Miguel Oliveira Buat Kejutan di GP Styria
Tahniah buat Miguel Oliveira, pelumba dari pasukan Red Bull KTM Tech 3 yang membuat kejutan dalam perlumbaan pusingan keenam yang berlangsung di Austria apabila beliau muncul sebagai pemenang pertama dari Portugal dalam saingan kelas prima buat dirinya dan pasukan Tech 3.
Pada awal perlumbaan, Joan Mir (Suzuki Ecstar) berjaya memimpin perlumbaan dengan mempamerkan tunggangan yang cukup mantap disusuli Takaaki Nakagami (LCR Honda) dan Jack Miller (Pramac Racing). Segalanya berubah buat pelumba berusia 22 tahun itu selepas perlumbaan diberhentikan dengan berbaki 12 pusingan lagi.
Kibaran bendera merah terpaksa dikeluarkan susulan kemalangan yang menimpa pelumba pasukan Yamaha Racing, Maverick Vinales. Difahamkan, jentera Vinales mengalami kerosakan di bahagian brek dan memaksa pelumba dari Sepanyol itu melompat meninggalkan jenteranya dalam kelajuan 230km/j di selekoh pertama. Namun, pelumba dari pasukan Yamaha itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Selepas perlumbaan disambung semula, Mir telah hilang kedudukan sebagai pendahulu perlumbaan apabila beliau terpaksa bergelut dengan keadaan tayarnya yang mula terjejas sepanjang 12 pusingan. Ini sekali gus memberi ruang buat Miller sebagai pendahulu baru.
Persaingan tempat pertama menjadi rebutan di antara Miller dan Espargaro (Red Bull KTM Factory Racing). Pelumba dari pasukan KTM ini kemudian memimpin perlumbaan sehingga pusingan akhir. Aksi kejar mengejar berlaku di antara mereka berdua untuk menjadi juara.
Walaubagaimanapun, sebaik sahaja tiba di selekoh akhir, persaingan dua pelumba itu telah membuka ruang buat Oliveira untuk memintas mereka dan sekali gus menamatkan perlumbaan di tempat pertama dengan catatan masa 16:56.025 saat diikuti tempat kedua Jack Miller (+0.316s) dan Pol Espargaro di tempat ketiga ( +0.540s).
Pelumba pasukan Petronas Yamaha SRT, Fabio Quartararo menamatkan cabarannya di tempat ke-13 namun masih kekal sebagai pendahulu kejuaraan dengan 70 mata diikuti Andrea Dovozioso 67 mata dan Jack Miller 56 mata. RR