Isu Terkini

Oktober 2024

Dari Litar / 10 November 2017

Petronas CubPrix 2017 Pusingan 8 - Jempol, Negeri Sembilan : Ramdan Akhiri Kemarau!

Tahniah buat Md Ramdan Rosli yang berjaya meraih kemenangan pertamanya pada perlumbaan akhir CP150 yang berlangsung di Jempol, Negeri Sembilan pada 15 Oktober lalu. Selepas memberikan tunggangan yang cukup mantap pada tiga pusingan sebelum ini termasuk dua gelaran naib johan di Selangor dan di Melaka, pelumba muda negara itu terpaksa bergelut dengan masalah gear di sepanjang sesi latihan. Walaupun begitu, kesungguhannya telah memberikannya masa yang agak baik untuk bermula di petak kelapan.

Ramdan Rosli (23) berjaya meraih kemenangan di tempat pertama dalam saingan akhir CP150 di Jempol, Negeri Sembilan.
Adib dari pasukan Motul Zeneos Yamaha YY Pang terlebih dahulu memimpin perlumbaan tetapi diekori rapat oleh Iqbal, Kasma, Ramdan dan Izzat. Ketika cuba merapatkan diri, Kasma melakukan kesilapan lalu terbabas manakala Fitri yang berada betul-betul di belakangnya turut menanggung nasib yang sama. Ini memberi peluang buat Adib dan Ramdan memecut ke hadapan dengan lebih tenang.

Adib Rosley (18) diikuti rapat oleh Kasma Daniel (27) dan Iqbal Amri (11).

Ramdan yang kali ini lebih yakin dan lebih agresif, ternyata terlalu sukar untuk dicabar. Pelumba berusia 21 tahun itu menamatkan perlumbaan akhir sebagai juara dengan catatan masa keseluruhan 15’24.031s mengatasi pemenang tempat kedua, Md Adib Rosley dengan kelebihan 0.388s. Bagi Md Iqbal Amri pula, menamatkan cabaran di tempat ketiga adalah satu keputusan yang sangat membangggakan.

Sasitharen sentiasa berusaha memburu kelompok hadapan.
Sasitharen sentiasa berusaha memburu kelompok hadapan.

“Setiap sesi latihan saya menggunakan pelarasan yang berbeza-beza dan ketika beraksi di sesi Superpole, saya masih gagal untuk menyesuaikan diri dan mengalami masalah gear,” jelas Ramdan.

Afiq Asyraf (57) menamatkan cabarannya di tempat ke-10 dalam perlumbaan di Jempol.

Walaupun gagal menamatkan saingan di Jempol, Kasma Daniel masih unggul di tangga teratas dengan 125 mata diikuti oleh Ahmad Afif Amran (100 mata), Ahmad Fazli Sham (75 mata) dan Md Ramdan Rosli (70 mata).

Para pemenang CP115 dari kiri: Tengku Amirul, Akid Aziz & Ahmad Syukran.
Para pemenang CP115 dari kiri: Tengku Amirul, Akid Aziz & Ahmad Syukran.

CP115

Md Akid kini hanya memerlukan dua mata sahaja lagi untuk merebut Juara Keseluruhan musim 2017. Akid yang menang buat kali kelima ternyata terlalu handal untuk dicabar oleh para pelumba lain. Ribuan para penonton di Jempol cukup terhibur dengan pertarungan yang cukup hebat di antara Akid dan pelumba Motul Zeneos Yamaha YY Pang, Tengku Amirul. Keupayaan kedua-dua pelumba ini tidak jauh bezanya.

Haziq Fairues terus cemerlang dalam saingan CP115 walaupun mendapat tempat ke-5.
Haziq Fairues terus cemerlang dalam saingan CP115 walaupun mendapat tempat ke-5.

Untuk menidakkan setiap serangan dari Tengku, Akid terpaksa berhempas pulas menutup setiap ruang dan dengan pengalamannya mengikuti kursus dan latihan di luar negara, Akid berjaya. Kepantasan kedua-dua pelumba akhirnya membuka jarak kira-kira empat saat di hadapan para pelumba lain.

Para pelumba CP115 memulakan perlumbaan dengan cukup hebat sekali.
Para pelumba CP115 memulakan perlumbaan dengan cukup hebat sekali.

