Rea & Davies Bersinar Di USA
Sama kuat... sama lasak... sama mantap! Itulah gambaran terbaik selepas menyaksikan prestasi dan corak tunggangan dua pelumba terunggul dalam pasukan masing-masing iaitu Jonathan Rea daripada pasukan Kawasaki Racing Team dan Chaz Davies dari pasukan Aruba.it Racing Ducati. Ternyata Kawasaki ingin terus melarikan diri jauh ke hadapan tetapi dikejar cukup hebat oleh Ducati yang semakin lama semakin deras.
Dalam Perlumbaan 1, Sykes yang berada di petak pertama cuba mengawal persaingan dengan memimpin perlumbaan begitu kemas sekali. Rea, Davies, Melandri dan Fores tidak dapat memintas kerana setiap ruang ditutup dengan kemas oleh pelumba Kawasaki itu. Dalam lap keempat Davies mula mengorak langkah apabila berjaya memintas Rea untuk merapatkan diri dengan Sykes. Rea cuba melawan tetapi terpaksa akur dengan kemantapan tunggangan yang ditunjukkan oleh Davies.
Rea kejar Davies... Davies pula kejar Sykes. Ketiga-tiganya berjaya membuat kelompok hadapan meninggalkan para pelumba lain jauh di belakang. Davies terpaksa menunggu hingga lap kesembilan sebelum mendapat sedikit ruang untuk memintas Sykes dan ia telah digunakan sebaik-baiknya oleh penunggang Ducati itu. Selepas memintas, Davies memecut tanpa dapat lagi dikejar oleh para pelumba Kawasaki di belakangnya. Jarak kian jauh dari 0.588s, kemudian 0.684s dan seterusnya sudah 0.691s di hadapan Sykes.
Ketika persiangan tinggal lagi empat lap, Rea berjaya merapatkan diri menyebabkan seluruh pasukan Ducati agak cemas tetapi mujurlah Davies terus menerus mendapatkan rentak yang tepat untuk mendapat kemenangannya di USA diikuti Rea di tempat kedua dan Sykes di tempat ketiga.
“Kemenangan ini amat penting. Saya ke sini untuk menang dan mencapai kemenangan adalah satu kenangan hebat. Perlumbaan hari ini cukup sukar kerana permukaan litar agak licin dan saya dapati para pelumba Kawasaki turut mengalami masalah yang sama,” kata Davies selepas menang dalam Perlumbaan 1.
Perlumbaan kedua lebih mengujakan apabila Marco Melandri dan Xavi Fores bermula dengan cantik sekali untuk berada di hadapan tetapi masih gagal untuk melarikan diri daripada cengkaman Sykes, Rea dan Davies. Sykes dan Rea tidak menunggu masa yang lama untuk berada di hadapan dan terus mengungguli persaingan dengan tenang tanpa pencabar dari pasukan lain. Pelumba pasukan BMW, Jordi Torres terbabas dalam lap ketujuh ketika cuba mengatasi lawannya.
Rea dan Sykes saling memintas yang akhirnya berpihak kepada juara bertahan (Rea) untuk muncul juara seterus mengutip 25 lagi mata bagi mengukuhkan kedudukannya di tangga teratas dengan 341 mata. Rakan sepasukannya, Tom Sykes di tempat kedua dengan 282 mata manakala jagoan Ducati, Chaz Davies kini semakin mengejar di tempat ketiga dengan 226 mata.
“Pasukan saya telah menyediakan jentera yang cukup mengagumkan dan hari ini kami membuat keputusan yang berani untuk menukar talaan yang ternyata memberikan keputusan hebat. Inilah keputusan yang diperlukan sebelum berehat. Saya dapat melihat keluarga Nicky Hayden di litar ini dan sudah pasti ingin menghadiahkan kemenangan ini buatnya,” kata Rea.
Selepas lapan pusingan, Alex Lowes dan Michael Van Der Mark dari pasukan Pata Yamaha Official WorldSBK terus menunjukkan prestasi yang positif dengan kemampuan untuk berada di antara 10 pelumba terbaik. Jentera Yamaha YZF R1 tunggangan mereka ternyata mempunyai kemampuan hebat cuma perlu diperhalusi lagi terutamanya dari segi talaan keseimbangan casis dan kadar cengkaman. Pihak Yamaha yakin jenteranya akan lebih mantap dan kompetitif sebaik sahaja tamat cuti musim panas ini.
Perlumbaan WSSP dan WSSP300 tidak dijalankan di litar ini. Namun begitu Lucas Mahias masih mengungguli carta keseluruhan WSSP dengan 105 mata diikuti Kenan Sofuoglu (100 mata) dan Sheridan Morais di tangga ketiga dengan 76 mata. Pelumba negara, Zulfahmi Khairuddin terus memburu kedudukan terbaik untuk musim ini.
WSSP300 dipimpin oleh pelumba Kawasaki, Scott Deroue dengan kutipan sebanyak 75 mata diekori rapat oleh Mika Perez yang menunggang Honda dengan 72 mata. Marc Garcia akan terus mengerahkan jentera Yamahanya untuk memburu kemenangan demi mendapatkan mata dalam kejuaraan musim ini. RR
Popular