MotoGP 2018 (Pus.18: Litar SIC): Hafizh Syahrin Gamatkan Litar Sepang!
Tiada yang lebih sempurna apabila melihat pelumba kebanggaan negara, Hafizh Syahrin Abdullah menyinar di tanahairnya sendiri. Selepas tidak beraksi dengan begitu baik di sesi kelayakan, Hafizh ternyata agak sedih selepas mendapati dirinya terpaksa bermula di petak terakhir, grid yang ke-23. Pada perlumbaan yang berlangsung awal November lalu, jagoan pasukan Yamaha Tech3, Johann Zarco meraih petak pertama selepas penalti dikenakan pada Marc Marquez yang pada mulanya mencipta catatan terpantas atas kesilapannya semasa di sesi ujian masa. Petak kedua diisi oleh Valentino Rossi manakala pelumba pasukan Suzuki, Andrea Iannone di petak ketiga.
Sebaik sahaja perlumbaan dimulakan, Rossi terlebih dahulu mendapatkan holeshot untuk memimpin perlumbaan. Sorakan 103,000 penonton pada hari Ahad itu, ternyata menggemakan litar SIC sebaik sahaja Hafizh memecut dengan cukup tangkas untuk tiba di posisi ke-12 seawal selekoh kedua. Kibaran bendera EL-PESCAO 55 dari ribuan penyokongnya menyemarakkan pelumba negara itu untuk mengejar kelompok di hadapan yang diketuai oleh Rossi.
Rossi diekori rapat oleh Zarco, Miller, Dovizioso dan Pedrosa. Marquez yang telah pun dinobatkan sebagai Juara MotoGP 2018 di litar Phillip Island sebelum ini cukup licik mencari ruang untuk membuat serangan. Marquez kemudiannya hampir terbabas di selekoh akhir tetapi dapat bangun semula, namun begitu, Iannone yang cuba mengelak telah terbabas ke luar litar.
Hafizh mengemaskan tunggangannya agar tidak tercicir jauh dengan kumpulan utama dan dalam usahanya itu, dia berjaya mencatatkan masa yang cukup baik untuk merapati Vinales di posisi ke-10. Ketika di sesi temubual bersama media, Hafizh menyatakan pasukannya berjaya mendapatkan talaan baru yang jauh lebih baik ketika perlumbaan di Aragon. Talaan ini menjadikan pengendalian dan pecutan lebih cemerlang dan lebih mantap.
Pada masa yang sama, Marquez berjaya memintas seorang demi seorang dan akhirnya berjaya berada betul-betul di belakang Rossi. Sorakan para penonton semakin kuat, mengembalikan nostalgia pertarungan penuh drama dan kontroversi Rossi-Marquez beberapa tahun lalu. Marquez berjaya merapatkan diri setiap saat dan ini memberikan tekanan hebat buat Rossi yang tidak menikmati posisi tertinggi di podium sejak 26 perlumbaan yang lalu.
Harapan Rossi mencipta kemenangan hancur berkecai apabila terbabas di selekoh pertama dan di hadapan para penyokongnya di VR46 Tribune. Ini juga merupakan ‘hadiah’ terbaik buat jaguh pasukan Honda untuk meraih kemenangan kesembilannya musim ini. Marquez melintasi garisan penamat penuh bergaya diikuti oleh Alex Rins di tempat kedua yang telah mempamerkan kepantasan luar biasa untuk memintas Zarco di tempat ketiga.
Sekali lagi suasana di SIC gamat dengan sorakan para penonton yang menjerit nama Hafizh Syarin setelah pelumba muda itu menamatkan cabaran di tangga ke-10. Satu sejarah baru buat Malaysia iaitu pelumba pertama dalam kelas prima dan lebih manis tentulah apabila berjaya menamatkan perlumbaan di antara 10 pelumba terbaik walaupun bermula di kedudukan terakhir.
“Ia suatu yang cukup mengagumkan! Saya ingin mengucapkan terima kasih buat seluruh pasukan kerana mempercayai saya dan memberikan motivasi yang tinggi. Sesi ujian masa memang sangat mencabar tetapi kami dapat mengatasinya. Saya melihat ayah menangis dan saya terus memeluknya dan untuk menamatkan perlumbaan di tanahair sendiri di antara 10 pelumba terbaik merupakan sasaran saya. Sukar untuk mempercayainya apabila ia berjaya dicapai. Saya sangat gembira,” komen Hafizh Syahrin.
