Quartararo Mengganas Di Litar Jerez
MotoGP telah kembali! Tarikh 19 Julai akan tersemat dalam ingatan para pencinta MotoGP kerana ia adalah penganjuran pertama perlumbaan tersohor ini selepas dunia dikejutkan dengan penularan wabak Covid-19. Walaupun saingan pusingan kedua di Litar Jerez, Sepanyol kali ini terpaksa dijalankan tanpa kehadiran para penonton, ia tidak mematahkan semangat juang para pelumba yang turun bersaing selepas beberapa bulan ditangguhkan.
Tahniah diucapkan buat pelumba pasukan Petronas Yamaha SRT, Fabio Quartararo yang telah mencipta sejarah sebagai pelumba pasukan satelit dari Yamaha yang muncul juara kelas prima buat pertama kalinya. Pelumba dari Perancis itu bermula cukup sempurna untuk memberi saingan buat juara bertahan, Marc Marquez dari pasukan Repsol Honda. Dalam lap kelima, Quartararo akhirnya menemui peluang keemasan untuk memimpin perlumbaan apabila Marquez melakukan kesilapan.
Seperti biasa, Marquez akan melakukan ‘magis’ untuk mengelakkannya dari terjatuh dan kemudian memecut ke hadapan semula dengan mempamerkan tunggangan hebat untuk cuba memintas setiap pelumba di hadapan. Setiap detik dan pecutan yang dipertonton oleh para pelumba berjaya melenyapkan kerinduan para pencinta MotoGP selepas beberapa bulan tidak beraksi. Dalam keghairahannya meraih kedudukan terbaik, Marquez terlibat dalam kemalangan yang agak serius.
Quartararo yang berada di hadapan telah dicabar hebat oleh pelumba jaguh pasukan Monster Energy Yamaha MotoGP iaitu Maverick Vinales yang turut berjaya beberapa kali berada di depan. Vinales kemudiannya agak melebar dan telah memberi peluang buat Quartararo untuk kembali ke posisi utama dengan penuh keyakinan seterusnya menerima kibaran pendera penamat sebagai juara. Tahniah diucapkan buat Vinales selepas berjaya mengekang kemaraan beberapa pelumba di belakang untuk meraih gelaran naib juara diikuti Andrea Dovizioso dari Ducati Team di tempat ketiga.
“Ia adalah saat paling manis dalam hidup saya. Ia juga agak ganjil dengan ketiadaan para peminat dan penyokong. Saya lebih seronok jika kejayaan ini dapat dinikmati bersama-sama. Jujurnya, perlumbaan ini adalah untuk para pencinta MotoGP, termasuklah mereka yang diuji dengan Covid-19 dan keluarga saya yang sentiasa memberi sokongan,” komen Fabio Quartararo.
Moto2: Tahniah diucapkan buat jaguh negara, Hafizh Syahrin dari pasukan Aspar Team yang menamatkan cabaran di tempat keenam selepas mengerahkan seluruh tenaganya demi tunggangan yang cukup tangkas. Dalam saingan ini, kemenangan berpihak kepada pelumba Sky Racing Team VR46, Luca Marini yang menamatkan perlumbaan dengan catatan masa, 39:23.297s. Tempat kedua dimenangi oleh Tetsuta Nagazhima (Red Bull KTM Ajo) dikuti oleh Jorge Martin di tempat ketiga.
Moto3: Pelumba dari Sepanyol, Albert Arenas berjaya meraih kemenangannya selepas mempamerkan tunggangan cukup bertenaga untuk menewaskan Ai Ogura dari pasukan Honda Team Asia dan Tony Arbolino yang masing-masing di tempat kedua dan ketiga. Pelumba negara, Khairul Idham Pawi terus bersemangat dan kali ini berada di tempat ke-22. RR
Popular