Hari Bahagia Buat M.Van Der Mark
Tiada yang lebih bermakna buat para pelumba motosikal selain menjadi orang pertama melintasi garisan penamat sebagai pemenang. Segala susah payah dan penat lelah hilang sekelip mata diganti dengan rasa bangga serta gembira. Itulah yang dinikmati oleh pelumba pasukan Pata Yamaha WorldSBK, Michael Van Der Mark selepas meraih kemenangan sulungnya dalam kejuaraan ini di litar Jerez pada awal Jun lalu.
Kemantapan jentera Yamaha YZF R1 mula disaksikan dalam Perlumbaan 1 apabila M. Van Der Mark berjaya mengekori kelompok hadapan dengan rapat sekali. Pendahulu kejuaraan, Alvaro Bautista bertindak cukup cemerlang untuk memimpin perlumbaan dengan bergaya sekali manakala dua pelumba di belakangnya Alex Lowes dan Jonathan Rea terikat antara satu sama lain. Pertarungan kedua-dua pelumba ini kemudiannya disertai oleh M. Van Der Mark.
Keghairahan pelumba Yamaha itu dalam mendapatkan podium idamannya membuatkan dia berjaya memintas seorang demi seorang untuk merebut tempat kedua. Pertarungan di antara Lowes dan Rea cukup mendebarkan dengan aksi pintas memintas hampir di setiap lap. Lap terakhir merupakan penentu segalanya dan cubaan memintas yang dilakukan oleh Rea telah mengakibatkan berlakunya perlanggaran. Lowes terbabas keluar litar dan kelihatan Rea mengangkat tangan ketika itu sebagai tanda minta maaf. Rea telah dikenakan penalti atas aksinya itu dan terpaksa menyerahkan kemenangannya kepada Marco Melandri.
Bautista yang menang dalam persaingan kali ini menerangkan bahawa dia memiliki rentak yang cukup baik. “Berbanding di sesi ujian masa, keadaan talaan jentera sangat baik dan saya amat berbangga kerana menjadi pelumba Sepanyol pertama dalam WSBK yang muncul juara di litar Jerez.
Perlumbaan 2. Ini mungkin sesuatu di luar jangkaan. Alvaro Bautista terbabas buat kali pertamanya dalam WSBK! Apa pun, ia membuka peluang buat Rea dan M.Van Der Mark cuba untuk mendapatkan keputusan yang lebih baik berbanding persaingan sebelum ini. M. Van Der Mark tidak mengizinkan Rea untuk menjarakkan diri dan mengekorinya dengan rapat sekali. M. Van Der Mark mengerahkan seluruh tenaga jentera YZF R1nya untuk memintas.
Rea ditinggalkan sedikit demi sedikit sehingga tiga saat di belakang. Rea yang tadinya sibuk mengejar kini dikejar pula oleh seorang lagi pelumba Kawasaki iaitu Razgatlioglu yang tidak kurang hebatnya. Rea terpaksa bertahan dan menutup segala ruang dengan kemas sehinggalah menerima bendera penamat di tempat kedua.
“Plan awal saya ialah untuk bertarung dengan Bautista tetapi malangnya dia terbabas dan saya berharap dia ok! Selepas itu tinggal Johnny dan apabila melihat rentaknya tidak begitu pantas, saya memintas dan meningkatkan kelajuan. Jentera hari ini lebih baik berbanding semalam dan seluruh pasukan telah berjaya melakukan sesuatu yang luar biasa pada motosikal saya. Saya selesa dan berasa amat bangga dengan kemenangan ini,” kata Michael Van Der Mark.
“Memang satu kemenangan yang penuh erti buat kami kerana berjaya mengeluarkan jentera yang lebih baik berbanding semalam. Walaupun begitu, M. Van Der Mark jauh lebih pantas sehingga hampir mustahil untuk dikejar. Kami ingin meneruskan rentak agar terus kompetitif untuk dapatkan kedudukan terbaik di sepanjang musim,” komen Jonathan Rea.
WorldSSP
Tiap-tiap pusingan pasti dua nama ini akan disebut-sebut. Mereka ialah Federico Caricasulo dan Randy Krummenacher, rakan sepasukan dan seteru utama pada masa yang sama. Krummenacher sudah menang tiga kali (Phillip Island, Aragon dan Imola) manakala Caricasulo baru menang dua kali iaitu di Buriram dan Assen.
Dalam saingan akhir ini, ketangkasan Caricasulo dicabar oleh Krummenacher sebaik sahaja perlumbaan bermula. Namun begitu, kedua-dua pelumba Yamaha ini turut dikejar oleh dua orang pelumba lain iaitu Lucas Mahias dan Thomas Gradinger yang telah mencatatkan masa antara yang terpantas di sesi kelayakan.
Krummenacher bagaikan lipas kudung memecut ke hadapan manakala Caricasulo pula terpaksa menahan segala serangan daripada Mahias. Krummenacher yang tadinya bagaikan berjaya menjarakkan diri kini 'dipaksa' untuk bekerja keras apabila beberapa pelumba di belakangnya mula merapatkan diri.
Krummenacher menerima kibaran bendera penamat di tempat pertama seterusnya mengungguli carta keseluruhan dengan 135 mata diikuti oleh rakan sepasukannya Caricasulo, pemenang tempat kedua litar Jerez dengan kutipan 118 mata. Seorang lagi penunggang Yamaha, Jules Cluzel terus konsisten untuk menambah mata dan dia kini berada di tangga ketiga dengan 94 mata.
WSSP300
Tunggangan penuh semangat yang dipamerkan oleh pelumba Sepanyol, Mark Garcia. Perlumbaan 1 telah memberikannya tempat terbaik di podium. Walaupun terpaksa menahan serangan daripada ramai pelumba, keazaman Garcia untuk menang wajar dicontohi
oleh para pelumba lain. Dalam saingan awal ini, Garcia diberi tentangan hebat oleh Scott Deroue sepanjang lap-lap terakhir yang akhirnya tamat di tempat kedua dengan perbezaan hanya 0.054 saat.
Dalam Perlumbaan 2 pula, pelumba pasukan Yamaha Semakin Di Depan Biblion Motoxracing, Galang Hendra Pratama dari Indonesia hampir-hampir meraih podium di tempat pertama tetapi sayangnya serangan tanpa henti oleh tiga orang pelumba lain di saat akhir telah menyebabkan Galang hilang kedudukan.
Manuel Gonzalez yang menunggang Kawasaki Ninja 400 berjaya memintas di saat-saat akhir untuk meraih 25 lagi mata penting buat dirinya. Garcia dan Carrasco turut berjaya membuat serangan hanya beberapa selekoh sebelum tamat untuk mendapatkan posisi kedua dan ketiga diikuti Galang di tempat keempat. Tiga penunggang Kawasaki Ninja 400 sedang mengungguli carta keseluruhan iaitu Gonzalez yang kini di tangga pertama keseluruhan dengan 88 mata diikuti Scoot Deroue 56 mata dan Marc Garcia 50 mata.
Saingan seterusnya akan berlangsung di Misano Itali pada 21-23 Jun diikuti Donington Park pada 5 hingga 7 Julai nanti. RR
Popular