MotoGP Pusingan ke 17 & 18, Sepang/Valencia : Marc Marquez Juara MotoGP 2017
Selepas membuktikan kemampuannya dengan gaya tunggangan yang cukup hebat, pelumba berusia 24 tahun iaitu Marc Marquez telah dinobatkan sebagai juara 2017. Kejayaan ini juga meletakkan dirinya tersenarai di antara pelumba yang meraih kejuaraan dunia paling banyak.
Selepas Giacomo Agostini (8 kali), Valentino Rossi (7 kali) dan Mick Doohan (5 kali), Marquez kini berdiri sama tinggi dengan para pelumba lagenda dunia seperti Eddie Lawson, Mike Hailwood, John Surtees dan Geoff Duke yang kesemuanya memegang rekod kejuaraan sebanyak 4 kali.
Selepas tamatnya persaingan sengit di litar Sepang (SIC) dengan kemenangan ketika itu berpihak di tangan Dovizioso, jurang mata di antara Marquez dan pelumba Ducati itu dipisahkan dengan 21 mata yang hakikatnya sudah cukup selesa buat Marquez untuk meraih kejuaraan. Namun begitu, Dovizioso dan seluruh pasukan Ducati sentiasa positif kerana dalam dunia perlumbaan, segalanya tidak mustahil.
Pada masa yang sama, pasukan Yamaha juga dikejutkan dengan kejayaan pelumba pasukan satelit (Yamaha Tech3), Johann Zarco yang berjaya menewaskan dua pelumba pasukan utama iaitu Valentino Rossi dan Maverick Vinales di SIC walaupun menggunakan jentera YZR-M1 2016 berbanding pasukan utama Yamaha Racing yang menggunakan jentera terkini.
Seperti yang dikatakan oleh Rossi, dia dan jurutera Yamaha sedang berusaha untuk menjadikan jentera mereka lebih kompetitif dalam semua keadaan tidak kira dalam perlumbaan kering atau basah. Ketika sesi ujian masa di Valencia, pasukan Repsol Honda berkeyakinan tinggi untuk muncul juara memandangkan Marquez dan Pedrosa sentiasa mendapatkan masa terbaik di setiap lap manakala Dovizioso cuba mengejar agak sedikit ketinggalan.
Marquez berjaya merebut petak hadapan selepas mencatatkan masa terpantas, manakala Dovizioso berkedudukan kesembilan. Lebih menguntungkan apabila rakan sepasukannya, Dani Pedrosa berada di belakang sebagai ‘Wingman’ agar posisi Marquez di hadapan tidak tergugat.
Perlumbaan kali ini juga menunjukkan peningkatan begitu baik oleh pelumba Suzuki, Alex Rins yang berjaya bersama-sama kelompok kedua yang diketuai oleh Lorenzo, Dovizioso, Rossi dan Iannone.
Walaupun berada di dalam zon yang sangat selesa, Marquez ingin terus membuktikan kehebatannya dan membuat serangan tanpa henti. Cubaan Marquez hampir-hampir memakan diri apabila dia terlepas titik membrek menyebabkan dia tersasar dari litar. Kawalan sempurna yang dia tunjukkan bagaikan persembahan ‘magik’ apabila jenteranya yang sudah hampir jatuh kembali tegak untuk menyambung semula pertarungan.
Dovizioso yang berada di hadapan Marquez masih belum lega kerana jurang mata masih jauh. Ketika perlumbaan berbaki lima lap sahaja lagi, khemah Ducati tersentak apabila Lorenzo terbabas diikuti Dovizioso tidak lama selepas itu dan ini bermakna harapan selama 10 tahun untuk menjadi juara terpaksalah dilupakan. Info: Kali terakhir pasukan Ducati merangkul kejuaraan dunia ialah pada tahun 2007 menerusi Casey Stoner.
Johann Zarco yang mencari kemenangan sulungnya dalam kelas MotoGP sekali lagi dikecewakan dan kali ini oleh Dani Pedrosa yang berjaya memintas dalam lap terakhir.