Dengan kemenangan di SIC, Marquez sekali lagi berjaya mengumpul mata keseluruhan melebihi 300 mata dan dia terus bersemangat untuk menang pada perlumbaan akhir yang berlangsung di Valencia nanti. “Ia adalah satu perlumbaan yang cukup sukar kerana saya bermula di petak ketujuh. Saya bermula juga agak lambat tetapi sedikit demi sedikit mula mendapat rentak dan mula memintas. Saya lihat Rossi cuba memecut untuk menjarakkan diri dan saya mula mengejar sehinggakan tayar belakang sudah terlalu panas dan tayar hadapan juga semakin cepat panas. Selepas menurunkan kelajuan sedikit, saya lebih selesa dan semakin rapat dengan Rossi. Dia membuat kesilapan di selekoh satu, saya agak kecewa kerana ingin benar bertarung dengannya,” komen Marc Marquez.
Moto2: Tahniah buat pelumba pasukan SKY Racing Team VR46, Francesco Bagnaia yang dinobatkan sebagai juara keseluruhan musim ini dengan kutipan 304 mata, 32 mata meninggalkan pemenang tempat kedua, Miguel Oliveira dengan 272 mata. Bagnaia yang bermula agak lambat sedikit tergugat dengan kepantasan rakan sepasukannya, Luca Marini dan Miguel Oliveira. Kumpulan hadapan mempertontonkan pertarungan yang cukup sengit. Suhu litar yang panas langsung tidak mengganggu tumpuan para pelumba untuk meratah 15 buah selekoh litar Sepang yang cukup teknikal. Aksi-aksi power slide pintas memintas di antara Oliveira dan Bagnaia dan miringan mencecah siku mengagumkan para penonton yang hadir.
Selepas bertarung selama 18 lap, Luca Marini telah meraih kemenangan penuh bererti dengan catatan masa 38’25.689s. Satu saat kemudian, Miguel Oliviera pula tiba diikuti oleh Francesco Bagnaia di tempat ketiga yang turut meraih juara mutlak Moto2 musim ini. Tahniah buat pelumba negara, Khairul Idham Pawi (KIP) dari pasukan Honda yang menamatkan persaingan akhir di tempat ke-17. KIP kini berada di tangga ke 29 dengan satu mata.
Moto3: Motivasi dan semangat juang yang tinggi adalah resepi terbaik untuk mencapai kejayaan dan itulah yang dipamerkan oleh pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Racing, Adam Norrodin pada perlumbaan akhir Moto3 yang berlangsung dengan cukup sengit. Oleh kerana kegagalan mendapatkan catatan masa yang memuaskan di sesi ujian masa, Adam terpaksa bermula dari Pitlane tetapi itu tidak memaksanya untuk mendapatkan pecutan hebat di saat pertama perlumbaan dimulakan.
Dengan ketangkasan dan kemahirannya, Adam berjaya memintas seorang demi seorang untuk mengejar kelompok di hadapan. Usahanya berhasil apabila dia berada di tempat ketujuh pada suatu ketika dan terus mengejar untuk mendapatkan podium. Sayang sekali, Adam terjatuh beberapa lap sebelum tamat mengejutkan para penyokong tempatan khususnya yang sedang memberi semangat. Namun begitu, dia bingkas bangun dan meneruskan persaingan.
Akhirnya Jorge Martini terlebih dahulu menerima kibaran bendera penamat diikuti Lorenzo Dalla Prota manakala tempat ketiga dimenangi oleh Enea Bastianini. Dengan kejayaan cemerlang di SIC, Jorge Martini berjaya menambah 25 mata penting dan sudah cukup untuk bergelar Juara Moto3 2018 dengan kelebihan hanya satu mata berbanding pencabarnya, Marco Bezzecchi. Adam yang berjaya menyambung semula persaingan menamatkan cabarannya di tempat ke-23. Adam sempat berlari ke arah para penonton di Grandstand dan melemparkan sarung tangannya buat mereka. Walaupun agak sedih, semangatnya mendapat pujian ramai. Tahniah buat Adam! Dia kini berada di tangga ke-20 keseluruhan dengan 46 mata.
Perlumbaan pusingan akhir berlangsung di Litar Comunitat Valenciana, Valencia pada 18 November lalu. RR
Popular