John McPhee & Khairul Idham Pawi Bersedia!
Selepas dua pusingan di litar Jerez, para pelumba kini akan meneruskan cabaran di Litar Brno, Republik Czech pada hujung minggu ini. Barisan pelumba pasukan Petronas Sprinta Racing iaitu John McPhee dan Khairul Idham Pawi terus bersemangat untuk menggalas tanggungjawab dan harapan.
McPhee yang meraih tempat kedua dalam pusingan sebelum ini cukup positif untuk mengulangi kejayaan tersebut sekali lagi. Pelumba dari Scotland itu menggemari litar Brno dan telah dibuktikan menerusi pencapaian hebatnya (menjadi juara Moto3 pada tahun 2016) dan sering berjaya mendapatkan posisi paling hadapan di sesi kelayakan. Selepas tiga pusingan berlalu, McPhee kini berada di tangga ketiga keseluruhan dengan kutipan 40 mata.
Bagi rakan sepasukannya, Khairul Idham Pawi atau KIP menyatakan dia akan berusaha untuk meningkatkan kemajuan dan prestasi terutama sekali untuk mencari keserasian dengan jenteranya. KIP kini masih belum lagi meraih sebarang mata dan kita doakan dia dapat mengembalikan semangatnya dengan pantas.
“Kami akan terus konsisten kerana telah hampir berjaya meraih kemenangan berharga dalam persaingan sebelum ini. Litar Jerez sebelum ini tidak banyak memberikan saya keputusan yang baik tetapi segalanya berubah minggu lalu, saya hampir-hampir menang. Ini sudah tentu menambah keyakinan dan membakar semangat saya untuk memburu kejayaan. Saya kini giat berlatih bersama rakan sepasukan iaitu Xavi dan KIP dengan aktiviti berbasikal dan mendaki gunung di Andorra. Saya ada kenangan manis di Brno dan tidak sabar-sabar lagi untuk ke sana semula,” kata John McPhee.
“Litar Brno memang sukar kerana ada banyak selekoh tajam dan bergelombang. Memang sangat teknikal! Saya ada memori indah di litar ini pada tahun 2016 dan benar-benar sukakannya. Saya hanya mahu pastikan kami berjaya membuat peningkatan pada minggu ini agar mampu memberi cabaran kepada para pelumba lain,” komen Khairul Idham Pawi. RR