Isu Terkini

Julai 2024

Dari Litar / 10 September 2017

Moto GP Pusingan 11: Red Bull Ring, Austria : Saingan Bertambah Sengit

Selepas 11 pusingan berlalu, persaingan MotoGP untuk musim ini terus panas dan sangat menarik apabila tiada lagi pelumba atau pasukan yang kelihatan mempunyai kemampuan untuk mendominasinya. Tidak seperti musim-musim sebelum ini yang ada ketikanya kita dapat meramal pemenang suatu pusingan itu mesti dimiliki Jorge Lorenzo, Marc Marquez atau Valentino Rossi. Kini, biar pun di kampung Rossi, Marquez boleh menang....biar pun berlumba di litar kegemaran Marquez, Dovizioso juga mampu mencipta kejayaan.

Tiga jagoan Litar Austria.
Tiga jagoan Litar Austria.

Selepas bercuti kira-kira sebulan, setiap pasukan semakin bersedia untuk mencabar. Para pelumba pasukan Ducati jelas semakin selesa memacu Desmosedici GP17 yang diperkemaskan dengan fairing baru. Honda juga membuat ujian keras ke atas jentera dan pelumba yang akhirnya membuahkan hasil apabila Marquez dan Pedrosa mengungguli perlumbaan di Brno dengan kemenangan 1-2 untuk pasukan Honda. Pasukan Yamaha yang dibarisi oleh Rossi dan Vinales turut menyerlah dalam perlumbaan tersebut dengan kemampuan untuk memintas dan memecut bagi menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dan keempat.

Rossi masih mencari talaan terbaik untuk mencabar para pelumba di hadapan.
Rossi masih mencari talaan terbaik untuk mencabar para pelumba di hadapan.

Dari Brno, para pelumba dan pasukan masing-masing kembali 'bertugas' di Litar Red Bull Ring, Austria untuk terus memberi saingan. Litar sepanjang 4.3km ini mempunyai 10 selekoh (3 – kiri dan 7 – kanan) dengan laluan lurus sepanjang 626 meter. Litar ini sememangnya amat sesuai untuk jentera Ducati berdasarkan rekod Lap Terpantas yang dipegang oleh bekas pelumba Ducati, Andrea Iannone pada musim 2016. Untuk perlumbaan MotoGP, para pelumba perlu bersaing selama 28 lap dengan jumlah jarak sejauh 120.9 kilometer.

Kemenangan mutlak buat Dovizioso selepas berhempas pulas selama 28 lap.
Kemenangan mutlak buat Dovizioso selepas berhempas pulas selama 28 lap.

Dalam perlumbaan akhir, petak paling hadapan diisi oleh Marc Marquez diikuti oleh Dovizioso dan Jorge Lorenzo. Lorenzo yang mengatakan ini adalah perlumbaan terbaiknya telah memintas dua pelumba di hadapannya untuk memimpin dengan tunggangan yang cukup mengagumkan. Sorakan penonton bergema apabila Rossi berjaya mendapatkan momentum terbaik untuk berada bersama kelompok hadapan yang dibarisi oleh Lorenzo, Marquez dan Dovizioso. Tidak lama kemudian, Rossi melakukan kesilapan yang menyebabkan dia kehilangan masa dan posisi terbaik.

Permulaan yang sangat cemerlang oleh Lorenzo (99) dan ternyata dia sudah mula mendapat rentak.

Lorenzo memimpin perlumbaan selama lapan pusingan sebelum dia akur dengan kepantasan Marquez yang mempunyai kelebihan di selekoh-selekoh tajam. Kumpulan hadapan kini dibarisi oleh Marquez, Dovizioso, Pedrosa dan Lorenzo tetapi lama-kelamaan kumpulan ini turut berpecah selepas Dovizioso dan Marquez sudah terlalu laju untuk dikejar.

Marquez dan Dovizioso saling pintas memintas kerana kedua-duanya mempunyai kelemahan dan kekuatan tersendiri. Dovizioso sudah pasti menggunakan kekuatan enjin GP17nya untuk menyerang di laluan lurus manakala kelincahan Marquez di dalam selekoh sememangnya sukar dicabar.

Alex Rins.
Alex Rins.

Pertarungan ini berlanjutan sehinggalah tiba di dua lap terakhir apabila Dovizioso yang berada di depan bermati-matian untuk mengekang kemaraan pelumba Repsol Honda yang berada di belakangnya. Marquez terus bersabar sehinggalah tiba di dua selekoh terakhir untuk memintas. Akibat cuba membrek dengan keras di saat-saat akhir, Marquez beberapa kali hampir-hampir melanggar jaguh Ducati di hadapannya dan keadaan lebih mendebarkan apabila tayar kedua-dua pelumba ini hampir tersentuh di selekoh akhir yang menyebabkan Dovizioso tidak begitu gembira dengan aksi Marquez.

Folger antara pelumba pasukan satelit yang terpantas.
Folger antara pelumba pasukan satelit yang terpantas.

Walaupun begitu, Dovizioso berjaya meraih podium ketiganya untuk musim ini dan menambah koleksi mata untuk kejuaraan musim ini. “Perlumbaan kali ini memang 'gila' tetapi jujurnya, keseluruhan minggu ini sangat mengagumkan. Selekoh terakhir paling hebat tetapi mujurlah saya mampu untuk terus tenang dan bersedia dengan serangan terakhir Marquez. Saat itu sangat sukar. Jika Marquez berjaya menutup ruang untuk saya keluar dari selekoh, saya akan tewas. Saya dapat menahan serangan itu untuk muncul juara dan saya berpuas hati dengan kejayaan ini,” kata Dovizioso.