“Sememangnya Zarco adalah pesaing yang cukup hebat. Amat sukar untuk menewaskannya tetapi saya cukup yakin dengan keupayaan jentera ini untuk membuat serangan. Kemenangan di litar ini, di hujung musim memang dinanti-nantikan dan seronok kerana dapat dilakukan dengan penuh bergaya,” kata Dani.
Pemenang tempat ketiga Litar Valencia, Marc Marquez pastinya tidak akan lupa dengan saat ini apabila berjaya memiliki takhta juara keseluruhan MotoGP untuk tahun ini. Prestasi mantap hampir di setiap pusingan dalam semua keadaan cuaca membolehkan pelumba dari Sepanyol ini memungut sebanyak 298 mata meninggalkan Andrea Dovizioso di tangga kedua dengan 261 mata.
Walaupun gagal meraih kejuaraan dan berjaya menduduki tempat kedua keseluruhan, Andrea Dovizioso harus berbangga dengan kemajuan prestasinya tahun ini yang benar-benar hebat. Pelumba Itali ini satu-satunya pencabar terdekat pasukan Honda yang sentiasa membayangi para pencabarnya menerusi kemantapan Desmosedici GP17. Dengan memiliki Jorge Lorenzo sebagai rakan sepasukan, Dovizioso akan mengendalikan mesinnya lebih pantas dan lebih kompetitif pada musim akan datang.
Masing-masing menamatkan persaingan musim ini di tangga ketiga dan kelima, jagoan Yamaha iaitu Maverick Vinales dan Valentino Rossi tetap bersemangat untuk terus memberi cabaran dan kini sedang memberi sepenuh tumpuan untuk pembangunan mesin 2018.
Siapa sangka pelumba muda Suzuki, Alex Rins menamatkan saingan musim ini di hadapan The Doctor dan sudah semestinya ia adalah satu pengalaman hebat berentap di hadapan bersama-sama lagenda permotoran dunia. Para pelumba dan seluruh pasukan Suzuki tahun ini menamatkan cabaran mereka di tangga ke-13 (70 mata) menerusi Andrea Iannone manakala Alex Rins di kedudukan ke-16 dengan 59 mata.
MOTO2
Pelumba harapan negara, Hafizh Syahrin Abdullah terus memberikan tunggangan yang mengagumkan untuk melintasi garisan penamat di tempat keenam. Kemampuan anak muda ini bertarung bersama-sama para pelumba dunia lain wajar diberi penghormatan dan pujian. Hafizh Syahrin berada di tangga ke-10 Moto2 dengan 106 mata, jatuh satu anak tangga berbanding tahun 2016 yang ketika itu di tangga kesembilan dengan 118 mata.
MOTO3
Adam Norrodin pula menamatkan saingannya musim ini di tangga ke-17 dan walaupun gagal menepati sasaran untuk tamat di antara 15 pelumba terbaik, tunggangan yang agak konsisten pelumba ini mendapat pujian ramai. Adam hampir-hampir meraih podium dalam kemunculannya di Malaysia kerana berada di dalam kelompok paling hadapan tetapi kesilapan kecil menyebabkan hasratnya itu terkubur dan hanya berpuas hati di tempat ke-11.
Pelumba wildcard Moto3 negara, Kasma Daniel turut memulakan perlumbaan akhir di SIC dengan cukup bersemangat. Walaupun tidak dapat beraksi hingga ke pusingan akhir, semangat dan keberanian Kasma untuk bersaing dengan para pelumba lain sudah cukup membanggakan.
Suasana Meriah di Shell Malaysia Motorcycle Grand Prix!
Perlumbaan Shell Malaysia Motorcycle Grand Prix yang berlangsung di litar SIC pada 27 hingga 29 Oktober lalu sekali lagi memberikan keterujaan buat para pencinta motosikal dari seluruh dunia untuk menyaksikan MotoGP yang saban tahun dinanti-nantikan. Sepanjang tiga hari penganjuran, SIC telah dikunjungi seramai 166,486 orang yang datang hampir dari serata dunia.
Seperti biasa, tapak promosi dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti dan acara menarik yang dianjurkan oleh pengeluar motosikal, pelincir, aksesori dan pakaian.
