Petronas Cub Prix (Pus.8 Batu Kawan): Saingan Afif & Kasma Terus Sengit
Pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, Kasma Daniel Kasmayuddin perlu muncul juara seandainya mahu menyekat Ahmad Afif Amran dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha CKJ daripada bergelar juara keseluruhan CP150 pada perlumbaan pusingan kelapan yang berlangsung di Stadium Negeri Batu Kawan. Itulah yang telah dia lakukan pada 28hb Oktober lepas.
Bermula di petak ketiga pada permulaan adalah satu kekurangan buat Kasma kerana dia sedar Afif akan maju ke hadapan dengan pantas sebaik sahaja perlumbaan dimulakan. Perebutan di selekoh pertama memihak kepada pelumba mana yang dapat laluannya dengan tepat. Kasma berjaya meloloskan diri dalam kekalutan tersebut sambil diekori rapat oleh Afif dan Akid. Ternyata ketiga-tiga pelumba PETRONAS memiliki rentak yang cukup mantap sehingga meninggalkan para pelumba lain lima saat di belakang pada lap kesembilan.
Afif yang memiliki kelebihan sebanyak 49 mata berbanding Kasma berjaya memintas dan seluruh khemah pasukannya terus memberi semangat untuk muncul juara di Pulau Pinang. Afif membuat sedikit kesilapan yang membolehkan posisinya dirampas oleh Kasma dan rakan sepasukannya, Akid. Afif sedar peluangnya untuk menang semakin sukar tambahan pula dengan adanya Akid sebagai pembenteng.
Walaupun begitu, Afif terus berani membuat serangan dan berjaya menewaskan Akid untuk menamatkan cabaran di tempat kedua. Kasma menarik nafas lega dengan kemenangannya dan berazam akan terus konsisten pada pusingan seterusnya. Afif masih di tangga teratas dengan 180 mata manakala Kasma terus menyimpan harapan walaupun masih ketinggalan 44 mata di belakang.
Selepas Batu Kawan, Afif dan Kasma akan terus bersaing di dua lagi lokasi iaitu di Jempol pada 18 November dan di Bandar Penawar, Johor pada 16 Disember nanti. Litar manakah yang akan menobatkan Afif sebagai juara 2018?
CP115: Tahniah buat pelumba kelahiran Terengganu, Tengku Amirul yang akhirnya berjaya menikmati gelaran juara selepas memenangi persaingan akhir 15 lap yang penuh sengit. Berbanding dengan beberapa pusingan sebelum ini, Tengku dilihat tidak memiliki rentak ketika di sesi Shoot Out yang menyebabkan dia terpaksa bermula dari petak ketujuh. Petak paling depan diisi oleh pelumba Honda iaitu Md Hafizuddin manakala rakan sepasukan Tengku, Fareez di petak kedua.
Tengku tidak membuang masa untuk terus menyerbu dan meratah setiap selekoh litar Batu Kawan untuk berada di depan. Satu demi satu lawannya tumbang sehinggalah tiba di belakang Fareez dan Hafizuddin. Ketiga-ketiga pelumba muda ini bertarung sengit dengan serangan-serangan hebat di sembilan buah selekoh di Batu Kawan. Sememangnya tidak upaya bagi Fareez dan Hafizuddin untuk menyekat Tengku yang melintasi garisan penamat sebagai juara dengan catatan 13:58.786s.
Dengan tujuh kemenangan dan sekali di tempat keempat, Tengku mengutip sebanyak 188 mata manakala rakan sepasukannya Fareez kini di tangga kedua dengan 116 mata dan pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha CKJ, Md Haziq Md Fairues di tangga ketiga dengan 108 mata. Kini persaingan tertumpu pada takhta naib juara keseluruhan yang menjadi idaman buat Fareez dan Haziq.
Wira: Para peminat perlumbaan cub prix mungkin terpaksa menunggu hingga ke pusingan akhir untuk mengetahui siapa juara keseluruhan kelas Wira musim ini. Walaupun Syarifuddin cemerlang pada lima perlumbaan berturut-turut, kutipan matanya masih terikat dengan Danial Syahmi masing-masing dengan 133 mata.
