangun kerana aktiviti pencarian bijih besi. Ketika itu, terdapat lombong dan kilang yang progresif sekitar tahun 1941 dan 1945 iaitu semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Bijih Besi yang dilombong ketika itu dieksport ke negara Jepun.
Sememangnya laluan ke tempat yang dituju begitu tenang dan mendamaikan. Ia cukup sesuai untuk basikal dan motosikal kerana ia mempunyai kesan pergerakan yang sama cuma pergerakan basikal tentulah lebih perlahan. Laluan tenang damai itu berakhir di Kampung Bedal. Kami memasuki semula jalan besar (Laluan 8) yang menghubungkan Kota Bharu dan Kuala Krai. Terasa meruntun jiwa tibatiba terpaksa bergelut dengan aliran trafik yang banyak dan laju-laju belaka. Ternyata Sham begitu setia mengekori kami dan yang berkayuh semakin perlahan setelah mengharungi hampir 80km. Nasiblah laluan jalan utama ke Kuala Krai hanya sekitar 10km.
Kami bermalam di sebuah hotel bajet sekitar RM120 semalam dengan 2 katil besar untuk satu bilik. Selepas makan malam, tiada lagi aktiviti selain merehatkan badan selepas sudah penat berkayuh. Sham yang tidak berkayuh juga merasai kepenatan, mungkin terpaksa menunggang perlahan mengikuti gaya kelajuan basikal.
Hari Kedua (Kuala Krai - Dabong - Gua Musang)
Usai subuh, kami teruja untuk pekena Nasi Lemak Doktor yang terkenal di sini. Saya dan Sham bermotosikal menjejaki lokasi sekitar tiga kilometer dari tempat penginapan. Malangnya kedai tersebut tutup.
“Ok tak apa, doktor tidak ada, apa kata kita cari nasi lemak Nurse kat Hospital Besar Kuala Krai,” gurau Sham sambil ketawa. Rupa-rupanya terdapat sarapan yang sungguh menyelerakan yang hanya terletak di sebelah hotel kami. Kami tidak berhajat untuk bersarapan di situ cuma membawanya bersama dalam perjalanan kami pada pagi ini, makan di atas bot.
Bot? Ya... bot. Kami yang berkayuh basikal akan menggunakan perkhidmatan bot dari Kuala Krai ke Dabong menyusuri Sungai Kelantan sejauh 38km atau dua jam perjalanan. Tiada pilihan untuk sampai lebih awal ke Dabong, sekira menggunakan laluan darat, ia mengambil masa sehari kayuhan atau 70km melalui laluan yang agak berbukit. Tetapi Sham tiada pilihan lain. Dia terpaksa melalui laluan utama Kuala Krai ke Dabong.
Bot telah ditempah lebih awal melalui seorang kenalan di Facebook dengan bayaran RM400 satu perjalanan. Untuk merasai pengalaman, kami berempat berkongsi bayaran untuk khidmat ini. Bukan sekadar untuk membawa kami dengan lebih pantas ke Dabong sebaliknya ia merupakan pengalaman yang sangat menarik.
Cuaca pagi itu yang berkabus menyambut kami di awal perjalanan. Seakan tenggelam di alam mimpi, basikal serta barangan yang dimuatkan bersama diletakkan di bahagian belakang bot. Maka boleh bersantai selesa, berdiam diri merenung sebuah keindahan yang bergerak dan berlalu, setiap saat pandangan berubah pantas hinggalah kabus semakin beransur hilang berganti pula dengan kehijauan yang dicerahkan sinaran matahari pagi. Ia sebuah masa yang sangat mengasyikkan.
Masalah menjelma sebaik sahaja kami sampai di Dabong. Jeti di Dabong terlalu cetek, berlumpur dan mempunyai pasir jerlus memaksa tekong bot mencari lokasi lebih baik untuk menurunkan kami. Hanya di bawah jambatan nampak paling sesuai, memaksa kami memikul basikal untuk sampai ke tebing tanah rata seterusnya menolak basikal merentasi laluan keretapi sebelum sampai di sebuah laluan kampung. Menggunakan peta Google kami meneruskan kayuhan ke bandar terpencil Dabong.
Kami menghilangkan dahaga di sebuah gerai kecil terletak di stesen keretapi sambil menunggu Sham tiba tidak lama kemudian (11.00 pagi). Kami berbincang perjalanan seterusnya dan bertanya kepada warga setempat untuk pengesahan jalanan kami kerana ia akan merentasi sungai Galas menggunakan laluan keretapi. Mengguna laluan D231 menuju ke Kampung Batu Udang dan kekal menggunakan laluan tersebut sehingga ke Bertam walaupun beberapa kenalan kami memberitahu agar menggunakan D29 yang lebih digunakan orang ramai.