MODENAS merupakan jenama paling awal menanti para pengunjung dengan mempamerkan model-model terkini seperti Pulsar 200 NS, Pulsar 200 RS, V15, Karisma 125, jentera perlumbaan dan pelbagai model lain. Turut memeriahkan lagi ruang promosi ialah sebuah jentera (model RS) yang dimiringkan untuk para pengunjung mencuba dan bergambar kenangan.
Tapak promosi Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd menarik ramai pengunjung dengan jentera lumba replika MotoGP milik Valentino Rossi dan Maverick Vinales diletakkan di ruangan seumpama library. Ruang pameran model SCR950 dan XSR750 direka bagaikan kita berada di dalam studio rakaman manakala ruang-ruang lain dihiasi dengan pelbagai lagi model menarik seperti YZF-R1, YZR-R6, MT-03, Tracer 900 dan banyak lagi. Litar Sepang juga digegarkan dengan konvoi terbesar yang dianjurkan oleh Yamaha dengan seramai 1,150 orang penunggang dari pelbagai kelab permotoran di seluruh Semenanjung Malaysia.
Honda RC213V-S merupakan sebuah jentera MotoGP yang sah untuk kegunaan jalan raya biasa dan berharga hampir RM1juta. Model ini merupakan tarikan utama yang terdapat di ruang pameran Honda. Selain itu, turut menghiasi ruang-ruang ialah jentera perlumbaan Honda yang digunakan dalam perlumbaan MotoGP, Moto3, Asia Cup, ARRC, beberapa jentera Adventure dan model-model yang diubahsuai.
Benelli Malaysia turut hadir mengujakan para pengunjung dengan model-model popular seperti TRE 1130K, TRK502, TNT 25, TNT600, Leoncino, 302R, RFS150i, model prototaip perlumbaan RFS 150i dan TNT 125. Model-model terbaru Keeway seperti Patagonian 250, K-Light 202 dan Cafe Racer 153 turut dipamerkan.
Sesuai dengan prestasi Marc Marquez dan Dani Pedrosa, ruang promosi REPSOL cukup bersemangat dengan rekacorak berwarna merah, jingga, biru dan putih. Para pengunjung dapat bergambar dengan poster kedua-dua pelumba pasukan Repsol Honda, membeli pelbagai produk Repsol, baju-t, topi dan banyak lagi.
Model-model hebat seperti Ducati Panigale, Diavel, Multistrada, Monster dan lain-lain turut dipamerkan. Untuk ahli kelab Ducati Malaysia, satu sesi khas bersama para pelumba Ducati Racing telah diadakan. Inilah saat paling menggembirakan apabila dapat melihat, berbual dan bergambar kenangan bersama Dovizioso dan Lorenzo.
Ruang pameran Motul padat dengan para tetamu yang hadir untuk pelbagai tujuan. Ada yang ingin membeli produk yang ditawarkan, ada yang sekadar ingin bergambar dan ada juga yang ingin mencuba permainan menarik yang dianjurkan seperti permainan video, Dart dan menguji kekuatan diri menerusi permainan High Striker.
Penampilan dua pelumba Suzuki iaitu Andrea Iannone dan Alex Rins di ruang promosi Suzuki sememangnya dinanti-nantikan oleh para peminat MotoGP. Ada yang sanggup berbaris hampir sejam semata-mata untuk mendapatkan tandatangan dan selfie bersama pelumba kegemaran mereka. Tidak cukup dengan itu, Suzuki turut mempamerkan model-model terbaru mereka seperti GSX-S1000, GSX-R1000. V-Strom 650 XT dan Burgman 400 ABS.
Bagi para media tempatan, pihak Suzuki Malaysia turut memberi peluang buat kami memasuki ruang paddock untuk melihat dengan lebih dekat suasana di ruangan tersebut ketika sesi ujian masa. Ternyata kecekapan para petugas dalam penyediaan jentera MotoGP buat para pelumba sangat mengagumkan.
Para peminat topi keledar yang inginkan produk terbaru yang direka demi menepati cita rasa para penunggang akan berkunjung ke ruang promosi LS2 Helmet. Terdapat bermacam-macam rekacorak dan model terbaru. Kualiti pembuatan yang tinggi terbukti apabila topi keledar ini turut digunakan oleh para pelumba tersohor dunia seperti Hector Barbera, Yonny Hernandez dan Loris Baz.
