Menguji Ketangkasan V-Strom 650XT Di New Mexico
Perjalanan kali ini memang cukup mencabar! Saya dapat merasai menunggang di selekoh pantas seperti hairpin dan selekoh-selekoh tajam biasa yang bagaikan tidak ada penamatnya. Kami (Suzuki V-Strom dan saya) sedang 'terbang' di angkasa, tinggi di atas ribuan lembah-lembah yang cantik dan menarik.
Kaki kiri saya pantas bergerak untuk menambah dan menurunkan gear dari kedudukan gear kedua, ketiga dan keempat. Jarang sekali menggunakan gear kelima dan posisi gear keenam langsung tidak disentuh dan ini semua kerana keadaan jalannya yang terlalu banyak selekoh. Kualiti jalan di sini bagus, agak lengang kecuali sesekali terserempak dengan kenderaan jenis pick-up.
Ketika merentasi Hogtail Saddle, saya terpaksa mengenakan lebih banyak pakaian kerana suhu cukup sejuk sehinggakan suhu enjin juga menurun kepada 47 darjah sahaja. Selepas merasakan lebih selesa, perjalanan diteruskan dengan merentasi Mogollon Rim yang menjadi pemisah di antara kawasan tanah tinggi Arizona dengan tanah lebih rendah.
Ketinggian di sini sekitar 9,000 kaki dan pergerakan tektonik yang berlaku jutaan tahun dahulu telah menjadikan rupabentuk mukabumi di utara dan di selatan cukup berbeza. Udara di Phoenix nyaman dan menyegarkan tetapi apabila menghampiri Flagstaff yang terletak 160 kilometer di Utara, segalanya bertukar menjadi lebih sejuk.
Jalan-jalan di kawasan ini lurus dengan barisan pokok Ponderosa Pines di kiri dan kanan jalan. Kita juga tidak boleh menunggang terlalu laju di sini, kelajuan yang dibenarkan ialah 80km/j. Pemandangan cukup hebat, saya ternampak sekawan rusa jenis elk di kiri jalan. Tidak lama kemudian saya tiba di Hannagan Lodge, satu-satunya lokasi komersial yang beroperasi di jalan US191 dan US 666 sepanjang 171 kilometer itu. Saya kemudiannya menghalakan V-Strom ke sebuah bandar kecil di Alpine untuk seketika.
Apabila sebuah syarikat memberi saya sebuah mesin adventure untuk diuji, saya meminta agar dapat menunggang ke lokasi yang menarik dan mencabar. Dek kerana inginkan pengalaman sebegini, kami bergegas ke Morenci, Arizona. Pernah tak dengar tempat ini?
Kalau tak pernah memang patutlah kerana tempat ini tidak begitu mesra dan menyeronokkan. Tiada taman-taman segar, kafe-kafe menarik dan lokasi cantik untuk dikunjungi. Tempat ini merupakan kawasan perlombongan tembaga yang terbesar di dunia dan bandar ini dimiliki oleh Syarikat Phelps-Dodge Copper.
Saya tidak berminat untuk berada lama di kawasan sebegini melainkan terfikir tentang penggunaan bahan tersebut pada jentera Suzuki ini dan semestinya ia merupakan elemen yang cukup penting. Saya juga ingin mencuba bagaimanakah rupanya jalan-jalan di Morenci ini. Adakah ia bagaikan syurga atau neraka buat pencinta motosikal?
Jalan yang sedang saya gunakan ini, US191 secara rasminya telah diberikan nama baru iaitu Coronado Trail Scenic Byway, juga dikenali sebagai Satan Highway – jalan yang wajib dilalui oleh semua penunggang motosikal jika berkunjung ke negara ini. Bagi saya, keseronokan berada di jalan-jalan ini meningkat dua kali ganda dengan memacu Suzuki V-Strom ini.
Saya seorang yang simple, tidak banyak kerenah dan semestinya pengalaman yang agak luas bersama jentera-jentera Suzuki sebelum ini memudahkan saya cepat 'mesra' dengannya (Suzuki V-Strom). Model pertama V-Strom diperkenalkan pada tahun 2004 dan pengalaman di Baja telah memberikan pengalaman manis buat saya.
Model lama itu seberat 213kg, berkuasa lebih daripada 60hp yang sudah cukup tinggi untuk membawa saya menjelajah ke pelbagai jenis jalan dan mukabumi. Apa yang boleh diperbaiki ialah pada sistem saspensinya yang agak tidak menyerap dengan begitu baik di jalan-jalan luar bandar... motosikal saya bagaikan bergoncang-goncang. Masalah ini tidak berlaku apabila kita berada di jalan-jalan biasa.
