Marquez Kini Di Tangga Teratas
Pelumba pasukan Repsol Honda, Marc Marquez berjaya meraih kemenangan keduanya musim ini dan kejayaan menawan litar Jerman buat kali kelapan berturut-turut. Kemampuannya mengerahkan tenaga RC213V di peringkat ujian masa membolehkan Marquez bermula di petak pertama diikuti Danilo Petrucci dari pasukan OCTO Pramac Racing di petak kedua manakala rakan sepasukan Marquez, Dani Pedrosa di petak ketiga.
Petrucci yang ternyata semakin selesa dengan jenteranya bermula dengan baik sekali untuk berada di hadapan. Namun begitu, mustahil baginya untuk kekal lama kerana para pelumba di belakang terus memberi serangan tanpa belas kasihan menyebabkan dia terus berada di kedudukan kelima pada selekoh yang keenam. Marquez, Pedrosa, Lorenzo dan pelumba tuan rumah dari pasukan Yamaha Tech3 iaitu Jonas Folger mengetuai kelompok hadapan manakala kelompok kedua dibarisi oleh Petrucci, Rossi, A.Espargaro, Dovizioso dan Vinales ketinggalan hanya satu saat di belakang.
Kesabaran dan kemantapan tunggangan Folger akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya memintas Lorenzo pada lap kedua dan Pedrosa pula menjadi mangsanya pada lap keempat. Sorakan para penonton menggemakan litar Sachsenring apabila 'hero' mereka berjaya memintas Marquez pada lap keenam dengan kawalan brek yang cukup mengagumkan. Seperti biasa, Marquez terus memberi tekanan agar Folger membuat kesilapan dan memang taktik ini berjaya apabila pelumba Yamaha itu mengambil selekoh dengan lebar di selekoh pertama.
Sedang kelompok pertama sibuk bertarung, persaingan kelompok kedua lebih sengit dan lebih mengujakan. Rossi, Dovizioso, Vinales dan Bautista saling bertukar kedudukan. Dovizioso pastinya menggunakan kelebihan jentera GP17 di laluan lurus untuk memintas namun begitu jentera M1 milik Vinales dan Rossi lebih lincah apabila berada di selekoh-selekoh tajam.
Pertarungan Marquez dan Folger terus sengit sehingga membiarkan Pedrosa bagaikan berlumba bersendirian di tempat kedua. Walaupun Folger cuba mengatasi lawannya, dia seringkali tersalah langkah apabila tiba di selekoh pertama. Marquez melintasi garisan penamat penuh bergaya untuk mencipta kemenangan bersejarahnya dan lebih positif apabila dia kini dapat menikmati cuti musim panas selama empat minggu sebagai pendahulu kejuaraan.
“Saya benar-benar gembira kerana minggu ini amat penting untuk meraih kedudukan terbaik dalam kejuaraan musim ini. Saya menghadiahkan kemenangan ini kepada Nicky Hayden dan keluarganya kerana ini janji saya pada Nicky. Saya terkejut dengan kepantasan Folger dan dia memang cukup hebat pada hari ini. Kami kini bersedia dari segi mentaliti dan perlu kerja lebih keras,” kata Marquez.
Walaupun amat berkeyakinan untuk mencapai kemenangan di tanahair sendiri, Folger patut sangat berbangga kerana dia kini juga merupakan pelumba Jerman pertama yang berjaya berdiri di podium sejak tahun 2013 lalu. “Saya bagaikan tidak percaya ketika berjaya memimpin perlumbaan di Sashsenring tetapi akhirnya terpaksa melepaskan Marquez pergi kerana dia lebih berpengalaman dan saya dapat belajar banyak dalam saingan kali ini. Ia adalah satu pengalaman hebat dapat bersaing dengan Marc Marquez dan Dani Pedrosa.
Pasukan Yamaha masih optimis dengan kemampuan pelumba dan jenteranya selepas Vinales dan Rossi masing-masing menamatkan cabaran di Jerman di tempat keempat dan kelima. Vinales menyifatkan persaingan musim ini akan terus kompetitif dan untuk terus berada di depan, mereka perlu bekerja lebih keras terutamanya di sesi kelayakan dan persediaan sebelum perlumbaan akhir.
“Kami tahu perlumbaan di Jerman cukup sukar tetapi ia adalah cabaran yang perlu kami hadapi. Sasaran kami ialah untuk mendapatkan mata sebanyak mungkin dan ini yang berjaya para pelumba kami lakukan. Vinales cukup bagus pada 'separuh masa' kedua untuk memperbaiki posisinya dari tempat ke-11 hingga tempat keempat. Rossi pula bermula dengan baik tetapi sayangnya ketiga-tiga pelumba di hadapan membuka jarak terlalu jauh untuk dikejar. Selepas ini, 'bateri' kami semua akan dicaskan untuk meneruskan cabaran,” komen Pengarah Pasukan, Massimo Meregalli.
Pasukan Ducati akan menggunakan cuti selama sebulan ini untuk mempertingkatkan keupayaan jentera buat Andrea Dovizioso dan Jorge Lorenzo. Dovizioso yang cukup kuat pada musim ini mempunyai potensi besar untuk meraih kejuaraan dan sememangnya penantian pasukan Ducati sudah terlalu lama. Andrea Dovizioso kini berada di tangga ketiga keseluruhan dengan 123 mata, hanya enam mata di belakang Marquez.
Iannone pula perlu memperbaiki kelemahannya untuk memberikan keputusan yang lebih mantap buat pasukan Suzuki. Secara keseluruhannya, pasukan Suzuki ternyata berpuas hati dengan peningkatan prestasi mesin dan para pelumba mereka. Pasukan ini juga bersedia mengambil peluang di sepanjang musim cuti untuk menenangkan fikiran agar kembali menyerlah pada pusingan ke-10 yang berlangsung di Brno pada 6hb Ogos nanti.
Perlumbaan kali ini juga memperlihatkan kita dengan satu lagi penggunaan teknologi baru iaitu Dashboard Communication. Ia membolehkan krew di pit berinteraksi dengan para penunggang menerusi paparan digital dan akan disambungkan pada lampu amaran yang digunakan sekarang ini. Grand Prix Commission (GPC) turut mengesahkan bahawa senarai mesej yang tepat akan dihantar bersama lampu amaran daripada pihak Race Direction. Beberapa pasukan telah pun memiliki kemudahan ini pada jentera mereka. Penggunaan Dashboard Communication ini bakal digunakan sepenuhnya dalam Moto3 dan MotoGP pada tahun hadapan manakala untuk kelas Moto2 pula pada tahun 2019.
Pada perlumbaan di Sachsenring, para pelumba negara seperti Hafizh Syahrin, Khairul Idham Pawi (Moto2) dan Adam Norrodin (Moto3) turut mempamerkan tunggangan yang penuh bertenaga. Hafizh berjaya meraih 5 mata selepas menamatkan cabaran di posisi ke-11 manakala KIP yang memacu jentera Honda menghabiskan tugasnya di tempat ke-20. Adam Norrodin dari pasukan SIC Racing Team nampak semakin selesa berjuang bersama jenteranya untuk menamatkan perlumbaan di tempat ke-13. RR
Popular