Prospek Positif Penyambungan Kejuaraan WSBK 2020
Selepas penganjuran perlumbaan pusingan pertama di Australia pada 28 Februari – 1 Mac 2020 yang lalu, Kejuaraan 2020 FIM Superbike World Championship (WSBK) terpaksa dihentikan akibat penularan wabak COVID-19 yang mengancam kehidupan di seluruh dunia. Namun begitu, pihak Dorna WSBK Organization kini sedang berusaha keras untuk meneruskan aksi perlumbaan bagi musim ini. Pihak penganjur ingin mengemas kini mengenai rancangan dan garis panduan untuk memulakan perlumbaan dan jika diluluskan, mungkin para pelumba akan dibenarkan beraksi pada bulan Ogos nanti.
Jika keadaan semakin pulih, selamat dan meyakinkan, Litar Jerez akan menjadi tuan rumah kedua musim ini pada tarikh jangkaan iaitu 31 Julai – 2 Ogos 2020 diikuti dengan Litar Autodromo, Portugal (7 – 9 Ogos 2020) dan selainnya mengikut keputusan yang akan dibuat kelak. Kawalan dan penjagaan tahap kesihatan adalah yang utama. Untuk itu, para barisan hadapan di Semenanjung Iberia pula merancang untuk mengadakan perlumbaan ini secara tertutup – sesuai dengan garis panduan yang ditetapkan oleh kerajaan Sepanyol dan Portugal.
Beberapa lokasi lain seperti di Donington Park dan di Assen masih tidak begitu sesuai dan terpaksa ditangguhkan kepada suatu tarikh baru. FIM dan Dorna WSBK Organization sedang menilai senario yang berbeza dan normal terbaru untuk menyesuaikan diri dengan kepelbagaian situasi dan peraturan di setiap negara yang akan dikunjungi. Apa pun, sokongan dan kerjasamasa dari semua pencinta WSBK cukup mengagumkan. RR