Pada tahun 2012, V-Strom 650 dilancarkan dengan beberapa perubahan baru yang menawarkan sistem saspensi Showa yang lebih baik berserta kuasa enjin yang ditinggikan. Tahun ini, Suzuki telah menawarkan model ini dengan tiga jenis variasi iaitu biasa, Adventure dan XT yang sedang saya tunggangi ini.
Perbezaan paling ketara ialah model XT dilengkapi dengan rim aluminium berjejari keluli tahan karat. Unit ini juga didatangkan dengan kotak barangan sisi, pelindung tangan dan cermin pengadang udara boleh laras (aksesori pilihan). Kita perlu fahami bahawa setiap pengeluar motosikal mempunyai konsep pembikinan motosikal pengembaraan yang berbeza.
Bagi sesetengah pengeluar motosikal Eropah, mereka kini lebih suka mengeluarkan jentera dua roda lebih ekstrim yang mampu ditunggangi di negara-negara mencabar seperti luar Mongolia. Pengeluar dari Jepun pula terus memperkenalkan motosikal yang lebih praktikal – sesuai untuk penggunaan semua jenis perjalanan. Oleh itu... saya juga ingin membuktikan kebenarannya dengan membuat pusingan sejauh ribuan kilometer dari Barat menuju ke New Mexico.
Ruang barangan? Tidak menjadi masalah… kotak barang aluminium Motech dilengkapkan pada motosikal saya ini. Bar hendal juga cukup lebar... 86.36cm. Saya juga lebih suka jika kotak-kotak barang ini boleh dibuka dengan senang – tidak perlu kunci tambahan dan ya…. beg tangki bermagnet Suzuki memang amat berguna sekali.
Apa yang sedikit mengecewakan ialah saiz tangkinya yang agak kecil berbanding model 2012. Walau bagaimana pun, tangki sebesar 20 liter ini masih mampu membawa kita mengembara lebih daripada 320 kilometer dan bagi saya ia sudah mencukupi untuk memberi senyuman buat para pengembara. Ketinggian pelananya (830mm) sudah cukup selesa buat saya yang berketinggian 6'3” untuk bermotor sekitar 640 kilometer sehari.
Saya cukup sukakan cermin pengadang udaranya jenis boleh laras dan pemesong udara yang membolehkan udara dapat melalui kepala saya dengan baik sekali. Fork hadapan V-Strom ini menawarkan talaan redaman lima peringkat dan talaan paling sesuai untuk saya ialah pada tahap empat. Suzuki tidak menghasilkan jentera ini untuk kita 'lanyak' di kawasan berbatu Pergunungan Rocky tetapi merupakan pilihan terbaik untuk pelbagai jenis jalan termasuk di jalan-jalan luar bandar yang agak mencabar.
Pada Sabtu pagi, saya menuju ke SSE dengan melalui Monumen Negara Carrizo Plains dan Taman Negara Joshua Tree untuk bermalam di Blyhte, berdekatan dengan Sungai Colorado. Memang agak tergesa-gesa tetapi saya perlu melakukannya agar dapat tiba di Phoenix tidak terlalu letih. Ini bermakna saya perlu mengharungi perjalanan sejauh 80 kilometer yang padat dengan orang ramai di Jalan I40 dan US 60 sebelum tengahari Ahad. Hari ini ramai orang akan ke gereja... kena cepat!
Saya rasa inilah masa yang terbaik dan rancangan ini memang berjaya. Saya dapat melalui kawasan urban dari Goodyear ke Apache Junction tidak sampai satu jam. Tidak banyak dapat dikongsikan ketika berada di jalan US 60 selain Lembah Queen Creek di Superior dan Miami yang cantik dan nyaman – selagi mana jalan tidak sesak.
Saya kemudiannya mengarahkan V-Strom ini ke jalan US 70 yang menuju ke Safford, pusing ke kanan ke jalan US 191 yang membawa kita ke jalan lama yang terkenal iaitu US 666. Suatu masa dahulu, jalan ini menuju ke aras selatan dan bertemu dengan Jalan US 66 di Sanders dan di tengah-tengahnya dibuat susur baru menuju ke sebuah lagi bandar. Jalan baru ini digelar Spur Road dan diberi nama US666.
Nombor 666 ini kemudian dikatakan oleh para Gematrian Numerologists ada kaitannya pula dengan Kematian, Syaitan dan Iblis yang menyebabkan para pengguna jalan ini terganggu. Untuk tidak terus menakutkan pengguna jalan ini, namanya ditukar pada tahun 1993.
