Isu Terkini

Julai 2024

Kembara / 10 Jun 2016

Mengelilingi Dua Puncak Gunung Olympus & Gunung Hood

Menunggang di kawasan pergunungan memang seronok dan Amerika pula merupakan sebuah negara yang memang banyak gunung-ganang. Terdapat banyak jalan-jalan mendaki dan menuruni kawasan ini dengan pemandangan yang sangat indah sekali. Antara gunung yang boleh kita kunjungi dengan motosikal hingga ke puncak ialah Gunung Greylock, titik tertinggi di Massachusetts iaitu 3,500 kaki. Jalan untuk mendaki terletak di sebelah utara manakala jalan di sebelah Selatan untuk kita turun.

Pikes Peak pula merupakan gunung yang lebih tinggi dengan puncak 14,000 kaki tetapi di sini kita terpaksa berpatah balik menggunakan jalan yang sama untuk turun ke bawah berbanding Gunung Greylock. Oleh kerana gunung-gunung di sini tidak dilengkapi dengan jalan yang sampai ke puncak, saya membuat keputusan untuk mengelilinginya sahaja. Dua gunung yang sempat saya lawati ialah Gunung Olympus setinggi 8,000 meter yang terletak di Semenanjung Washington Olympic. Ia juga terletak kira-kira 70 kilometer dari Lautan Pasifik.

Kedua ialah Gunung Hood di Oregon yang mempunyai ketinggian hingga 11,000 kilometer dan jaraknya dari Gunung Olympus sekitar 320 kilometer. Untuk ke sini juga menarik, ada jalan tanah dan ada juga jalan biasa. Ini merupakan masa sesuai untuk saya menguji Yamaha Super Tenere. Dari Shelton, saya bersama dua lagi rakan memulakan perjalanan dari arah timur dan mengguna jalan dalam kawasan hutan yang membawa kami ke arah barat Hutan Simpanan Negara Olympic.

Jalannya yang dibuat dengan batu kelikir dan tanah diratakan dengan cantik dan kemas. Walaupun begitu ia tetap memberikan gegaran kepada kami semua dan gear kedua adalah yang terbaik. Bila jalan semakin lancar barulah dapat menambah kedudukan gear. Kalau naik motor lama pastinya tangan kami semua kebas tetapi ini sebuah mesin pengembaraan 1200cc yang membolehkan kita memperlahankan kelajuan dengan cukup efisien apabila tiba pada waktunya.

Ketika berada di dalam hutan simpan ini, kami terpaksa merentasi pelbagai jenis tempat yang cukup unik. Ada ketikanya keadaan menjadi gelap apabila menunggang di bawah pokok-pokok besar manakala terdapat juga tempat yang hanya dipenuhi dengan pokok-pokok kecil seperti semak samun. Hutan simpan ini berkeluasan kira-kira 300,000 batu persegi yang menyimpan pelbagai khazanah hasil hutan dan juga jalan-jalan yang cukup sesuai buat kami, si pengembara motosikal.

Lebih kurang 80 kilometer dari situ, kami tiba di jalan US101 yang merupakan lebuhraya yang lebih besar dan jalan ini seumpama sebuah gelung mengelilingi seluruh semenanjung ini. Agak pelik apabila mendapat tahu ia adalah jalan utama kerana jaraknya terlalu jauh (320 kilometer) semata-mata untuk ke Olympia.

Kami akhirnya tiba juga di Taman Negara Olympic yang telah direka oleh President Amerika pada tahun 1938. Di Kalaloch, terdapat rumah besar (lodge) lama yang dibina pada tahun 1920an menggunakan kayu daripada pokok-pokok hanyut yang terdampar di tepian pantai. Rumah lama ini mempunyai 20 buah bilik. Jika bermalam di sini, pastikan anda menempah View Room yang menawarkan pemandangan indah Lautan Pasifik yang mendamaikan. Di sini juga terdapat 40 kabin kecil dan 170 tapak khemah tetapi saya tidak rasa kita boleh bermalam di sini dengan mudah kerana ia adalah lokasi pelancongan paling popular. Kami meneruskan perjalanan ke sebuah bandar kecil bernama Forks.

Keesokan paginya, kami menuju ke utara ke Neah Bay dan Cape Flattery yang menyajikan jalan-jalan yang berselekoh. Kami juga sempat merentasi Juan de Fuca Straight dan nama bandar ini diberikan kepada seorang pengembara yang pernah ke sini pada kurun ke-16 yang lalu. Tapi kesahihan kisah ini tidak dapatlah saya janjikan. Dari sini kami dapat melihat gunung-gunung di Pulau Vancouver, Kanada. Ternampak juga kapal-kapal besar yang sedang menuju ke Puget Sound untuk pelbagai urusan. Kapal-kapal ini merupakan kenderaan pengangkutan terawal di dunia yang telah berkhidmat sebelum kedatangan kereta mahupun motosikal.