Akid akhirnya berjaya mengekalkan momentum untuk menang pusingan ke-15 manakala Tengku dan Ahmad Syukran terus mengumpul mata apabila masing-masing di tempat kedua dan ketiga. Akid kini memungut sebanyak 155 mata sementara rakan sepasukannya, Md Haziq ketinggalan agak jauh dengan 107 mata.

Aiman Azman(kiri), Mohd Aiman(tengah) & Syafieq Aiman(kanan)-Pemenang WIRA dalam pusingan 8.

WIRA

Selepas tiga pusingan gagal mendapatkannya, Mohd Aiman menemui rentak terbaiknya di perlumbaan pusingan kelapan apabila muncul juara dengan catatan masa 9’37.095s diikuti Aiman Azman yang meraih podium pertamanya musim ini. Tempat ketiga diisi oleh Syafieq yang bagaikan berseorangan melintasi garisan penamat di tempat ketiga.

Mohd Aiman semakin selesa di kedudukan teratas dengan kutipan 132 mata.
Mohd Aiman semakin selesa di kedudukan teratas dengan kutipan 132 mata.

Kemenangan ini juga meletakkan Mohd Aiman semakin selesa di tangga teratas dengan 132 mata manakala Syafieq Aiman perlu bekerja lebih keras untuk terus memberi cabaran. Perlumbaan masih berbaki dua pusingan sahaja lagi dan berharap kesemua pelumba tidak mudah putus asa demi kecemerlangan di masa akan datang.

Dari kiri : Akif Hakimi, Usammah & Hazim meraikan kejayaannya di atas podium dalam Cabaran Yamaha Petronas Super Series .
Dari kiri : Akif Hakimi, Usammah & Hazim meraikan kejayaannya di atas podium dalam Cabaran Yamaha Petronas Super Series .

Cabaran Yamaha Petronas Super Series

Jika sebelum ini Md Aiman dirasakan terlalu kebal dengan empat kemenangan berturut-turut, kini kedudukannya di tangga teratas keseluruhan semakin tergugat apabila dia sudah tiga pusingan gagal memungut sebarang mata. Tuah kini bagaikan beralih arah kepada Md Usammad yang berjaya memacu jenteranya dengan begitu baik sekali.

Zafrul Nizam (15) terus diekori rapat oleh Zaifi Zaini (20).

Md Usammah sekali lagi berjaya menaiki podium teratas apabila menewaskan Md Hazim dalam perlumbaan akhir seterusnya membawa pulang 25 mata yang sangat penting. Kejayaan demi kejayaan yang diperolehnya membolehkan Usammah kini hanya ketinggalan lima mata sahaja di belakang Md Aiman. Dalam perlumbaan akhir di Jempol, tempat ketiga dimenangi oleh Akif Hakimi dengan catatan masa 8’46.373s.

Para pemenang dalam Cabaran Honda Wave Alpha bersama piala masing-masing.
Para pemenang dalam Cabaran Honda Wave Alpha bersama piala masing-masing.

Cabaran Honda Wave Alpha

Litar Jempol pastinya meninggalkan 1001 kenangan manis buat pelumba dari Putrajaya, Hazim Rosmaza yang meraih kemenangan sulungnya musim ini. Satu-satunya pencabar yang dapat mengekori kelincahan Hazim ialah adiknya sendiri, Haziq Rosmaza yang hanya ketinggalan 1.9 saat di belakang. Pasangan adik beradik ini ternyata sukar untuk dikejar sehinggakan pemenang tempat ketiga, Amier Rossi menerima kibaran bendera penamat empat saat di belakang.

Hazim Rosmaza (14) meraih kemenangan sulungnya untuk musin ini.

Walaupun sekadar di tempat ketujuh, ia masih memadai buat Zaki Zamri untuk terus menjarakkan diri di tangga keseluruhan dengan 123 mata diikuti Daniel El Fahim (94 mata) manakala Juara Litar Jempol, Hazim di tangga ketiga dengan 88 mata.

Wajah ceria para pemenang dalam Cabaran Yamaha NVX.
Wajah ceria para pemenang dalam Cabaran Yamaha NVX.