Saya kemudiannya terpandang papan tanda Black Hills Back Country Byway, jalan berselekoh ini bukan sahaja cantik tetapi juga cukup sesuai untuk pacuan jentera seperti ini. Teringin pula… tetapi memandangkan saya perlu ke Alpine pada petang itu juga maka terpaksalah saya lupakan hasrat di hati. Saya 'dipamerkan' dengan pemandangan cukup indah berwarna jingga ketika berada di tebing Clifton. Jalan yang saya gunakan ini melintasi Sungai San Francisco dan seluruh bandarnya.
Pada tahun 1920an dulu, pihak berkuasa Arizona telah membuat keputusan untuk membina jalan tanah dari Clifton/Morenci hingga ke Alpine yang kini memerlukan kita merentasi Hutan Negara Apache/Sitgreaves. Jalan ini memang cukup popular. Orang ramai mengatakan jalan inilah yang digunakan oleh Coronado ketika mencari emas pada tahun 1540 dahulu dan tidak lama kemudian ia dinamakan Coronado Trail Scenic Byway.
Saya tiba di Alpine untuk bermalam. Esok paginya saya dapati motosikal ditutupi dengan fros (ais). Saya meregangkan otot dengan berjalan kaki ke Bear Wallow Cafe yang menyajikan air kopi, sosej dan telur yang cukup lazat. Lebih kurang jam 9.00 pagi, saya menghidupkan V-Strom dan menyambung perjalanan ke arah tenggara menggunakan Devil Highway untuk merentasi penghujung arah selatan Sungai San Francisco, Tasik Luna dan New Mexico.
Selepas melepasi beberapa destinasi dan tempat sebegini, barulah saya tahu kenapa Coronado mengembara melalui jalan-jalan di tepian sungai berbanding kawasan pergunungan. Saya memecut ke Mula Creek dan mendapati sudah kembali ke jalan US191, kemudian Safford dan terus ke Globe.
Dari Globe, saya menuju ke NW menggunakan jalan AZ188 yang memberi peluang untuk menikmati kesegaran udara di Hutan Negara Tonto yang turut lengkap dengan monumennya. Ada kisah menarik di sini: Dalam bahasa Sepanyol, 'Tonto' bermaksud dim-wit, fool atau penipu. Ketika orang Sepanyol datang ke negara ini lebih 400 tahun lalu, mereka telah berkenalan dan membuat hubungan serta komunikasi dengan salah satu puak Indian di sini.
Satu lagi puak Indian yang lebih besar turut berada di kawasan yang sama tetapi mempunyai bahasa percakapan yang berbeza sehinggakan tiada siapa pun dapat memahami mereka. Puak inilah yang dipanggil dim-wit atau 'Tonto'. Saya terfikir, bagaimana hero koboi Amerika, Lone Ranger tu boleh mempunyai seorang kawan rapat bernama Tonto. Ya... terdapat banyak artifak puak-puak Indian yang masih tersimpan di sini. Daripada tapak runtuhan di Tonto ini hinggalah di Montezuma Castle National Monument. Kalau lepak sini sambil tengok barangan purba... boleh makan masa berhari-hari atau berminggu-minggu.
V-Strom diperah menuju ke jalan lama US66. Buku 'Guide Book to Highway 66' mengatakan terdapatnya lokasi menarik dari Ask Fork ke Seligman. Sayangnya... sekitar tahun 1960, pembinaan jalan baru Interstate 40 telah menyebabkan jalan lama ini jarang sekali digunakan. Kini keadaan permukaan jalannya tidak lagi sebaik dulu dan banyak pokok-pokok besar tumbuh di kiri dan kanan.
Tempat paling seronok di jalan ini ialah dari Crookton Road ke Topock melalui Sungai Colorado dengan jarak sekitar 280 kilometer. Perjalanannya cukup lancar dengan adanya superhighway di tepian padang pasir dan kawasan pergunungan sehinggalah kita tiba di Kingman. Pada tahun 1946, bandar yang berdekatan dengan Sitgreaves Pass ini didiami oleh 2,200 orang. Dari sini, kita akan bertemu dengan sebuah bandar perlombongan yang sudah 'mati' bernama Oatman. Kesemua lokasi-lokasi ini telah diubah menjadi pusat pelancongan yang popular. Jalan raya di sini juga memberi keseronokan buat V-Strom ini. Ada yang ok... ada yang tidak ok.
Saya berhenti di Needles untuk bermalam sebelum pulang ke rumah. Ini kesimpulan saya...V-Strom 650XT ini memang cukup sesuai dengan saya. Ia mampu memberikan segala apa yang saya inginkan untuk sebuah motosikal. Walaupun masih ada beberapa perkara perlu dinaik taraf tetapi harga untuk membaik pulih atau menyelenggarakan mesin ini memang amat berpatutan. Bagus sekali! RR
Popular