Kenangan Indah Buat Alex Lowes
Tahniah buat pelumba dari England, Alex Lowes yang kini bersama pasukan Kawasaki Racing di atas kejayaannya mencipta sejarah selepas berjaya memenangi saingan pertama WSBK 2020 yang berlangsung di litar Phillip Island pada awal Februari 2020 yang lalu. Pelumba yang berusia 30 tahun itu ternyata semakin selesa dengan kemantapan jentera Kawasaki ZX10R untuk memberi tunggangan cukup mantap bagi menewaskan para pencabarnya seperti Jonathan Rea, Scott Redding, Chaz Davies dan Toprak Razgatlioglu.
Perlumbaan pembuka tirai terlebih dahulu menunjukkan kehebatan pelumba dari Turki mencipta kemenangan hanya dengan perbezaan 0.137 saat berbanding Alex Lowes dari pasukan Kawasaki Racing. Rea yang terbabas ketika sedang mendahulu merupakan detik penting buat Razgatlioglu mula mengatur strategi.
Sebelum mencipta kemenangan, Razgatlioglu terpaksa berhempas pulas untuk menewaskan Michael Van Der Mark dari pasukan Pata Yamaha WorldSBK Official, Tom Sykes (BMW Motorrad WSBK) dan Scott Redding yang kini bersama (ARUBA.IT Racing – Ducati). Rentak ketia-tiga pelumba ini cukup pantas sehingga gagal dikejar oleh para pelumba di belakang. Tahniah buat Razgatlioglu yang meraih kemenangan dengan penuh bergaya.
Perlumbaan 2 adalah penentuannya. Rea bermula di petak paling depan tetapi gagal mengekalkan posisi apabila segera dipintas oleh Lowes. Kedua-dua pasangan ini bersaing hebat untuk membuktikan kehan-dalan masing-masing. Rea sekali lagi di-pintas, kali ini oleh M. Van Der Mark tidak lama selepas itu. Ini menyebabkan juara bertahan itu 'tak senang duduk' dan terus memburu kedua-dua pelumba di hadapannya.
Rea mengerahkan seluruh tenaga dan pengalamannya untuk kembali di posisi paling hadapan dan terus mengawal rentak dengan bijak agar jangka hayat tayar dapat bertahan di permukaan litar Phillip Island yang cukup mencabar. Ketika kelihatan strategi Rea bakal memberikan kemenangan, Lowes berjaya memintas. Kedua-dua pelumba ini 'melekat' dan aksi mendebarkan di antara Lowes dan Rea membuatkan para penonton sangat teruja.
Lowes bertahan sebaik-baiknya pada dua lap terakhir untuk mencipta kejayaan pertamanya bersama pasukan Kawasaki dan ia juga adalah kemenangan sulungnya dalam saingan WSBK sejak dua tahun yang lalu. Seperti Perlumbaan 1, jurang perbezaan masa di antara juara dan naib juara sangat kecil dan diharap situasi ini terus kekal hingga ke pusingan akhir.
Redding berjaya mengulangi kejayaannya di tempat ketiga dan berjaya menerima bendera penamat di tempat kedua diikuti M. Van Der Mark dan Chaz Davies masing-masing di tempat keempat dan kelima. Lowes yang mengumpul 51 mata kini berada di tangga teratas diikuti oleh Scott Redding (39 mata), Toprak Razgatlioglu (34 mata) dan Jonathan Rea dengan 32 mata.
WorldSSP
Selepas mempamerkan tunggangan cukup bertenaga di sesi ujian masa, Andrea Locatelli berjaya memukau ribuan para penonton dengan gaya tunggangan, kawalan dan pecutan yang amat mengagumkan. Litar Phillip Island diratah penuh bergaya tanpa tekanan dari awal hingga akhir sehingga meninggalkan pemenang naib juara hampir enam saat di belakang.
Selepas aksi kejar mengejar dan pintas memintas, tempat kedua dimenangi oleh Raffaele De Rosa yang menunggang jentera MV Agusta F3 675 diikuti cukup rapat oleh dua pelumba berbakat iaitu Jules Cluzel dan Corentin Perolari yang kedua-duanya dari pasukan GMT94 Yamaha.
Berikutan wabak Covid19 yang kini telah merebak hampir di seluruh dunia, ia telah menyebabkan berlakunya perubahan mendadak kepada jadual persaingan WSBK. Untuk dapatkan berita dan pengumuman terbaru mengenainya, sila layari https://www.worldsbk.com/en. RR
Popular