Kemenangan Sulung Buat Akid
Kali terakhir Md Akid Aziz bergelar juara dalam perlumbaan Cub Prix Malaysia PETRONAS ialah di pusingan 9 di jempol, Negeri Sembilan musim lalu. Walaupun begitu, kekecewaan buat pelumba dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor itu terubat selepas berjaya menjadi juara dalam saingan CP150 pusingan dua yang berlangsung di Litar Lumba Tangkak, Johor.
Walaupun berlumba dalam keadaan cuaca hujan, ia langsung tidak menggangu tumpuan Akid untuk menguasi perlumbaan. Gaya tunggangan yang konsisten, tidak terburu-buru serta bijak mengambil selekoh dengan keadaan litar yang agak licin membolehkannya memimpin dengan cemerlang.
Pada dua lap terakhir, dia telah diasak oleh pencabar di belakangnya, Azroy Hakkem. Tidak lama kemudian, Azroy telah memotongnya, namun Akid kembali bangkit memintasnya pada lap terakhir untuk merampas semula kedudukan pendahulu. Akid menamatkan perlumbaan ditempat pertama dengan catatan masa 15'46.337s manakala Azroy sekadar berpuas hati di tempat kedua (15'46.651s) dan tempat ketiga dimenangi oleh Md Muzakkir Mohamed (15'50.266s).
Bagaimanapun kedudukan keseluruhan masih menjadi milik Azroy Hakeem dengan kutipan 36 mata diikuti Akid tempat kedua dan Helmi di tempat ketiga yang masing-masing dengan kutipan 25 mata.
CP125
Pasukan ONEXOX TKKR SAG meneruskan penguasaan mereka dalam saingan CP125 menerusi kemenangan yang dilakar oleh pelumbanya, Md Shafiq Rasol. Dia yang bermula agak perlahan telah menunjukkan taringnya pada pertengahan persaingan. Satu persatu pelumba lain dipintas untuk berada di kelompok hadapan.
Pada lap terakhir, dia berjaya memintas pendahulu Md Aliff Danial Md Asri dan memenangi perlumbaan tersebut dengan catatan masa 12'00.737s. Tempat kedua dimenangi oleh Md Syafiq Rosli (12'01.866s) dan Md Alif Danial Md Asri di tempat ketiga (12'02.369s).
WIRA
Dalam cabaran Wira pula, perlumbaan terpaksa dipendekkan kepada lapan lap disebabkan hujan lebat yang turun sebelum perlumbaan dimulakan. Namun, pasukan ONEXOX SAG tampil dalam kelas tersendiri apabila pelumbanya, Md Norhakim Norhafizullah bergelar juara dalam pusingan 2 ini.
Kemenangan tersebut telah mengubati kekecewaan Norhakim apabila gagal menamatkan perlumbaan pada aksi pembuka tirai di Litar Antarabangsa Sepang bulan lepas.
Pelumba yang berasal dari Kelantan ini berjaya mengubah kedudukannya dalam carta keseluruhan untuk berada di tempat ketiga dengan kutipan 25 mata. Kedudukan pertama kekal milik Rahimi Nabil Razu (33 mata) dan Mohd Hazim Mohd Fairues di tempat kedua (30 mata).
Perlumbaan pusingan ketiga akan kembali ke Litar Antarabangsa Sepang sebelah selatan pada 2-3hb September nanti. RR