Pesta MotoGP 2018 Lebih Gah
Kemeriahan perlumbaan MotoGP Malaysia turut diraikan oleh para pengeluar dan produk motosikal di Malaysia. Inilah kesempatan dan peluang terbaik buat mereka untuk mendekati para pelanggan dengan mengadakan pelbagai promosi yang cukup istimewa.
Antara acara yang diadakan ialah sesi perlawanan bolasepak di antara pasukan SIC (kakitangan dan pelumba) dengan pihak media di Stadium Bukit Jalil dan acara ‘Teh Tarik Session’ yang diadakan di hadapan mercu tanda Malaysia, Menara Petronas KLCC bersama para pelumba MotoGP, Moto2 dan Moto3. Kedua-dua acara ini menarik minat pencinta MotoGP khususnya untuk melihat, bergambar dan beramah mesra dengan pelumba kegemaran mereka terutamanya Hafizh Syahrin dan Adam Norrodin.
Seperti tahun-tahun sebelum ini, pihak Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) merupakan antara penyokong terkuat acara tahunan yang gilang gemilang ini. Pada tahun ini, HLYM telah menyerikan ruang promosi di SIC dengan membarisi pelbagai model jentera Yamaha yang disusun cukup menarik. Antara model yang menarik perhatian ialah MOTOROiD yang mempunyai rekabentuk moden dan teknologi cukup tinggi. MOTOROiD merupakan sebuah jentera masa hadapan yang mampu mengenali dan berinteraksi dengan pemiliknya. Ia adalah sebuah jentera berkapasiti seorang penunggang, seberat 213kg dan dikuasakan oleh Lithium-Ion.
Turut tersergam hebat di ruang pameran HLYM ialah tiga buah jentera perlumbaan MotoGP milik Valentino Rossi, Maverick Vinales dan Hafizh Syahrin. Selain itu, para pengunjung turut berpeluang untuk bermain permainan video, membeli barangan menarik Yamaha seperti baju T, baju kemeja, payung, pelincir Yamalube dan lain-lain yang dijual bersama pakej promosi yang menarik. Pada hari perlumbaan pula, HLYM telah menganjurkan konvoi mega yang disertai lebih daripada 1,000 buah jentera Yamaha pelbagai model.
Konvoi yang bermula dari Cyberjaya itu turut mendapat sokongan daripada pihak PETRONAS. Lebih mengujakan, majlis perlepasan konvoi telah disempurnakan oleh Pengarah Urusan HLYM, Dato' Jim Khor ditemani oleh Naib Presiden Pemasaran, Perniagaan Hiliran PETRONAS, Dato' Sri Syed Zainal Abidin Syed Tahir.
Sebagai pengeluar jentera berkuasa tinggi antara yang paling popular di Malaysia, Kawasaki Motors Malaysia Sdn Bhd (KMSB) mengujakan para pengunjung SIC dengan jentera-jentera hebat mereka. Inilah peluang buat para peminat dunia dua roda untuk melihat dengan lebih dekat model-model terkini seperti ZX-10R, H2R, H2SX, Ninja 650, Ninja 250, Versys 650 dan banyak lagi. Turut menanti para pengunjung ialah pelbagai rekacorak baju-t yang dijual pada harga yang berpatutan.
Konvoi MotoGP anjuran KMSB telah berjaya mengumpul lebih daripada 300 buah jentera Kawasaki dari 250cc hingga ke 1400cc. Kehadiran Pengurus Besar dan Pengarah KMSB, Dato’ Jeffrey Lim ternyata menyerikan lagi majlis perlepasan pada pagi tersebut. Konvoi kali ini berjalan cukup lancar dengan bantuan daripada 15 pegawai trafik PDRM dan krew marshal Kawasaki.
Beberapa hari sebelum perlumbaan, pihak Boon Siew Honda Sdn Bhd dengan kerjasama kumpulan syarikat Honda di Asean dan Rantau Oceania telah menganjurkan konvoi Honda Asean Journey (HAJ) yang disertai kira-kira 60 buah motosikal berkuasa tinggi Honda pelbagai model yang ditunggangi oleh para pengedar dan wartawan dari beberapa buah negara seperti Indonesia, Vietnam, Thailand, Filipina, India dan Malaysia.
HAJ telah berkunjung ke Cameron Highlands dan Putrajaya sebelum ke Hotel Sama Sama, Sepang untuk majlis makan malan mega bersama-sama para pelumba Honda seperti Marc Marquez, Dani Pedrosa, Takaaki Nakagami dan Khairul Idham Pawi.
Di SIC pula, ruang pameran Honda direka penuh bertenaga dengan alunan muzik-muzik rancak dan jentera Honda pelbagai jenis antara model perlumbaan RC213Vs, jentera Moto2, CBR1000RR, X-ADV, Africa Twin, Monkey serta pakaian jenama Honda yang direka cukup cantik.
Terima kasih buat Suzuki Malaysia yang memberi RR kesempatan untuk berada di paddock pasukan Suzuki. Menerusi peluang tersebut, RR dapat melihat dengan lebih dekat jentera-jentera Suzuki yang digunakan oleh dua jagoan mereka iaitu Andrea Iannone dan Alex Rins serta kecekapan krew pasukan Suzuki Ecstar dalam tugasan mereka.