Neah Bay merupakan pusat masyarakat kaum Makah Indian (satu daripada lapan suku kaum Indian) yang telah lama menetap di semenanjung ini. Populasi di sini ialah sekitar 1,000 orang dan terdapat muzium sejarah di sini. Terdapat juga banyak papan tanda tentang larangan menggunakan dadah sebagai solusi akhir. Kalau saya... cara terbaik untuk seseorang meninggalkan dadah ialah dengan menunggang motosikal kerana ia juga memberi ketagihan.

Jalan menuju ke Cape Flattery cantik dan lengang. Di sini juga kita dapat merehatkan minda dengan tenang kerana pemandangan lautan yang membiru cukup menenangkan. Saya dan rakan-rakan berhenti untuk bergambar kenangan dengan latar belakang pantai dan lautan yang cantik. Selepas itu kami mengekalkan kelajuan di jalan WA112 dengan melalui Sungai Pysht yang pernah menjadi tempat pembalakan yang popular. Kami tidak singgah dan menukar lorong di Joyse sebelum tiba di Tasik Crescent yang tenang dan cantik. Tempat ini diduduki oleh 20,000 penghuni dan terminal ferinya sibuk dengan orang setiap hari, memandangkan ini adalah cara yang paling senang untuk sampai ke Pulau Vancouver.

Ketika menikmati makan tengahari, sahabat saya mencadangkan agar kami semua mencuba jalan-jalan tanah untuk sampai di Buckhorn Wilderness tetapi saya mempunyai rancangan dan tempat lain untuk dilawati. Jadi, kami berpecah di Sequim. Saya dapati laluan yang mereka pilih cukup lasak dan menyeronokkan – tahun depan saya akan ke sana!

Dengan gembiranya saya menunggang berseorangan di jalan US101. Berhenti seketika mengambil gambar di Hood Canal dan terusan ini adalah semulajadi dan bukan buatan tangan manusia. Terusan ini sejauh 80 kilometer di antara Olympic dan semenanjung Kitsap. Pemandangan di sini juga cantik tetapi saya tidak boleh lama kerana sudah berjanji untuk singgah dan bermalam di rumah seorang rakan. Bagaimanapun, saya amat galakan jika anda ingin mengembara, buanglah jam anda agar setiap masa anda bernilai. Tidak terburu-buru untuk ke destinasi berikutnya. Saya memerah tenaga jentera ini untuk tiba tepat pada waktunya... makan malam yang lazat sudah menanti.

Dalam perjalanan saya ke Gunung Hood, terdapat beberapa gunung lain yang perlu saya lihat terlebih dahulu dan saya dapat menunggang di tengah-tengah gunung ini. Pertama... Gunung Rainier. Ia adalah taman negara dan juga merupakan gunung tertinggi dengan 14,411 kaki tinggi di Banjaran Cascade yang merangkumi utara California hingga ke selatan British Columbia. Seterusnya ialah Monumen Gunung Berapi St. Helen yang pernah meletus pada tahun 1980. Letupan tersebut menyebabkan gunung ini rendah daripada 9,677 kaki kepada 8,363 kaki – banyak tu! Melihat akan pemandangan akibat letusannya menjadikan kita lebih hormat pada alam ini.

Saya kemudiannya memasuki jalan yang lebih kecil melalui Hutan Simpanan Negara Gifford Pinchot yang membawa saya keluar ke Carson di Taman Negara Columbia River Gorge. Gunung Hood yang setinggi 11,249 kaki kelihatan kabur sedikit dari pemandangan saya yang mungkin berpunca daripada masalah jerebu. Saya membelok ke kanan, mengguna jalan WA14 dan menyeberangi sebatang sungai melalui Jambatan Cascade Locks yang juga dikenali dengan nama The Bridge of God.

Kisahnya begini. Ketika penciptaan sungai ini seribu tahun yang lalu, jambatan asli telah tercipta melalui kejadian tanah runtuh. Ini membuatkan masyarakat pribumi ketika itu amat gembira dan menggelarkannya Jambatan Tuhan.

Selepas bertahun-tahun lamanya ia kekal sebegitu tetapi apabila sungai mulai membesar, jambatan asal telah ditolak musnah. Kemudian, jambatan baru dengan kekuda keluli yang lebih kukuh telah dibina pada tahun 1926 dan sekali lagi ia diperkuatkan pada tahun 1940 dengan kepanjangan 1,800 kaki.

Seorang wanita di tempat kutipan tol meminta bayaran separuh dolar (untuk pejalan kaki, penunggang basikal dan motosikal) untuk ke Oregon. Saya menunggang dengan santai di jalan I-84/US30 sejauh 16 kilometer yang langsung tidak membosankan kerana suasana dan pemandangan di sini cukup indah sekali. Saya kemudiannya meninggalkan tempat cantik ini untuk menyambung perjalanan ke Lebuhraya Columbia River yang terkenal itu menuju ke lokasi air terjun dan Crown Point.