Cabaran Yamaha NVX

Perlumbaan kelas ini berjaya membuktikan bahawa skuter terbaru Yamaha bukan sahaja cantik tetapi juga mampu untuk memecut dengan pantas serta meratah seelekoh-selekoh dengan cemerlang sekali. Seperti kategori satu pengeluar yang lain, kejayaan seseorang pelumba bergantung kepada kemampuan mereka untuk cepat menyesuaikan diri dengan keadaan suatu litar. Siapa cepat hafal dan cepat kenal litar itu… dia punyai kelebihan.

Muazim Shah (17) muncul juara dalam saingan Yamaha NVX.

Dalam saingan akhir kali ini, keghairahan dua pelumba dari Selangor iaitu Md Muazim dan Md Shafiq untuk mencari kemenangan telah berjaya menghiburkan pada penonton yang hadir. Kedua-dua pelumba ini saling pintas memintas dan membuat serangan yang cukup cantik.

Tapak promosi Yamaha.
Tapak promosi Yamaha.

Apa pun, kemenangan akhirnya berpihak kepada Muazim yang terlebih dahulu melintasi garisan penamat hanya 0.001 saat di hadapan Shafiq manakala tempat ketiga dimenangi oleh Alif Nadzmi kira-kira tiga saat di belakang. Perlumbaan masih lagi berbaki dua pusingan iaitu di Batu Kawan, Pulau Pinang pada 5 November dan di Pengerang, Johor pada 19 November 2017. RR

Isu Pada

November 2017

Popular

  • Warta Roda

    Lagi kes bengkel terbakar. Kali ini 7 buah motosikal hangus dijilat api!

  • Dari Litar

    Marquez Jatuh...Pecco Raih Juara

  • Warta Roda

    Lelaki tumbuk pemandu wanita selepas anak dilanggar.

  • Model Baru

    Vespa GTS 300 Classic - Harga RM31,900

  • Warta Roda

    Nahas Treler & Kereta: 5 Mangsa Disahkan Maut

Artikel berkaitan

Marquez Jatuh...Pecco Raih Juara

"I'll Be Back!" - Francesco Bagnaia yakin masanya akan tiba!

GP Argentina 2025: Marc Marquez Cipta Kenangan

MotoGP 2025 (Argentina): Marc vs Pecco, Round 2!!

Pirelli Jadi Pembekal Utama Tayar MotoGP Menjelang 2027

Qabil Irfan Kini Atlet Alpinestars

Litar Buriram Menguji Adam & Sharf Untuk Terus Bangkit

Marc Marquez Dominasi GP Thailand, Pamer Tunggangan Cukup Padu!

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Zynergys & Helios Bekerjasama Dengan Beberapa Pasukan Yang Bertanding di MCP, ARRC dan MSF

Zynergys dan Helios telah menjalinkan kerjasama dengan beberapa pasukan yang bersaing di MCP, ARRC dan MSF Superbike.

Dari Litar

"I'll Be Back!" - Francesco Bagnaia yakin masanya akan tiba!

Perlumbaan MotoGP pusingan 2 di Argentina baru-baru ini ternyata memberikan kenangan manis buat pasangan adik beradik Marc dan Alex Marquez yang memenangi perlumbaan masing-masing di tempat pertama dan kedua. Platform media sosial 'meletup' dengan pelbagai video aksi kedua-dua pelumba tersebut.

Model Baru

X-Wedge Sedia 'Gegarkan' Pasaran Cruiser Negara. Cadang Buka 4 Cawangan Pengedar

X-Wedge merupakan jenama premium di China yang menawarkan motosikal berkonsepkan Cruiser. Ya...Berbanding dengan kebanyakan jenama lain yang memberi fokus pada jentera-jentera skuter maksi, kembara dan sportbike, X-Wedge menceburi pasaran yang berbeza sama sekali.

Pandu Uji

Honda XL750 Transalp: Antara Jentera Kembara 'Middle Weight' Yang Terbaik?

Ketika Boon Siew Honda (BSH) melancarkan 4 model hebat tahun lalu, saya memang terpikat dengan model Transalp ini. Ini kerana beberapa tahun dulu, saya pernah menunggang Transalp model lama. Apabila saya kongsikan beberapa gambar di media sosial, ramai yang 'menyakat' tanya motor itu abad ke berapa? Betul kata mereka, dari segi design, ia tidaklah begitu hebat tetapi dari segi hantaran kuasa dan keselesaannya memang sangat saya suka.