Tanzania Adventure Ride 2019 (TAR'19)
Big Boys Adventure Inc. berpeluang untuk menganjurkan pengembaraan penuh cabaran ke kawasan gurun Afrika iaitu di Tanzania pada suku terakhir tahun 2019. Tidak dinafikan, perjalanan selama hampir 14 hari dari 19 Oktober sehingga 2 November ini adalah salah satu pengalaman menunggang motosikal yang paling mencabar dan cukup menakjubkan.
Pengembaraan kali ini disambut dengan penuh semangat oleh enam orang pencinta dunia dua roda iaitu Diddy, Farizul (gambar/video), Feiruz Rafik, Dato' Borhan (Bo), Patrick Tan dan Mustafa Manap (Pak Mus). Lebih menarik, kebanyakan peserta bukanlah di kalangan penunggang jentera lasak/offroad. Sebagai latihan awal, para peserta telah dibawa ke laluan offroad di Rawang untuk menyesuaikan diri.
Pada 19hb Oktober 2019, kami memulakan langkah pertama di KLIA dan kemudian transit di Bangkok sebelum teruskan penerbangan ke Nairobi, Kenya. Kami kemudiannya menyewa dua buah van untuk merentasi sempadan. Perjalanan dari Nairobi, Kenya ke Arusha di Tanzania mengambil masa empat jam.
Sebaik sahaja tiba di destinasi, kami menikmati makan tengahari juadah tempatan yang cukup lazat iaitu kambing dan pisang panggang. Nama juadah ini ialah 'Mwana-kondo aliyekatwa'. Oleh kerana 80% daripada populasi Tanzania adalah muslim maka, soal makanan tidaklah menjadi masalah.
Selepas mengharungi perjalanan hampir 24 jam, kami semua amat teruja untuk melompat naik ke atas jentera masing-masing iaitu Honda CRF250. Untuk menyesuaikan diri dengan keadaan jalan dan cuaca, kami terus menghidupkan enjin dan lakukan 'Tunggangan Orientasi'. Persediaan fizikal dan mental perlu diperkuatkan sebelum keenam-enam 'bersaudara' ini memulakan pengembaraan hari pertama.
Konvoi kami turut dibantu oleh pasukan sokongan yang terdiri daripada pemandu pelancong, mekanik, sweeper dan kenderaan pacuan 4 roda. Segalanya diperlukan agar segala perancangan berjalan dengan lancar di sepanjang pengembaraan.
Perjalanan hari pertama diuji dengan beberapa kawasan di tengah-tengah perjalanan yang telah dibanjiri air. Setiap peserta dapat melaluinya dengan selamat. Pemandangan di kawasan kolam air panas semulajadi memang mengagumkan. Airnya sangat jernih malah amat mengejutkan apabila suhunya tidak begitu panas – memang cukup sesuai untuk kita merehatkan badan.
Kami mengambil keputusan untuk menamatkan pengembaraan peringkat awal di Tasik Chala yang menawarkan bilik penginapan jenis pondok. Aduhai... keletihan menunggang seharian bagaikan hilang dihembus bayu apabila melihat pemandangan yang sangat cantik menerusi tingkap di pondok-pondok kami.
Hari-hari seterusnya dipenuhi dengan pelbagai ragam dan pengalaman menunggang yang memberikan kisah-kisah indah sepanjang hayat. Kami akan berdepan dengan laluan penuh air, mendaki kawasan pergunungan yang curam, laluan-laluan sukar seperti laluan berbatu, berkelikir, berlumpur dan jalanan tar biasa. Walaupun begitu, pemandangan yang indah dan suhu persekitaran yang dingin (15C hingga 20C) menjadikan perjalanan cukup bermakna.
Di Tanzania, sumber makanan terdiri daripada daging segar, buah-buahan dan sayuran. Amat jarang sekali kami berjumpa dengan makanan yang sudah diproses. Kami memang seronok dapat rasa pelbagai jenis makanan seperti pisang, ayam, kambing, ikan yang dipanggang dan semestinya nasi. Sedap betul!