Kami tetap memilih laluan sunyi D231 yang dijangka lebih selesa untuk kami yang berbasikal. Beberapa jam kayuhan kami sedari ia sememangnya laluan yang sangat sunyi - tidak digalakkan kiranya berseorangan atau ketika hari beransur lewat. Dengan cuaca yang sangat panas dan laluan berbukit, teringin juga untuk memegang dan memaut tali pada motor. Belum diajukan cadangan, Sham cepat-cepat tetapkan bayaran untuk perkhidmatannya – hehehehe pandai dia!
Nahhh…. Bukit terakhir untuk sampai di perkampungan Bertam sangat panjang membuatkan kami berehat lama sebelum bertemu warga kampung untuk bertanya sekiranya ada laluan yang boleh digunakan. Dengan bantuan Google Maps kami mengelak bukit tersebut sebaliknya menggunakan laluan pintas yang menghubungkan kami ke laluan keretapi berjarak beberapa ratus meter sebelum kembali menemui laluan asal. Yang penting pada saat itu adalah mengisi perut yang kosong sebelum memilih laluan seterusnya.
Bertam adalah sebuah perkampungan kecil dan terpaksa merentas sungai dengan menggunakan rel keretapi. Ini bermakna hanya kenderaan motosikal dan basikal yang boleh melaluinya selain berjalan kaki. Mujurlah terdapat sebuah kedai runcit yang menyediakan hidangan tengahari. Oleh kerana telah melepasi jam 3.00 petang, kami dapat menikmati hidangan yang ringkas tetapi sangat melazatkan. Hanya nasi dan kari ayam, semua lauk sama tanpa pilihan.
Sedang menghayati hidangan, sempat kami menyemak kedudukan dan peta untuk keselesaan seterusnya. Kami berbincang dan akhirnya bersetuju untuk menggunakan laluan D29 Jelawang - Gua Musang yang agak berbukit dan agak jauh tetapi lebih aman. Laluan D29 mengelak kesesakan di jalan utama. Baki perjalanan sejauh 43 km itu mengambil masa kayuhan selama 4 jam dan kami terus mencari tempat makan yang menyelerakan. Tempat tidur belakang kira, yang penting sekarang kami mesti isi perut yang lapar dan dahaga yang memuncak!
Dua gelas setiap seorang, termasuk juga Sham. “Aik... hang pun dua gelas?” Penat katanya bawa motor dengan perlahan. Kami ketawa bersama dan sedikit membantu menghilangkan kepenatan.
Alangkah baiknya bila mendapat maklumat bahawa masjid besar Gua Musang ada menyediakan ruangan khas musafir yang ingin bermalam dengan kelengkapan yang sempurna. Kami tidak pikir panjang, badan sudah penat, rezeki bermalam sudah ada, langsung lena selepas membersihkan diri.
Hari Ketiga (Gua Musang - Lojing) 107km
Hari paling dinantikan... hari ini merupakan laluan paling jauh dan getir. Siapa yang tidak tahu laluan Gua Musang - Lojing yang membawa terus ke Cameron Highlands, sudah pasti ia berbukit-bukit yang tinggi menakluki banjaran Titiwangsa.
Walaupun bersiap awal setelah subuh, kami tidak terus menyerang laluan ke Lojing, sebaliknya mencari sarapan di bandar lama Gua Musang dan sempat ke stesen keretapi lama untuk bergambar kenangan dan mencari Masjid Buloh yang terkenal di bandar ini. Membeli bekalan tambahan air dan juga sedikit makanan. Kami semua memandang Sham agar dapat tolong membawa bekalan dengan motornya. Bila lagi nak tolong kawan-kawan?
“Sekilo upah RM50!!” Gurau Sham.
Saya sempat bertanyakan Sham tentang penggunaan petrol dengan mengikut kelajuan basikal. Jelasnya penggunaan petrol adalah lebih tinggi berbanding dengan kelajuan ekonomi sekitar 60km/j ke 70km/j. Ini kerana dengan menunggang perlahan, beban pada enjin berlebihan dan beberapa kali terpaksa mematikan enjin/menghidupkannya semula untuk menyamai rentak kami yang berbasikal, menyebabkan kadar pembakaran bahan api lebih tinggi.
Sekitar jam 9.30 pagi barulah kami bergerak ke Lojing. Laluan ke Kuala Betis sempit sebelum menemui laluan ke Lojing yang ternyata lebih luas dan selesa untuk berbasikal. Sham semakin perlahankan tunggangan dan mula membiarkan kami berkayuh berapa puluh minit sebelum kembali menemui kami. Dengan laluan yang berbukit, ia amat menyiksakan sedangkan ia hanya sekitar 15% dari jarak laluan sepenuhnya. Risau sungguh!
Sempatkah kami sampai Lojing sebelum gelap?