Dani Pedrosa cukup gembira apabila berjaya mempamerkan tunggangan yang cemerlang.
Dani Pedrosa cukup gembira apabila berjaya mempamerkan tunggangan yang cemerlang.
Marquez kini di tangga teratas keseluruhan dengan kutipan 174 mata.
Marquez kini di tangga teratas keseluruhan dengan kutipan 174 mata.

Tempat kedua dan ketiga dimenangi oleh dua pelumba Honda iaitu Marquez dan Pedrosa manakala Lorenzo akhirnya berjaya mendapatkan posisi terbaiknya musim ini di tempat keempat. “Jika saya tak cuba untuk menewaskan Dovizioso, pasti saya tidak dapat tidur malam ini tetapi ianya mustahil. Hari ini Dovi mempunyai sedikit kelebihan berbanding kami dan cukup sukar untuk memintasnya. Saya sudah mencuba beberapa kali dan benar-benar cuba lakukan sehingga tayar belakang sudah tidak lagi mencengkam. Dovi memang layak dan saya tetap gembira dengan 20 mata ini. Ia amat penting untuk kejuaraan!” Kata Marc Marquez.

Vinales semakin bersemangat untuk terus memburu takhta juara.
Vinales semakin bersemangat untuk terus memburu takhta juara.

Menurut Pengarah Pasukan Yamaha, kedua-dua pelumba mereka iaitu Vinales dan Rossi mengalami masalah cengkaman tayar belakang terutama selepas 10 lap. Perkara yang sama dinyatakan oleh Vinales dan Rossi sebaik sahaja tamat persaingan dan mereka terus optimis untuk mendapatkan talaan terbaik untuk perlumbaan seterusnya.

Jentera Suzuki milik Iannone menunjukkan prestasi yang semakin mantap.
Jentera Suzuki milik Iannone menunjukkan prestasi yang semakin mantap.

Kedua-dua pelumba Suzuki turut memberi keyakinan buat pasukannya apabila memperoleh keputusan yang agak baik. Andrea Iannone di tempat ke-11 manakala Alex Rins di posisi ke-16. Sudah pasti ujian akan terus dijalankan untuk mendapatkan talaan sebaik mungkin buat kedua-dua pelumba Suzuki itu.

Hafizh (55) menunggang dengan cukup kemas sepanjang persaingan untuk meraih tempat ke-10.

Pelumba negara, Hafizh Syahrin dan Khairul Idham Pawi (KIP) turut menyerlah di dalam pusingan ini. Permulaan yang bertenaga dari Hafizh membolehkannya berada di antara 10 pelumba terpantas hampir di seluruh perlumbaan. Kesungguhan KIP untuk memberi saingan dalam musim pertamanya di Moto2 cukup mengujakan. KIP hampir-hampir berjaya mendapatkan mata di litar ini sebelum menamatkan saingannya di tempat ke-17.

Adam Norrodin mempamerkan tunggangan dan semangat juang yang semakin matang.
Adam Norrodin mempamerkan tunggangan dan semangat juang yang semakin matang.
Khairul Idham Pawi semakin selesa mengendalikan jentera Moto2nya.
Khairul Idham Pawi semakin selesa mengendalikan jentera Moto2nya.

Tahniah buat Adam! Pelumba muda ini semakin berani dan tangkas mengendali mesinnya untuk bersama-sama kelompok di hadapan. Adam Norrodin menerima bendera penamat di tempat kelapan dan kini berada di tangga ke-19 keseluruhan dengan 24 mata. Pusingan selanjutnya akan berlangsung di Litar Silverstone, UK pada 27 Ogos dan di Misano pada 10 September. RR

Isu Pada

September 2017

Popular

  • Warta Roda

    Honda RS150R Tiba Dengan Warna Baru

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

Artikel berkaitan

Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

Pelumba Negara Tampilkan Aksi Memberangsangkan

Akid Pertahankan Kejuaraan CP150

Podium Berganda Buat Qabil Di Sepanyol & Raih Keempat Keseluruhan di ESBK

CP125: Syamil Akan Raikan Gelaran Juara Lebih Awal Jika Menang Hujung Minggu ini?

MotoGP Malaysia: Walaupun Raih Juara, Misi Pecco Belum Selesai....

GP Valencia 2024 Dibatalkan...Litar Untuk Pusingan Akhir Belum Dipastikan Lagi

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Penunggang Motosikal Antara Yang Maut Dalam Nahas Tiga Kenderaan

Penunggang motosikal maut dalam nahas melibatkan tiga buah kenderaan.

Model Baru

Kawasaki ZX-6R 2025 Sudah Boleh Ditempah Bermula 1 Disember Ini. Harga asas RM59,900

MODENAS telah melancarkan kempen pra-tempahan untuk model ZX-6R terbaru bermula pada 1 Disember 2024 di semua bilik pameran Kawasaki All-Star.

Dari Litar

MotoGP Malaysia: Walaupun Raih Juara, Misi Pecco Belum Selesai....

Pecco akhirnya menerima bendera penamat sebagai juara diikuti Martin di tempat kedua dan kini mendahului carta dengan 24 mata manakala Enea Bastianini di tempat ketiga.

Warta Roda

Lebih 100 Buah Motosikal Terbakar Di Depoh Simpanan DBKL

Sebanyak 130 buah motosikal yang diletakkan di depoh penyimpanan kenderaan tersadai milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Taman Connaught telah terbakar.