Konsistensi Syahmi sedikit goyah di pertengahan musim tetapi dia kembali berkeyakinan pada perlumbaan di Batu Kawan. Syahmi bermula dengan baik untuk memimpin perlumbaan tetapi sayang sekali pertahanannya agak lemah untuk menyekat serangan Syarifuddin yang datang dari semua arah. Akur dengan itu, Syahmi terus mengemaskan kedudukan agar dia tidak lagi diserang oleh para pelumba di belakangnya seperti Faiz Zekri dan Daniel El Fahim.
Syarifuddin menang dengan kelebihan 2.774 saat di depan Syahmi manakala pemenang tempat ketiga, Faiz Zekri tiba lebih daripada 12 saat kemudian. Pesaing juara keseluruhan, Alif Ashraf pula gagal menamatkan cabaran yang mengakibatkan dia kini mula ketinggalan. Alif masih di tangga ketiga dengan 112 mata.
Yamaha PETRONAS Super Series: Beza hanya 0.354s... membuktikan betapa hampir dan sengitnya persaingan di antara pelumba Johor, Aliff Daniel dan wakil Selangor, Md Muazim Shah. Perlumbaan akhir yang disertai oleh 20 orang pelumba itu memerlukan semangat yang tinggi untuk kekalkan rentak dari awal hingga akhir.
Cuaca yang tidak menentu menjadikan keadaan litar cukup sukar dan pelumba yang berjaya menangani tekanan adalah calon terbaik untuk mencapai kejayaan. Alif Danial akhirnya meraih kemenangan buat kali kedua berturut-turut dan kini merapatkan diri dengan pendahulu carta dengan 141 mata. Tempat kedua dimenangi oleh Muazim Shah dan Md Alif Haikal di tempat ketiga.
Cabaran Honda One Make Race: Selepas tiga kali gagal menamatkan perlumbaan, Md Syahmi akhirnya kembali menemui rentak semula untuk memberikan 'persembahan' penuh bertenaga untuk menerima piala sebagai juara pusingan kelapan. Sebelum ini, Syahmi pernah dua kali menjadi juara iaitu ketika di MAEPS dan di Jasin, tetapi sayang prestasinya agak hambar tidak lama selepas itu.
Dalam perlumbaan akhir, Syahmi berjaya menahan segala serangan daripada para pelumba lain untuk mencapai kemenangan. Tempat kedua dimenangi oleh Md Izham dari Terengganu manakala Md Izzat Md Raduan di tempat ketiga. Walaupun Idlan sekadar di tempat ke-10, dia masih meraih mata untuk kekal di tangga teratas dengan 131 mata.
Cabaran Yamaha NVX: Pastinya para pemilik model ini cukup teruja dan berbangga dengan jentera mereka apabila melihat kelincahan NVX meratah setiap selekoh dan memecut hebat di litar sepanjang 1.263 kilometer. Dengan kecekapan casis dan pakej tayar-tayar yang mantap, jentera automatik dari Yamaha ini sememangnya mampu bersaing sama hebat dengan jentera-jentera lain.
Tiada saat yang paling indah buat pelumba dari Putrajaya, Md Hazim Rosmaza apabila memenangi perlumbaan akhir buat kali pertama dalam musim ini. Selepas tujuh pusingan berakhir tanpa sebarang mata, ini adalah pembakar semangat yang sangat dia perlukan untuk terus memberi saingan di dua lagi pusingan berbaki selepas Litar Batu Kawan. Tempat kedua dimenangi oleh Zairul Kazreen yang semakin kukuh di tangga pertama manakala Haziq Hanafi sekali lagi di tempat ketiga dengan catatan masa 8:51.831s.
Dua lagi pusingan menanti para pelumba iaitu di Jempol pada 18hb November lalu manakala Bandar Penawar akan menjadi destinasi terakhir dalam kalendar cubprix 2018 iaitu pada 16 Disember nanti. RR
Popular