Dengan kayuhan semakin lama semakin perlahan dan beberapa ahli telah mula nampak keletihan, kayuhan berhenti beberapa kali untuk kami melepaskan lelah. Laluan ini teramat sukar dan sememang merancang untuk menumpang lori sayur yang kosong ke Lojing tetapi malangnya tidak ada satu lori pun yang lalu. Saya telah menyediakan tali untuk ahli kembara yang ingin berpaut jika terlalu letih tetapi semuanya terus berkayuh dengan sepenuh tenaga.
Menghampiri jam 6.45 petang kami berkumpul dan berbincang untuk menghentikan pergerakan kerana masih berbaki 16km ke R&R Lojing dan 36km ke destinasi kami ke masjid Lojing. Saya memohon bantuan Sham untuk teruskan perjalanan ke RNR Lojing untuk mendapatkan bekalan makanan kerana khuatir kedai makan mulai tutup atau sukar didapati.
Saya sempat bertanya jarak sebenar kepada seorang pekerja Indonesia di ladang tempat kami berhenti. Dia menjawab dengan nada terkejut tapi sayu. “Jauh pak…. kurang-kurangnya satu jam perjalanan dengan motosikal.” Baiklah. Ini noktahnya! Kami harus segera dapatkan bantuan agar dapat tumpangkan kami ke Lojing kerana tiada sebarang kemudahan di sini untuk kami bermalam. Syukur dengan penuh harapan, walaupun kenderaan yang mula berkurangan berikutan hari sudah senja, sebuah pacuan empat roda yang kami tahan telah berhenti dan sanggup membawa kami ke Masjid Lojing. Syukur!
Kami tersenyum tanda syukur, kerana ada yang sudi untuk membantu di waktu kesusahan. Itulah sebuah kembara, mengajar kita erti kehidupan, membantu dan dibantu. Masing-masing saling memerlukan antara satu sama lain.
Sham dihubungi untuk tunggu sahaja di Masjid Lojing dan terus menikmati hidangan ‘dua mata’ - bermakna dua menu setiap seorang tanda kelaparan yang amat. Oleh kerana mendapat kebenaran untuk bermalam di masjid, kami bermalam sahaja dengan membungkus badan dalam beg tidur yang tidak akan kami lakukan di tempat biasa. Di Lojing dengan suhu semakin dingin sekitar 20°C, membalut tubuh dengan beg tidur adalah suatu kenikmatan, lebih-lebih lagi bila sudah cukup letih.
Kedinginan yang awalnya menenangkan hati bertukar menjadi penyiksaan sekitar jam 4.00 pagi apabila suhu semakin menurun sehingga 17°C (menurut bacaan di telefon pintar). Cuba untuk kembali melelapkan mata, namun ia suatu yang makin sukar selain hanya bertahan sehingga tiba waktu subuh.
Hari Keempat (Lojing-Cameron Highlands - Simpang Pulai - Ipoh)
Ahli kembara bersiap awal pada pagi ini agar membolehkan kami bergambar di ladang teh sebagai kenangan indah berada di Cameron Highlands. Sedang sedap menghirup teh tarik dan kesegaran ladang teh di waktu pagi, kami update status... saja menyakat kawan-kawan di pejabat yang sedang bekerja.
Kami berpisah dengan Sham yang akan meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur melalui Tapah manakala kami yang berbasikal akan turun ke Ipoh melalui Simpang Pulai. Kami inginkan laluan mudah dan menyeronokkan kerana tiada lagi mendaki teruk seperti semalam.
Sempat menemui seorang pengembara Mr. Gim, 30 tahun yang berbasikal dari Jerman. Beliau memulakan kayuhannya dari Bangkok dan melewati beberapa negara Asean sehinggalah tiba di Cameron Highlands. Ketika ditemui, beliau sedang meneruskan pengembaraan menuju ke selatan semenanjung, masuk ke Singapura dan berakhir di Bali, Indonesia.
Kami selamat tiba di Simpang Pulai jam 3.00 petang dan berjumpa sahabat yang telah menghantar kami menggunakan jentera pacuan empat roda untuk terus ke Terminal Bas Ipoh yang terletak di Amanjaya. Bas untuk pulang ke Kuala Lumpur pada jam 8.45 malam. Sempatlah kami membersihkan diri, membungkus basikal kembali sebelum pulang ke destinasi masing-masing dengan memori yang tidak dapat dilupakan.
Ia adalah satu pengembaraan yang mencabar dan sangat berharga. Hari-hari berlalu telah membina dan membentuk peribadi agar lebih kuat dan kehadiran Sham dalam kayuhan ini banyak mengeratkan ukhwah yang telah terbina. Perjalanan lebih bererti dengan adanya persefahaman, tolak ansur dan tolong menolong di antara satu sama lain. RR
Pak Sheikh
Popular