Kejuaraan SIC MiniGP Pusingan 1: Qabil Irfan dan Muhd Hakim Danish Juara Tirai Pembukaan
Kejohanan SIC MiniGP merupakan satu inisiatif program akar umbi yang membolehkan 21 orang pelumba muda dari usia 8 – 13 tahun untuk menimba pengalaman sebagai pelumba profesional.
Berbekalkan pengalaman dan pengetahuan luas pihak SIC dan ZK Racing khususnya dalam dunia perlumbaan motosikal, kejuaraan ini bukan sahaja bertujuan untuk mencari bakat dan pelapis baru tetapi juga memupuk minat dan semangat dalam sukan permotoran.
Tahniah diucapkan buat Qabil Irfan Azlan dan Muhammad Hakin Danish Rambli yang dinobatkan sebagai juara dalam perlumbaan pembuka tirai Kejuaraan SIC MiniGP yang diadakan di Litar Kart Antarabangsa Sepang (SIKC) pada 16 Ogos yang lalu. Walaupun diadakan tanpa penonton, persaingan sulung ini tetap meriah dengan kehadiran Pengerusi Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Tan Sri Azman Yahya dan juga beberapa Ahli Lembaga Pengarah SIC.
Pada Perlumbaan 1, para pelumba telah bersaing dengan penuh semangat dalam keadaan litar yang basah. Nasib tidak menyebelahi buat sesetengah pelumba kerana keadaan litar yang licin menyebabkan ada di antara mereka yang terbabas. Apa pun, persaingan telah membuktikan kecekalan dan semangat juang tinggi yang dipamerkan oleh para pelumba.
Keadaan cuaca yang lebih baik pada Perlumbaan 2 mendorong para pelumba untuk mula menunjukkan taring masing-masing. Pemilihan tayar jenis slick di atas permukaan litar yang kering membuat para pelumba muda ini cukup lincah.
Qabil, pelumba dari Terengganu yang berusia 8 tahun (pelumba termuda) telah mengungguli Perlumbaan 1 dan Perlumbaan 2 bagi kategori 110cc dengan catatan masa 15:39.347 dan 15:20.696. Bagi kategori 160cc pula, kemenangan berpihak kepada Hakim Danish yang mencatatkan masa 14:44.544 pada Perlumbaan 1 dan 14:16.463 pada Perlumbaan 2.
Hasil dari bimbingan daripada bekas pelumba negara, Zulfahmi Khairuddin dan para mekanik yang terlatih dari pasukan ZK Racing membuahkan hasil dimana para pelumba cilik berjaya mempelajari prosedur dan cara perlumbaan yang profesional.
Pusingan 2 akan berlangsung pada 6 September dan diikuti dengan pusingan seterusnya yang dijadualkan pada 25 Oktober, 15 November dan pusingan akhir pada 6 Disember 2020. RR