Lebuhraya ini sememangnya bukti kemahiran dan keunggulan mereka yang membinanya. Untuk tujuan ini, gunung terpaksa dipotong dan lebih hebat lagi, segalanya mampu dilaksanakan pada tahun 1913 hingga 1922 dengan jarak sejauh 128 kilometer. Beberapa tahun selepas itu barulah penggunaan bom dilakukan untuk membina laluan air. Berdozen-dozen pelancong bersesak-sesak di tempat parkir untuk melihat keindahan air terjun yang dekat dengan jalan.

Di Crown Point, kita pastinya terpegun melihat sungai besar yang mengalir dengan megahnya. Vista House dibina pada tahun 1916 dan dinding batu basalt yang setinggi 700 meter di atas sungai ini berusia sekitar 15 juta tahun yang lalu. Ia terus kukuh hingga ke hari ini. Saya meneruskan perjalanan ke sebuah lembah di Sungai Sandy kemudian ke bandar Sandy yang juga digelar Pintu Gerbang ke Gunung Hood. Saya sekarang berada di jalan US26 yang lebih besar dan lebih baik.

Jalan ini terus menuju ke Hutan Simpanan Negara Gunung Hood yang menyajikan jalan-jalan berliku dengan bentuk 'zigzag' – cukup sesuai untuk Tenere ini. Melihat akan betapa besarnya gunung ini memang suatu yang amat mengagumkan. Jalan-jalan di kawasan ini juga menarik... ada jalan tanah yang boleh membawa kita terus ke Sungai Hood. Ikut jalan di tepian sungai ini untuk sampai ke bandar.

Saya ada banyak 'benda' untuk dilakukan termasuklah melakukan presentation di acara The Rally In The Gorge. Saya menetap di Hotel Hood River yang dibina pada tahun 1911. Walaupun ianya telah diubahsuai sedikit tetapi kebanyakan rupabentuk asal masih terjaga dengan sempurna. Di sini juga terdapat muzium yang mempamerkan beberapa model kapal terbang, kereta dan motosikal.

Pihak kaji cuaca mengatakan pagi ini akan hujan dan saya perlu tinggalkan tempat ini secepat mungkin. Ketika tiba di Bennet Pass yang setinggi 4,674 kaki, hujan telah turun – nasib baik sudah bersedia dengan pakaian hujan. Saya perlu cepat... saya sudah kesejukan. Sudah tidak sabar lagi nak rasakan kepanasan California. Tunggu... saya datang! RR

Isu Pada

Jun 2016

Popular

  • Model Baru

    Rieju Xplora 557 dan 707, Model 'Crossover' Baru dari Sepanyol.

  • Dari Litar

    WorldSBK: Yamaha Pertingkatkan Prestasi Jentera, Jonathan Rea Dapat Ketua Krew Baru!

  • Warta Roda

    Lelaki Lemas, Motosikal Dihanyut Banjir

  • Model Baru

    Suzuki Malaysia Perkenalkan GSX-8R Baru. Harga asas RM53,800

  • Model Baru

    BENDA NAPOLEON BOB 500 - Sudah Berada di Pasaran, Harga Bermula RM27,888

Artikel berkaitan

Kembara Sampai ke Boten

Ride Sri Lanka - Berbelit Jalan Serta Lidah Nak Menyebutnya...

Kuching, Sarawak, Malaysia - Pontianak, Indonesia: 1000km Loop (Bahagian Akhir)

Kuching Sarawak Malaysia - Pontianak Indonesia: 1000km Loop (Bahagian 1)

Sabah 360 Ride 1,800KM Loop (Bahagian II)

Ride Berdua ke Siam

Sabah 360 Ride 1,800km Loop (Bahagian 1)

Ride Ihya Ramadhan TM Bikers Ke Gua Musang, Kelantan

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Penunggang Maut Motosikal Terbabas Di Kuantan

Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggang terbabas di Jalan Pintasan Kuantan berhampiran pintu belakang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Indera Mahkota.

Warta Roda

Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Boon Siew Honda (BSH) telah merasmikan pembukaan Honda Bigwing yang pertama di Melaka.

Model Baru

EICMA 2024: Aprilia Tuono 457 - Jentera Jalanan Ada Aura

Aprilia kini memperkenalkan pula model jalanan paling baru iaitu Tuono 457.

Warta Roda

Kemeriahan Konvoi PETRONAS Sprinta ke MotoGP Sepang 2024

PETRONAS Lubricant Marketing Malaysia Sdn Bhd (PLMM)bekerjasama dengan Dania Garage dala menganjurkan konvoi 'PETRONAS Sprinta ke MotoGP Sepang 2024'.