Para pengunjung juga berkesempatan mendapatkan tandatangan dan gambar kenangan bersama Iannone dan Rins di ruang pameran Suzuki sehari sebelum perlumbaan. Ruang pameran Suzuki dimeriahkan dengan model-model terbaru mereka seperti GSXR-1000, VStrom 650, GSXR-750 serta ruang pembelian untuk baju, topi, pemegang kunci dan banyak lagi.
Sebelum tiba di kaunter pemeriksaan tiket-tiket Grandstand, setiap pengunjung pastinya tidak melepaskan peluang untuk melihat dan merasai seketika kehebatan serta keselesaan jentera-jentera dari BMW Motorrad. Bagi si pengembara dan peminat jentera lasak, model-model hebat seperti siri K 1600GT, R 1200 RT, R 1200 GS Adventure, S 1000 XR dan G 310 GS menjadi pilihan utama.
Pencinta dunia retro/heritage pula tidak berganjak daripada siri model R nineT manakala rakan-rakan yang mendambakan kelajuan serta kuasa pecutan, model HP4 Race, S 1000 RR, S 1000 R dan R 1200 R adalah lokasi yang dituju. BMW turut menjadi pilihan utama buat mereka yang ingin merentas ribuan kilometer dengan menunggang jentera automatik. Skuter maksi seperti C 650 Sport dan C 650 GT turut dipamerkan di SIC.
Benelli Malaysia hadir dengan ruang pameran yang cukup mengagumkan. Setiap ruang dihiasi dan diperkemaskan dengan jentera-jentera terbaru seperti Benelli Leoncino, TRK 502, Benelli 302, TnT135, RFS 150i, VZ125i dan beberapa model menarik dari Keeway seperti K-Light 202, Cafe Racer 152 dan Patagonian Eagle 250. Ruang pameran Benelli juga disegarkan dengan penyaman udara yang amat diperlukan untuk menyejukkan diri di cuaca yang cukup panas.
Pengeluar kelengkapan motosikal paling popular di Malaysia, GIVI hadir ke SIC dengan ruang pameran yang cukup gah. The Red Explorer (bas rasmi GIVI) adalah tarikan utamanya. Ribuan pengunjung tidak melepaskan peluang untuk mencuba dan membeli pelbagai aksesori dan pakaian GIVI seperti topi keledar, baju hujan, jaket menunggang, kotak barang, baju T, kasut dan lain-lain yang kesemuanya direka dengan cukup cantik dan berkualiti tinggi.
GIVI turut tidak ketinggalan untuk ke SIC dengan penuh bergaya menerusi konvoi mereka. Konvoi yang disertai seramai 109 orang peserta itu bermula di perkarangan Muzium Negara dan telah disempurnakan oleh Pengarah Urusan GIVI, En. On Thiam Chai dan Pengurus Muzium Negara.
PETRONAS pastinya berbangga dengan keupayaan para pelumba mereka seperti Niki Tuuli (Moto2) dan jaguh tempatan Adam Norrodin dan rakan sepasukannya Ayumu Sasaki yang bersaing dalam kelas Moto3 sepanjang minggu di Sepang. Petronas turut memberikan keseronokan dan kemeriahan buat para pengunjung yang hadir terutama sekali ke ruang pameran mereka dengan adanya pelbagai aktiviti seperti Ultraflex Challenge dan 5D Moto3 Experience. Turut ditawarkan pada harga cukup istimewa ialah barangan PETRONAS seperti baju, payung, topi, pelincir dan lain-lain.
Panigale V4, Scrambler 1100, Multistrada 1260 S, Monster 821 dan banyak lagi menanti para pengunjung yang datang ke ruang pameran Ducati Malaysia. Tiada yang lebih mengujakan apabila melihat dengan lebih dekat jentera unggul yang terkenal di seluruh dunia berada di depan. Buat para penyokong Andrea Dovizioso dan Jorge Lorenzo, ini juga merupakan masa yang tepat untuk mengenakan pakaian me-nunggang atau baju-t, jaket, beg, kasut dengan logo Ducati sebagai tanda sokongan buat pasukan merah itu.
Ducati Malaysia tidak melepaskan peluang untuk meraikan perlumbaan MotoGP Malaysia dengan para pemilik Ducati dengan menganjurkan konvoi khas dan sesi tandatangan bersama para pelumba Ducati khusus untuk para pelanggan dan peminat Ducati.
Ruang pameran LS2 Helmet ternyata menambat hati ramai pencinta motosikal bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia. Keselesaan, kualiti dan tahap keselamatannya menjadi faktor utama mengapa jenama ini dipercayai. Antara pelumba bertaraf dunia yang memilih topi keledar LS2 ialah Hector Barbera, Loris Baz, Isaac Vinales dan ramai lagi. Para petugas LS2 Helmet bertungkus lumus sepanjang tiga hari penganjuran MotoGP Malaysia untuk memberi perkhidmatan yang memuaskan kepada setiap pelanggan yang hadir.
Selain daripada itu, banyak lagi ruang pameran dan ruang kedai yang menawarkan pelbagai jenis produk yang kesemuanya mendapat sam-butan yang mengagumkan. Tahniah buat semua kerana jumlah pengunjung MotoGP Malaysia tahun ini yang terdiri dari segenap lapisan masyarakat berjaya mencecah seramai 169,827 orang sepanjang tiga hari penganjuran. Jumpa lagi tahun depan! RR
Popular