Antara pengalaman yang paling menarik ialah ketika menuju ke Lushoto Highlands. Ia adalah perjalanan paling sukar dan mencabar buat kami semua. Kami terpaksa mengerahkan segala tenaga dan kemahiran menunggang untuk mendaki di laluan yang curam, licin, berlumpur dan memenatkan. Kami terpaksa mengambil masa sehingga lapan jam hanya untuk selesaikan laluan lasak yang berjarak pendek. Dalam kepenatan, kesemua peserta selamat sampai di tempat penginapan di ketinggian 1,400m (dari paras laut) dalam kegelapan malam yang sejuk membeku. Mujurlah pemandangan awan yang memutih keesokan harinya amat memukau.
Setiap kali menyebut Afrika, sudah tentu ia dikaitkan sebuah negara yang kaya dengan budaya, hidupan liar dengan kepelbagaian habitat yang menakjubkan. Kami berkesempatan untuk menunggang dan berkunjung ke Taman Negara Tarangire, taman negara kedua terbesar selepas Serengetti. Menunggang bersama zirafah, kuda belang dan wildebeests merupakan saat yang cukup istimewa buat kami semua. Ketika berada di kawasan terbuka bersama-sama hidupan liar adalah peluang keemasan yang tidak mudah untuk dinikmati ramai orang. Selalunya kita hanya dapat melihat 'mereka' di dalam zoo saja, kali ini depan mata!
Pengembaraan ini juga telah membawa kami untuk bertemu dengan masyarakat di sana yang peramah dan baik hati. Maasai merupakan suku kaum terbesar di Afrika dan kebanyakan warga tempatan boleh bertutur dan memahami bahasa Inggeris tetapi apabila masuk ke kawasan pendalaman, mereka bertutur dalam bahasa ibunda mereka. Kami berkunjung ke sekolah-sekolah asrama dan paling bersyukur kerana dapat berkenalan serta memberikan sedikit sumbangan barangan untuk pembelajaran buat para pelajar di sana.
Apabila tiba di sebuah lokasi, konvoi kami sering mendapat perhatian kanak-kanak di sana dan selalunya kami akan berikan makanan simpanan yang sedia ada seperti minuman kotak, biskut, coklat dan roti. Hari-hari kami benar-benar terhibur dengan gelagat mereka dan ia sudah tentu memberi 1001 kenangan buat semua peserta.
Menunggang di laluan yang sukar memang mencabar kemampuan kami semua mengendalikan jentera masing-masing. Honda CRF250 memang sebuah jentera yang sangat mengagumkan! Ia adalah sebuah motosikal lasak yang memang perfect untuk dipacu di pelbagai jenis jalan dan cuaca. Tidak dinafikan jatuh bangun dalam pengembaraan ini menjadi salah satu memori tetapi Honda yang kami naiki itu memang mudah, pantas dan tahan lasak.
Setiap saat bagaikan emas yang amat berharga, sayang sungguh jika tak nikmatinya walaupun ada ketika kami agak letih. Setiap hari kami 'dihidangkan' dengan pemandangan yang berbeza-beza. Antara pemandangan cukup unik ialah di Tasik Natron. Ia adalah tasik garam yang menjadi tempat burung-burung flamingo berkumpul dan tasik itu dikelilingi oleh rumput menghijau yang menjadikan pemandangan sangat indah.
Hari terakhir, kami disajikan dengan masakan India Utara yang disediakan khas oleh sebuah keluarga India generasi keempat di Tanzania. Ternyata Tanzania telah memberikan kami satu pengembaraan yang sukar dijangka. Kami banyak menempa pengalaman dan ia menjadikan kami lebih menghargai kehidupan. Tempat ini pernah dimasukkan ke dalam Bucket List kami dan sesungguhnya amat bersyukurlah ia terlaksana. RR
Popular