DURO Tire juga berjaya menggamit ribuan pengunjung ke tapak pameran mereka dengan mempertontonkan pelbagai jenis tayar baru, tawaran menarik baju-t dan pastinya permainan yang menawarkan hadiah istimewa. RR
Oleh: Khairil Azuan
Foto: Redz, Noriah & Saiful
Konvoi Kawasaki Ke MotoGP
Tapak promosi Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd (KMSB) cukup megah dengan barisan jentera berkuasa tinggi dan sudah pasti model H2, H2R dan Ninja ZX-10R WSBK Replica yang telah menjuarai perlumbaan World Superbike Championship pada tahun ini merupakan bintang utama di pameran tersebut. Bagi mereka yang cintakan jentera Kawasaki, inilah masa terbaik untuk membuat pilihan kerana pihak KMSB telah menyusun barisan jentera yang berkuasa dari 250cc hingga 1400cc dipamerkan dengan kemas dan anggun.
Sebanyak 320 buah jentera Kawasaki pelbagai model telah menyertai konvoi MotoGP pada hari perlumbaan tersebut. Lebih mengujakan apabila perlepasan konvoi telah disempurnakan oleh Pengurus Besar & Pengarah KMSB, Dato’ Jeffrey Lim di Padang Merbok. RR
Konvoi MotoGP GIVI Meriah
GIVI telah menganjurkan konvoi istimewa MotoGP yang dikhususkan untuk para pemilik kotak barang terbaru (B32). Setiap peserta konvoi telah diberikan sehelai baju-T berlengan panjang, beg pinggang, topi, beg helmet, baucer sebotol minyak 4-T, minuman bertenaga, parking khas di SIC dan tiket Grandstand K1.
Di tapak promosi pula, cenderahati berupa tabung berbentuk kotak barang menerima sambutan yang cukup mengagumkan. Untuk memiliki tabung tersebut, para pengunjung diminta untuk menekan 'Like' di laman FB GIVI Malaysia terlebih dahulu dan menunjukkan bukti pada petugas untuk menerima cenderahati tersebut. Anita Yusof, selaku duta rasmi GIVI turut hadir bagi memeriahkan lagi penyertaan.
Konvoi ini juga secara tidak langsung memberi sokongan kepada pelumba MotoGP, Cal Crutchlow (35) yang beraksai hebat di litar Sepang. RR
Konvoi Yamaha Ke MotoGP
Setiap tahun perlumbaan MotoGP di Malaysia amat ditunggu-tunggu oleh peminatnya. Bersempena dengan MotoGP di Sepang pada tahun ini, Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd (HLYM) telah menganjurkan konvoi ke Litar Antarabangsa Sepang pada 29 Oktober lalu. Acara pada hari tersebut telah disempurnakan oleh Dato’ Jim Khor, Pengarah Urusan HLYM bersama Pengurus Besar Jualan, En. Koh Eng Chan.
Konvoi bermula di TSI Sport Arena yang terletak di Cyberjaya dan seawal 6.30 pagi lagi para peserta mula berkumpul di sana. Konvoi ini merupakan perarakan terbesar jentera Yamaha di Malaysia yang dihadiri seramai 1,150 penunggang dari pelbagai kelab permotoran di seluruh Semenanjung Malaysia. Pada jam 8.30 pagi, para peserta dilepaskan dan memulakan perjalanan ke Sepang dengan lancar dan cukup berdisiplin.
Perhimpunan ini merupakan salah satu sejarah terbesar HLYM yang dihadiri dengan pelbagai jenis model motosikal Yamaha daripada model automatik, moped dan yang berkuasa tinggi. Para peserta yang datang dari seluruh semenanjung begitu teruja. Aktiviti seperti ini terus memberi peluang yang menarik untuk mengalami keseronokan menunggang motosikal dengan selamat dan menonton perlumbaan MotoGP bersama-sama kenalan baru dan lama.
Konvoi juga diiringi oleh pihak Polis Trafik dan kumpulan marshal dari HLYM untuk memastikan keselamatan para penunggang. Semua peserta telah disediakan tiket Main GrandStand, baucer makanan dan baju T Yamaha Racing yang disediakan khas. RR
Popular